Wednesday, December 1, 2010

CANAL BUS TOUR (1) - KAPAL VOC


Awal pagi lagi kami sudah berada di terminal untuk canal bus tour sekitar Asmsterdam.




Selepas membeli one-day ticket, k
ami boleh naik bot, dan turun di mana-mana stesen yang kami pilih untuk melihat-lihat. Destinasi pertama kami, untuk melihat Maritime Museum di dock yard. Papa sangat teruja untuk melihat kapal VOC itu, yang telah ke Asia Tenggara dulu, dan menjajajah kita. Sampai di stesen kami turun, berjalan dalam cuaca mendung , sejuk dan nyaman. Angin bertiup dengan sungguh kencang tanda hari nak hujan. Lebih kurang 10 minit berjalan kami sampai di tepi kapal VOC, yang mempunyai sejarah yang tersendiri, bernama Amsterdam. Papa beli 2 ticket saja, sebab mama tak mau ikut naik kapal.




Selepas papa dan along naik kapal, mama melihat-lihat di sekitar kedai souvenir. Kedai itu s ebenarnya menjual barangan cenderamata yang pelbagai untuk Pusat Sains Nemo. Banyaklah permainan-permainan yang berasaskan prinsip sains dan mencabar minda yang sangat menarik. Pengunjung semuanya sangat seronok membeli untuk anak-anak kerana permainannya memang amat sesuai dengan kanak-kanak pun. Emak bapa pun memang sangat suka membeli dengan harapan anak-anak akan dapat dibentuk minda dan pemikiran, sehingga mereka pun akan menjadi anak yang pandai seperti saintis yang hebat dan terkenal.

Lama juga di kedai souvenir, setelah sudah meninjau-ninjau apa yang patut, aku berehat-rehat di Coffee shoppe, menikmati aroma kopi dan juga kesegaran kopi panas di dock yard. Ramai sungguh orang menjamu selera, makan tengah hari bersama keluarga di situ. Barangkali selepas puas berjalan-jalan di kapal VOC atau di Nemo Science Centre, sudah tentulah mereka lapar, tambah lagi jam sudah lebih pukul 12 tengah hari. Bau spaghetti orang di sebelah meja, memang sangat menjadikan aku lapar, tapi restoran ini tidak halal, jadi minum kopi dengan sandwic yang dibawa dari hotel, telah dapat mententeramkan perut yang sudah mula menyanyi lagu sedih, sementara menunggu-nunggu papa dan along menikmati dan merasai suasana pelayaran orang-orang Benggali Putih Belanda menjajah Nusantara. Papa dan along pun makan yang sama bila mereka selesai melihat kapal Belanda itu. Lepas itu kami berjalan balik ke stesen canal bas, tak jauh dari situ, untuk ke destinasi kedua.


Friday, November 26, 2010

St Helen Car-boot sale


Pagi itu hujan renyai-renyai, jadi cuaca sangat dingin. Walaupun masih terasa malas, untuk keluar rumah, tapi dek kerana kami sudah terlanjur berjanji dengan Nik dan emaknya untuk ke St Helen maka kami pun dengan penuh semangat bergerak keluar. Kedinginan pagi menjadikan kami lebih segar dan bertenaga. Kononnya di situ car-boot sale agak besar dan meriah, lagipun tidak terlalu awal beroperasi. Sesuailah dengan kami yang suka santai-santai dan relaks. Jam 9.00 pagi lebih kurang kami sampai ke situ, selepas satu jam perjalanan dari Liverpool. Hujan masih renyai-renyai, semasa ketibaan kami.

Kami menjamu mata. Bermula di tapak letak kereta, suatu padang parking lot yang luas, penuh dengan kereta-kereta yang memperagakan pelbagai barangan, kami meninjau-ninjau barangan yang ada. Namakan apa saja semuanya ada di situ – baju, baju sejuk, seluar, selimut, mainan, beg tangan, piring hitam dan entah apa-apa lagi. Hujan mula turun menyejukkan lagi pagi yang suram itu. Nasib baik barangan lama di sini dijual juga di parking lot bertingkat-tingkat – 7 tingkat semuanya. Jadi hujan pun tidaklah menghalang kami untuk terus menjamu mata.

