Sunday, June 10, 2018

DAY 7 18 APRIL18 RABU: DUBROVNIK (CROATIA) - PLOCITEJL - BLAGAJ - MOSTAR (BOSNIA)


DAY 7: 18 APRIL 2018: RABU
DUBROVNIK (CROATIA) - PLOCITEJL  - BLAGAJ - MOSTAR
(BOSNIA)
 
Dubrovnic Port yang cantik
Di Balkoni Adria Hotel selepas sarapan
Pelabuhan Dubrovnik yang kelihatan indah
Pagi di Dubrovnik yang dingin dimulakan dengan sembahyang subuh di bilik mesyuarat Hotel Adria tepat jam 5.30 pagi. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah dapat kami berjemaah di bumi Balkan ini bersama-sama. Engkau takdirkan kami sama-sama menunaikan tanggung jawab kepadaMu Ya Allah, bersama-sama rakan sejemaah dari tanah air tercinta. Semoga dengan ini Ya Allah Engkau pelihara perjalanan kami yang masih berbaki. Semoga dengan ini ya Allah Engkau kembalikan kami kepada kaum famili kami yang kami kasihi, aamiin Ya Allah.
Seperti biasa jam 7.00 pagi kami bersarapan ala Inggeris - roti, biskut, cereal,  buah-buahan dan minuman. Bersama kami pagi itu ada satu lagi kumpulan  dari Malaysia yang menghadiri Persidangan Juru Ukur (Surveyer) di Dubrovnik. Seperti biasa jam 8.00 pagi Mr Berto siap sedia membawa kami meneruskan perjalanan pagi ini ke Mostar Bosnia. Perjalanan ke sempadan Bosnia cuma satu setengah jam sahaja. Dan lebih kurang jam 9.15 pagi, kami melalui Imegresen Croatia dengan mudah, kerana kebetulan pegawai bertugas itu kawan Mr Berto. Alhamdulillah Allah permudahkan kami dengan nikmat yang tidak diduga. 

Pemandangan di Croatia sebelum tiba di sempadan

 
Pemandangan indah di Bosnia dari bas
Selepas itu kami melalui jalan di tepi pantai negara Bosnia sepanjang lebih kurang 10 kilometer sahaja. Kemudian kami tiba di sempadan, masuk semula ke negara Croatia, kemudian keluar Croatia dan masuk semula ke Bosnia. Dalam perjalanan ke Blagaj untuk makan tengah hari, lebih kurang jam 12.15 tengah hari kami singgah sebentar Plocitel, suatu perkampungan zaman Othmaniah di kawasan pergunungan, yang telah lama ditinggalkan sejak kurun ke-15 lagi.  Kami dapat lihat kawasan perkuburan yang agak luas di atas bukit dengan jelas. Dapat dibayangkan dahulunya kawasan ini memang suatu kawasan yang maju dan ramai penduduknya. Masih ada lagi kesan-kesan runtuhan bangunan tinggalan zaman kegemilangan Islam di atas bukit yang dapat kami lihat. Kemudiannya kami meneruskan perjalanan ke Blagaj. 

Bergambar kenangan di Blagaj selepas makan tengah hari
Membelakangi Buna Spring yang nyaman di Blagaj
Di restoren menunggu hidangan disajikan
Kami sampai  di Blagaj lebih kurang jam 1.40 tengah hari untuk makan tengah hari di sebuah retoran di tepi sungai. Menurut kak Zaharah Flyworld telah menempah tempat di restoran itu sejak lebih setahun yang lalu. Memang ramai sungguh pengunjung makan tengah hari bersama kami. Sambil menunggu hidangan, kedengaran bunyi deruan air sungai yang kuat bagai alunan musik yang mengasyikkan. Airnya yang laju itu kelihatan kebiruan, dihiasi pula dengan buih-buihnya yang putih di beberapa tempat jeram air terjun, yang merupakan suatu lakaran alam yang sungguh indah, hadiah Allah kepada makhluknya. Sungguh cantik dan nyaman, bumi ciptaan Allah ini. Maha suci Allah yang telah mengizinkan kami dapat sampai ke situ, dan menikmati nikmat Allah yang tak terhinggakan. Tak lama selepas itu kami disajikan makanan. Menu kami seperti biasa sup dan roti, nasi daging bakar, dan pencuci mulut baklava.
  
