Monday, October 15, 2012

DOKTOR MUDA



Meraikan kejayaan yang diimpikan
 Alangkah gembira dan bersyukur kami bila alang sudah lulus periksa, dan berjaya menjadi doktor seperti papa. Tambah gembira lagi apabila alang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, cuma sepuluh minit perjalanan dari rumah kami. Posting pertamanya di Unit Surgical, nampaknya sangat mencabar. Setiap pagi jam 5.30 pagi dia sudah siap sedia menuju ke hospital mengharungi kelam malam di awal pagi, tujuh hari seminggu. Hampir setiap hari selama dua minggu pertama, aku jarang bertemu muka dengannya, kerana perginya di awal pagi dan pulangnya lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Kasihan anak mudaku ini, sangat tekun, sabar dan tabah. Kadang-kadang papa dengan senyum berkata, 'Kasihan anak papa.... Teruk juga kerja doktor ni? Tapi pasai pa semua orang nak jadi doktor?  Emak bapa kalau boleh, nak,  biarlah seorang anak mereka jadi doktor, seorang pun jadilah."


Ready to work..........
"Tu la teruk juga, tapi ok ja. Kawan alang dah ada yang jumpa Psychiatrist, tak tahan tensyen."  Kami terkedu, diam-diam kami rasa sungguh bersyukur. Syukur ya Allah, Engkau berikan kami seorang anak yang kuat jati dirinya. Engkau kurniakan kami seorang anak, seorang doktor muda, yang sedar diri, sedar tanggung jawab dan boleh mengharungi cabaran dengan baik. Semoga segala tugasmu. segala pengorbananmu mendapat balasan dari Allah dan mendapat keberkatan juga dari Allah. Begitu jugalah pengorbanan yang dilalui oleh papa suatu waktu dahulu, tiga puluh tahun yang lalu. Pendek kata hampir semua orang seronok melihat doktor, seronok kalau boleh kerja doktor, tapi kita yang hampir dengan doktor dapat merasai bagaimana kehidupan dan pengorbanan seorang manusia kerdil bernama doktor.

Saturday, October 13, 2012

SEMANGAT YANG KENTAL....


Berada di kuburan abah pagi itu,teringat masa-masa abah masih bersama kami. Dia sangat kuat semangat, selepas dia diserang angin ahmar, dalam masa yang cukup singkat, dia sudah mula menapak, sedikit demi sedikit, sehinggalah dia boleh berjalan seperti sedia kala kembali. Tanpa jemu, tanpa banyak merungut, dia rajin buat senaman, dan rajin pula makan ubat dengan tekun. Tapi sebenarnya ubat yang paling mujarab ialah semangat yang kuat dan kental. Pernah suatu hari dia tanya, 'abah ni makan ubat sampai mati kot?.' Kami angguk dan dia pun nampaknya sangat faham. Jadi selepas itu bila ubatnya akan habis dia akan cepat-cepat telefon, minta dibelikan supaya ubatnya tidak putus.

Walaupun sudah boleh berjalan, tapi  kehidupan harian abah,  rutinnya  masih belum kembali  seperti normal. Dia masih belum bawa kereta, dan masih belum ke mesjid lagi. Suatu hari kami minta alang bawa abah dan mak jalan-jalan ke negeri Sabah, negeri di bawah bayu. Dia ingin sekali pergi melawat kak cik. Katanya kalau kak cik sudah habis belajar di Sabah, tentu susah nak melawat Sabah lagi, kerana tak ada orang di sana. Selepas seminggu abah balik dari Sabah, dia kelihatan sangat gembira, dia seolah-olah sudah kembali sihat. Hari pertama tiba di rumah dia terus bawa kereta pergi ke mesjid. Selepas itu dia kelihatan menjalani kehidupan seperti biasa kembali.

Memang betul kata papa, ubat yang palaing mujarab untuk kembali sihat ialah semangat. Selepas boleh melancong dia rasa dia sudah benar-benar sihat. Maka hiduplah dia seperti biasa, bawa kereta sendiri, hari-hari siap pergi ke mesjid, hari-hari jalan pagi-pagi dan buat apa saja yang dia rasa mampu, kerana semangatnya sudah mengatakan dia boleh.....