Dengan tidak sedikit pun terburu-buru, kami membelek-belek barangan dari satu tingkat ke satu tingkat. Bang longlah yang paling banyak membeli, dia beli game dan cd filem-filem yang digemarinya. Papa juga beli satu dua barang yang memenuhi cita rasanya, juga barangan yang tidak memerlukan space yang banyak untuk dibawa balik ke Malaysia. Memanglah kalau lama tinggal di Liverpool sudah pasti banyaklah benda yang dapat dikumpul untuk dibawa balik sebagai koleksi. Memang sangat murah dan masih cantik-cantik lagi kualiti barangan yang dijual di car boot sale di sini.

Bagus juga budaya car boot sale ini. Kalau ada barang yang sudah tidak diperlukan, atau barangan yang sudah jemu digunakan tapi masih baru dan tidak sanggup untuk dibuang, maka boleh dijual, dan boleh juga dimanfaatkan oleh orang yang memerlukan. Di Malaysia kalau barangan yang aku tidak begitu guna, atau, tidak dipakai selalu, tak tau mana nak letak lagi, memenuhi ruang rumah. Nak diberi kepada orang, cita rasa tak sama, sekarang orang tidak suka barang percuma, orang yang susah atau dalam kesusahan pun sudah tidak pakai barang secondhand. Mangsa banjir pun tidak sudi lagi menerima dengan hati gembiranya. Alahai susah juga, Negara maju pemikiran kurang maju. Nasib baik jugalah sekarang kat Malaysia sudah ada charity shop, tapi masih belum banyak lagi. Cuma ada kat Bandar besar saja. Isy, isy……

CANAL BUS TOUR (2) WINDMILL OH! WINDMILL



Menaiki canal bus ke destinasi kedua mengikut peta yang disediakan, kami memilih untuk pergi melihat windmill. Kalau pelancong melawat ke Amsterdam pasti itulah antara tarikan yang patut dilihat, kerana sangat sinonim dengan Amsterdam. Kami tidak teruja untuk ke luar kota melihat windwill di kawasan pertanian, kerana perjalanan yang agak jauh, akan mengurangkan aktiviti kami sekitar Amsterdam yang sangat singkat – lima hari empat malam memang sangat suntuk, Cuma boleh pusing-pusing keliling bandar yang indah itu sahaja. Jadi berhampiran dengan Nemo Science Centre memang ada tinggalan windmill tidak jauh dari bandar, yang masih teguh, masih dijaga rapi dan masih berfungsi untuk dilihat oleh pelancong. Dari jauh kami sudah dapat melihat windmill yang tersergam itu, melalui tingkap bas air yang menyusuri terusan binaan manusia yang hebat di Bandar unik ini. Semua penumpang bas sibuk mengabadikan gambar windmill, termasuklah papa dan along. Dari bas yang melalui terusan memang sangat jelas, nampak dari hadapan, sisi, dan belakang. Agaknya memang sengaja dibina terusan yang menuju ke windmill itu, supaya menjadi tarikan pelancong yang tidak mahu berjalan jauh ke luar kota.

Bas air berhenti tidak jauh dari tempat yang nak dituju. Kami bersama penumpang lainnya turun untuk melihat windmill dari dekat. Lima minit berjalan kami tiba di hadapan windmill itu. Masya Allah, sangat dijaga dengan rapinya. Di sekitarnya ada lanskap penuh dihiasi pokok-pokok bunga, cantik, ceria segar dan mengasyikkan sungguh. Di bahagian hadapan ada restoran, ala kedai kopi mamak di Malaysia. Pelanacong yang berkunjung boleh menikmati hidangan, sambil tangkap-tangkap gambar. Masyarakat lokal juga suka makan-makan dan lepak-lepak di situ, udaranya nyaman, pemandanganya cantik dan kebanggaan milik bangsa mereka yang agong dari unsur budaya dan sejarah bangsa juga terjaga rapi, amat membanggakan bagi yang melihatnya.

