Saturday, August 20, 2016

HARI 1: 15 OGOS 2016



LAWATAN KAJI SELIDIK KE BANGKOK:  15 – 20 OGOS 2016

Sesungguhnya Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) amat bersyukur kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, pasukan  kajiselidik  telah berjaya untuk bergerak ke Bangkok seperti yang telah diaturkan.  Perjalanan ahli rombongan seramai 13 orang mula bertolak ke Lapangan Terbang Hatyai, dari Muzeum Negeri Kedah tepat jam 2.30 petang. 

Rombongan diketuai  Dato Wan Shamsuddin Pengerusi PSMCK, dan Pengurus Projek Kajiselidik ke Bangkok ialah Dr Kasri Saidon, dibantu oleh setiausaha  Hairul Reazuan Asmayadi yang cekap dan penuh dedikasi. Ahli-ahli lain termasuklah Pengarah Muzeum En Suhadi Shukri, dan pembantunya Zulkhiberi Mat. Seterusnya  Dr Ibrahim Bakar, Dato Shaarani Hassan, Mohd Firdaus Abu Bakar, Sopiah Ramli, M Jamil Ramli, Amirah Rifhan Ahmad Tajudin, Lokman L. Isa dan Rahinun Mohd Noor.

Selesai Urusan Imigresen di Danok
Kemudian lebih kurang jam 4.00 petang, semua kami melepasi sempadan Malaysia-Thai di Bukit Kayu Hitam dan Danok, dengan mudah dan pantas, dibantu oleh Che Man pemandu van dari Satun.  Seterusnya perjalanan dengan van pun cepat  ke airport  sebab Che Man mengambil jalan pintas. Kami dapat ‘check-in’ tepat pada masanya, tapi penerbangan ‘delay’ hampir setengah jam. Jadi dapatlah kami menikmati makan malam yang dibekalkan dengan agak santai dan menyelerakan.

Lapangan Terbang Hatyai dihiasi indah dengan gambar 'Queen' sempena Hari Ibu

Menulis Ucapan Hari Ibu untuk Queen
Penerbangan dari Hatyai ke Bangkok dengan pesawat Thai Smile mengambil masa 1 jam 10 minit. Jadi dalam pukul 10.00 kami sudah tiba di sana. Kami sungguh gembira kerana ketibaan kami disambut oleh Tuan Ramli seorang petugas di FICT, yang akan bersama kami sepanjang 6 hari nanti. Tapi pergerakan kami yang kebanyaknya warga emas agak lambat. Begitu juga urusan mengambil bagasi juga sangat lambat, lebih kurang sejam baru semuanya selesai.

Selesai mengambil bagasi di Swarnabumi Airport Bangkok
Jadi kami hanya boleh menaiki teksi ke hotel  sejam selepas itu. Kami tiba di Hotel Royal Rattanakosin, Khausan, sebuah hotel terkenal di Bangkok terletak di No 2, Jalan Rajdamnern Avenue, sejak lebih 50 tahun yang lalu, sudah agak lewat tengah malam sebab, terkandas dalam kesesakan lalu lintas yang teruk di Bangkok. Walau bagaimanapun lebih kurang jam 1 pagi, kami semua telah mendapat bilik masing-masing dan dapatlah berehat untuk mengumpul tenaga bagi pergerakan seterusnya di esok hari. 
Tiba di Hotel Royal

Sunday, August 7, 2016

DILUSI


Ingin dikongsikan cerita-certia yang sering disebut-sebut oleh emak sepanjang dia terbaring di katilnya. Dengan sabar aku menadah telinga dan mengiyakan mana yang perlu. Kadang-kadang ada saja cerita yang berulan-ulang kali disampaikan. Aku dengar saja kerana dia tidak ingat apa yang diceritakan saban hari. Kadang-kadang dia menceritakan hal-hal yang tidak pernah dilakukannya pada saat ini. Kadang-kadang dia menceritakan perkara-perkara yang sudah lama dibuatnya, atau cerita-ceriya yang ingin dilakukannya tapi tidak pernah menjadi realiti. Antara cerita-ceritanya:

1. Nanti beli ikan kita buat gulai, lama dah kita tak buat kenduri di rumah kita. Suruh abang panggil kawan-kawan abah untuk makan kenduri dan buat tahlil lepas Jumat ni ya.
2. Bila emak dah lega sakit nanti kita buat kenduri, beli pulut buat pulut kuning, kita makan dengan ayam goreng panas-panas. 
3. Jangan risau emak tak berjalan, nanti mak balik rumah mak ni, mak jalanlah pagi-pagi tiap-tiap hari.
4. Jom emak nak balik rumah emak dah, malam ni mak tidur dengan tok Liah pula, lama dah tinggal rumah. Nanti kita balik kita beli 'torchligt' senang nak suluh-suluh.
5. Buah-buah banyak kat rumah kita, rasanya buah cempedak berpuluh biji tu, selalu banyak buahnya tiap-tiap tahun, buah rambutan pun entah dah masak jenuh kita makan.
6. Emak nak pi ke bilik air, mai angkat mak, nak turun pi ke bilik air.
7. Emak panggil sapa pun tak mai, awat adik tak mai tolong caq ni, dia pi mana?
8. Emak nak pi tidur di bilik atas, nanti hampa nak tidur hampa tak selesa emak busuk hancing dok sini.
9. Ada orang nak mai rumah kita nanti buat airlah jamu depa apa yang ada, orang tak pernah mai rumah kita.
10. Tak pa mak balik rumah, emak boleh buat sendiri semua, tak payah nak kacau sapa-sapa, bukan tak pernah buat, mudah ja semua tu.
11. Kenapa tak panggil anak cucu balik mai, depa kenalah tolong mak, sikit sebanyak apa mak ada mak bagi kat depa juga, awat depa tak ingat kat mak ka?
12. Awat tak panggil anak-anak menakan mai tolong, depa tu tak ajak ja, kalau panggil depa mai tolong mak.
13.Awat sakit sangat kaki tu, kata dok boh minyak ja, pasai apa sakit sangat, jangan dok honggak dia tak tahan sakit, tak mau dah sakit-sakit. Orang berubat nak hilang sakit bukan nak bagi sakit. Sakit-sakit baik tak payah, cemuih dak sakit-sakit ni.
14. Mai quran kecik mak nak baca, boleh juga peringat-peringat, nanti balik rumah mak nak baca hari-hari, tok dengan abah bukan ada sapa nak baca kat depa, kesian, mak ja yang dok baca kat depa.
15. Kunci rumah pun tak dak, payah nak masuk rumah macam mana?

Itulah antara cerita-cerita emak yang diulang-ulangnya setiap hari. Apa yang tidak mampu dilakukannya itu barangkali dilusinya. Kita pun kurang tahu dunia orang yang mengalami kesakitan yang memanjang. Semoga Allah memberikan yang terbaik untuknya, kerana Allah hanya memberikan sesuatu hanya kepada orang-orang yang selayaknya sahaja. Ya Allah permudahkanlah segala urusan kami, terimalah amalan kami dan redhalah kepada kami yang dhaif ini. Bantulah kami ya Allah supaya kami sentiasa dapat menyebut namaMu, bersyukur kepadaMu, dan memperbanyakkan ibadat kepadaMu, amiin ya Robbal aalamiin.
 

Saturday, August 6, 2016

FISIOTERAPHY VS MENGURUT


Selepas masuk  tiga minggu emak terlantar di rumah, dalam bulan Ramadhan yang mulia, kami mula aturkan seorang fisioteraphist untuk membantu emak supaya dapat melancarkan perjalanan darah, dan membantu memulihkan anggotanya selepas sekian lama tidak dapat menggerakkan kaki dan tangan kirinya. Amat bertuahlah kami kerana telah diaturkan fisioteraphist dapat datang ke rumah mengikut pakaj yang diperetujui. Satu pakej sebanyak lima kali  diaturkan dalam masa dua minggu. Selang dua tiga hari yang telah ditetapkan, Khairul fisioteraphist itu hadir ke rumah tepat pada masanya, seperti yang telah ditetapkan. Fasa pertama, semuanya berjalan lancar. Semua pergerakan yang telah diaturkan, dapat dibuat oleh emak dengan bantuan Khairul. Boleh dikatakan pada setiap temujanji, dapat dilaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan itu. Kami rasa lega melihat perkembangan emak, macam ada sedikit harapan untuk emak dapat pulih kembali.

