Friday, October 29, 2010

AMSTERDAM THE SIN CITY


Lepas sarapan seawal 8.30 pagi kami sudah berada di luar Quint Hotel, menikmati udara segar lagi nyaman yang sungguh mengasyikkan. Duduk-duduk di depan hotel, dapat dirasai kesibukan, orang berpusu-pusu naik basikal ke tempat kerja. Berpakaian kemas dan cantik, dengan pelbagai jenis kot yang bagus-bagus, dengan sepatu hitam dan kasut bertumit tinggi, semuanya sungguh kelihatan seperti dalam filem klasik Inngeris. Macam-macam jenis basikal – besar, kecil, sporty, berdua, bertiga – pelbagai rupa yang tidak pernah dijumpa, dapat dilihat di sini. Bukan pergi kerja sahaja, tapi juga pergi ke sekolah dihantar ibu atau bapa, dengan basikal juga. Aduh, sungguh mengasyikkan. Mereka kelihatan sungguh sihat, segar dan bertenaga, kerana pagi-pagi lagi, sudah mulakan hidup dengan gaya hidup sihat.

Sambil menikmati udara pagi, kami melihat-lihat peta, untuk menentukan arah tujuan perjalanan kami pada hari ini. Papa memilih satu peta yang digemarinya kerana dia senang mencari lokasi dengan peta itu. Selepas membuat keputusan untuk ke beberap tempat, kami buat keputusan untuk berjalan kerana tempat pertama yang nak dituju tidak jauh antara satu dengan yang lainnya. Mula-mula kami menuju ke Flower Market – di situ dijual pelbagai jenis bunga tulip, benih bunga tulip, tulip ukiran, dan segala bentuk cenderamata untuk pengunjung.

Sukanya, memang sangat suka dikelilingi bunga pelbagai bentuk, pelbagai jenis dan pelbagai warna. Sungguh mengasyikkan, tapi aku sungguh takjub dengan kebesaran Tuhan yang menciptakan segalanya untuk dinikmati, yang memungkinkan segalanya untuk terjadi.

Sambil itu, dalam meneruskan perjalanan, papa mencari-cari kedai antik atau kedai buku supaya dia dapat merisik-risik jika ada wang lama, buku lama atau peta lama. Memang nasib papa baik kerana terjumpa sebuah kedai buku yang agak besar juga. Maka asyiklah papa memilih peta-peta lama yang memang sangat banyak dijual di kedai itu. Harganya pun taklah begitu mahal sangat – memang papa rasa sangat gembira dapat jumpa peta-peta yang memang dicari-carinya. Semasa di Portobello ada juga peta-peta yang dijumpainya, tapi harganya sangat mahal, rasa tak berbaloilah pula, jadi dia tidak membeli sangat di situ.

Selesai shopping peta, kami terus ke destinasi kedua, Pejabat VOC Holland. Kini menjadi sebahagian daripada bangunan milik Universiti Amstedam. Pejabat VOC, sebenarnya berada di banyak tempat yang menjadi cawangan-cawangannya, kerana ahli lembaga VOC terdiri daripada wakil-wakil daripada negeri-negeri kecil. Pejabat yang kami kunjungi ialah pejabat ahli lembaga VOC pusat, tempat semua wakil lembaga pengarah datang bermesyuarat untuk membuat keputusan.


Berada di pejabat itu, atau lebih tepat di kamar itu, dapatlah kami bayangkan betapa orang-orang Belanda bermesyuarat mengatur strategi perniagaan di luar negeri Belanda. Biliknya tidaklah sebesar mana, tapi pengaruh mereka sangatlah besar pada waktu itu. .Sungguh terasa mengaibkan. Cuma sebuah Syarikat perniagaan perkapalan, mereka telah dengan mudahnya, dapat menjajah suatu bangsa besar, kitalah orangnya yang dijajah itu.