Teringat aku unsur-unsur budaya bangsa kita yang juga, suatu ketika dulu sangat agong. Di mana letaknya jelapang padi yang gah ada di keliling kampung? Di mana adanya tong pemukul padi yang sangat berjasa kepada rakyat dan juga petani – tuan-tuan tanah yang kaya raya ketika dulu? Di mana boleh dilihat pengisar padi milik orang kaya bendang suatu ketika dahulu? Semuanya hilang ditelan zaman, semuanya sudah tidak dapat dilihat, sudah tidak dapat dinikmati, dan tidak juga dapat dirasai atau tidak langsung boleh menjadi kebanggaan bangsa dan tidak lagi menjadi satu penerusan unsur budaya agraria yang sebati dan agong suatu masa dahulu. Kita sesungguhnya pandai meniru, tapi kita tidak pandai menjaga, kita tidak pandai menghargai, kita juga tidak pandai mendokumentasi, dan mempamerkan keagongan kita sendiri untuk kita eksploit bagi menunjukkan keagongan kita. Alangkah.... alangkah ..... tak tahu apa yang patut dirasakan..... sungguh amat malang....! Janganlah hendaknya segalanya hilang berkubur sehingga tiada apa lagi yang boleh dibanggakan nanti, untuk generasi pewaris bangsa.

Saturday, November 6, 2010

AMSTERDAM THE SIN CITY 2

Menjejakkan kaki ke hotel tempat untuk penginapan sepanjang di Amsterdam sungguh menjadikan kami teruja. Kami memang tidak memilih mana-mana syarikat untuk membantu kami sepanjang kami berada di sana. Jadi kami memang buat keputusan untuk melancong dengan bantuan peta dan maklumat yang dibekalkan di kota itu. Di lobi hotel telah dibekalkan pelbagai jenis peta, untuk pelbagai jenis pelancong. Semasa di Schippol Airport juga, kami telah mendapat peta yang sudah agak lengkap, buat bekalan untuk melawat kota Amsterdam yang terkenal itu.

Papa memilih beberapa peta, membandingkan antara satu peta dengan yang lain. Mengambil mana yang menepati cita rasa buat pedoman untuk melihat-lihat dan melancong. Along juga memilih dua tiga peta yang sesuai. Aku juga memilih yang sesuai satu dua. Ada peta untuk pelancong memilih bagaimana cara untuk melancong di situ – menaiki basikal, menaiki trem, berjalan kaki, atau menggunakan canal bas. Menarik juga untuk diteliti dan merupakan pilihan yang sangat menjadikan kami teruja. Peta lain menceritakan aktiviti gay, dan Redlight Street sebagai satu aktiviti pelancongan. Bagi sebuah negara yang sudah dianggap maju, mengaku diri maju, menerima kehidupan di luar norma sebagai legal dan diterima masyarakat, tapi manusia tidak boleh membohongi diri sendiri, tentang apa yang boleh dan diterima conscious dan kata hati. Undang-undang boleh meluluskan sesuatu yang salah dari segi agama dan hak asasi manusia, sebagai diterima umum kononnya.

Contohnya, rata-rata dapat dilihat di poster, di peta, barang souvinir atau di baju-t di tuliskan Amsterdam The Sin City. Nampaknya, apa pun yang dibuat pemerintah, tidak sama dengan yang diyakini manusia sejagat. Manusia akan tetap mengatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah jauh di sudut hati yang tak terungkapkan, tapi amat dirasai dan diyakini. Itulah yang terlukiskan di Amsterdam. Itulah yang dipamerkan di Amsterdam – dihalalkan, tapi jauh di sudut hati tidak direstui, kerana manusia sampai bila pun tidak boleh membohongi diri sendiri.


