Wednesday, October 10, 2018

JEJAK KESULTANAN KEDAH DI KOTA BUKIT MERIAM DAN KOTA SG EMAS



TARIKH:           13 JULAI 2018
MASA:              8.00 PAGI  -  6.30  PETANG
PESERTA:         25 ORANG  –   14 BUAH KERETA

BIL
NAMA
AGENSI
1
DATO’ DR WAN SHAMSUDDIN MOHD YUSUF
PSMCK
2
DATO’ SERAJA WANGSA DATO’ HAJI SYED AZIZAN AL-EDRUS
PSMCK
3
DATO’ HAJI SHAARANI HAJI HASSAN
PSMCK
4
DR MOHD KASRI  SAIDON
PSMCK
5
SR DR ISMAIL MAAROF
PSMCK
6
DR HAJI IBRAHIM HAJI BAKAR
PSMCK
7
HAJAH RAHINUN HAJI MOHD NOOR
PSMCK
8
LT KOL MOKHTAR HAJI MANSOR
PSMCK
9
DR NOR ZAINI ZAINOL ABIDIN
PSMCK
10
SYAMSUL ANUAR ISMAIL
PSMCK
11
EN ROSIDI OMAR
PSMCK
12
EN ZAMRI ABD WAHAB
PSMCK
13
EN JAMIL HJ RAMLI
PSMCK
14
HAJAH SOPIAH RAMLI
PSMCK
15
HAFIZA HALIM
PSMCK
16
DATO OTHMAN L SAAD
PSMCK
17
WAN MOHD ALI WAN LONG
PSMCK
18
ZULKHIBERI MAT
MUZIUM
19
MOH HALINI MUSTAFA
MUZIUM
20
MOHD AKIFF AZHAR
MUZIUM
21
MOHD IRFAN ISMAIL
MUZIUM
22
ZAHIR SAMSUDIN
J. WARISAN NEG ZON KEDAH
23
MD FAZLI SHAHINOL BAHAR
J. WARISAN NEG ZON KEDAH
24
NURUL HIDAYAH ABD HAMID
PEMBERITA SINAR
25
SHANIKA ABD LATIB
PEMBERITA BERNAMA
25
NORAINI
JURU FOTO BERNAMA



ATURCARA:
MASA
AKTIVITI
8.00 PAGI
 BERKUMPUL DI PERKARANGAN PEJABAT PSMCK & SARAPAN PAGI
8.45 PAGI
 TAKLIMAT PROGRAM
9.00 PAGI
 BERTOLAK KE SUNGAI PETANI
10.30 PAGI
 LAWATAN KE TAPAK TINGGALAN NISAN BATU ACHEH DAN KESAN CANDI DI MASJID PERMATANG PASIR
11.30 PAGI
 LAWATAN KE TAPAK PERKUBURAN DI KAMPUNG BARU KOTA KUALA MUDA DAN KESAN TINGGALANKOTA SUNGAI EMAS
12.30 TENGAHARI
LAWATAN KE TAPAK TINGGALAN NISAN BATU ACEH DI TANAH PERKUBURAN KAMPUNG SUNGAI EMAS
1.00  TENGAHARI
BERTOLAK KE HOMESTAY IMPIAN PANTAI MERDEKA – MAKAN TENGAHARI – REHAT – SOLAT JUMAAT
3.00 PETANG
LAWATAN KE TAPAK KESAN TINGGALAN KOTA BUKIT MERIAM DAN TELAGA TINGGALAN
4.00 PETANG
LAWATAN KE TAPAK TINGGALAN NISAN PURBA KOTA BUKIT MERIAM DI MASJID KAMPUNG SINTUK BUGIS
SOLAT ASAR
    FORUM SEJARAH KOTA BUKIT MERIAM DAN KOTA SUNGAI EMAS
    MODERATOR:
        DR MOHD KASRI SAIDON
   AHLI PANEL:
1.      SHEKH MOHAMAD ZAKI
2.      SYAMSUL ANUAR
3.      DR IBRAHIM BAKAR
MINUM PETANG

6.30 PETANG
BERSURAI


1.      LAWATAN MASJID PERMATANG PASIR

Selepas semua peserta seramai 25 orang berkumpul, Tuan Syamsul mengadakan sesi taklimat di Pejabat PSMCK.  Semua peserta bertolak pada jam 9.15 pagi selepas minum pagi selesai. Seperti dalam jadual ahli rombongan tiba di Masjid Permatang Pasir pada jam 10.30 pagi disambut oleh seorang petugas, Encik Rasidi AJK PSMCK, dan beberapa orang kampung.  En Rasidi memberikan taklimat tentang kubur-kubur yang telah dipindahkan ke situ. Perpindahan itu berlaku apabila  kerja-kerja projek  pembinaan tebatan banjir dibuat di kawasan Kota Kuala Muda. Banyak juga kubur yang dibawa tulang belulangnya, bersama batu-batu nesannya berpindah ke kawasan kubur di perkarangan masjid Permatang Pasir itu.  Yang menjadi persolan di sini ialah ada sepasang  batu nesan setinggi paras bahu dan sapasang batu nesan  Aceh yang dipindahkan ke situ.  Batu nesan ini menimbulkan tanda tanya,  kerana selalunya batu nesan jenis ini hanya digunakan kepada orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi masyarakat. Barangkali batu nesan ini milik pemimpin masyarakat atau ahli agama atau boleh jadi juga pembesar. Kajian seterusnya akan dibuat lagi oleh team kaji selidik PSMCK untuk mengenalpasti  batu nesan yang menimbulkan persoalan itu.
Selepas lawatan ke kubur-kubur yang dipindahkan, kami dibawa ke kawasan bersebelahan kubur pula. Di situ terdapat satu kawasan  yang memelihara batu-batu yang kelihatan tersusun seperti tapak binaan sebuah bangunan, iaitu dipercayai tapak bangunan purba atau candi. Malangnya kawasan yang telah berpagar itu tidak terjaga, penuh dengan semak samun sehingga sukar untuk orang berkunjung untuk melihat tapak bangunan purba itu. Dengan keadaan itu sukarlah untuk orang membuat kajian atau datan melawat sebagai satu bahan sejarah tinggalan masyarakat purba zaman dahulu. PSMCK telah membuat keputusan untuk membincangkan tentang tanggung jawab untuk menjaga dan memelihara tempat penting itu.

