Monday, December 22, 2014

ILMU YANG BERMANFAAT

Majlis Pelancaran Buku 'Ceritera Ringgit' Di Kuantan

Jika direnung semua orang tahu, tiada yang kekal buat manusia selepas hidupnya, kecuali empat perkara: amalan baik, anak yang soleh, sedekah jariah, dan ilmu yang bermanfaat.  Saya ingin berkongsi tentang perkara yang keempat yang amat dirasakan teruja untuk dibicarakan, iaitu ilmu yang bermanfaat. Sebagai guru dirasakan banyaklah peluang untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Atau selagi hidup adalah peluang untuk berbuat demikian. Tapi jika selepas mati tiadalah lagi peluang jika semua ilmu yang tersemat di dada dibawa pergi bersama kita, selepas tamatnya riwayat kita di dunia fana. Jadi bagaimana boleh diteruskan menyebar ilmu yang bermanfaat sesudah hidup kita?

Nabi Mohamad saw semasa hayat baginda telah menitahkan sahabat-sahabat menulis ayat-ayat suci Al-Quran, setelah ramai sahabat yang huffaz gugur di medan peperangan. Sahabat-sahabat dan ulamak-ulamak juga  menulis hadith-hadith Rasulullah untuk  sekalian umat memanfaatkannya. Jadi sepatutnya kita juga perlu menuliskan ilmu yang kita ada untuk ditinggalkan, supaya ia boleh terus memberi manfaat kepada kebaikan masusia sejagat, selepas ketiadaan kita. Hal ini sepatutnya dikuasai dan diamalkan oleh kita umat Islam, kerana telah dilakukan dan ditunjukkan oleh Nabi besar junjungan kita yang amat dikasihi. Tapi ternyata kurang dihayati sehingga kita kurang menulis dan mencatat apa yang kita tahu untuk dimanfaati generasi selepas kita. Sebab itu banyak khazanah bangsa tidak dapat dipelajari oleh generasi muda kerana kurangnya penulisan yang dihasilkan.

Tetapi ini amat berbeza dengan masyarakat barat, mereka menghasilkan tulisan tentang pelbagai unsur kehidupan, yang ternyata menjadi ilmu yang bermanfaat kepada generasi muda, untuk meningkatkan jati diri dalam menjalani kehidupan mereka. Amatlah malang bagi kita sebenarnya jika kita kurang sedar tentang kepentingan menulis ilmu untuk ditinggalkan kepada generasi mendatang. Marilah kita sama-sama berjuang untuk mencatatkan ilmu dalam apa bentuk sekalipun, supaya generasi muda kita nanti  tidak mendapat ilmu yang kurang tepat, kerana ditulis oleh orang luar mengikut kaca mata mereka.

Penerima Anugerah Numismatik Di Majlis Makan Malam
Saya amat bersyukur kerana turut terlibat dalam penghasilan buku Ceritera Ringgit (1500 - 2014). Bukanlah mudah menerbitkan sebuah buku kecil ini, yang kelihatan seperti sangat ringan dan santai isinya. Dengan kesibukan tugas seharian, dengan usia yang sudah semakin lanjut adanya dan kudrat yang semakin kurang, buku ini amat bermakna kepada kita semua. Sesungguhnyan kami amat bersyukur adanya. Tahniah papa, sesungguhnya anda kebanggaan keluarga. Semoga tulisan papa bakal memberi ilmu yang bermanfaat kepada kami semua, insyaa Allah.