Friday, October 29, 2010

AMSTERDAM THE SIN CITY


Lepas sarapan seawal 8.30 pagi kami sudah berada di luar Quint Hotel, menikmati udara segar lagi nyaman yang sungguh mengasyikkan. Duduk-duduk di depan hotel, dapat dirasai kesibukan, orang berpusu-pusu naik basikal ke tempat kerja. Berpakaian kemas dan cantik, dengan pelbagai jenis kot yang bagus-bagus, dengan sepatu hitam dan kasut bertumit tinggi, semuanya sungguh kelihatan seperti dalam filem klasik Inngeris. Macam-macam jenis basikal – besar, kecil, sporty, berdua, bertiga – pelbagai rupa yang tidak pernah dijumpa, dapat dilihat di sini. Bukan pergi kerja sahaja, tapi juga pergi ke sekolah dihantar ibu atau bapa, dengan basikal juga. Aduh, sungguh mengasyikkan. Mereka kelihatan sungguh sihat, segar dan bertenaga, kerana pagi-pagi lagi, sudah mulakan hidup dengan gaya hidup sihat.

Sambil menikmati udara pagi, kami melihat-lihat peta, untuk menentukan arah tujuan perjalanan kami pada hari ini. Papa memilih satu peta yang digemarinya kerana dia senang mencari lokasi dengan peta itu. Selepas membuat keputusan untuk ke beberap tempat, kami buat keputusan untuk berjalan kerana tempat pertama yang nak dituju tidak jauh antara satu dengan yang lainnya. Mula-mula kami menuju ke Flower Market – di situ dijual pelbagai jenis bunga tulip, benih bunga tulip, tulip ukiran, dan segala bentuk cenderamata untuk pengunjung.

Sukanya, memang sangat suka dikelilingi bunga pelbagai bentuk, pelbagai jenis dan pelbagai warna. Sungguh mengasyikkan, tapi aku sungguh takjub dengan kebesaran Tuhan yang menciptakan segalanya untuk dinikmati, yang memungkinkan segalanya untuk terjadi.

Sambil itu, dalam meneruskan perjalanan, papa mencari-cari kedai antik atau kedai buku supaya dia dapat merisik-risik jika ada wang lama, buku lama atau peta lama. Memang nasib papa baik kerana terjumpa sebuah kedai buku yang agak besar juga. Maka asyiklah papa memilih peta-peta lama yang memang sangat banyak dijual di kedai itu. Harganya pun taklah begitu mahal sangat – memang papa rasa sangat gembira dapat jumpa peta-peta yang memang dicari-carinya. Semasa di Portobello ada juga peta-peta yang dijumpainya, tapi harganya sangat mahal, rasa tak berbaloilah pula, jadi dia tidak membeli sangat di situ.

Selesai shopping peta, kami terus ke destinasi kedua, Pejabat VOC Holland. Kini menjadi sebahagian daripada bangunan milik Universiti Amstedam. Pejabat VOC, sebenarnya berada di banyak tempat yang menjadi cawangan-cawangannya, kerana ahli lembaga VOC terdiri daripada wakil-wakil daripada negeri-negeri kecil. Pejabat yang kami kunjungi ialah pejabat ahli lembaga VOC pusat, tempat semua wakil lembaga pengarah datang bermesyuarat untuk membuat keputusan.


Berada di pejabat itu, atau lebih tepat di kamar itu, dapatlah kami bayangkan betapa orang-orang Belanda bermesyuarat mengatur strategi perniagaan di luar negeri Belanda. Biliknya tidaklah sebesar mana, tapi pengaruh mereka sangatlah besar pada waktu itu. .Sungguh terasa mengaibkan. Cuma sebuah Syarikat perniagaan perkapalan, mereka telah dengan mudahnya, dapat menjajah suatu bangsa besar, kitalah orangnya yang dijajah itu.


Terasa sungguh kerdil, malu dan tertipu. Tapi apa nak dikata, sejarah sudah berlaku, sudah terpahat dalam sejarah bangsa kita, kita dijajah, dijajah dengan mudahnya. Pengajarannya kita tidak beleh tidah selidik, tidak mendapat maklumat tepat dan tidak berpendidikan, orang mudah tipu kita hidup-hidup. Jangan pandang rupa saja, sudah naik gerun terus ikut, tanpa usul periksa. Benggali putih dulu datang ke rantau kita, dengan badan yang besar, rupa yang menggerunkan, kelihatan sangat menyakinknan, kita pun terpesona, apa lagi terus ikut saja apa cadangan, tanpa usul periksa lagi dah. Alahai……

Lama jugalah kami melihat-lihat, cuba membayangkan keadaan mereka yang sangat kelihatan hebat waktu mereka meneroka ke alam Melayu. Semuanya sangat memedihkan lagi memilukan. Mereka dengan bangganya mempamerkan kebangganaan itu, dan kita dengan sedihnya menyaksikan sejarah hitam itu menjadi kebanggaan mareka zaman berzaman, sampai bila-bila .