2.      LAWATAN KE TAPAK PERKUBURAN KAMPUNG BARU
Kemudian,  semua peserta kajian bergerak ke Kampung Baru Kota Kuala Muda. Pada mulanya difahamkan kami hanya akan lalu sambil melihat sahaja kawasan itu, yang kini telah menjadi kawasan tebatan banjir.  Dahulunya kawasan itu adalah kawasan penempatan,  yang sekarang ini semua penduduk kampong itu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat daripada gejala banjir dari Sungai Muda yang luas itu. Selepas melihat lanskap Kampung dan mendengar taklimat daripada Shekh Mohamad Zaki, tentang perpindahan kubur dari situ kami bergerak pula ke destinasi seterusnya, Tanah Perkuburan Kampung Sungai Emas.

3.      TANAH PERKUBURAN KAMPUNG SUNGAI EMAS
     Tepat jam Pukul 12.30 tengah hari kami selamat tiba di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Emas. Kawasannya luas dan cantik rapi jagaanya dengan rumputnya yang menghijau berkilauan disambar teriknya matahari. Tanpa menghiraukan panas membahang, ahli rombongan meneliti batu-batu nesan yang ada di situ. Tumpuan kami berfokus kepada  2 batu nisan Aceh, kerana batu Aceh ini besar konotasinya kepada sejarah negeri Kedah. Barangkali ada kaitan dengan dua orang Sultan yang memerintah di Sungai Emas yang sezaman dengan zaman kegemilangan Aceh. Walau bagaimanapun kajian lanjut akan dibuat lagi untuk dapat mengesan milik siapakah batu-batu nisan tersebut. Di samping itu terdapat 2 kuburan lain yang batu nisannya tinggi setinggi dada. Ini pun suatu perkara yang memerlukan kajian teliti lagi oleh team kajiselidik. Di salah satu batu nisan itu tertulis Tengku Ibrahim Ibni Tengku Bisnu.  Ini pun menimbulkan persoalan juga kerana tulisan yang tertera  Tengku Ibrahin ini, bukanlah anakanda Tengku Abdullah. Barangkali satu ekspedisi lagi perlu dibuat untuk pencarian maklumat  dan pengesahan fakta.
Satu perkara yang menarik di sini, tedapat lapisan susunan batu-bata sedalam 4 kaki ke bawah, semasa proses menggali kubur dibuat. Ini menimbulkan persoalan tentang kemungkinan adanya binaan  dan ketamadunan sekitar 900 tahun dahulu. Semua batu-bata yang dijumpai dihimpun di tepi perdu-perdu pokok kelapa. Di samping batu bata terdapat juga batu jenis laterite yang dijumpai dan dihimpunkan di beberapa tempat di kawasan perkuburan itu. PSMCK mencadangkan akan membina bumbung untuk 2 kuburan batu nisan Aceh dan barangkali juga dua  batu nisan besar yang ada di situ. Dan untuk batu-bata pula dicadangkan supaya dibuat susunan di tempa-tempat yang sesuai supaya dapat dilihat bagi tujuan penyelidikan dan pengkajian.

4.      MAKAN TENGAH HARI/ SOLAT
Kami berkonvoi 14 biji kereta melalui jalan mini tar menuju ke Homestay  Impian yang terletak di tepi pantai Pantai Merdeka. Kami disambut dengan hidangan nasi putih berlauk kari ikan temunung, ikan bakar, sambal sotong segar, sambal belacan, air asam  dan pelbagai jenis ulam-ulaman.  Minuman sejuk air lemon asam boi, menyejukkan tekak kami, menghilangkan dahaga sepanjang perjalanan dari tempat-tempat kajian di tengah  terik panasnya matahari. Alangkah nikmatnya rezeki Tuhan.   Minuman yang enak dingin, makanan yang sedap masih panas-panas sungguh merupakan suatu nikmat Allah yang tak terhinggakan, Alhamdulillah syukur atas nikmatnya. Ditambah lagi dengan tiupan angin yang menyamankan, memang kami menikmati nasi tengah hari dengan sungguh berselera.
Kami memberi ruang kepada peserta lelaki untuk makan dahulu, kerana mereka ingin cepat ke masjid menunaikan solat Jumaat, kemudian barulah diikut peserta wanita pula. Selesai makan peserta wanita solat dan rehat sekejap di Homestay, dan selepas itu bersiap sedia untuk acara seterusnya pula.