Pusat Islam Tekija,tingkat bawahnya musolla, tingkat atas perpustakaan
Berlatar belakang tanah perkuburan
Kemudian  kami solat jamak zohor asar, di Pusat Islam Tekija yang terletak di kaki bukit berhampiran jeram air terjun Buna Spring yang nyaman tidak jauh dari restoran itu. Ruang surau tempat solat lelaki dan wanita di tingkat bawah walaupun terpisah,  agak selesa. Di tingkat atasnya pula adalah bilik perpustakaan dan tempat mengaji pelajar-pelajarnya. Selepas melawat-lawat di Pusat itu, kami mula beredar, berjalan keluar ke tempat bas menunggu kami di hadapan sebuah pusara yang agal luas juga. Selesai makan dan solat kami meneruskan perjalanan ke Mostar Bosnia. Di kiri kanan jalan kelihatan ladang-ladang anggur yang luas yang baru saja mengeluarkan tunasnya selepas musim sejuk berakhir.

Menuju Mostar Old Town, membelakangi bangunan kesan tembakan perang
Di atas  Old Bridge merentasi Sg Neritva
Gerai-gerai di Old Town
Akhirnya lebih kurang jam 4.00 petang kami sudah mula berjalan menapak kaki melawat Bandar Tradisi Mostar (Mostar Old Town). Sambil berjalan kami dapat lihat kesan-kesan perang, di dinding-dinding bangunan yang ditembusi peluru-peluru. Alangkah ngerinya membanyangkan bunyi tembakan  semasa musim perang itu, tapi itulah hakikat  sejarahnya yang kesannya dapat kami lihat dengan mata kepala kami sendiri. Masya Allah,  subhaanallah, maha suci Allah yang maha menentukan segalanya. Perjalanan kami  petang itu, diiringi  bunyi deruan air sungai, bagai musik alam yang menyamankan, lagi mengasyikkan di bumi balkan ini.
Kemudian kami melintasi  sebuah gereja terbesar di Mostar, di tiang menaranya tertulis "Pillar of Peace". Terasa di dalam hatiku semuanya sandiwara saja, kalau tidak masakan berlaku peperangan antara orang Islam dan orang Kristian di neageri-negeri Balkan. 

Gerai-gerai Old Town
Menunggu makan malam Di Restoran Libirint

Kami memasuki Mostar Old Town, meninjau-ninjau Old Bazaar. Di kiri kanan jalan banyak gerai-gerai berjualan cenderamata, makanan, kopi, baju, selendang dan lain-lain lagi. Kami melalui Main Hammam iaitu Muzeum Mostar, tapi kami tidak berkesempatan melawat ke dalamnya kerana sudah tutup. Sedang kami berjalan, tidak sedar sudah masuk waktu Asar. Masya Allah alangkah syahdunya mendengar azan berkumandang di Mostar Bosnia. Kami berhenti sejenak menjawab azan  semasa berada di atas Old Bridge yang merentasi Sungai Neritva, yang air sungainya deras dan kedengaran menderu-deru. 

Membelakangi Old Bridge
Sepanjang berada di Mostar Old Town, kami diingatkan supaya berhati-hati kerana ramai peminta sedekah yang beroperasi melalui sindiket memperalatkan kanak-kanak, dan ramai juga penyeluk saku yang perlu diawasi. Alangkah terasa malunya kerana yang meminta sedekah itu kebanyakanya orang Islam yang kelihatan dhaif dan tidak terurus pula. Pada petang itu sambil membeli belah, ramai juga kelihatan orang-orang Malaysia yang melancong seperti kami. Sempat juga kami bertanya, mereka datang dari Kuala Lumpur. Sementara menunggu makan malam kami bersantai memanaskan badan minum kopi di tepi sungai Neritva sambil menikmati pemandangan dan melihat-lihat pengunjung bazaar dengan pelbagai ragam yang tersendiri.