Terasa sungguh kerdil, malu dan tertipu. Tapi apa nak dikata, sejarah sudah berlaku, sudah terpahat dalam sejarah bangsa kita, kita dijajah, dijajah dengan mudahnya. Pengajarannya kita tidak beleh tidah selidik, tidak mendapat maklumat tepat dan tidak berpendidikan, orang mudah tipu kita hidup-hidup. Jangan pandang rupa saja, sudah naik gerun terus ikut, tanpa usul periksa. Benggali putih dulu datang ke rantau kita, dengan badan yang besar, rupa yang menggerunkan, kelihatan sangat menyakinknan, kita pun terpesona, apa lagi terus ikut saja apa cadangan, tanpa usul periksa lagi dah. Alahai……

Lama jugalah kami melihat-lihat, cuba membayangkan keadaan mereka yang sangat kelihatan hebat waktu mereka meneroka ke alam Melayu. Semuanya sangat memedihkan lagi memilukan. Mereka dengan bangganya mempamerkan kebangganaan itu, dan kita dengan sedihnya menyaksikan sejarah hitam itu menjadi kebanggaan mareka zaman berzaman, sampai bila-bila .

Saturday, October 23, 2010

CITY TOUR AMSTERDAM

Canal cruise di Amsterdam

Maha suci Allah, Allah yang maha besar, maha agong, dengan segala ciptaannya supaya umatnya berfikir dan tau bersyukur. Allah telah takdirkan aku sampai ke kota ini, syukur padaMu ya Allah! Amsterdam memang kota yang cantik, memang kota yang klasik, dan sebuah kota yang unik. Unik kerana bandarnya penuh dengan terusan yang dibina dengan terancang untuk kemajuan dan pembangunan, sejak beratus tahun dahulu. Rumah-rumah di Amsterdam kebanyakannya menghadap ke terusan atau, membelakangkan terusan, jadi sungguh nyaman dan mengasyikkan. Bot-bot besar atau kecil, semuanya tidak bising dengan bunyi injin, dan tidak mengeluarkan asap kerana menjaga kehijauan alam sekitar.


Amsterdam Kota Basikal


Satu lagi keunikannya ialah penduduknya, rata-rata memiliki basikal sebagai kenderaan utama, atau bot yang juga menjadi kenderaan utama. Jadi oleh kerana ramainya penonggang basikal, maka banyaklah basikal yang ada di Amsterdam. Di semua tempat awam atau persendirian semuanya ada tempat parking basikal. Malah di tempat yang menjadi pusat pentadbiran, atau di tempat yang banyak pejabat, maka tempat letak basikalnya bertingkat-tingkat, seperti tempat parking kereta di pusat membeli belah di Malaysia. menurut pemandu pelancong semasa perjlanan kami meninjau bandar Amsterdam dengan bot, telah dilaporkan lebih kurang 60,000 buah basikal dilaporkan hilang setiap tahun.


Salah sebuah boathouse di Amsterdam

Lagi yang menarik, yang jarang dijumpai di tempat lain ialah kehadiran bothouse di sepanjang terusan. Bot yang lama yang tidak digunakan lagi akan berlabuh dan dihiasi indah untuk menjadi tempat kediaman. Dari dalam bot yang kami naiki, dapat dilihat kamar dalam bothouse dihias indah seperti bilik hotel. Yang lebih jelas kelihatan, terdapat taman hiasan yang cantik dan indah lagi kemas, menghiasi bahagian hadapan bot, ibarat halaman di hadapan rumah kediaman kita. Semua yang lain dari yang lain memang unik, tapi yang lebih penting ialah keunikan itu dapat dijadikan bahan pelancongan yang amat besar pulangnnya kepada negara itu.


Friday, October 15, 2010

Amsterdam berpesta bola


Awal-awal pagi kami sudah sedia ke Gatwick Airport, untuk ke Amsterdam, menaiki EasyJet. Yunus cleaner di Malaysian Hall telah sedia sebelum jam 9.00 lagi untuk menghantar kami. Perjalanan satu jam terasa amat singkat, sambil borak-borak mendengar kisah hidup Yunus merantau di kota London. Dia sangat senang tinggal di situ, berbanding negerinya yang tidak aman – maka jadilah dia pelarian yang mendapat perlindungan. Dia hidup dengan agak selesa – bekerja dan berkeluarga. Dia tidak pernah memikirkan untuk pulang ke tanah airnya lagi. Eritrea hanya tinggal kenangan pahit, tidak lebih dari itu.
Lama juga di Gatwic Airport, sempat minum capucino dan makan tengah hari nasi bungkus dari Malaysia Hall yang sedap. Sempat lagi shopping souvenir untuk anak-anak yang tinggal, walaupun sangat ramai dan sibuk keadaannya. Luggage yang banyak terpaksa dibawa kargo berbayar. Sejam di angkasa kami selamat sampai di Schipol Airport, kira-kira sejam perjalanan dengan teksi ke Amsterdam.