Masa pun terus berlalu. Seterusnya masuk fasa kedua untuk meneruskan fisio. Aktiviti fisio kami selangselikan dengan proses mengurut secara traditional. Berbanding fisio, mengurut lebih disenangi oleh emak. Dia rasa lebih selesa, bila diurut kerana semasa mengurut, kita terasa seperti dibelai-belai. Tapi sebenarnya mengurut ini kurang sangat memberi kesan kepada pemulihan anggota yang telah lumpuh itu. Oleh kerana itu, bila Khairul datang semula untuk meneruskan fisio, emak sudah mula menolak.  Dia marah-marahkan Khairul kerana pergerakan kaki dan tangan yang dibuat menyakitkan dia. "Kita berubat nak bagi tak sakit, ini mai berubat bagi kita sakit. Tak mau dah sakit-sakit ni, sudahlah, berhentilah, bagi emak relek sikit. Tak sakit baru rasa lega sikit. 

Kami sungguh susah hati dia tak mau bagi kerjasama kepada Khairul. Tapi kami semua sedar, semua tindakannya itu tidak lain kerana fikirannya, sudah tidak seperti sedia kala, sekejap normal sekejap kurang normal. Maka usaha fisio fasa dua dikira kurang berjaya kerana emak tidak mahu lagi ikut pergerakan yang diaturkan untuknya. Maka yang kami teruskan ialah mengurut untuk bagi dia terasa sedikit dibantu dan mengurangkan sakit-sakit serta lenguh-lenguh badan yang sudah lama tidak bergerak terutama kaki dan tangan sebelah kiri.  

 Dalam diam kami berdoa supaya emak mendapat semangat, dan diberikan kekuatan. Ya Allah sesungguhnya menjadikan yang sukar itu mudah amat mudah bagi Mu. Bantulah emak kami ya Allah, ya Rahman, ya Rahim,  supaya dia dapat sembuh dari penyakitnya ini. 

Friday, August 5, 2016

EMAK OH EMAK


Hari ini sudah lebih tiga bulan, bersama emak di rumah. Selama itulah rutin harian macam biasa, dressing, minum pagi, senaman, rehat, dan tidur. Sesekali sibuk juga melayan tetamu yang datang berkunjung, dan mengadun sanak saudara yang datang melawat dia. Sesekali emosinya terganggu, marah-marah, merungut, meracau dan kadang kala menangis tanpa sebab. Sekarang dah kurang sikit rungutannya untuk balik ke rumahnya yang telah lama ditinggalkan. Sekarang juga telah berkurang rungutannya mahu telefon anak cucu untuk datang membantu, supaya dia tidak sunyi. Juga sudah kurang didengar arahannya untuk menjaga harta bendanya yang ada di rumahnya itu.

Semakin hari semakin kasihan sungguh, melihat emak yang ingatannya sudah tidak seperti biasa lagi. Fikirannya lebih kelihatan kacau, daripada normalnya. Sering kali dia beritahu, setiap pagi dia bangun pergi ke bilik air membersihkan dirinya. Setiap  hari kononnya dia berlatih berjalan meniti tepian tingkap dan dinding. Setiap hari kononnya dia juga membuat senaman yang aku buatkan untuk menggerakkan tangan dan kakinya. Dia juga sering minta al-Quran  kecil supaya dapat dia membacanya.

Akhir-akhir ini pula, emak semakin 'fragile' emosinya. Dia kurang boleh ditinggalkan seorang diri agak lama sedikit. Kalau masak di dapur, sembahyang, mandi atau buat kerja di luar biliknya, tidak nampak di matanya sahaja, dia akan panggil tak henti-henti. Bila ditanya kenapa dia minta dipicitkan tengkuknya, disapukan minyak angin di kepalanya atau akan minta dibantu untuk mengubah posisi duduk atau tidurnya. Kadang-kadang dia merungut dan membebel kononnya aku tidak suka dia tinggal dengan ku. Sebab itulah aku tinggalkan dia seorang diri. Jadi aku pun dengarlah dengan sabar rungutannya itu. Kadang-kadang aku beritahunya, dia kelihatan seperti faham, tapi kemudian dia ulang lagi benda yang sama. 