Tuesday, December 16, 2014

ANAK CERMINAN IBU AYAH VICE VERSA


Melihat gelagat anak-anak yang hadir bersunat atau khatan beramai-ramai, macam-macam perkara yang boleh diterjemahkan dalam kehidupan kita. Ada yang datang menangis, ada yang tersenyum, ada yang diam membisu, dan yang paling ketara, ada juga yang cuba lari untuk dapat elak dari dikhatankan. itu perkara biasa kerana sudah lumrah anak-anak kecil memang belum faham apa-apa lagi. Tapi dari sini kita dapat lihat dengan jelas, ada anak yang kekar kuat dan kental semangatnya, ada anak yang rapuh jiwanya dan sangat manja pula, ada anak yang mudah dipujuk, baik dan sabar orangnya dan ada juga  anak yang bengkeng dan perengus tidak mengira siapa-siapa, dan ada juga anak yang sudah pandai 'peras ugut' orang tuanya pula. 
Pada masa yang sama dapat dilihat pula gelagat orang tua mereka pula yang berbagai-bagai juga. Ada ayah yang takut melihat Doktor melakukan khatan, memalingkan muka ke arah lain kerana rasa tidak sanggup dan berasa 'takut' barangkali. Ada ayah yang sungguh peka berada di sisi anak membelai dan memberi semangat dengan penuh sabar dan yakin. Ada ayah yang berdiri tercegat di hujung katil kemudian nampak longlai dan terus nak pitam takutkan darah. Ada ayah bersama dengan ibu berpadu tenaga memberi semangat untuk anak terus yakin menjalani prosedur sehingga selesai. Dan yang paling tersentuh hati, ada ibu dengan penuh kasih sayang membujuk anak supaya sabar menghadapi suasana yang dilalui dengan penuh yakin dan tabah.

Begitulah asam garam masyarakat yang terpancar daripada aktiviti harian yang ditempuhi. Gaya kita bertindak menghadapi sesuatu tingkah laku sebenarnya banyak bergantung kepada suasana emosi dan kebiasaan yang dilalui di rumah. Stail dan gaya anak sebenarnya, sangat bergantung kepada sosialisasi dan suasana kehidupan yang terjadi di rumah. Sikap ibu ayah sebenarnya, sangat berkesan sehingga meresap di kalbu anak-anak dan membentuk satu kebiasaan pula. Begitulah adanya suatu lumrah kehidupan yang dapat dilihat di sekitar kita. Begitulah yang dikatakan pujangga, selalunya dengan izin Allah, anak-anak adalah cerminan ibu bapanya. Wallahuaklam bissawab.....

Sunday, November 9, 2014

KASIHNYA IBU



Tulisan ini kutujukan kepada semua yang bergelar ibu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini hati jadi gundah gulana. Barangkali mengenang urutan perjalanan hidup yang jauh telah dilalui. Barangkali juga dek kerana tersentuhnya hati melihat ibu yang sudah semakin hilang upaya. Masih jelas dalam ingatan masa masih di usia kanak-kanak. Waktu itu ibu masih muda. Aku dalam lingkungan usia enam tahun barangkali. Saban petang aku bersama adik yang masih dibawa atas 'bicycle-babyseater', dengan ghairahnya dibawa untuk melihat tapak rumah dan rumah baru yang sedang dibina. Ibu selalu menyebut nanti kita pindah rumah baru. Aku sungguh gembira walaupun masih tidak faham apa-apa. Tak lama selepas itu banyak ingatan mengambil tempat di rumah baru.

Antara yang masih terbayang, setiap pagi aku akan meninjau-ninjau di tepi jendela melihat-lihat telatah dan karenah budak-budak yang bersekolah. Dari tingkap jendela sangat jelas kelihatan pelajar sekolah rendah berbaris, berada di tapak perhimpunan, mendengar guru berucap kemudian bersurai masuk ke kelas. Selepas itu aku dapat bayangkan guru masuk ke kelas, mengajar dan meninggalkan kelas, kerana semuanya dapat di dengar dengan jelas dari tingkap jendela rumah kami itu.