5.      TAPAK KESAN TINGGALAN BUKIT MERIAM
Jam 3 petang kami meneruskan ekspedisi ke suatu tapak tinggalan Kota Bukit Meriam. Team kami berjalan masuk ke lokasi lebih kurang 200 meter ikut denai yang telah ditebas untuk kami meninjau ke situ. Kami dapat lihat kesan susunan batu-batu di kaki bukit  itu. Barangkali itu tapak bagi apa-apa bangunan purba atau sebagai benteng pertahanan daripada musuh, masih belum dapat dipastikan. Kajian akan dilakukan lagi supaya dapat membuat tafsiran yang lebih menepati fakta sejarah silam di Kawasan Bukit Merian itu.
Kemudian kami bergerak ke satu lokasi lagi untuk melihat sebuah telaga purba yang kononnya sudah berada di situ sejak sekian lama. Menurut seorang  informan di situ, sejak beliau masih kanak-kanak sehinggalah kini,  telaga itu sudah lama wujud. Barangkali  telaga itu adalah sumber air  bagi masyarakat purba zaman dahulu. Jadi kemungkinan kawasan itu merupakan kawasan penempatan masyarakat suatu masa dahulu.
Kemudiannya kami bergerak pula ke tapak tinggalan nisan purba. Kawasan itu milik persendirian  Bekas Imam Tua Mesjid Kg Sintuk Bugis. Menurutnya banyak nisan terdapat di situ dan kesemuanya telah dipindahkan oleh Jabatan Agama Islam diketuai Tuan Sheikh Zaki, pada tahun 2017, ke tanah perkuburan di Mesjid Kampung Sintuk Bugis. Salah satu daripada nisan itu bersaiz besar, diperbuat daripada batu kawi, dan bentuknya unik. Jadi andaian awal team penyelidik barangkali nisan itu milik Sultan Muazzam Shah, sultan negeri kedah yang bersemayan di Kota Bukit meriam sekitar tahun 1136.

6.      FORUM SEJARAH KOTA BUKIT MERIAM DAN KOTA SUNGAI EMAS
Akhirnya kami ke Masjid Kg Sintuk Bugis untuk melihat nisan yang unik dipindahkan ke situ dan mengadakan forum SEJARAH KOTA BUKIT MERIAM DAN KOTA SUNGAI EMAS. Selepas solat asar  bersama penduduk tempatan, Forum dijalankan.  Dr Mohd Kasri Saidin bertindak sebagai Moderator, dan Ahli-ahli panelnya ialah Sptdn Shamsul Anuar, Dr Ibrahim Bakar Langkawi dan Tuan Sheikh Zaki. Tanpa diduga kehadiran forum itu sungguh luar biasa, sehingga tidak cukup kerusi. Hadirin wanita terpaksa duduk dilantai untuk mendengar forum itu.

MODERATOR: Dr Kasri menyatakan kedatangan PSMCK adalah untuk tinjauan awal tentang makam yang dijumpai. Kajian lanjut akan dilaksanakan untuk mengumpul dan mendapatkan fakta-fakta. Daripada fakta yang diperolehi barulah akan dibuat apa-apa  hipotesis tentang jumpaan dengan merujuk kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

PANEL 1: Tuan Sheikh Zaki menerangkan bahawa pemindahan kubur ini banyak dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah. Selalunya pemindahan dibuat atas beberapa sebab seperti pelaksanaan pembangunan, permintaan keluarga, permintaan tuan tanah dan sebagainya lagi. Dalam hal nisan yang ditemui dan dipindahkan ke Kg Sintuk Bugis ia dibuat dalam tahun2017 lagi, dan ekpedisi itu diketuai oleh Tuan Sheikh sendiri.

PANEL 2: Sptdn Syamsul Anuar menerangkan tentang jenis-jenis batu nisan meniti zaman. Pengetahuan ini penting supaya penduduk tempatan mempunyai maklumat apabila mereka menemui sebarang temuan batu nisan di kawasan sekitar kampung mereka. Dengan pengetahuan asas itu mereka dapat membantu PSMCK untuk dapat menyalurkan maklumat-maklumat  penting yang akan membantu memelihara unsur-unsur sejarah yang ditemuI.

PANEL 3: Dr Ibrahim Bakar Langkawi menyentuh tentang lanskap Bukit Meriam dan Sungai Emas yang merupakan kota pemerintahan iaitu bersemayamnya 3 orang Sultan Kedah, seperti yang tercatat dalam Kitab Attarikh Salasilah Negeri Kedah Darulaman. Sebelum ini tidak pernah ditemui dan tidak lagi dapat dikesan Langgar Bukit Meriam dan makam ketiga-tiga orang Sultan. Makam yang diisytiharkan di Kota Kuala Muda sebagai makam Sultan Muzafar Shah, masih lagi dalam perbincangan kerana batu nisannya berbentuk batu Aceh yang kurang menepati cici-ciri batu nisan zamannya, kerana batu Aceh yang lebih moden, tidak melambangkan zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah yang memerintah sekitar tahun 1137 M.  Oleh kerana itu barangkali kawasan kuburan yang dijumpai barangkali ialah kawasan Langgar Bukit Meriam, dan batu nisan yang dijumpai itu barangkali makam Sultan Muzafar Shah. Walau bagaimanapun hipotesis ini masih perlu diteliti fakta dan kebenarannya oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang iaitu bidang sejarah, arkeologi dan saintifik.