Semasa di Schippol Airport, kami dimaklumkan dengan bangganya Belanda menjadi naib juara, oleh seorang wanita pekerja Netherland Information Centre. Mungkin kereta tidak boleh masuk ke bandar, kerana orang Belanda berpesta di tengah kota – kononnya puluhan ribu, mungkin lebih 50 ribu. Mereka meraikan wira-wira pasukan bola Belanda, balik dari Afrika Selatan, menjadi naib juara Piala Dunia 2010.

Kami membayangkan entah jauh mana kami mesti berjalan ke hotel di tengah pekan. Semakin hampir ke Amsterdam, semakin nampak jelas penyokong dan rakyat jelata sedang berpesta – dengan teashirt oren di sana sini, dengan cat warna muka bendera Belanda, topi dan trompet Afrika – semuanya sudah pasti tidak ketinggalan berpesta, kerana Belanda menjulang naib juara Piala Dunia.


Rupanya andaian kami salah sama sekali, melihat teksi membawa pelancong, polis lalu lintas mempesilakan kami dibawa masuk menuju ke hotel di tengah bandaraya Amsterdam. Sepanjang jalan menuju hotel memang sangat ramai, memang sangat meriah, memang sangat terasa aura Belanda berpesta bola. Kami bagaikan VIPlah pula - kerana jalan yang ditutup hanya dapat dilalui oleh teksi yang kami naiki sahaja. Pemikiran negara maju memang menakjubkan - sangat kreatif dan bijak - hal ini kurang dihiraukan di Malaysia, mudahnya ikut buku, banyak birokrasi, berbau superiority kompleks.


Setibanya di hotel, memang suasana riuh rendah, gamat dengan nyanyian dan sorakan, sama ada yang sedang berpusu-pusu berjalan atau yang menyanyi-nyanyi dan menari-nari di bar, seberang sungai di depan hotel. Dari jendela hotel kami dapat lihat orang juga berpesta menaiki bot, tidak henti-henti. Ada bot kecil, dengan sedikit penumpang dan ada bot besar dengan penumpang yang penuh, menyanyi, menari dan ketawa ria meraikan kemenangan juara pasukan bola mereka.

Sepetang itu kami juga turut seronok melihat gelagat dan telatah orang Belanda. Kami juga seperti berpesta bola dengan penduduk Amsterdam. Petang itu memang mengasyikkan, turut teruja dengan keseronokan dan kemeriahan Belanda berpesta bola.

Monday, September 27, 2010

PENGLIPUR LARA DI KOTA LONDON

  
Duduk sebentar menunggu dijemput Mrs Annabel


Di Lobi British Library sedang menunggu Mrs Annabel Teh Gallop

Semasa di British Library, kami diberitahu tentang seorang teman yang gemar mengumpul cerita-cerita tentang sejarah tempatan. Mrs Annabel Teh Gallop telah memberikan nombor telefonnya kepada kami. Selepas makan dan solat zohor papa buat temu janji untuk bertemu dengannya. Kami bertiga setuju untuk bertemu Puan Zaharah Othman di Restoran Tok Din, London, lebih kurang jam 6.00 petang. Beliau menunggu kami bersama suaminya Wan Ahmad Hulaimi. Ketika kami tiba beliau sedang berbual dengan 2 orang Malaysia yang kebetulan juga mengunjungi restoran itu untuk menjamu selera – two Chinese men from Alor Setar, class mates Pn Zaharah di Kolej Sultan Abdul Hamid. Restoran Tok Din ini dimiliki oleh seorang pengusaha Melayu, asal dari pekan Langgar Alor Setar, yang kini sedang menempa nama di tengah Kota London ini.