Tiba masa aku masuk sekolah setiap pagi emak hantar aku, naik basikal ke sekolah, dari depan rumah hingga ke depan pintu sekolah; setiap pagi dari darjah satu hinggalah aku sudah boleh ke sekolah sendiri, aku kurang pasti darjah berapa. Bila hari hujan emak tuntun basikal kerana jalan licin, tapi aku masih di atas basikal. Emak tak mau baju sekolah aku basah dan tak mau kasut sekolah aku kotor, jadi yang bergelumang dengan tanah selut ialah kasut emak, yang menuntun basikal membawa anak yang sangat dikasihinya. Emak memang sangat teliti dengan kebersihan uniform sekolah aku sehingga markah kebersihan aku selalu dan setiap masa mendapat A. Begitulah juga bila adik masuk sekolah dia juga mengalami proses yang sama. Dan aku yang berjalan kaki, bila hari hujan dibalutkan kasut yang kupakai dengan plastik agar tidak terkena tanah selut yang boleh mengotori kasutku yang sentiasa putih. Begitulah saban hari, pagi dihantar, tengah hari dijemput pulang.

Jika dikenang-kenang, sungguh sangat bertenaga emak pada waktu itu. Segalanya dibuat dengan penuh kasih sayang supaya anak-anak yang amat disayangi menjadi manusia berjaya di dunia akhirat. Sekarang dia sudah kurang tenaganya. Lututnya yang kuat dulu sudah berganti dengan lutut yang baru selepas pembedahan, sudah tidak sekuat dan segagah dulu lagi. Tenaganya yang tegar, sudah sedikit  lemah, sehingga kini tidak berdaya lagi dia berjalan ke sana sini, dengan sesuka hatinya. Sedihnya aku melihat perubahan yang dilalui oleh mak, Tersentuhnya hati kecil ini mengenangkan kasihnya ibu waktu aku kecil-kecil sehinggalah aku dewasa.

Ya Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani, ampunilah dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani kami  dan memelihara kami sewaktu kami kecil-kecil dahulu. Amin




Wednesday, November 5, 2014

JANGAN TERPEDAYA






LIHATLAH BAGAIMANA IBLIS DARI AWAL LAGI SUDAH MENYATAKAN DIA TIDAK MAHU BERTANGGUNGJAWAB ATAS SEGALA KESALAHAN YANG DILAKUKAN MANUSIA DI MUKA BUMI INI, KERANA DENGAN JELAS DINYATAKAN DIA TAKUT DENGAN ALLAH. MARILAH  KITA BERDOA SUPAYA KITA DIJAUHI DARIPADA GANGGUAN DAN GODAAN SYAITAN LAKNATULLAH. SEMOGA KITA TIDAK TERPEDAYA DENGAN GULA-GULANYA YANG SUNGGUH MENGGODA. AMIN

HIBURAN YANG MENGASYIKKAN




Marilah kita menghayati firman Allah tersebut untuk kita muhasabah diri kita dan keluarga kita supaya kita tidak terpedaya dengan kesenangan dan indahnya hiburan di dunia ini yang sungguh mengasyikkan. Semoga kita termasuk golongan yang mengutamakan dunia dengan mendapat keredhaan Allah, iaitu dengan sentiasa mengingat akhirat dalam apa jua yang dilakukan di dunia ini.

BERMULANYA KESALAHAN MANUSIA


DIKONGSI DRP TAZKIRAH  PAGI
JURANITA LORONG PIPIT
29 SEPT 14

Menurut Ibn Qayyum sejarah manusia mula melakukan kesalahan di muka bumi ciptaan Tuhan ini, disebabkan 3 perkara iaitu sombong, tamak haloba dan hasad dengki. Ibnu Qayyum menyebutkan bahawa bermulanya kesalahan manusia disebabkan kerana 3 sifat utama, yang kesemuanya ada dan dimiliki oleh iblis, kemudian dibisikkannya kepada manusia. Ini jelas digambarkan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah AlKahfi,

1. SOMBONG
Sombong sama dengan takabbur, dan takabbur hanya milik Allah semata-mata.  Cuba kita renungkan, contoh terbaik sifat ini ada pada iblis laknatullah dan sungguh jelas iblis menderhaka perintah Allah kerana sombong dan takabbur, akan keturunannya yang dikatakannya lebih mulia, seperti firman Allah dalam ayat Quran yang diberikan di sebelah. Nanti iblis akan tercampak ke dalam neraka jahannam, kerana kesombongannya engkar terhadap perintah Allah subhanahuwataala. Orang yang sombong cenderung untuk merendahkan orang lain. Yang pada akhirnya menolak kebenaran yang disampaikan

