Majlis Pelancaran Buku 'Ceritera Ringgit' Di Kuantan |
Jika direnung semua orang tahu, tiada yang kekal buat manusia selepas hidupnya, kecuali empat perkara: amalan baik, anak yang soleh, sedekah jariah, dan ilmu yang bermanfaat. Saya ingin berkongsi tentang perkara yang keempat yang amat dirasakan teruja untuk dibicarakan, iaitu ilmu yang bermanfaat. Sebagai guru dirasakan banyaklah peluang untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Atau selagi hidup adalah peluang untuk berbuat demikian. Tapi jika selepas mati tiadalah lagi peluang jika semua ilmu yang tersemat di dada dibawa pergi bersama kita, selepas tamatnya riwayat kita di dunia fana. Jadi bagaimana boleh diteruskan menyebar ilmu yang bermanfaat sesudah hidup kita?
Nabi Mohamad saw semasa hayat baginda telah menitahkan sahabat-sahabat menulis ayat-ayat suci Al-Quran, setelah ramai sahabat yang huffaz gugur di medan peperangan. Sahabat-sahabat dan ulamak-ulamak juga menulis hadith-hadith Rasulullah untuk sekalian umat memanfaatkannya. Jadi sepatutnya kita juga perlu menuliskan ilmu yang kita ada untuk ditinggalkan, supaya ia boleh terus memberi manfaat kepada kebaikan masusia sejagat, selepas ketiadaan kita. Hal ini sepatutnya dikuasai dan diamalkan oleh kita umat Islam, kerana telah dilakukan dan ditunjukkan oleh Nabi besar junjungan kita yang amat dikasihi. Tapi ternyata kurang dihayati sehingga kita kurang menulis dan mencatat apa yang kita tahu untuk dimanfaati generasi selepas kita. Sebab itu banyak khazanah bangsa tidak dapat dipelajari oleh generasi muda kerana kurangnya penulisan yang dihasilkan.
Tetapi ini amat berbeza dengan masyarakat barat, mereka menghasilkan tulisan tentang pelbagai unsur kehidupan, yang ternyata menjadi ilmu yang bermanfaat kepada generasi muda, untuk meningkatkan jati diri dalam menjalani kehidupan mereka. Amatlah malang bagi kita sebenarnya jika kita kurang sedar tentang kepentingan menulis ilmu untuk ditinggalkan kepada generasi mendatang. Marilah kita sama-sama berjuang untuk mencatatkan ilmu dalam apa bentuk sekalipun, supaya generasi muda kita nanti tidak mendapat ilmu yang kurang tepat, kerana ditulis oleh orang luar mengikut kaca mata mereka.
Penerima Anugerah Numismatik Di Majlis Makan Malam |
No comments:
Post a Comment