Di pejabat Mrs Annabel, Pengarah Unit Koleksi Manuskrip Melayu di British Library 
Rupa-rupanya puan Zaharah seorang wartawan bebas, suaminya juga. Kami sungguh rasa bertuah kerana dapat bertemu seorang wartawan dan suaminya seorang penulis bebas, yang giat berkarya, di tengah kota London. Sungguh tidak pernah diduga. Sungguh istimewa, kerana beliau sendiri memiliki ruangan khas mingguannya dalam akhbar New Straits Times. Suaminya juga seorang wartawan. Dia telah dan menghasilkan buku tentang kehidupan zaman remajanya di Terengganu. Nama penanya Awang Goneng. Paling seronok kami dihadiahkan buku tulisannya dalam pertemuan yang singkat itu. 

Puan Zaharah dan suaminya mencadangkan kami makan sambil berbual-bual dan berkenalan. Dia order mee kari, along minta mee rebus, En Wan order kueteow, papa turut order dan kongsi kueteow goreng dengan mama. Sungguh teruja dapat menikmati semua itu di kota London, tambah-tambah lagi bang long. Dia sudah 2 tahun tidak merasa makanan Malaysia yang istimewa itu – semangkok besar habis. Perbualan kami sangat santai, cerita-cerita latar belakang serba sedikit untuk mengenali satu sama lain. Cerita tentang kampong halaman di Alor Setar kedah. Kebetulan puan Zaharah telah lama tidak balik bercuti. Dia telah lama tinggal di London – lebih 10 tahun, jadi sudah tentulah kerinduannya amat tinggi. Sudah tentulah sangat nostalgik – mengenangkan Kolej Sultan Abdul Hamid dan Sekolah Convent sekolah lamanya dulu dan Sekolah Asma sekolahku dulu. Banyak yang disebut-sebut.

Sesekali En Wan mencelah, tentang pengalaman waktu kecilnya di Terengganu. Pengalaman yang sungguh bermakna, dan pengalaman yang sungguh berharga, yang hanya tinggal kenangan dalam lipatan sejarah hidupnya. Semuanya sudah tidak dapat dirasai oleh anak-anak zaman sekarang, tapi dapat dinikmati dalam buku tulisannya. Semuanya bermula dengan curahan pengalaman dalam blognya sahaja dan kemudian diterbitkan untuk dinikmati.
Lebih memanaskan petang yang dingin itu, puan Zaharah bercerita tentang susur galur keluarganya. Papa pula bercerita tentang sejarah susur galur keturunan raja-raja negeri Kedah, juga pembesar-pembesarnya. Perbincangan menjadi semakin hangat, lagi sebab Pak Din tauke restoran juga, sudah turut serta. Ini kerana mungkin cerita sejarah, dapat dikaitkankan dengan susur galur keluarga puan Zaharah dan Pak Din. Sungguh mengasyikkan. 

Di Restoran Tok Din London. Bersama Tok Din (kiri), Puan Zaharah dan suami (kanan)
Barang kali sudah terlalu rindu puan zaharah dan Pak Din kepada keluarga dan tanah air. Barangkali nostalgia kepada datuk nenek dan juga kaum keluarga semakin menebal semasa kita berada jauh dari mereka. Sudah begitu lama mereka di perantauan, sudah tentulah sudah semakin rindu kepada kampung halaman dan sanak saudara juga. Kami pun rasa sungguh senang dan gembira. Walau baru pertama kali berjumpa, walau sekejap saja masanya, tapi sungguh terasa seperti sudah lama kenalnya. Tidak terasa masa kami bersama sudah lebih tiga jam. Sungguh mengasyikkan dan masa berlalu dengan cukup pantas. Jadi penglipur lara rupanya papa. Tak sangka cerita sejarah yang disampaikan dapat dihubungkaitkan dengan susur galur keluarga.