Thursday, October 11, 2012

PROGRAM PERTUKARAN BUDAYA





Penolong Kanan HEM  dan Guru Kanan Sekolah Kanchai Kampholanon
dalam perbincangan awal.

Sekolah Sadao Khanchai Kamphalanon  Anusorn, Thailand, telah membuat lawatan ke SMKSB, sebagai salah satu langkah ke arah program pengnatarabangsaan bagi kedua-dua buah sekolah. Rombongan dari sekolah ini terdiri daripada 41 orang  pelajar dan 12 orang guru, termasuk Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Kanan Bahasa Inggeris. 

Tujuan lawatan ialah sebagai mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah sekolah. Sebelum tarikh lawatan Guru Kanan sekolah tersebut telah membuat lawatan tapak bagi membincangkan program yang akan dilaksanakan pada hari tersebut. Jadi kedu-dua pihak bersetuju melaksanakan program yang boleh memberikan faedah kepada kedua pihak (win-win situation). Antara program-program yang telah dipersetujui bersama ialah program berbentuk kebudayaan seperti:
1.       Permaianan traditional (congkak dan batu seremban)
2.       Persembahan kebudayaan traditional (tarian, nyanyian solo dan bercerita)
3.       Makanan traditional (ketupat, rendang, kuih Loyang, kuih siput, rempeyek, peneram dan nasi impit)
4.       Sing Along Program dan aktiviti Bahasa Inggeris
5.       Kraf Tangan Kedua-dua Negara Malaysia dan Thailand
6.       Pakaian Traditional bangsa Melayu , China,  India dan Panjabi
7.       Pertandingan Sukaneka pelajar kedu-dua buah sekolah.

Semua program yang dirancang telah dilaksanakan menggunakan medium Bahasa Inggeris atas persetujuan bersama. Hal ini kerana tujuan lawatan pelajar dan guru dari Negara jiran itu bertujuan untuk meninjau kecemerlangan penguasaan Bahasa Inggeris di  Malaysia amnya dan di SMK Sultanah Bahiyah khususnya. Ini bertujuan meningkatkan pengalaman dan pengetahuan mereka tentang teknik-teknik pemupukan penguasaan Bahasa Inggeris yang digunakan di SMKSB untuk diaplikasikan di sekolah mereka bagi peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar-pelajar mereka.

BILA ABAH TIADA........


Baru seminggu tidak sempat aku balik ke kampung menjenguk emak yang dikasihi, hati sudah rasa kurang senang. Masa yang sedikit terpaksa aku agihkan  antara anak cucu dan ibu, Memang aku tunggukan hujung minggu ini untuk pulang, bagi meluangkan sedikit masa bersamanya. Tidak pernah aku abaikan masa untuknya. Dia sudah tua, barang kali tidak lama lagi, dia dapat bersamaku. Masa yang amat berharga bersamanya, memang aku usahakan juga, walau sesibuk mana sekalipun. Paling tidak seminggu sekali, atau jika perlu lebih dari itu, aku tidak peduli, akan aku penuhi.

Emak tidak mahu ke mana-mana, kecuali dengan anak cucu

Walau amat singkat masa kami bersama, makan-makan, bertanya khabar, dan mendengar cerita, tapi ternyata ia amat berharga. Emak kelihatan sungguh ceria, bila kami tiba, tambah lagi kalau ada cucunya, senyum sampai ke telinga. Aku pun sungguh bahagia dapat menyenangkan hatinya, Sejak abah tiada, saban minggu kami menemaninya, menghiburnya, dan memenuhi permintaanya. Semuanya dengan harapan dia akan terus bermaya meneruskan hidup ini dengan ceria.......




Tuesday, October 9, 2012

APA DAH JADI??????