2. TAMAK HALOBA

Sifat tamak adalah sifat yang tidak pernah puas dengan apa yang diberikan Allah. Akhirnya sifat tamak haloba yang menjadikan manusia bersifat rakus, akan menyebabkan seseorang menjerumuskan dirinya sebagai manusia, ke jurang kebinasaan dengan tidak memandang halal dan haram,  benar atau salah. Yang penting tercapai apa yang diinginkan  kerana tamak dan halobanya.

3. HASAD DENGKI

Sifat hasad dengki merupakan penyakit rohani manusia yang tidak pernah puas hati dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dengan kenikmatan yang dimiliki oleh orang lain dan oleh itu seseorang itu akan sentiasa berusaha untuk menghilangkan kenikmatan tersebut. Orang yang memiliki sifat hasad dengki akan mencari-cari alasan yang akhirnya timbul fitnah terhadap orang yang tidak disenangi tersebut.

Ya Allah jauhkan kami daripada sifat tercela yang akan menjatuhkan kami ke dalam azab-Mu. Berikan kepada kami kekuatan untuk dapat melaksanakan segala perintah-Mu dengan sebaik mungkin. Lindungilah kami daripada godaan dan bisikan syaitan yang direjam. Aamiiin !

Saturday, September 13, 2014

AWESOME QUOTES : THINKING AHEAD VERSES THROWBACK 1


Sudah lama tidak menulis, mungkin sibuk dengan schedule yang padat. Sejak jadi orang yang bersara (YB) memang tiada banyak masa terluang. Jadi tidak sempat pula untuk banyak berblogging. Tapi bila terbaca status FB along, THINKING AHEAD, terasa terpanggil pula mencurahkan idea seadanya. Idea ini barangkali sudah sangat lama, barangkali juga ada antaranya anak-anak mama sudah lupa, kerana sudah lama dilaksana, sudah berpuluh tahun dilalui bersama, tidak lain tentunya dalam membesar dan mendidik anak-anak mama yang sangat dicintai adanya.

Kini semuanya sudah besar panjang dan berjaya pula, sudah mempunyai kehidupan sendiri dan baru pula memulakan kehidupan berkeluarga tentunya. Dalam keterujaan anak-anak mama melayari bahtera kehidupan, dengan penuh harapan, maka selalu juga ditinjau-tinjau, langkah-langkah yang cuba dipelajari, untuk menjadi panduan ke arah menghasilkan anak-anak yang cemerlang di dunia dan cemerlang pula di akhirat.

Untuk semua anak mama, marilah kita kenangkan semula saat-saat manis kita,  yang Allah dorongkan kepada kita, yang memungkinkan takdir tertulis seperti adanya. Sesuailah sangat along memberikan  perhatian kepada petikan : Awesome quotes : 20 things mother should tell her son. Mama sungguh gembira kerana inilah yang pernah mama buat  tiga puluh tahun yang lalu, dengan sungguh-sungguh. Dengan izin Allah jualah,  anak-anak mama lelaki dan perempuan, semuanya menjadi seperti adanya sekarang.

Berikut adalah BEBERAPA PETIKAN tentang perkara yang DIPILIH  untuk direnungi, kerana dulu pernah mama beritahu kepada anak-anak mama, sama seperti yang diberikan penulis yang along petik tentang Awesome Quotes ...