Sungguh tidak diduga silaturrahim yang dijalin dalam masa yang sungguh singkat telah banyak mencungkil sejarah silam, juga sejarah keluarga yang amat bermakna. Malam semakin larut dan dingin. Melihatkan jam sudah hampir 10.30 malam, kami mohon untuk pulang. Dari Restoran Tok Din, ke Malaysia Hall, lebih kurang 10 minit berjalan kaki. Kami meredah malam yang dingin dengan suatu perasaan sungguh gembira. Perjalanan ke London kali ini sungguh bermakna. Subhanallah, maha suci Allah Tuhan yang maha mengetahui, yang mengaturkan segalanya, yang menentukan segalanya menjadi kenyataan. Mudah-mudahan ia memberi manafaat walau pun cuma sebagai penglipur lara.

Friday, September 24, 2010

CECIL HOTEL LONDON



Big Ben landmark kota London


Sebelum kami ke London telah kami tetapkan lawatan kali ini bertemakan Jejak Kolonial, Bang Long pun sangat setuju dan teruja mendengar cerita papa. Semuanya bermula dengan satu kisah dalam At Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Kisahnya, Tuanku Sultan Kedah menghadiri Upacara Pertabalan King George V di London, suatu ketika dahulu. The new King and Queen's coronation took place at Westminster Abbey on 22 June 1911, and was celebrated by the Festival of Empire in London (Wikipedia)

Kisah ini dicatatkan dengan jelas dan menjadi suatu sejarah kepada raja-raja negeri Kedah, termasuklah rakyat jelatanya yang mencintai sejarah bangsa - salah seorangnya papa. Papa telah membuat transliterasi buku sejarah Kedah itu untuk dibaca oleh anak bangsa yang tidak berupaya membaca dan meniliti sejarah dalam tulisan jawi. Antara ceritanya dari petikan At Tarikh Salasilah yang menyentuh hati papa untuk menyelaminya ialah:



" Pada hari Sabtu tanggal 20 Mei 1911, duli baginda Sultan Yang Maha Mulia telah berangkat ke Eropah dari Pulau Pinang dengan kapal Gibraltar. Turut serta Tengku Mahmud Setia Usaha Kerajaan, Tengku Bahador aide de Camp, Syed Mohamad Shahabudin Auditor General, Tuan Cavendish Assistant Advisor dan Mohd Hassan Setia Usaha Sulit dan Wan Ahmad."(At-Tarikh Salasilah (ATS) Negeri Kedah ms. 265)

Wesminster Abbey tempat pertabalan King George V, yang dihadiri oleh Sultan Abdul Hamid


"Setelah tiada berapa lama di dalam pelayaran itu maka duli baginda Sultan Yang Maha Mulia pun sampailah di Eropah. Maka ia disambut oleh sepahi-sepahi di kapal. Setelah itu sepahi-sepahi itu mengiringinya hingga sampai ke stesen keretapi. Daripada stesen keretapi itu duli baginda Sultan Yang Maha Mulia menaiki motokar, langsung pergi bersemayan di Hotel Cecil, demikianlah adanya" (ATS ms. 266)

"Adapun pada masa duli baginda yang dipertuan yang maha mulia duduk di London itu, ada harinya duli baginda Sultan Yang Maha Mulia mengadap yang maha mulia lagi maha besar King George. Kadang -kadang duli baginda berjumpa dengan Perdana Menteri Besar (PM - Herbert Asquith). Hatta pada masa hari corronation, duli yang maha mulia lagi maha besa King George, iaitu pada masa ia memakai mahkota, maka duli baginda yang dipertuan yang maha mulia dengan sekaliannya ada hadir di majlis itu. Apakala selesai majlis yang demikian itu duli baginda Sultan Yang Maha Mulia dengan sekaliannya, berangkat balik bersemayam di Hotel Cecil."

"Maka pada 28 Jun 1911 waktu jam pukul 10 pagi, Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia, dengan sekalian yang mengiringinya, mengambil gambar di dalam Hotel Cecil London."

"Adapun pada masa duli baginda Sultan Yang Maha Mulia di dalam London itu banyaklah tempat-tempat yang duli baginda Sultan yang maha mulia berangkat (melawat), dan tiadalah disebutkan di dalam tawarikh ini."