Orang-orang kuat bersama Mr Liere
Sambutan hari jadi di Restoran Libirint Mostar
Seterusnya kami berkumpul di Restoran Libirint, untuk makan malam sebelum chekin di  hotel. Rupanya selepas makan sup dan roti, kami dikejutkan dengan dengan acara sambutan harijadi untuk jemaah kami iaitu, Dato Mokthi, En Nasaruddin, dan Puan Hashimah. Di samping itu kami turut meraikan Dr Zarina menyambut hari ulang tahun perkahwinannya. Alhamdulillah, kami semua dapat makan kek hari jadi dengan izin Allah. Syukur Ya Allah, Alhamdulillah, terima kasih Flyworld, terima kasih Kak Zaharah yang menguruskan dengan amat bagus sekali. Allah saja layak membalasnya. Kemudian kami terus ke Hotel Bristol untuk berehat mengumpulkan tenaga yang sudah banyak terhabiskan. Alhamdulillah semoga esok ditakdirkan yang lebih baik buat kami sekumpulan, insyaaAllah.









Saturday, June 9, 2018

DAY6 (2) : 17 APRIL SELASA - SHKODER - KOTOR - DUBROVNIK


DAY 6  : 17 APRIL 2018: SELASA
SHKODER (ALBANIA)  - KOTOR (MONTENEGORO) - DUBROVNIK (CROATIA)


Alhamdulillah lebih kurang jam 12.00 tengah hari kami selamat tiba di Kotor Old Town. Kotor adalah sebuah bandar pelabuhan yang cantik, dan strategik. Lautnya yang membiru dibarisi bukit bukau yang tegap berdiri, dengan keunikan dan keunggulan batu batannya yang hitam tersendiri. Dahuluya bandar ini
merupakan sebuah penempatan yang selamat kedudukannya. Di hadapannya sebuah pelabuhan dan di belakangnya bukit bukau yang didirikan tembok untuk mengelak serangan musuh. Sekarang penempatan itu dijaga dan dipelihara sebagai satu bandar tradsi yang menjadi produk pelancongan yang unik. 

Kami disambut oleh pemandu pelancong di hadapan pintu masuk Kotor Old Town. Ramai juga pengunjung yang berpusu-pusu di pintu masuk ke bandar tradisi itu. Selepas diberikan tiket masuk, kami terus dibawa  oleh pemandu Pelancong,  menuju ke sebuah villa tiga tingkat yang diubahsuai menjadi restoran untuk makan tengah hari di sana. 

Villa ini kelihatan sungguh eksklusif hiasan dalamannya. Langsirnya yang kelihatan mewah serta hiasan dindingnya pula penuh dengan lukisan-lukisan yang melakarkan keindahan pemandangan tempat-tempat di sekitar Kotor dengan keunikan laut dan bukit bukaunya. Ruang tamu yang luas menjadi
ruang makan yang selesa dan anggun. Kami sungguh teruja dengan keunikannya untuk menjamu selera di situ. Hari ini menunya sup dan roti, spegethi bolognes dan pencuci mulut baklava juga. Alhamdulillah semua jemaah kami seronok dengan menu baru hari ini, Kenyang perut suka hatilah kami untuk melawat-lawat Kotor Old Town seketika nanti.

Selepas itu kami dibawa melihat-lihat Bandar Tradisi Kotor, iaitu sebuah penempatan lama yang unik lagi bersejarah. Bandar yang berhadapan dengan laut dikelilingi oleh suatu tembok besar ibarat kota, yang mengunjur hingga ke atas bukit. Di dalamnyalah terdapat rumah-rumah pembesar dan penduduknya. Kawasan ini dilengkapi gereja, muzeum, hotel, kedai-kedai dan juga kemudahan asas yang lain seperti perigi sebagai sumber air. 

