Monday, February 2, 2015

MENJADI TETAMU ALLAH


Sudah sekian lama sejak 1992, dan 1996 tersimpan rasa rindu yang teramat sangat. Setiap saban tahun sahabat handai khabarkan telah dijemput Ilahi menjadi tetamuNya, jauh di sudut hati tersimpan satu azam aku akan ke sana jua nantinya. Mudah-mudahan Allah akan menjemputku menjadi tetamuNya, insyaa Allah, aku berharap sangat-sangat ia akan menjadi kenyataan. Kutanamkan cita-cita besar itu, setiap detik dan saat ku panjatkan doa agar sampai jua jemputan itu nantinya. Alhamdulillah tanggal 15 Januari 2015 (15.1.15) hasrat murni itu datang jua akhirnya. Aku telah ditakdirkan menjadi tetamu ke rumah Allah bersama teman hidup yang kusayang. Aku amat bersyukur masa yang dinantikan akhirnya menjadi realiti, kami berkunjung ke bumi Madinah dahulu, sebelum menjadi tetamu Allah di Mekah, menaiki Saudia Air Chartered. 

Pada anak-anak dikhabarkan, jangan papar gambar di fb atau di mana-manapun. Kenapa? Memang sengaja tidak dihebahkan takut nanti hati diganggu bisikan yang tidak disukai. Cuma keluarga terdekat dan jiran-jiran yang ke surau saja yang mendengar khabar gembira ini. Ini pun agar tidak menimbulkan fitnah. Perjalanan yang sudah lama ditunggu ini ingin dirasai nikmatnya, kegembiraannya dan rasa syukurnya hanya kepada Dia. Tidak ingin kalau boleh, ada noda walau setitik perasaan terhadap manusia. Perjalanan ini barangkali amat sesuai dengan tema syarikat yang dipilih, Penyucian Jiwa Di Tanah Suci. Jadi biarlah akan nanti berlaku sebenar-benarnya penyucian jiwa, jika boleh tidak mahu diganggu kestabilan emosi untuk nantinya menjadi tetamu yang hina dina lagi dhaif ini sejak sekian lamanya menanti.

Rasanya sudah sekian lama memendam rasa rindu dendam ini. Jadi hendaknya rindu dendam ini menjadi satu pengabdian yang sungguh-sungguh tanpa menghiraukan siapa-siapa lagi. Rasanya kami berdua hanya akan menyerahkan rasa rindu ini semata-mata, bertumpu kepadaMu. Rasa rindu ini juga akan dihabiskan mengunjungi KekasihMu dengan sungguh-sungguh dan tekun. Sungguh tiada yang lain lagi, tiada rasa untuk apa-apa lagi, cuma memuji selawat dan salam buat junjungan besar Nabi saw, dengan beriktikaf dan beribadat di mesjid kekasihMu itu. Seakan-akan tidak cukup masa berada di bumi bertuah, bumi Madinah ini. Dengan rasa yang amat berat, dan dengan doa agar akan diberi peluang lagi mengunjungi KekasihMu Ya Allah, kami meninggalkan Madinah, dengan satu perasaan, bagai tidak puas bersama junjungan besar Nabi Mohammad saw, di Mesjid Kekasih Mu itu Ya Allah. Kami pulang dengan hati yang berat, untuk nantinya dapat datang lagi, bagi menziarahiMu wahai kekasih Allah, yang sentiasa dirindui adanya.

Selepas 4 hari di Madinah, kami pun dijemput menjadi tetamu Allah,  ke Makkah al Mukarramah. Alluhurobbiiii... tiada lagi perkataan yang dapat dikatakan selain bersyukur ke hadhratMu ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Engkau jemput kami ya Allah, kami menjadi tetamuMu ya Allah. Terimakah kami ya Allah, terimalah taubat kami ya Allah, ampunilah dosa kami ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapa kami ya Allah, ampunilah dosa anak-anak kami ya Allah. Berilah kepada kami perkara-perkara yang menyenangkan hati kami daripada zuriat kami ya Allah. Berilah kebaikan di dunia kepada kami dan kebaikan di akhirat kepada kami ya Allah, ya rahman, ya aziz, ya jabbar. Amin ya robbal aalamin. Sesungguhnya 6 hari di Mekah amat berharga untuk kami yang sangat merinduiNya...... Mudah-mudahan akan tiba masanya nanti, kami akan dijemput lagi menjadi tetamuNya insya Allah...