"Hatta maka pada 7 Julai 1911 duli baginda Sultan yang maha mulia dengan sekalian yang mengirinnya berangkat menaiki kereta pergi ke stesen Dover iaitu suatu tempat hendak menyeberang ke tanah Perancis" - (untuk berangkat pulang ke Kedah, ATS ms 266-267)

Menyelami kisah silam itulah maka papa terpanggil untuk menjejaki Cecil Hotel tempat bersejarah yang pernah dikunjungi Sultan negeri Kedah suatu masa dahulu. Masa itu bulanJun 1911, telah diadakan majlis coronation King George V. Pihak pengelola majlis tersebut telah menjemput ramai pemimpin dari tanah jajahan British, untuk turut hadir meraikan dan memeriahserikan lagi, majlis pertabalan itu. Jadi sultan Kedah waktu itu, Sultan Abdul Hamid telah dijemput untuk turut hadir majlis yang sangat besar dan bersejarah tersebut. Baginda bersama beberapa orang pembesar, telah berkenan berangkat hadir, seperti yang tercatat dalam buku At Tarikh Salasilah.

Kami cuba menyelami dan merasai suasana perjalanan dan lawatan duli Sultan ketika itu. Dapatan kajian awal, menunjukkan dalam sekitar tahun 1911, Cecil Hotel merupakan hotel terbesar Eropah di kota London.
  • Designed by architects Perry & Reed in a "Wrenaissance" style, the hotel was the largest in Europe when it opened with more than 800 rooms.
  • The very first headquarters of the newly-formed RAF took up part of the hotel from 1918–19. A plaque commemorating the fact was affixed to the building in March 2008.
  • The Cecil was largely demolished in Autumn 1930, and Shell Mex House was built on the site. The Strand facade of the hotel remains (now occupied by shops and offices, including those of Interbrand), with, at its centre, a grandiose arch leading to Shell Mex House proper.
    Cecil Hotel tempat penginapan DYMM Sultan
    Abdul Hamid dan rombongan
    The Cecil was largely demolished in Autumn 1930, and Shell Mex House was built on the site. The Strand facade of the hotel remains (now occupied by shops and offices, including those of Interbrand), with, at its cen tre, a grandiose arch leading to Shell Mex House proper.
    Berada di Kota London kali ini santat nostalgik, dan sangat bermakna, kerana kami telah berjaya menjejaki tapak lama Hotel Cecil yang bersejaran itu, di No 80 Strand Street, di tepi Sungai Thames. Didapati bangunan lama Cecil Hotel telah dirobohkan, untuk membina sebuah bangunan yang lebih besar dan tinggi dinamakan Shell Mex. Bangunan ini adalah milik syarikat usaha sama British Petroleum dengan syarikat Shell. Walau bagaimanpun ofis mereka telah berpindah dan telah digantikan oleh syarikat terkenal seperti syarikat Penguin Books, dan Dorling-Kindersley - yang menempatkan pejabat dan juga kedai buku terkenal mereka. Walau bagaimanapun bahagian hadapan (facade) hotel itu, masih dikekalkan bentuk asalnya Cecil Hotel yang bersejarah itu.

    Kedudukan Cecil Hotel masih dalam kawasan Wesminster, maka ia tidak jauh dari Big Ben, Wesminster Abbey dan House Of Parliament lebih kurang 1.5 kilometer sahaja - suatu jarak yang sangat tidak terasa jauhnya, apabila kita berjalan santai di dalam kota raya seperti London ini, tambahan pula cuacanya sejuk dan nyaman.

    House of Parliment
    Alangkah syukurnya kami, kerana telah dapat menyelami sejarah silam yang agong yang pernah dilalui oleh baginda sultan. Sudah tentulah kota London waktu itu tidak seperti sekarang tapi kehebatannya sudah pasti ada kaitannya juga dengan kita. Sudah berapa banyak getah dan bijih timah kita yang telah dikaut dibawa balik ke London. Kehebatan Westminster Abbey yang tersergam indah, adalah juga kehebatan kita yang mengeluarkan hasil bumi sehingga dapat memberi manafaat kepada suatu bangsa besar.