Sekarang ini semua rumah kediaman dipelihara dan dijadikan sebagai kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis cenderamata, dan juga dijadikan restoran-restoran,  dan coffee-house untuk pengunjung
menjamu selera dan membasahkan tekak atau menikmati minuman kopi yang terkenal di Balkan. 

Satu cerita menarik ialah tentang perigi yang disebut Well-Corner. Dahulunya ia merupakan suatu dataran tempat ramai wanita berkumpul, sambil mengambil air dan membasuh pakaian. Sambil itu di situlah mereka bergossip dan berkongsi cerita tentang pelbagai perkara yang menjadi berita semasa, ataupun berkongsi sebarang khabar yang terjadi ataupun khabar angin yang bertiup kencang dalam masyarakat semasa. Sungguh klasik dan nampaknya norma itu sungguh universal kerana ia ada dan menjadi amalan dalam banyak masyarakat tradisi atau moden di seluruh dunia dari dulu hingga sekarang. 

Kemudian pada jam 3.00 petang kami meneruskan perjalanan. Kami singgah untuk  solat jamak zohor asar, di sebuah Islamic Centre di Kotor. Alhamdulillah selepas itu pada jam 4.25 petang, kami naik feri di Kotor Bay lebih kurang 15 minit perjalanan. Kami dapat menikmati pemandangan yang cantik ciptaan Allah Yang Maha Esa, dengan melihat kawasan perumahan di lereng-lereng bukit yang mengunjur ke laut, sambil menikmati angin dingin sepoi-sepoi bahasa yang terasa hingga ke tulang.



Berikutnya perjalanan petang itu  diteruskan sehingga ke sempadan. Di sana kami terpaksa turun bas untuk mengecop passport seorang demi seorang. Kami meninggalkan Montenegoro ke negara Croatia pula. Lebih kurang jam 5.05  petang dengan mudah dan selamatnya kami menuju  ke destinasi seterusnya  Dubrovnik.  Sepanjang jalan ke Dubrovnik kami melalui jalan di tepi laut di sebelah kiri, dan di sebelah kanannya dipagari bukit bukau penuh dengan pokok-pokok pine hijau sejuk mata memandang. Pemandangan indah di tepi laut itu agak terbatas kerana cuaca mendung dan berkabus. Namun tidak dinafikan sungguh indah bumi ciptaan Tuhan yang sedang kami alami, maha suci Allah yang maha pengasih lagi maha mengetahui segala isi dunia ini. Engkaulah yang telah mentakdirkan kami sampai ke situ alhamdulillah syukur atas takdirMu itu.
Maha suci Allah yang menetukan, jam 6.30 petang kami selamat menjejakkan kaki ke Dubrovnik Croatia. Dalam masa yang singkat itu kami bergegas melawat Dobrovnik Castle dipimpin oleh pemandu pelancong tempatan Zelca. Masya Allah, Allah yang maha mengetahui, Allah yang maha besar pengetahuanNya
atas seluruh alam ini. Kami telah menyaksikan suatu ciptaan manusia yang Allah anugerahi sedikit sahaja ilmuNya. Kawasan penempatan yang dahulunya merupakan sebuah bandar dalam Kota Dobrovnik, dibina pada abad ke-7 semasa Dubrovnik berada di bawah Repuplik Raguza, dan kebanyakan penduduknya berbangsa Itali. Kemudiannya ia bertukar menjadi Croatia pada abad ke-19. Masya Allah cantik dan hebat ilmu yang Allah kurniakan kepada makhluk ciptaanNya. Kami dibawa melihat-lihat City Walls iaitu tembok besar yang mengelilingi kota Lama Dubrovnik sejauh 2 kilometer itu. Ia kelihatan sungguh agam dan teguh berdiri, tingginya 25 kaki manakala lebarnya pula 5 hingga 6 kaki tebal.  Tembok ini membentengi  penduduk-penduduk dalam kawasannya dari timur ke barat, mengunjur ke laut yang merupakan pelabuhan sejak berabad-abad lamanya.  