Apabila waktu makan dia sering kali akan menitiskan air mata, tak henti dia beritahu teringatkan abah yang sudah lama meninggalkan kami. Kadang-kadang dia juga  teringatkan Tok Cik dan Tok Bah bila makan masakan kegemaran mereka yang aku sajikan. Emak memang susah makan tambah lagi sewaktu dia sedang sakit ini. Dulunya dia pandai masak dan sangat teliti dengan masakan. Jadi kalau makanan yang dia tidak gemar dia enggan untuk makan. Susah sungguh bila dia tidak mahu makan. Kadang-kadang aku kena masak lain masakan yang dia minta aku sediakan. Tapi makannya cuma sesudu dua sahaja. 

Akhir-akhir ini juga dia jadi semakin  agak pemarah, dan perengus pula. Kadang-kadan tak tahu kenapa dia marah dan kenapa dia membebel. Kalau dia naik 'sheh' aku mesti tunggu dan dengar sampai dia selesai membebel. Jika aku tinggalkan dia, dia akan lebih marah dan membebel lagi teruk. Maka dengarlah aku dengan penuh sabar.

Ya Allah Engkaulah yang maha mengetahui segala yang Engkau telah takdirkan. Berilah kebaikan sama ada yang aku tahu atau yang terselindung. Ya Allah ya Rahman ya Rahim. Amin.

Sunday, June 19, 2016

RAMADHAN KAREEM (1437H)



Sudah tibanya masa esok 6 Jun 2016,  kami menyambut Ramadhan. Seperti biasa semua umat Islam menantikan ketibaan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Tahun-tahun sebelumya bila tiba Ramadhan, maka siap siagalah kami untuk berkunjung ke surau, atau berkunjung ke mesjid, untuk berjemaah solat tarawih. Jadual sungguh padat kerana di samping ke masjid atau surau, kami juga mengatur masa untuk balik kampung menjenguk emak yang keseorangan dan bertarawih dengannya pula. Puaslah kami pujuk dia ajak ke rumah kami, supaya dapatlah berpuasa bersama-sama, berjemaah dan bertarawih, bersama-sama di surau atau di masjid. Tapi kami tidak pernah mendapat restu emak untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dan beramai-ramai di rumah kami. Kami pun terkadang merasa sungguh risau dengan emak, risau dengan ketegasanya, dan mahu tetap terus bersendirian di rumahnya selepas pemergian Abah. Maka kami pun dalam keterpaksaan cuba untuk menerima keadaan itu seadanya. Sekejap ke masjid, sesekali ke surau-surau dan diagihkan dengan balik ke kampung.

Masa pun berlalu, maha suci Allah, Dia maha mengetahui dan maha pengasih lagi  maha penyayang. Dia maha mengetahui isi hati dan kehendak umat yang diciptakanNya. Sungguh tidak pernah diduga, Ramadhan tahun ini, Allah kurniakan  apa yang selalu dipintakan.  Allah hantarkan orang yang ku kasihi, orang yang selalu ku pujuk, orang yang selalu ku doakan supaya terbuka pintu hatinya untuk tinggal bersama ku, ke rumah ku. Allahu Robbi. Syukurlah ya Allah semuanya kau aturkan dengan amat rapi sekali. Segalanya ditadbirkan dengan tiada cacat celanya, berlaku dengan sekelip mata, secara tiba-tiba adanya.

Maka bermulalah era baru Ramadhan ini, emak sudah Tuhan hantarkan kepadaku dengan penuh santun. Dia diserahkan kepada ku untuk dirawat, diberi perhatian, dan penjagaan kerana emak sudah tidak lagi dapat menguruskan dirinya lagi. Allahu Robbi, aku terima takdir Mu, Ya Allah. Aku bersyukur kepadaMu ya Allah, kerana sebaik-baik hambaMu adalah hamba yang bersyukur, hambaMu yang sabar, hambaMu yang ikhlas dan hambaMu redha. Ya Allah aku pohon redhaMu ya Allah... Bantulah aku supaya sabar ikhlas dan redha, dan semoga Engkau redha kepadaku, Ya Allah ya Robbal aalamiin. 