7.      JAMUAN DAN BERSURAI
Selesai forum, juru acara mengucapkan terima kasih kepada team kaji selidik PSMCK kerana sudi datang ke Masjid Kg Sintuk Bugis dan memberikan maklumat tentang sejarah batu nisan yang tidak pernah mereka tahu sebelum itu, kerana kurang maklumat dan ilmu tentang sejarah. Mereka berharap jika sesuatu maklumat telah dikenal pasti, dan batu nisan itu milik orang penting, mereka berharap PSMCK akan membantu mereka dalam membuat  pemuliharaan dan menjaganya sebagai legasi sejarah yang besar bagi negeri Kedah. Buat masa ini mereka akan menjaga batu nisan itu dengan baik supaya ia akan menjadi bahan sejarah untuk peningkatan jati diri dan keunikan sejaran negeri Kedah.
Selepas tamat forum, kami disajikan minum petang oleh Jawatan Kuasa Kampung dan JK Masjid. Menunya bihun goreng, kuetew goreng, roti jala kuah durian, pisang bunga dan minuman sirap dan air mineral. Pihak PSMCK amat berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh penduduk Kampung itu. Antara JK Kampung dan penduduk kampong yang terlibat telah diberikan sijil penghargaan seperti berikut:

BIL
NAMA
BIL
NAMA
1
ABD RAZAK BIN AHMAD
14
ABD HALIM BIN REJAB
2
MOKHTAR BIN JAMALUDDIN
15
MOHD SOBRI BIN SHARIF
3
NORIZAN BIN HANAFI
16
BAZILI BIN MAHMUD
4
BAKRI BIN SHAARI
17
SABRI BIN KHALID
5
AHMAD BIN ABD RAHMAN
18
MOHD NAZERI ARIFFIN
6
ROSLI BIN YAHYA
19
MOHD FAUZI BIN ABU BAKAR
7
ZAINOL BIN HASHIM
20
ZULSEKRI BIN HAMZAH
8
BAHARI BIN HAMZAH
21
MOHD FARHAN BIN MOHAMAD
9
ISHAK BIN DESA
22
MOHD NOOR BIN NASEH
10
HAJI RAMLI BIN MAT
23
MURZI BIN RAMLI
11
SALLEH BIN ABDULLAH
24
KU ABDUL SAMAD
12
MOHD KHAIRI BIN YAHYA
25
JALALUDDIN BIN MD RADZI
13
BASHARUDDIN BIN BAHRI
26
PUAN CIK SIAH BINTI BAKAR

Selepas bergambar kenangan kami bersurai jam 7.20 malam.

DISEDIAKAN OEH: HAJAH RAHINUN MOHD NOOR
 

Thursday, September 20, 2018

PERSEDIAAN KAHWIN


Dua tahun bertunang bukan satu masa yang singkat. Tapi dilalui dengan sabar walaupun terasa amat lama. Dua tahun itu memang telah ditakdirkan Allah yang maha pengasih lagi maha mengetahui adanya. Masa dua tahun sebenarnya adalah masa untuk mama dan papa membuat persediaan mana yang perlu. Kami dari keluarga biasa yang sedar akan kekurangan keluarga masing-masing. Keluarga papa orang senang juga kerana banyak tanah, dusun dan bendang. Tapi semua itu sukar dicairkan untuk mendapatkan wang lebihan, buat berbelanja apa jua. Jadi makan minum keluarga papa tidaklah susah, cuma tidak biasa sangat berbelanja berbagai-bagai, pada masa itu. Oleh itu, bila sudah buat keputusan untuk berkahwin, sibuklah papa membuat semua persediaan kahwin sendiri-sendiri; dari membesarkan rumah,  kelengkapan bilik pengantin, dekorasi rumah, wang belanja, barangan hantaran, sewa baju bersanding, majlis nikah di Tunjang sehinggalah juga majlis sambut menantu di Langkawi.

Begitulah juga di sebelah mama. Keluarga mama pula kurang berharta, cuma ada rumah dan tanah tempat tinggal saja. Tapi oleh kerana tok wan berniaga maka untuk berbelanja itu tidaklah begitu sukar. Bila mama sudah dewasa tok wan bawa bas sekolah pula, tapi ibarat kais pagi makan pagi jugalah. Jadi bila sudah bekerja, sangat terpanggilah untuk bantu orang tua siapkan rumah, hiaskan rumah, sedia bilik pengantin dan buat segala hal untuk majlis perkahwinan. Oleh itu masa yang berlalu dua tahun itu sebenarnya adalah kerana kami berdua sibuk dengan menyiapkan segala perkara untuk memasuki gerbang perkahwinan, yang semuanya dibuat sendiri oleh kami berdua.