Kami masuk ikut Pintu Barat iaitu pintu utama, dan melalui jalan utama yang menghubungkannya dengan Pintu Timur. Untuk keselamatan kedua-dua pintu ini ditutup pada setiap malam. Kami berhenti sebentar, di kawasan air terjun Onofrius Fountain, yang dahulunya berfungsi menyediakan bekalan air kepada semua penduduk dalam kota itu. Di hadapannya pula terdapat sebuah farmasi (Old Pharmacy) yang terkenal dalam abad ke-13 lagi. Berhampiran farmasi juga terdapat Rector's Palace yang masih tegap berdiri hingga ke hari ini.Dan di sebelah kanannya pula tedapat Clock Tower yang masih tegap berdiri dan berfungsi lagi.




Sekarang ini di kiri kanan jalan utamamnya  ialah kedai-kedai menjual cenderamata, restoran-restoran dan coffee-shop. Kini cuma ada lebih kurang 400 keluarga saja yang masih menetap di dalam kota, kerana agak sukar untuk penduduk bergerak keluar masuk bagi menjalani kehidupan seharian. Rumah mereka di lereng bukit dan tidak ada jalan kereta, jadi mereka masih
menggunakan tangga yang jumlahnya lebih kurang 4500 anak tangga untuk berulang alik setiap hari dalam sebarang urusan mereka. Kami terus berjalan sehingga ke Pintu Timur. Kemudian kami ikut ke kiri melihat kawasan di tepi laut iaitu pelabuhan Dubrovnik yang sungguh cantik, yang menghadap ke sebelah  bukit  yang penuh dengan kawasan perumahan. Dubrovnik Castle memang sungguh cantik seni binanya, tidak hairanlah ia menjadi tempat lokasi bagi siri filem-filem terkenal seperti Game of The Throne yang diminati ramai.

Selepas itu kami terus ke Adria Hotel, makan malam jam 9.00 malam dan terus berehat untuk perjalanan seterusnya esok. Alhamdulillah kami masih bertenaga dan bersemangat untuk berjalan dan meneruskan perjalanan dengan izinMu jua Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Sega puji hanya pada Mu jua.  




Sunday, June 3, 2018

DAY 6 (1) 17 APRIL: SHKODER - KOTOR - DUBROVNIK


17 APRIL 2018: SELASA
SHKODER (ALBANIA)  - KOTOR (MONTENEGORO) - DUBROVNIK (CROATIA)


Pagi itu dimulakan dengan berkunjung ke Masjid Ebu Bekri berhadapan Rozafa Hotel di bandar Shkoder. Dalam meredah dinginnya pagi di Shkoder, kami menunggu petugas masjid seawal jam 4.30 pagi lagi. Sepuluh minit selepas itu pintu masjid dibuka, kami meluru masuk ke tingkat atas ruang solat muslimat. Selepas itu jam 5.00 pagi alhamdulillah, kami solat subuh berjemaah di bumi Albania. Alangkah syahdunya solat di situ, jemaah kami seramai 33 orang, turut serta beberapa orang tempatan, tak lebih 10 orang, telah menyempurnakan tanggung jawab menunaikan solat fardhu subuh di situ. Alhmdulillah dengan syiar Islam dan kebesaranMu Ya Allah, penduduk dua negera dapat bersama dalam satu saf, tanpa sedikitpun berasa janggal. 


Kami terus chekout seawal jam 7.00 pagi. Kemudian menikmati sarapan pagi di Coffee-house. Sajian  makanan pagi itu seperti biasa, pelbagai jenis roti, biskut dan cereal, pelbagai jenis cheese dan jem, pelbagai jenis buah-buahan serta minuman. Kami makan secukupnya untuk mengalas perut kami hingga ke tangah hari. Alhamdulillah tepat Jam 8.00 pagi, Mr Berto terus memulakan perjalanan dengan senyumannya. 