Monday, December 22, 2014

ILMU YANG BERMANFAAT

Majlis Pelancaran Buku 'Ceritera Ringgit' Di Kuantan

Jika direnung semua orang tahu, tiada yang kekal buat manusia selepas hidupnya, kecuali empat perkara: amalan baik, anak yang soleh, sedekah jariah, dan ilmu yang bermanfaat.  Saya ingin berkongsi tentang perkara yang keempat yang amat dirasakan teruja untuk dibicarakan, iaitu ilmu yang bermanfaat. Sebagai guru dirasakan banyaklah peluang untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Atau selagi hidup adalah peluang untuk berbuat demikian. Tapi jika selepas mati tiadalah lagi peluang jika semua ilmu yang tersemat di dada dibawa pergi bersama kita, selepas tamatnya riwayat kita di dunia fana. Jadi bagaimana boleh diteruskan menyebar ilmu yang bermanfaat sesudah hidup kita?

Nabi Mohamad saw semasa hayat baginda telah menitahkan sahabat-sahabat menulis ayat-ayat suci Al-Quran, setelah ramai sahabat yang huffaz gugur di medan peperangan. Sahabat-sahabat dan ulamak-ulamak juga  menulis hadith-hadith Rasulullah untuk  sekalian umat memanfaatkannya. Jadi sepatutnya kita juga perlu menuliskan ilmu yang kita ada untuk ditinggalkan, supaya ia boleh terus memberi manfaat kepada kebaikan masusia sejagat, selepas ketiadaan kita. Hal ini sepatutnya dikuasai dan diamalkan oleh kita umat Islam, kerana telah dilakukan dan ditunjukkan oleh Nabi besar junjungan kita yang amat dikasihi. Tapi ternyata kurang dihayati sehingga kita kurang menulis dan mencatat apa yang kita tahu untuk dimanfaati generasi selepas kita. Sebab itu banyak khazanah bangsa tidak dapat dipelajari oleh generasi muda kerana kurangnya penulisan yang dihasilkan.

Tetapi ini amat berbeza dengan masyarakat barat, mereka menghasilkan tulisan tentang pelbagai unsur kehidupan, yang ternyata menjadi ilmu yang bermanfaat kepada generasi muda, untuk meningkatkan jati diri dalam menjalani kehidupan mereka. Amatlah malang bagi kita sebenarnya jika kita kurang sedar tentang kepentingan menulis ilmu untuk ditinggalkan kepada generasi mendatang. Marilah kita sama-sama berjuang untuk mencatatkan ilmu dalam apa bentuk sekalipun, supaya generasi muda kita nanti  tidak mendapat ilmu yang kurang tepat, kerana ditulis oleh orang luar mengikut kaca mata mereka.

Penerima Anugerah Numismatik Di Majlis Makan Malam
Saya amat bersyukur kerana turut terlibat dalam penghasilan buku Ceritera Ringgit (1500 - 2014). Bukanlah mudah menerbitkan sebuah buku kecil ini, yang kelihatan seperti sangat ringan dan santai isinya. Dengan kesibukan tugas seharian, dengan usia yang sudah semakin lanjut adanya dan kudrat yang semakin kurang, buku ini amat bermakna kepada kita semua. Sesungguhnyan kami amat bersyukur adanya. Tahniah papa, sesungguhnya anda kebanggaan keluarga. Semoga tulisan papa bakal memberi ilmu yang bermanfaat kepada kami semua, insyaa Allah.

Tuesday, December 16, 2014

ANAK CERMINAN IBU AYAH VICE VERSA


Melihat gelagat anak-anak yang hadir bersunat atau khatan beramai-ramai, macam-macam perkara yang boleh diterjemahkan dalam kehidupan kita. Ada yang datang menangis, ada yang tersenyum, ada yang diam membisu, dan yang paling ketara, ada juga yang cuba lari untuk dapat elak dari dikhatankan. itu perkara biasa kerana sudah lumrah anak-anak kecil memang belum faham apa-apa lagi. Tapi dari sini kita dapat lihat dengan jelas, ada anak yang kekar kuat dan kental semangatnya, ada anak yang rapuh jiwanya dan sangat manja pula, ada anak yang mudah dipujuk, baik dan sabar orangnya dan ada juga  anak yang bengkeng dan perengus tidak mengira siapa-siapa, dan ada juga anak yang sudah pandai 'peras ugut' orang tuanya pula. 
Pada masa yang sama dapat dilihat pula gelagat orang tua mereka pula yang berbagai-bagai juga. Ada ayah yang takut melihat Doktor melakukan khatan, memalingkan muka ke arah lain kerana rasa tidak sanggup dan berasa 'takut' barangkali. Ada ayah yang sungguh peka berada di sisi anak membelai dan memberi semangat dengan penuh sabar dan yakin. Ada ayah yang berdiri tercegat di hujung katil kemudian nampak longlai dan terus nak pitam takutkan darah. Ada ayah bersama dengan ibu berpadu tenaga memberi semangat untuk anak terus yakin menjalani prosedur sehingga selesai. Dan yang paling tersentuh hati, ada ibu dengan penuh kasih sayang membujuk anak supaya sabar menghadapi suasana yang dilalui dengan penuh yakin dan tabah.