   

 

Saturday, June 4, 2016

BUDAK-BUDAK MANA?


Sudah lebih sebulan mengadun dan mengasuh emak selepas keluar hospital pada 2 Mei 2016 yang lalu. Rutin harian nampak sungguh mudah, tapi pelaksanaannya Allah saja yang maha tahu. Semoga Allah siramkan baja kesabaran, keikhlasan dan keredhaan sebanyak-banyaknya, kerana tiada daya upaya kita untuk berbuat kebajikan dan tiada daya upaya kita untuk berbuat kejahatan melainkan dengan izinNya jua. Seawal pagi bermulalah tugas membuat dressing, membuang pampers dan membersihkan emak untuk sembahyang subuh. Kemudian makan pagi untuk kemudiannya diberi ubat dan 'supplemen' yang perlu. Selepas itu dia akan berehat hinggalah terlelap ikut sesuka hatinya. 

Waktu dia berehat itu bolehlah kita menguruskan diri dan melakukan sebarang kerja: mengampai kain, memasak, membeli barang keperluan, membaca dan berehat sebentar. Tengah hari selepas makan, mulalah membersihkan lampinnya untuk persediaan sembahyang zohor, dan kadang-kadang tahanlah sampai ke waktu asar. Selepas makan malam maka sekali lagi dibersihkan lampinnya untuk solat maghrib dan isyak. Alhamdulillah malamnya selepas  jam sepuluh emak dapat tidur, kalaupun dia tidak nyenyak tidur, dia tidak meragam, maka bolehlah kami berehat untuk terus berkhidmat menjaganya pada esok hari lagi. Alhamdulillah.

Kadang-kadang sesekali kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga datang bertandang melawat emak yang terlantar sakit. Maka rutin harian pun berubah-rubah mengikut masa dan tetamu yang datang. Maka emak pun kelihatan kadang-kadang gembira, dan kadang-kadang terharu hiba. Ada kalanya banyak pula dia bercerita, dan terkadang dia membisu seribu bahasa. Ceritanya cerita biasa,  tentang makan minum dan kenduri kendara, dan tentang anak cucunya yang diharapkan akan sentiasa kunjung tiba. Itulah antara hal-hal yang menghiasa memorinya, yang membuatkan dia sering tersenyum atau juga tertawa gembira. Tambahan lagi kalau bercerita pasal cucu cicitnya, maka bertubi-tubilah soalan budak-budak mana? Berulan-ulang Susun atur kotak memorinya sudah terganggu, banyak perkara yang dia lupa, tapi banyak juga yang dia bual bicara. Hanya Allah saja yang maha mengetahui akan duduk perkaranya. Maha suci Allah, yang telah mengaturkan segalanya begitu rupa. PadaMu kuserahkan segalanya.

Boleh dikatakan setiap hari ia bercerita berulangkali, perkara yang hampir sama setiap hari bila ada masa: antaranya, "nak ke bilik air membersihkan dirinya, nak naik rehat di atas rumahnya, nak balik ke rumahnya yang telah lama ditinggalkan sejak sakitnya, nak buat kenduri arwah panggil semua kaum keluarga,  nak masak menu kegemarannya untuk kenduri, nak pergi makan tengah hari di restoran kegemarannya, budak-budak mana, tak turun main lagi, dan nak pergi umrah dengan kak cik Mahya. Allah maha besar, tiada apa yang boleh dibantu, untuk menyenangkan hatinya kami turut saja apa katanya. Hanya doa yang dapat dipanjatkan, Ya Allah, semoga emak dapat pulih seperti sediakala adanya. Bantulah kami, kasihanilah emak kami, sepertimana dia mengasihani kami semasa kami kecil ya Allah, ya Rahman, ya Rahim. Amin ya Robb.




 


 

Saturday, May 21, 2016

SUDAH SURATAN.....