Bila tiba tarikh nikah sudah ditetapkan, kami masih belum boleh menempah kad jemputan kenduri awal-awal, kerana cuti papa yang masih 'houseman' tidak diluluskan lagi. Menurut papa dalam unit mereka (Unit Bius),  cuma ada tiga orang saja 'houseman', jadi kalau seorang bercuti maka terpaksalah dua orang lagi bergilir-gilir bertugas berselang hari. Akhirnya cuti diluluskan dan selamatlah mama diijabkabulkan pada 3 Disember 1982 selepas isyak, selepas semua jemputan sudah selesai makan kenduri   pada siangnya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kenduri kahwin dulu amat 'simple' dan sungguh sederhana adanya. 




Saturday, July 7, 2018

DAY 11-12 : 22-23 APRIL AHAD-ISNIN : ZEGREB (CROATIA) - LJUBLJANA (SLOVENIA) - ISTANBUL - KUALA LUMPUR


DAY 11-12: 22-23APRIL 2018: AHAD-ISNIN  
ZEGREB (CROATIA) - LJUBLJANA (SLOVENIA) -  ISTANBUL - KUALA LUMPUR


Seperti biasa pagi itu kami mulakan dengan solat subuh berjemaah di Loby Hotel Aristos, di Wing sebelah kiri. Sungguh terharu dirasakan; pejam celik kami sudah tiba di
penghujungnya, hari yang terakhir berada di negeri Balkan ini. Sekejap lagi selepas sarapan, kami akan bertolak untuk melawat ke negara terakhir dalam rangka kami, negara Slovenia. Kami akan ke ibu negerinya Ljubljana, untuk lawatan singkat sebelum ke Lapangan terbang, untuk berlepas pulang ke tanah air yang kami cintai. Walau bagaimanapun setiap jemaah masih tetap nampak bersemangat dan ceria
walaupun sudah sebelas hari dalam perjalanan, naik bas turun bas, menikmati pemandangan, makan pagi, makan tengah hari dan makan malam pula. Setiap hari begitulah rutinnya, tapi kami semua sungguh rasa terhibur, rasa sungguh gembira, dan terasa bagai sudah kenal lama dan bagaikan saudara adanya. Begitulah kurniaan Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, meniupkan rasa mahabah antara sesama manusia, hamba Allah di muka bumi ini.

Selepas sarapan pagi itu, semua bagasi disusun rapi di dalam bas oleh Mr Berto, dia dibantu oleh jemaah lelaki yang baik hati. Kemudian kami mulakan perjalanan yang akam mengambil masa lebih kurang 2 setengah jam termasuk urusan imegresen di  Sempadan Croatia dan Slovenia. Memang betul lebih kurang jam 11.30 pagi kami tiba di bandar Ljubljana. Oleh kerana bas tidak boleh masuk ke Ljubljana Old Town, untuk keselesaan dan kemudahan pelancong, maka kami berjalan kaki menuju ke tengah bandar. Lawatan pertama ke pasar pagi di bandar itu yang  masih ada, tapi sudah banyak gerai yang ditutup menjelang tengah hari, kerana ia bermula sejak awal pagi lagi. Ada beberapa buah gerai buah-buahan, dapatlah kami membeli buah-buahan buat kudapan sambil dalam perjalanan. Ada juga gerai cenderamata dan gerai baju-baju. Jadi kami pun ambil peluang untuk membeli belah lagi.
Kami berjalan hingga ke Preseren Square, iaitu suatu dataran di tengah bandar tempat pelancong melihat-lihat seni bangunan yang tersergam indah dan cantik-cantik belaka. Antaranya kelihatan bangunan gereja St Nicholas dan bangunan-bangunan lain seperti Muzeum dan bangunan pentadbiran. Di tengah-tengah dataran terdapat tempat untuk duduk-duduk, dan ramailah orang duduk di situ menghirup udara segar sambil menikmati kenyamanan udara, keceriaan suasana dan keindahan pemandangannya. Ramai pengunjung berjalan-jalan dan ramai juga yang menunggang basikal, terutamanya remaja dan kanak-kanak.  

Kelihatan ramai ibu bapa naik basikal bersiar-siar bersama anak-anak kecil dan besar, di sekitar dataran itu sebagai aktiviti keluarga. Alangkah bahagianya melihat keharmonian keluarga yang terpamer di hari minggu itu.  
Di suatu sudut lain kelihatan satu kumpulan pemuzik bermain alat musik dan menyanyi dengan riangnya menghiburkan orang yang bersiar-siar dan lalu lalang berjalan di situ. Ramai juga pengunjung yang melintasi dataran itu, yang turut menyanyi dan ada yang menari-nari mengikut rentak lagu yang sangat segar. Dan sudah tentulah ada yang bermurah hati pula menyumbangkan wang sebagai menghargai usaha mereka menghiburkan, sebagai satu mata pencarian yang bersungguh-sungguh. Kami pun turut sama menikmati nyanyian yang didendangkan, merdu suaranya dan menghiburkan juga sambil berjalan-jalan menuju ke restoran.


Kami terpaksa berjalan selama sejam perjalanan, ke satu-satunya restoran halal di Ljubljana, oleh kerana bas tidak boleh masuk ke bandar itu, untuk menjaga keharmonian bandar daripada kesesakan lalu lintas. Kami menyusuri Sungai Ljubjanica yang bersih dan cantik dijaga untuk tujuan pelancongan. Di kiri kanan sungai ada Coffee House, ada restoran-restoran dan ada kerusi-kerusi dan tempat-tempat orang boleh duduk-duduk menikmati pemandangan indah sungai Lijubjanica itu, minum kopi dan berjemur juga. Sesekali kelihatan bot-bot membawa penumpang menelusuri sungai yang sungguh bersih dan cantik, dan merasai pengalaman menaiki bot yang unik.