PETIKAN 1  -     Main sukan, atau apa juga kegiatan seumpamanya.  
Mama tidak pernah menyuruh anak-anak mama giat dalam sukan di sekolah, tapi mama menggalakkan aktiviti-aktiviti yang sepertinya. Sukan atau apa saja aktiviti mengajar anda bagaimana untuk mencapai kemenangan dan melaluinya mendapat penghormatan, dan jika sebaliknya, dapat mengajar kita menerima kekalahan. Bukan itu saja, tapi melaluinya dapat dipupuk hormat undang-undang, bekerja sama dengan orang lain, menguruskan masa dan menghindari masalah. Kalau anak mama masih ingat, semua terlibat dengan aktiviti kokurikulum. Yang paling klasik, semua masuk pancaragam  sekolah, semua main pianika kecuali along main dram dan trumpet. Mama rasa inilah antara aktiviti yang membentuk anak mama memiliki jati diri yang kental. Di samping itu, kalau masih ingat setiap hujung minggu semua orang pergi belajar  musik, belajar main piano dengan cik gu Musalmah dan terakhir dengan Miss Teoh. Semua orang ada sijil piano, serendah  gred Four hingga setingginya gred Six. 

Masa along dan angah masih kecil, mama masih ada masa menghantar mereka ke kelas lukisan. Mula-mula mereka belajar mewarna, sungguh cantik dan pandai mereka mewarna gambar-gambar yang diberikan, cik gu mereka selalu puji lukisan yang diwarna cantik.  Selepas itu mereka meniru lukisan pula,  tapi bila sudah besar sedikit, masa pun semakin kurang jadi terpaksalah berhenti untuk aktiviti lain kerana kekurangan masa. Jadi alang dan adik tidak berkesempatanlah belajar lukisan, kerana ada aktiviti lain yang dirasakan lebih sesuai untuk kesemuanya. 

Kemudian mereka belajar berenang. Sibuk juga mengikuti kelas berenang kerana semua aktiviti terpaksa diaturkan di hujung minggu ataupun waktu petang dan malam. Barangkali aktiviti ini kurang diingati kerana dilaksanakan waktu along, angah dan alang masih terlalu kecil. Tapi inilah antara aktiviti yang amat digemari dan ditunggu-tunggu. 

Aktiviti lain yang diberikan ialah belajar mental arithmatik dengan menggunakan sempoa. Semua pergi kelas ini, tak taulah hasilnya macam mana, tapi yang dapat dilihat semuanya dapat cepat mengira. 

Kesimpulannya dapat dilihat berlaku perkembangan minda otak kiri dan otak kanan. Juga dapat dilihat pembentukan self esteem yang cukup baik. Tambahan pula melaluinya terbentuk pelbagai kemahiran lain seperti menyanyi dan sebagainya yang membantu perkembangan kemahiran bersosial mereka semasa remaja.
      
PETIKAN 5  -  Tunjuk cara guna  peralatan penting
Oleh kerana mama bekerja maka diajarkan anak-anak menguruskan diri sendiri, jadi diajarkan cara menggunakan mesin basuh, Setiap hujung minggu semua akan membasuh baju sendiri selepas telah siap memberus semua kotoran yang jelas. Juga yang paling kreatif basuh kasut sendiri pun menggunakan mesin basuh juga. Diajarkan juga menggunakan seterika, kerana semua akan sterika baju sendiri pada waktu itu.

Di samping itu setiap orang akan menggunakan vakuum, untuk membersihkan bilik sendiri, dan juga membantu mama untuk membersih ruang tamu, jadi diajarkan juga cara menggunakan vakuum. Dan yang paling penting diajarkan cara menggunakan oven mikrowave untuk memanaskan makanan, supaya dapat makan tengah hari atau minum petang dengan sendiri. Selepas makan, sudah tentulah semua mesti basuh pinggan mangkok sendiri. Jika terdapat makanan yang tertumpah perlu disapu, jadi diajarkan juga cara menggunakan penyapu

Kesimpulannya selepas diajar cara penggunaan,  minta mereka buat sendiri:  basuh baju sendiri, berus dulu sebelum masuk mesin, seterika baju sendiri, basuh pinggan masing-masing sendiri, sapu sampah, vakuum bilik sendiri dan bantu vakuum ruang tamu, juga panaskan makanan dalam oven mikrowave untuk makan sendiri. Alhamdulillah mereka memang pandai melaksanakannya dengan baik. 