Pagi kelmarin kami terpaksa redha dengan tindakannya, walaupun sebenarnya kami sangat kecewa. Semua dah kami buat, telefon waris, telefon nombornya, dan akhirnya telefon jiran yang  terdekat. Semunya dengan harapan kami dapat membantu dia menduduki peperiksaan untuk masa depannya, yang barangkali dia masih belum mengerti kepentingannya. Tapi semuanya gagal juga. Dia telah memilih jalannya yang dirasakan terbaik untuknya, jalan tidak hadir untuk menduduki peperiksaan awam yang sangat penting.

Pagi ini tiba-tiba dia muncul dengan muka selamba, tiada sebarang riak sedih, atau kesal, atau rasa segan silu, tiada apa perasaan pun yang tergambar, …. kelihatan kosong dan hambar. Tiada perasaan apa-apa…..  Manusia jenis apakah ini yang begitu kering hatinya dan perasaannya?  Manusia jenis apakah ini yang tidak langsung ada sedikit hati untuk mendengar kata orang?. Manusia jenis apakah yang kelihatan langsung tiada perasaan? Manusia bagaimanakah sehingga tidak langsung tahu dan menghargai kasih sayang dan harapan orang? Di manakha silapnya???

Jika dikatakan kita tidak beri perhatian, kita menghabiskan semua masa dan tenaga untuk memberikan kasih sayang. Jika dikatakan kita tidak penyayang kita telah korbankan jiwa raga untuk memberi yang terbaik untuk masa depannya. Nasihat, tunjuk ajar, tunjuk cara, teguran, bimbingan, belaian, tazkirah, sentuh hati, sentuh rasa……. Pendek kata semua usaha yang terdaya telah kita laksana. Dari segi sistem persekolahan rasanya sudah tiada yang silap. Dari segi pelaksanaan FPK sudah sudah dihayati dan diberi penegasan, serta dilakukan sebaik mungkin.

Malang sungguh, malang sungguh...... Sekolah tidak dapat berdiri sendiri, segala hasrat kerajaan dalam pembentukan modal insan tidak mungkin akan tercapai hanya dengan kerja kuat guru-guru, hanya dengan kesungguhan Pentadbir dan wawasan Menteri. Faktor di atas hanya boleh menjadi pemangkin kepada faktor yang paling amat penting iaitu perhatian, asuhan dan kasih sayang ibu bapa. Jika anak diberi perhatian sewajarnya oleh ibu bapa dengan penuh rasa kasih sayang dan rasa tanggung jawab dan dapat dirasai oleh anak pula, sudah pasti pembentukan modal insan terlaksana dengan mudahnya. Sudah tentu anak akan lebih lembut hatinya, baik perangainya, prihatin, sedar diri, perasa dan pengasih pula. Tapi sekarang dengan arus pemodenan ramai ibu bapa berpecah belah, anaklah mangsanya. Ramai ibu bapa sibuk anak jugalah mangsanya. Ramai ibu bapa hanya mengharapkan anak cemerlang dalam peperiksaan, anak jugalah mangsanya... Barang kali inilah antara sebabnya, ada antara anak-anak  kita yang hatinya menjadi keras dan tidak perasa........


Monday, October 8, 2012

YANG LAMA ITU BURUK........


Kita orang Melayu, bila ada sesuatu yang lama dikatakan itu benda buruk. Benda buruk biasanya kurang dijaga, kurang diberi perhatian, dan dan dianggap kurang berharga pula. Boleh dikatakan hampir semua benda dalam masyarakat kita menerima nasib yang sama. Sebab itulah jarang orang-orang kita menyimpan benda-benda milik sendiri pun, yang lama kerana barang lama memerlukan penjagaan, dan ramai pula menganggap barang yang  lama akan menyusahkan kita. Barang lama perlu disimpan, dan terkadang memerlukan ruang pula. Bukan barang sahaja tapi bangunan lama juga, dirasakan sebagai membebankan kita, kerana memerlukan belanja yang besar untuk diselenggarera. Sebab itulah banyak bangunan lama kita tidak terjaga dan tidak terpelihara.