Dari Old Town ke Restoran Saraj, kami melintasi salah satu daripada tiga jambatan terkenal di situ yang dikenali sebagai Triple Bridge. Ia menjadi daya tarikan di bandar Ljubljana. Bukan itu sahaja, daya tarikan lain ialah patung-patung watak makhluk sihir yang dibina gah di sepanjang sungai dan jalan-jalan di situ. Kemudian kami melalui jalan-jalan yang sempit di antara bangunan-bangunan pula. Kami
dapat lihat perbezaan sosio-ekonomi penduduk, norma masyarakatnya dan budaya mereka di situ dengan jelas melalui bangunan-bangunan dan rumah-rumah kediaman mereka. Selesai makan tengah hari kami diberi masa sehingga jam 4.00 untuk aktiviti bebas. Jadi ada yang minum-minum kopi, ada yang terus shopping dan ada yang berehat-rehat sementara menghabiskan masa yang terluang.

Sampai masa yang dijanjikan Mr Berto menjemput kami menaiki bas untuk ke Lapangan Terbang Ljubljana. Sedih juga akan berangkat pulang ke tanah air, kerana akan berpisah dengan sahabat-sahabat yang sudah  lebih 10 hari bersama-sama dalam pengembaraan ini. Namun sudah terbanyang anak-anak dan kaum keluarga yang sudah lama ditinggalkan, hati terasa gembira pun ada. Entah bila pulalah kami dapat berpeluang bersama-sama lagi dengan jemaah kumpulan kami ini. Sekembalinya kami ke rumah sudah pastilah kami sibuk dengan urusan masing-masing, sukarlah untuk dapat bersama-sama walaupun kami tinggal tidak begitu jauh. 

Dalam perjalanan itu, masing-masing jemaah diam melayan fikiran masing-masing, sambil berehat dan menikmati pemandangan yang mempesonakan, yang bakal kami tinggalkan beberapa jam saja lagi. Di kiri kanan jalan kawasan bukit bukau kelihatannya masih bersalji lagi. Menurut Liere banjaran itu merupakan pergunungan yang memisahkan negara-negara Balkan dengan Itali. Ia kelihatan putih dan gebu lagi mempesonakan.  Sungguh amat besar ciptaan Yang Maha Kuasa supaya dapat dinikmati keindahan sebagai tanda kebesaranMu Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim. Dengan rasa syukur semua kami mengambil peluang merakamkan potret pergunungan salji itu sebagai kenang-kengangan untuk dibawa pulang yang dapat diabadikan tentang suasana di Slovenia Balkan.
Setibanya di airport, selepas selesai urusan bagasi kami solat jamak asar zohor di suatu ruang legar  secara bergilir-gilir, alhamdulillah. Kemudiannya kami mula beratur untuk urusan check-in. Subhanallah, alhamdulillah, semua kami telah selamat mendapat boarding-pass dari Ljubjana-Istanbul dan Istanbul-Kuala Lumpur. Dengan itu semua bagasi tiada sebarang masalah lagi, selamat dibawa ke pesawat, untuk nanti kami mengambilnya di Kuala Lumpur. Jadi perjalanan kami ke Istanbul, dan perlepasan di situ diharapkan akan lebih mudah, cepat dan lancar, kerana kami tidak perlu memikirkan soal bagasi lagi, insya Allah. 

Masa yang masih berbaki sementara menunggu perlepasan, kami sempat shopping buah tangan untuk anak cucu, ramai yang beli serba sedikit choklat di kedai bebas cukai itu. Kami dipesan oleh Kak Zaharah, supaya solat jamak maghrib Isyak dalam pesawat kerana di Istanbul kami akan kesuntukan masa dan belum tentu sempat solat. Tambahan pula pesawat ke Istanbul petang itu lewat berlepas lebih kurang setengah jam jugalah.  Hanya pada jam 8.30 malam kami selamat terbang, dan tiba di Istanbul hampir jam 12.00 tengah malam waktu Istanbul, alhamdulillah. Tapi kami terpaksa bergegas ke pintu berlepas untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 1.20 pagi 23 April itu.

DAY 12: 23 APRIL: ISNIN 
ISTANBUL - KUALA LUMPUR

Sebaik turun pesawat Turkish Airlines di Istanbul, semua jemaah kami bergegas mencari pintu pelepasan ke Kuala Lumpur dengan tergesa-gesa kerana kami sudah kesuntukan masa. Kak Zaharah berpesan tiada siapa pun boleh singgah di washroom, ataupun di kedai, supaya semua kami akan sampai ke dewan perlepasan sejam sebelum penerbangan pada jam 1.20 pagi. Alhamdulillah kami berada dalam barisan untuk masuk ke dewan perlepasan dalam masanya, syukur ya Allah, yang mengaturkan semunya berjalan lancar, walaupun ada sedikit masalah kelewatan semasa di Ljubljana. Bila semua kami berada di situ barulah kami dapat qadha hajat dan menarik nafas lega sebab semua sudah berada di dewan perlepasan sebelum pintu ditutup. Semua kami dapat duduk dengan tenang sambil menunggu pesawat di pagi hari itu untuk pulang ke tanah air tercinta. Ya Allah selamatkan kami sepanjang penerbangan nanti, sehingga sampai ke pangkuan keluarga kami, ya Rahman ya Rahiim ya Robbalaalamiin.