Begitulah asam garam masyarakat yang terpancar daripada aktiviti harian yang ditempuhi. Gaya kita bertindak menghadapi sesuatu tingkah laku sebenarnya banyak bergantung kepada suasana emosi dan kebiasaan yang dilalui di rumah. Stail dan gaya anak sebenarnya, sangat bergantung kepada sosialisasi dan suasana kehidupan yang terjadi di rumah. Sikap ibu ayah sebenarnya, sangat berkesan sehingga meresap di kalbu anak-anak dan membentuk satu kebiasaan pula. Begitulah adanya suatu lumrah kehidupan yang dapat dilihat di sekitar kita. Begitulah yang dikatakan pujangga, selalunya dengan izin Allah, anak-anak adalah cerminan ibu bapanya. Wallahuaklam bissawab.....

Sunday, November 9, 2014

KASIHNYA IBU



Tulisan ini kutujukan kepada semua yang bergelar ibu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini hati jadi gundah gulana. Barangkali mengenang urutan perjalanan hidup yang jauh telah dilalui. Barangkali juga dek kerana tersentuhnya hati melihat ibu yang sudah semakin hilang upaya. Masih jelas dalam ingatan masa masih di usia kanak-kanak. Waktu itu ibu masih muda. Aku dalam lingkungan usia enam tahun barangkali. Saban petang aku bersama adik yang masih dibawa atas 'bicycle-babyseater', dengan ghairahnya dibawa untuk melihat tapak rumah dan rumah baru yang sedang dibina. Ibu selalu menyebut nanti kita pindah rumah baru. Aku sungguh gembira walaupun masih tidak faham apa-apa. Tak lama selepas itu banyak ingatan mengambil tempat di rumah baru.

Antara yang masih terbayang, setiap pagi aku akan meninjau-ninjau di tepi jendela melihat-lihat telatah dan karenah budak-budak yang bersekolah. Dari tingkap jendela sangat jelas kelihatan pelajar sekolah rendah berbaris, berada di tapak perhimpunan, mendengar guru berucap kemudian bersurai masuk ke kelas. Selepas itu aku dapat bayangkan guru masuk ke kelas, mengajar dan meninggalkan kelas, kerana semuanya dapat di dengar dengan jelas dari tingkap jendela rumah kami itu.

Tiba masa aku masuk sekolah setiap pagi emak hantar aku, naik basikal ke sekolah, dari depan rumah hingga ke depan pintu sekolah; setiap pagi dari darjah satu hinggalah aku sudah boleh ke sekolah sendiri, aku kurang pasti darjah berapa. Bila hari hujan emak tuntun basikal kerana jalan licin, tapi aku masih di atas basikal. Emak tak mau baju sekolah aku basah dan tak mau kasut sekolah aku kotor, jadi yang bergelumang dengan tanah selut ialah kasut emak, yang menuntun basikal membawa anak yang sangat dikasihinya. Emak memang sangat teliti dengan kebersihan uniform sekolah aku sehingga markah kebersihan aku selalu dan setiap masa mendapat A. Begitulah juga bila adik masuk sekolah dia juga mengalami proses yang sama. Dan aku yang berjalan kaki, bila hari hujan dibalutkan kasut yang kupakai dengan plastik agar tidak terkena tanah selut yang boleh mengotori kasutku yang sentiasa putih. Begitulah saban hari, pagi dihantar, tengah hari dijemput pulang.