    Kami berjalan-jalan di hadapan Wesminster Abbey yang tersergam itu, meninjau-ninjau pintu-pintunya, sudah pastilah jemputan yang ramai memasuki dewan besar melalui pintu-pintu itu. Berdiri di hadapan pintu utama dapat dibayangkan tetamu-tetamu utama (VIP) bergilir-gilir mengikut senarai memasuki pintu yang besar itu, termasuklah baginda sultan Kedah waktu itu. Sungguh nostalgik....


    Dengan penemuan ini banyaklah lagi peristiwa sejarah yang akan papa ungkapkan untuk tatapan anak bangsa yang cintakan sejarah, untuk anak bangsa yang berupaya melihat sejarah yang tersimpan lama dalam lipatan, dan untuk mengembalikan dan mengukuhkanlagi jati diri bangsa kita yang semakin tidak bermaya dan hilang punca.

    Tuesday, August 31, 2010

    BRITISH LIBRARY



    Kami ke Chelsea Hospital mencari meriam yang dipamerkan di kawasan depan hospital itu. Meriam itu meriam alam Melayu, yang dibawa oleh British ke London. Papa sangat berhajat untuk melihatnya, melihat khazanah melayu yang dicuri Inggeris masa zaman penjajahannya di Tanah Melayu. Jauh juga berjalan dari stesen tren untuk sampai ke destinasi, tapi dek kerana minat yang mendalam, yang jauh tidak teras penatnya. Tiba di depan pintu hospital, kami tidak dibenarkan masuk kerana waktu rehat tengah hari. Kami bertanyakan tentang meriam yang dicari kepada pengawal bertugas, tapi dia nampak seolah-olah tidak pernah melihat meriam yang dimaksudkan. Tapi dia mencadangkan supaya kami ke bangunan pejabat tentera tidak jauh dari situ, kerana memang terdapat beberapa pucuk meriam dipamerkan di perkarangan pejabat tentera itu.


    Meriam di hadapan pejabat tentera yang kami jumpai

    Tanpa melengahkan masa kami bergegas ke situ. Memang ada meriam yang dipamerkan tapi bukan meriam yang dicari oleh papa. Kami berpatah balik ke depan hospital, bertanya khabar kalau-kalau ada di mana-mana dalam kawasan hospital itu, yang terdapat meriam hiasan. Nampaknya dia tidak dapat membantu, tapi dia minta kami datang balik jam 2.00 petang untuk meninjau sendiri jika masih boleh ditemui apa yang kami haj ati itu.

    Kami terpaksa bergegas ke stesen tren kerana ada satu temu janji lain di British Liabrary pula. Kami telah dijemput untuk satu pertemuan dengan Mrs Anabelle Gallop dari jam 1.00 th hingga jam 2.00 petang. Peluang keemasan itu memang sangat dinantikan. Papa dah berkali-kali menyatakan, alangkah bestnya kalau dapat berjumpa Mrs Anabelle, Head Of Malay Manuscript Section di British Liabrary.

    Menunggu papa dan along bertanyakan temu janji dengan Mrs Annabelle

    Kami sampai tepat pada masanya, lagi 15 minit ke pukul 1.00 th. Selepas mendapat pas pelawat dari Kaunter pelawat kami menunggu di ruang legar yang cukup luas dan selesa. Tidak lama selespas itu, kami bertiga, telah dijemput oleh Mrs Anabelle sendiri - orangnya kecil, berketurunan Inggeris campuran China dan berkahwin pula dengan warga negara British.

    Duduk sebentar sementara menunggu dijemput Mrs Annabelle

    Mendengar tutur katanya terasa dia yang berada di depan kami, tidak seperti orang Inggeris tulen. Dia lebih mirip orang Asia - tutur katanya, sopan santunnya dan pemikirannya juga. Barangkali dek kerana terlalu banyak berkecimpung dengan pemikiran melayu, maka dia juga sudah sebati dengan budaya melayu. Malah dia juga boleh berbahasa Melayu.