Kami masuk ke pesawat, dengan iringan doa Bismillaa hirrohmaa nirrahiim. Perjalanan yang lama ini hampir 8 jam berada di dalam pesawat. Ya Allah perliharalah kami, hanya pada Mu kami kami berserah dan pada Mu pula tempat kami memohon. Kasihanilah kami ya Allah dan  jauhi kami daripada mara bahaya, ya Arhamarroohimiin. 

Walau bagaimanapun masa yang begitu lama tidak terasa kerana, lepas makan kami berehat dan dapat tidur dengan nyenyaknya. Kami solat subuh di pesawat, kemudian makan pagi dan makan tengahari pula. tepat jam 5.00 petang waktu Malaysia, kami mendarat dengan selamatnya. Urusan bagasi dan imegresen mudah dan lancar, inilah keistimewaan Malaysia negaraku yang tercinta. Syukur alhamdulillah. Sebelum keluar dan selepas mengambail bagasi kami solat jamak asar zohor dahulu. Kami semua bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua sahabat jemaah yang telah bersama-sama selama 12 hari di perantauan, sama-sama menikmati percutian di negara Balkan, bumi Allah yang cantik lagi nyaman. Ya Allah semoga silaturrahmi ini dapat diteruskan lagi, kerana mu ya Allah. Semoga kami saling ingat mengingati dan dapat terus berjumpa lagi di lain masa di lain ketika insya Allah. Aamiin





Sunday, July 1, 2018

DAY 10: 21 APRIL 2018: SABTU: PLETVICE - ZEGREB CROATIA


DAY 10: 21 APRIL 2018: SABTU:  
BIHAC (BOSNIA)  -   PLETVICE    -   ZEGREB (CROATIA)

Bandar Zegreb musim bunga
Bersama polis khas bandar Zegreb
Menikmati suasana petang yang nyaman di Dataran Bandar
Alhamdulillah, malam terakhir di Bosnia kami dapat berehat secukupnya, dan bangun dengan segar pula. Tambah segar lagi apabila kami dapat berjemaah solat subuh di Bilik Mesyuarat Hotel Emporium di pagi yang dingin itu. Papa sebagai imam membaca Surah Al Qiamah, mendayu-dayu suara papa di pagi yang bening itu. Terima kasih Kak Zaharah yang mengaturkannya berjemaah setiap pagi dengan izin Allah, Alhamdulillah. Sarapan di hotel pagi itu seawal jam 6.30, seperti biasa kami makan roti, bijirin, buah-buahan dan minum kopi, teh, dan jus buah-buahan. Kemudian jam 7.00 Mr Berto sudah sedia memulakan perjalanan ke Plitvice suatu kawasan peranginan air terjun yang diiktiraf sebagai warisan oleh UNESCO. Lebih kurang jam 8.30 pagi kami melepasi sempadan dan meninggalkan negara Bosnia memasuki negara Croatia. Entah bila pulalah kami  akan datang lagi ke Bosnia, hanya Allahlah yang maha mengetahui lagi maha mengaturkan. Insya Allah.

Plevice yang nyaman
Rasa terharu juga meninggalkan Bosnia sebuah negara yang penduduknya majoriti Islam. Di Croatia majoriti penduduknya beragama Kristian, sudah pastilah nanti susah untuk kami  mencari makan dan solat di mesjid. Croatia menggunakan mata wang KUNA, 1EURO bersamaan 7KUNA. Tapi sepanjang perjalanan mata wang EORU diterima saja untuk memberli apa-apa barangan, jadi ia bukanlah satu masalah.

Lebih kurang jam 9.00 pagi, kami tiba dengan selamatnya di tempat peranginan Plitvice Lake National Park yang luasnya lebih kurang 295 kilometer persegi. Taman ini merupakan salah sebuah taman yang tertua, iaitu telah dibuka pada tahun 1949 lagi, dan antara yang terbesar sehingga diiktifar oleh UNESCO sebagai warisan dunia pada
tahun 1979. Tiket masuknya 24 EURO seorang, ia merupakan  kawasan hutan simpan di tengah-tengah negara Croatia, bersempadan dengan negara Bosnia Herzagovina. Ia terkenal dengan rangkaian 16 buah tasik yang bertingkat-tingkat, bersambung-sambung dengan air terjun berbagai-bagai ketinggian, sehingga akhirnya membentuk air terjun limestone canyon setinggi 78 meter. Dari pintu masuk ke Taman ini kami berjalan menuruni bukit ke tasik yang paling bawah.

Maka pagi ini bermulalah satu pengembaraan yang sungguh mencabar bagi kumpulan kami yang kebanyakannya melebihi umur 50 tahun. Kami difahamkan akan berjalan jungle tracking di taman ini selama 4 jam, melalui jalan di lereng-lereng bukit, jalan di tepi-tepi tasik, mendaki dan menuruni anak-anak tangga, dan juga melintasi jambatan-jambatan yang merentasi tasik-tasik. Kami bermula dengan menuruni cerun bukit menuju ke tempat tinjau air terjun Veliki Slap yang tertinggi  di situ iaitu setinggi 78 meter. Ya Allah subha nallah, Allahhu akbar, tiada kata yang dapat kami sebutkan lagi melainkan segala puji hanya padaMU ya Allah kerana menciptakan bumi yang indah untuk kami nikmati
dan mensyukuri nikmatMu. 