PETIKAN 6  -     Hafal doa dan latih menjadi pemimpin 
imam sembahyang, ajar adik  mengaji. 

AWESOME QOUTES: 20 THINGS MOTHERS SHOULD TELL HER SON
1.   Main sukan, atau apa juga kegiatan seumpamanya. 
2.  Jaga batasan pergaulan dengan perempuan. Jangan buat sesuatu yang awak tidak suka orang lain buat kepada adik perempuan awak. Jangan terlanjur tiada gunanya berdosa. 
3.       Beringat bila hendak buang air, pastikan sempat ke tandas jika tidak, kita terpaksa membersihkannya, jadi lebih leceh.
4.       Jimat wang apabila anda masih muda kerana anda akan memerlukannya suatu hari nanti. 
5.       Tunjuk cara guna mesin basuh, seterika, vakuum, oven, pinggan mangkok, dan penyapu. Kemudian minta mereka buat sendiri:  basuh baju sendiri, berus dulu sebelum masuk mesin, seterika baju sendiri, basuh pinggan masing-masing, sapu sampah, vakuum bilik dan ruang tamu, dan panaskan makanan dalam oven mikrowave. Mereka memang pandai melaksanakannya dengan baik. 
6.       Hafal doa dan latih menjadi pemimpin – imam sembahyang, ajar adik  mengaji.
7.       Jangan buli orang dan jangan bergaduh, kalau orang kacau pertahankan diri.
8.       Belajar supaya pandai, ingat ilmu pengetahuan amat berharga, tiada siapa boleh mengambilnya daripada kamu, sangat rugi jika anugerah Allah iaitu otak yang pandai tidak digunakan untuk  mendapat kecemerlangan dalam pengetahuan dan pendidikan yang Allah kurniakan. 
9.       Hormati wanita atau orang perempuan.  Anda tidak boleh menghindarkan diri daripada wanita, sepanjang  hidup, elakkan membenci mereka.   
10.   Beri keutamaan kepada  penampilan anda supaya sentiasa kelihatan kemas dan bergaya. 
11.   Mesti sentiasa kuat tetapi bersifat lemah lembut pada masa yang sama. 
12.   Seorang wanita boleh melakukan apa sahaja yang boleh anda lakukan. Ini termasuk  mempunyai kerjaya yang berjaya dan menukar lampin pada jam 03:00 pagi. Jadi perasaan  saling menghormati adalah kunci kepada hubungan yang baik. 
13.   Sifat hormat "ya mama" dan "ya papa" mesti dipegang kuat sepanjang hayat. 
14.   Sebab anggota badan dipanggil bahagian sulit, adalah kerana ia tidak boleh ditunjuk kepada khalayak ramai atau khalayak ramai tidak boleh melihat anggota tersebut, apatah lagi orang lain memegangnya sangat memalukan. 
15.   Jangan ikut pengaruh rakan sebaya yang buruk ia satu perkara yang menakutkan. Jadilah kawan yang baik kepada rakan sebaya, pasti mereka akan mengikut dan mengiktiraf kamu. 
16.   Berilah  bunga kepada yang dikasihi walaupun tanpa sebab, ia adalah perlakuan dan idea yang baik untuk diamalkan. 
17.   Adalah lebih baik untuk kita sentiasa berbuat baik daripada  sentiasa menunjukkan kita betul. 
18.   Suka bergurau dan berjenaka boleh menghiburkan dan menyebabkan kita sentiasa disenangi dan diingati. 
19.   Sila pilih pasangan anda dengan bijak. Menantu  perempuan mertua akan menjadi pengawal kepada saya menghabiskan masa dengan anda dan cucu saya.
 20.   Sentiasa ingat untuk menelefon ibu anda kerana anda mungkin kehilangannya pada bila-bila masa