City Campus Universiti Liverpool
Berbeza sekali dengan masyarakat di barat, barangan lama akan dijual, paling tidak di pasar lambak "car boot sale" atau dihantar ke "charity shop" untuk dijadikan sumbangan kepada yang memerlukan. Di Jepun pula, barangan lama tidak dibuang, sebaliknya akan di masukkan ke dalam kotak dengan elok-elok dan kemas, kemudian diletakkan di tempat buangan khas dan ditulis "sila ambil" untuk diberikan kepada yang memerlukan secara percuma, misalnya kipas angain, peti sejuk dan lain-lain lagi barang keperluan yang tidak diguna pakai lagi.

Di barat, bangunan lama berusia beratus tahun sekali pun masih tampak cantik, kuat dan unggul. Masih teringat, Banguanan Merah Viktoria di Liverpool yang berusia 120 tahun, masih kekal tersergam, sejak tahun1895 lagi dan kini menjadi mercu tanda kebanggaan Kota Budaya itu. Bangunan itu menjadi sebahagian daripada bangunan utama Universiti Liverpool, yang kini menjadi Galeri dan Museum sejak tahun 2008. Berjalan di hadapan bangunan setua itu, sangat terasa keagongannya, sangat terasa kemegahannya, dan kita rasa sangat kagum kerana ia dijaga dengan sebaiknya sehingga dapat kita nikmati sejarahnya sehingga kini.



Wednesday, September 26, 2012

TAZKIRAH PAGI 28 MEI 2012


Sudah menjadi amalan waktu cuti sekolah, akan diadakan perjumpaan pagi, untuk memberi peluang semua staff berjumpa, bertemu muka dan menyelaraskan tugas-tugas pada musim cuti. Pagi ini staf diperingatkan tentang sifat amanah dalam melaksanakan tugas. Dalam melaksanakan amanah, maka kita perlu memaksimumkan kerja pada setiap masa dan setiap hari. Elakkan membuang masa dengan keluar membeli makanan di luar sekolah. Untuk itu seeloknya kita membawa bekal ke pejabat atau atau memesan makanan kepada kawan yang boleh dibeli semasa dalam perjalanan datang pejabat waktu awal pagi. Dengan cara ini kita juga boleh menjimatkan masa, wang dan juga tenaga, supaya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya di tempat kerja.

Perkara kedua yang dikongsi bersama ialah sifat saling hormat menghormati, dan mempunyai persefahaman dan ikatan yang erat antara satu sama lain. Salah satu cara mengeratkan hubungan sesama satff di pejabat ialah sentiasa memberi senyuman antara satu sama lain. Dengan senyuman, selain mendapat pahala kerana senyum itu satu sedekah, akan dapat menjadikan seseorang itu rasa disenangi dan dihargai. Jadi apabila semua orang merasa senang dan selesa di tempat kerja,  ini akan dapat meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

Seterusnya, dikongsikan juga sebuah hadith Nabi ke arah mengeratkan hubungan di tempat kerja melalui penghayatan  sifat-sifat ahli syurga seperti berikut;
  1. Apadila berkuasa untuk bersedekah, sukalah bersedekah, ada kuasa untuk adil, akan berlaku adil, apabila berkuasa untuk melakukan kebenaran, akan berusaha ke arah melaksanakan kebenaran dan memastikan mengikut jalan kebenaran
  2. Mempunyai hati yang penyayang, dan hati yang lembut terutamanya kepada sanak saudara dan sesama manusia di tempat kerja
  3. Sentiasa menjaga, memastikan dan berusaha supaya rezeki yang dicari dalam keadaan yang halal.

Sebaliknya marilah kita sama-sama menjauhi sifat-sifat ahli neraka seperti berikut;
  1. Orang yang mengikut orang lain tanpa berfikir
  2. Orang yang suka khianat
  3. Orang yang suka berbohong dan menipu
  4. Orang yang bakhil dan kedekut
  5. Orang yang buruk perangai


Mudah-mudahan dengan berkongsi sedikit maklumat setiap pagi akan dapat mengeratkan silaturrahim sesama staff. Semoga semua staff akan terus cemerlang dan dapat meneruskan kegemilangan SMKSB sebagai sebuah organisani sesuai dengan motto Centre of Excellent, insya Allah.