Sudah sekian lama sejak abah meninggalkan kami pada tahun 2010, yang telah kembali menemui pencipyaNya yang maha besar, maka tinggallah emak seorang diri di rumahnya yang sangatlah 'besar' untuk didiaminya sendiri-sendiri. Kami masing-masing sudah punya rumah, sudah bermastautin di tempat baru, sesuai dengan kehidupan berkeluarga dan kerjaya yang telah kami lalui sejak sekian lama. Oleh sebab emak berkeras untuk terus tinggal di rumah pusaka tinggalan abah, maka kami merestuinya, walaupun secara terpaksa. Mula-mula anak cucu yang masih bersekolah berselang-seli silih-berganti, menemani mak yang baru kehilangan abah. Selepas itu emak berjinak-jinak hidup sendiri sekejap, sementara menunggukan pembantu rumah Indon yang kami carikan. 

Seterusnya emak ditemani Yani orang Medan yang dibawa oleh agen dari sana. pembantu itu juga dalam keterpaksaannya menemani emak untuk mencari rezekinya yang dikirakan sebagai terpaksa. Malangnya cuma dua tahun saja emak bertemankan 'maid' yang bernama Yani itu. Selepas dia tidak lagi mahu terus tinggal dengan emak, maka silih- bergantilah pembantu-pembantu yang menemani emak saban malam, dengan bayaran yang dipersetujui.  Kami pun dengan senang hati dapat merasakan sedikit lega melihat kehidupan emak dengan pembantunya yang dapat meleraikan sedikit kesunyian yang dilaluinya saban hari.

Namun setiap masa dan ketika tak putus-putus kami memujuk emak untuk tinggal di rumah kami supaya hidupnya lebih bermakna, terurus dan teratur. Jawapannya tetap sama nantilah, tiba masanya dia sudah tidak boleh menguruskan dirinya, dia akan tetap bersama kami juga akhirnya. Tapi kami tetap pujuk dia, kami tak mau dia tak sihat baru nak duduk dengan kami. Biar dia duduk dengan kami semasa dia sihat barulah seronok. Apalah daya kami: semua orang tua pun begitu, tetap akan duduk di rumah mereka jua selagi ada kudrat dan upaya. 

Masapun berlalu seperti seadanya. Takdir Allah tiada siapa pun yang tahu. Tidak dapat dijangka dan tidak juga boleh diteka. Tanggal 24 April 2016, telah tertulis dan telah ditentukan Allah yang maha Esa, emak diserang 'stroke' lebih kurang jam 12.30 tengah hari, ketika sedang bersiap sedia untuk melawat cucunya yang diserang kanser dan akan dibawa balik ke KL. Maka bermula hari itu, tanpa sempat melihat cucunya hingga dia menghembuskan nafasnya, emak pun dirawat di Hospital SB seminggu. Namun pada tanggal 2 Mei dia dibenarkan pulang ke rumah, dalam keadaan emak sudah tidak boleh bergerak tangan dan kaki kirinya akibat 'stroke'.

Sungguh sedih melihat emak terlantar di katil dengan tiba-tiba. Dengan sekelip mata dia sudah tidak bermaya lagi. Dia hanya boleh bercakap. Itupun butirannya sudah banyak yang tidak tepat kerana memorinya juga terganggu. Ya Allah Engkau maha pengasih. Aku yakin, Engkau berikan kepadaku apa yang terbaik untukku walaupun kelihatan amat tidak baik dari kaca mataku yang dhaif ini. Ya Allah Aku yakin Engkau menguji hambaMu dengan apa yang tertanggung oleh hambaMu jua. Dari itu Ya Allah bantulah aku, berikanlah kekuatan kepadaku, siramkan dan bajakan sifat sabar kepadaku agar aku tabah menerima ujianMu. Bantulah aku Ya Allah, agar aku dapat menerima ujian ini dengan berlapang dada dan redha dengan segala ketentuanMu ini Ya Allah. Ya Allah padaMu kupanjatkan doa agar Kau berikan yang terbaik kepada emakku ini. Apa pun yang Engkau takdirkan aku terima Ya Allah. Ya Allah kasihanilah ibuku ini seperti mana dia mengasihani ku semasa aku masih kecil. Amin ya Robbal aalamiin.