Pulang ke langkawi melawat saudara
meninggal hari ini mengimbau sejarah silam. Teringat masa mula
berura-ura melawat ke pulau legenda itu, dalam tahun tujuh puluhan, emak
sangat risau kerana terpaksa naik bot. Masa itu dari kuala Perlis
perjalanan bot makan masa satu jam. Bot yang dinaiki Pulau Singa.
Anggaran muatan lebih kurang 70 orang penumpang sahaja, tapi pada waktu
itu, sudah dirasakan cukup besar.
Kata papa, itu pun sudah
sangat baik, kerana dalam tahun 60an, papa naik bot Pulau Pandan, bot
ikan 'open air' yang dijadikan bot penumpang. Menurutnya lagi kerusi
duduk penumpang, seperti bangku panjang, dan tempat duduknya dibuat
daripada jalinan rotan. Maka penumpang duduk sebaris, di bangku panjang
itu. Kalau hujan akan diturunkan kain 'terpan' untuk mengelakkan
percikan air hujan, juga percikan air dari ombak setinggi bukit jika
dipukul ribut. Jika panas matahari pun kain 'terpan' amat berguna,
dapat melindungi daripada terik panas matahari.
Kata papa lagi,
kalau dipukul ombak, boleh nampak alunnya setinggi bukit, sangat
menakutkan. Perjalanan yang memakan masa dua setengah jam dari Kuala
Perlis jadi murung. Semua orang pun sangat risau, tak terkata apa-apa
walau sepatah pun. Kadang-kadang ikan lumba-lumba tersesat melompat ke
atas bot. Maka penumpang pun berpesta menangkap ikan yang tersesat itu.
Tapi
semua itu cuma cerita dari papa. Semasa baru mendirikan rumah tangga,
dan anak masih kecil, sekitar tahun 80an, sudah banyak bot berhawa
dingin. Masih ingat lagi ada Ekspres Bahagia dan banyak lagi. Masa itu
penumpang rasa sangat tidak adil. Selalu saja bot tidak tepat masanya,
kalau setengah jam lewat itu biasa. Masa itu bot dimonopoli oleh taukeh
Kobe. Kadang-kadang 'air-cond' rosak, maka berpanaslah sepanjang
perjalanan satu jam itu. Pernah sekali, semua penumpang naik bot, pintu
bot ditutup, tapi bot masih belum berjalan. Kononnya enjin bot sedang
dibaiki. Jadi kami yang penuh sesak dalam bot, sudah tidak berdaya lagi,
hanya mampu menunggu sehinggalah selepas beberapa lama, bot pun
berjalanlah dengan sangat perlahan, kerana enjinnya yang rosak itu.
Semua penumpang sangat takut, tapi kami hanya mampu berdoa. Sungguh
tidak adil, tapi tiada siapa dapat berbuat apa-apa.
Seterusnya
dalam tahun90an dan tahun 2000kami rasa sungguh selesa berulang-alik ke
Langkawi. Waktu itu monopoli tauke Kobe sudah dipecah dalam perusahaan
bot. Dengan bangganya LADA telah mengusahakan bot penumpang. Botnya
besar, botnya bersih dan selesa, siap dengan kaunter jualan makanan
kepada penumpang lagi. Masa perjalanan juga tepat, pada setiap masa dan
ketika. Alangkah, alangkah terbelannya nasib penumpang yang berulang
alik.
Sayangnya nikmat itu tidak lama. Kami menyaksikan
keruntuhan perniagaan bot LADA. Pagi Jumaat bot Kobe jalan pukul 7.00
pagi, sarat dengan penumpang, bot LADA jalan pukul 7.30 pagi dengan
jumlah penumpang yang tidak seberapa. Sungguh hairan kenapa Jabatan Laut
membenarkan jadual perjalanan yang tidak adil sebegitu? Yang lebih
menyedihkan lagi, semasa musim cuti sekolah, semasa itulah bot LADA
rosak. Rasa macam ada suatu yang tidak kena, tapi apa kan daya. Akhirnya
bot lada berkubur.
Kini dalam tahun 2010, bot-bot penumpang
banyak yang seperti bot panjang sarawak. Bot lebih kecil, ruang duduk
sangat sempit, dan aspek keselamatan dirasakan sangat kurang. Kalau bot
yang besar, pintu yang dibukanya satu saja. Bayangkan jika berlaku
kecemasan?
Langkawi sudah semakin maju, orang semakin ramai
berkunjung, tapi perkhidmatan bot bukan semakin baik. Alangkah baiknya
kalau pada waktu ini masih ada bot LADA, besar, bersih, selesa dan
tepat. Sudah tentu orang akan lebih ingatkan Langkawi kerana pengalaman
menaiki bot yang selesa.
No comments:
Post a Comment