    Bersama Mrs Annabelle selepas perbincangan ringkas

    Banyak yang dibincangkan dalam biliknya yang penuh dengan hasil tulisan Melayu. Macam-macam judul buku Melayu yang tersusun di biliknya itu, sama ada untuk kajian atau untuk bacaan. Memang amat memalukan banyak khazanah kita tersimpan di negara penjajah itu. Banyak khazanah kita dikaji, disebarluas dan dikembangkan di negara yang pernah menjajah kita. Dari dulu kita dijajah, sekarang pun kita masih tidak serius dengan adat resam dan budaya kita sehingga orang lain yang mendokumentasikan, mengkaji dan mengembangkan unsur-unsur budaya kita sendiri. Kita tidak serius mengembangkan budaya sendiri, sehingga generasi muda tidak tahu, dan kurang mengamalkan budaya kita. Sebab itu jati diri kita rapuh. Kita tidak berpijak di bumi nyata. Kita tidak melihat kepunyaan kita sebagai hebat. Kita kurang bangga dengan apa yang kita ada. Sebab itu kita tidak menyebarkan secara serius. Sebab itu kita tidak abadikan dengan serius.

    Selepas sejam kami pohon mengundur diri. Kami dihantar semula ke ruang legar kerana sekuriti yang ketat dan memang kami tidak tahu jalan keluar pun. Memang satu sejarah bertemu pencinta budaya Melayu di alam bukan Melayu

    BRITISH MUSEUM



    Sudah lama berhajat mengunjungi British Museum, sejak mengunjungi London dulu, tapi oleh sebab tidak berkesempatan maka keinginan hanya tinggal kenangan. Dari stesen tren kami berjalan melalui park, deretan kedai dan juga satu kawasan perniagaan Itali yang klasik.


    Di hadapan bangunan British Museum Yang tersergam

    Setibanya di depan Museum yang tersegam, orang sudah ramai - pelancong dari dalam dan luar dan juga budak-budak sekolah, semuanya berkunjung ke situ dengan harapan dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman yang amat bermakna. Kami ambil kesempatan mengenali British Museum sepintas lalu dengan mendapatkan maklumat dari brosur yang disediakan percuma untuk pengunjung. Ada juga buku ringkas dijual untuk memberi penjelasan tentang koleksi dan tema penting pameran yang terdapat di museun itu.


    Bahan pameran mata wang yang pelbagai mengikut masa dan tema

    Berpandukan maklumat dari brosure dan buku, kami buat keputusan untuk ke tingkat tiga, melihat pameran tentang mata wang. Memang ruangan inilah yang menjadi idaman papa sejak dulu lagi, selalu disebut-sebut, barangkali hingga terbawa ke dalam mimpi. Hari ini sampailah hajatnya. Hari ini hari bersejarah, impian sudah menjadi kenyataan. Papa sungguh asyik, sungguh teruja. Boleh dikatakan setiap angle ruang pameran dirakamkan dengan gambar, satu persatu, sungguh teliti - barangkali tiada yang tercicir. Mama pun bantu papa snap tempat-tempat yang perlu. Along pula sibuk merakam vidoe - papalah yang memberi penerangan tentang pameran di situ, yang ada kaitan dengan numismatik dan sejarah.

    Sebahagian daripada mata wang yang dipamerkan

    Lama juga kami di ruangan numismetic. Bila sudah berpuas hati kami berpindah ke ruang Asia Tenggara dan Dunia Islam - tapi tak banyak yang dipamerkan sesuai dengan kehendak papa. Dah letih berjalan, kami ke kedai souvenir - membelek-belek buku - banyak yang papa berkenan, tapi mengenangkan susah nak bawa balik kerana kami akan ke Amsterdam pula, maka papa belilah dua tiga buah buku yang paling perlu saja. Papa sungguh tak puas hati, tapi dia terpaksa merelakan. Berkali-kali dia mengulang, 'kita silap ni, kita patut ke Amsterdam dulu pas tu baru ke London, baru boleh bawa balik banyak buku sikit.'

    Lawatan kali ini sangat berbaloi. Dah puas berjalan, kami buat keputusan balik makan tengah hari di Malaysian Hall kerana boleh makan nasi yang sedap-sedap lauknya. Tapi tak bolehlah convert harga nasi dengan duit pound ke RM, tentu rasa tersangatlah mahal nasi yang dimakan.