Kami berjalan dengan tenang, melepasi satu tasik ke satu tasik hinggalah sampai juga ke tasik yang terakhir. Sambil berjalan kami menikmati keindahan flora dan faauna di situ dan menyaksikan keindahan air tasik yang jernih berbagai warna. Kadang-kadang kelihatan ada air tasik yang sangat biru jernih dan bening. Ada tasik yang kelihatan airnya kehijauan pula. Sesekali kelihatan airnya kelabu, dan
terkadang airnya jernih berkaca sehingga kelihatan ke dasarnya serta kelihatan semua kehidupan di dalamnya. Kami meneruskan perjalanan dengan hati-hati dan tenang. Ada antara kami yang hampir mengalah tapi melalui sokongan kawan-kawan sejemaah dapat juga kami semua sampai di kawasan rehat di tasik yang terakhir, untuk kemudianyan kami naik bot menuju ke tempat perhentian bas. Di situ


kami berehat seketika, kemudian menaiki bot elektrik untuk ke kawasan bas berhenti menunggu kami. Mr Berto telah setia menunggu kami di situ, alhamdulillah perjalanan kami hiking merentasi tasik-tasik  tamat di situ, dengan selamatnya. Semuanya berasa lega bila berada di atas bas, hingga tak terkata letihnya kami dengan aktiviti jungle tracking itu. tapi Allah bersama kami dan kami melepasinya syukur alhamdulillah.

Kemudian lebih kurang jam 1.00 tengah hari, Mr Berto membawa kami melalui kawasan gunung ganang yang jalannya bengkang bengkok pula, menuju ke Zegreb. Alhamdulillah kami  menjamu selera tengah hari itu di Restoran Pusat Islam Zegreb lebih kurang jam 2.00 petang.  Selesai
makan kami berjemaah solat jamak zohor asar di mesjid yang besar dan cantik. Sedang kami bersedia untuk meninggalkan majlis kami didatangi oleh isteri Grand Mufti of Bosnia. Beliau sangat terharu dan sungguh gembira berjumpa kami. Rupanya dia pernah selama 5 tahun tinggal di Malaysia semasa suaminya belajar di UIA dulu. 

Bersama isteri Grand Mufti of Bosnia
Sungguh mesra walau baru berjumpa
Dia mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada kami kerana orang Malaysia telah melayannya dengan baik. Orang Malaysian telah menganggapnya seperti kaum keluarga sendiri. Dia sekeluarga rasa sangat terhutang budi kepada orang Malaysia. Hari ini takdir telah menentukan dia mengikut suaminya bermesyuarat di Pusat Islam Zegreb, dan ditakdirkan bertemu dengan kami orang Malaysia yang sangat diingatinya sampai bila-bila katanya. Masya Allah, sungguh terharu dan rasa tersentuh perasaan jemaah kami, menerima segala pujian yang tak henti-henti itu. Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang yang menentukan segalanya itu. Kami mengucapkan selamat tinggal dengan penuh rasa terharu. Hati sungguh tersentuh seolah-olah akan meninggalkan saudara sendiri, masya Allah sungguh syadu terasa. Dalam melayani perasaan, sambil berjalan menuju ke bas, kami dihiburkan dengan kecantikan bunga-bungaan hiasan taman di hadapan masjid yang sungguh segar, cantik dan mempesonakan. Sungguh cantik ciptaan Allah untuk dinikmati manusia, cuma manusia saja yang sentiasa bersifat zalim. Subha nallah, Lahaula walaa quwwata illah billaah....



Zegreb Old Town
Selepas  menikmati alam ciptaan Tuhan yang indah itu, jam 4.00 petang kami mula naik bas untuk meneruskan perjalanan, melawat ke Zegreb Old Town. Dalam perjalanan yang singkat itu, kami dapat lihat kawasan  pergunungan Zegreb masih diliputi salji di puncaknya. Kawasan pergunungan itu yang melebihi 1000 meter tingginya, boleh dikatan selalu bersalji dan dikenali sebagai Snow
White Mountain. Tiba di bandar Zegreb banyak kedai yang tutup pada petang Sabtu itu. Adalah beberapa kedai yang masih buka, dapatlah juga kami membeli barang cenderamata untuk kenang-kenangan. 



Tapi petang itu kami amat bertuah kerana terserempak dengan satu event menarik, Zegreb Time Machine. Tema pada petang itu ialah Kostum perkahwinan zaman dahulu, iaitu tahun-tahun 30an hingga 90an. Sungguh cantik dan real pasangan pengantin yang dipamerkan itu, pakaiannya, peralatannya, dan tatacaranya dapat dilihat dengan jelas, dan semua itu memberikan maklumat kepada pelancong dan masyarakat moden sekarang ini. Selain itu kami juga dapat menikmati keindahan bandar Zegreb yang sudah mula dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan.  Lebih kurang jam 6.15 petang kami bertolah ke Hotel Aristos.
 
Dataran Zegreb
Pasar pagi Zegreb