Memulakan perjalanan, kami rasa terkilan juga, kami tidak sempat melawat Old Town Of Shkodra. Tapi dalam perjalanan meninggalkan Shkoder pagi itu, kami dapat juga menikmati pemandangan sekitar bandar Shkoder. Kelihatan juga Sungai Buna airnya mengalir deras, menghiasi bandar yang kami tinggalkan itu. Semasa kami melepasi sungai itu dapat dilihat di kiri kawasan bukit bukau, dan di sebelah kanannya terdapat ladang-ladang anggur dan tanaman bijirin yang menghijau. Ditunjukkan juga kepada kami Rozafa Castle yang menjadi legenda itu, tegap berdiri megah menyembunyikan pelbagai cerita sedih di sebaliknya. Kami juga melalui sebuah pekan kecil Oblika. Menurut MR Liere orang di situ hidup terpisah, di satu kawasan penempatan  menempatkan orang-orang Islam yang tinggal di apartmen, manakala di kawasan lain tinggal orang katholic di kawasan perumahan. Alangkah bahagianya di tanah airku Malaysia, tidak ada pun pemisahan dan perbezaan begitu rupa.

Dalam cuaca mendung dan tidak kelihatan cahaya matahari pagi itu, Seawal jam 9.00 pagi kami sudah berada di sempadan untuk ke Kotor Montenegoro. Negara ini mendapat kemerdekaan pada tahun 2006 dari Serbia, dan mempunyai  penduduknya lebih kurang 2 juta orang. Sebahagian besar penduduknya lebih kurang 70 peratus beragama Kristian, sementara 30 peratus penduduk pula beragama Islam yang berasal dari Albania. 

Kami semakin jauh meninggalkan border, semakin dekat menuju ke bandar Kotor. Mr Berto membawa kami mengikuti jalan pintas. Di kiri kanan jalan yang agak sempit, kelihatan bukit bukau yang batu-batannya berwarna hitam pekat dengan terdapat sedikit pokok yang baru mengeluarkan pucuk, kerana musim sejuk baru saja berlalu. Sesekali kelihatan kumpulan rumah-rumah petani, nun jauh sayup-sayup di lereng bukit. Masa ini mereka baru lepas membajak tanah untuk bercucuk tanam. 


Selepas itu dalam lebih kurang jam 10.30 pagi  kami  sampai ke suatu kawasan perumahan. Kami  dapat lihat pemandangan rumah-rumah yang padat didirikan di lereng-lereng bukit mengunjur ke Laut. Pemandangan itu sungguh indah dan unik, dan itulah keistimewaan bandar di Montenegoro yang sedang kami lawati. Kami melewati bandar Tivar. Didapati bandar ini penuh dengan rumah-rumah flat dan apartmen berwarna putih di kiri kanan jalan. Ia dihiasi dengan barisan pokok pine tersusun indah yang mengindahkan pemandangan di kawasan itu. 

Selepas itu kami mula sampai di kawasan tepi pantai, kami menyaksikan pemandangan yang sungguh indah. Di kiri jalan kelihatan laut yang biru dan pantainya yang yang putih. Sayangnya cuaca agak berkabus jadi tidak dapatlah kami melihat dan menikmati pemandangan Laut Adriatic yang cantik terbentang luas mengunjur ke Itali itu. Lebih kurang jam 11.20 pagi kami singgah sebentar di Kawasan berhampiran Stevi Stephan Island. Pulau buatan ini terkenal dengan rumah-rumah mewah milik orang-orang terkenal seperti pelakon dan jutawan yang mengidamkan kehidupan ideal di pulau nan indah. Selepas bergambar kenangan kami meneruskan perjalanan untuk makan tengah hari di Kotor Old Town, dalam lebih kurang setengah jam lagi.