Jika dikenang-kenang, sungguh sangat bertenaga emak pada waktu itu. Segalanya dibuat dengan penuh kasih sayang supaya anak-anak yang amat disayangi menjadi manusia berjaya di dunia akhirat. Sekarang dia sudah kurang tenaganya. Lututnya yang kuat dulu sudah berganti dengan lutut yang baru selepas pembedahan, sudah tidak sekuat dan segagah dulu lagi. Tenaganya yang tegar, sudah sedikit  lemah, sehingga kini tidak berdaya lagi dia berjalan ke sana sini, dengan sesuka hatinya. Sedihnya aku melihat perubahan yang dilalui oleh mak, Tersentuhnya hati kecil ini mengenangkan kasihnya ibu waktu aku kecil-kecil sehinggalah aku dewasa.

Ya Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani, ampunilah dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani kami  dan memelihara kami sewaktu kami kecil-kecil dahulu. Amin




Wednesday, November 5, 2014

JANGAN TERPEDAYA






LIHATLAH BAGAIMANA IBLIS DARI AWAL LAGI SUDAH MENYATAKAN DIA TIDAK MAHU BERTANGGUNGJAWAB ATAS SEGALA KESALAHAN YANG DILAKUKAN MANUSIA DI MUKA BUMI INI, KERANA DENGAN JELAS DINYATAKAN DIA TAKUT DENGAN ALLAH. MARILAH  KITA BERDOA SUPAYA KITA DIJAUHI DARIPADA GANGGUAN DAN GODAAN SYAITAN LAKNATULLAH. SEMOGA KITA TIDAK TERPEDAYA DENGAN GULA-GULANYA YANG SUNGGUH MENGGODA. AMIN

HIBURAN YANG MENGASYIKKAN




Marilah kita menghayati firman Allah tersebut untuk kita muhasabah diri kita dan keluarga kita supaya kita tidak terpedaya dengan kesenangan dan indahnya hiburan di dunia ini yang sungguh mengasyikkan. Semoga kita termasuk golongan yang mengutamakan dunia dengan mendapat keredhaan Allah, iaitu dengan sentiasa mengingat akhirat dalam apa jua yang dilakukan di dunia ini.

BERMULANYA KESALAHAN MANUSIA


DIKONGSI DRP TAZKIRAH  PAGI
JURANITA LORONG PIPIT
29 SEPT 14

Menurut Ibn Qayyum sejarah manusia mula melakukan kesalahan di muka bumi ciptaan Tuhan ini, disebabkan 3 perkara iaitu sombong, tamak haloba dan hasad dengki. Ibnu Qayyum menyebutkan bahawa bermulanya kesalahan manusia disebabkan kerana 3 sifat utama, yang kesemuanya ada dan dimiliki oleh iblis, kemudian dibisikkannya kepada manusia. Ini jelas digambarkan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah AlKahfi,

1. SOMBONG
Sombong sama dengan takabbur, dan takabbur hanya milik Allah semata-mata.  Cuba kita renungkan, contoh terbaik sifat ini ada pada iblis laknatullah dan sungguh jelas iblis menderhaka perintah Allah kerana sombong dan takabbur, akan keturunannya yang dikatakannya lebih mulia, seperti firman Allah dalam ayat Quran yang diberikan di sebelah. Nanti iblis akan tercampak ke dalam neraka jahannam, kerana kesombongannya engkar terhadap perintah Allah subhanahuwataala. Orang yang sombong cenderung untuk merendahkan orang lain. Yang pada akhirnya menolak kebenaran yang disampaikan

2. TAMAK HALOBA

Sifat tamak adalah sifat yang tidak pernah puas dengan apa yang diberikan Allah. Akhirnya sifat tamak haloba yang menjadikan manusia bersifat rakus, akan menyebabkan seseorang menjerumuskan dirinya sebagai manusia, ke jurang kebinasaan dengan tidak memandang halal dan haram,  benar atau salah. Yang penting tercapai apa yang diinginkan  kerana tamak dan halobanya.

3. HASAD DENGKI

Sifat hasad dengki merupakan penyakit rohani manusia yang tidak pernah puas hati dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dengan kenikmatan yang dimiliki oleh orang lain dan oleh itu seseorang itu akan sentiasa berusaha untuk menghilangkan kenikmatan tersebut. Orang yang memiliki sifat hasad dengki akan mencari-cari alasan yang akhirnya timbul fitnah terhadap orang yang tidak disenangi tersebut.

Ya Allah jauhkan kami daripada sifat tercela yang akan menjatuhkan kami ke dalam azab-Mu. Berikan kepada kami kekuatan untuk dapat melaksanakan segala perintah-Mu dengan sebaik mungkin. Lindungilah kami daripada godaan dan bisikan syaitan yang direjam. Aamiiin !