Saturday, October 23, 2010

CITY TOUR AMSTERDAM

Canal cruise di Amsterdam

Maha suci Allah, Allah yang maha besar, maha agong, dengan segala ciptaannya supaya umatnya berfikir dan tau bersyukur. Allah telah takdirkan aku sampai ke kota ini, syukur padaMu ya Allah! Amsterdam memang kota yang cantik, memang kota yang klasik, dan sebuah kota yang unik. Unik kerana bandarnya penuh dengan terusan yang dibina dengan terancang untuk kemajuan dan pembangunan, sejak beratus tahun dahulu. Rumah-rumah di Amsterdam kebanyakannya menghadap ke terusan atau, membelakangkan terusan, jadi sungguh nyaman dan mengasyikkan. Bot-bot besar atau kecil, semuanya tidak bising dengan bunyi injin, dan tidak mengeluarkan asap kerana menjaga kehijauan alam sekitar.


Amsterdam Kota Basikal


Satu lagi keunikannya ialah penduduknya, rata-rata memiliki basikal sebagai kenderaan utama, atau bot yang juga menjadi kenderaan utama. Jadi oleh kerana ramainya penonggang basikal, maka banyaklah basikal yang ada di Amsterdam. Di semua tempat awam atau persendirian semuanya ada tempat parking basikal. Malah di tempat yang menjadi pusat pentadbiran, atau di tempat yang banyak pejabat, maka tempat letak basikalnya bertingkat-tingkat, seperti tempat parking kereta di pusat membeli belah di Malaysia. menurut pemandu pelancong semasa perjlanan kami meninjau bandar Amsterdam dengan bot, telah dilaporkan lebih kurang 60,000 buah basikal dilaporkan hilang setiap tahun.


Salah sebuah boathouse di Amsterdam

Lagi yang menarik, yang jarang dijumpai di tempat lain ialah kehadiran bothouse di sepanjang terusan. Bot yang lama yang tidak digunakan lagi akan berlabuh dan dihiasi indah untuk menjadi tempat kediaman. Dari dalam bot yang kami naiki, dapat dilihat kamar dalam bothouse dihias indah seperti bilik hotel. Yang lebih jelas kelihatan, terdapat taman hiasan yang cantik dan indah lagi kemas, menghiasi bahagian hadapan bot, ibarat halaman di hadapan rumah kediaman kita. Semua yang lain dari yang lain memang unik, tapi yang lebih penting ialah keunikan itu dapat dijadikan bahan pelancongan yang amat besar pulangnnya kepada negara itu.


Friday, October 15, 2010

Amsterdam berpesta bola


Awal-awal pagi kami sudah sedia ke Gatwick Airport, untuk ke Amsterdam, menaiki EasyJet. Yunus cleaner di Malaysian Hall telah sedia sebelum jam 9.00 lagi untuk menghantar kami. Perjalanan satu jam terasa amat singkat, sambil borak-borak mendengar kisah hidup Yunus merantau di kota London. Dia sangat senang tinggal di situ, berbanding negerinya yang tidak aman – maka jadilah dia pelarian yang mendapat perlindungan. Dia hidup dengan agak selesa – bekerja dan berkeluarga. Dia tidak pernah memikirkan untuk pulang ke tanah airnya lagi. Eritrea hanya tinggal kenangan pahit, tidak lebih dari itu.
Lama juga di Gatwic Airport, sempat minum capucino dan makan tengah hari nasi bungkus dari Malaysia Hall yang sedap. Sempat lagi shopping souvenir untuk anak-anak yang tinggal, walaupun sangat ramai dan sibuk keadaannya. Luggage yang banyak terpaksa dibawa kargo berbayar. Sejam di angkasa kami selamat sampai di Schipol Airport, kira-kira sejam perjalanan dengan teksi ke Amsterdam.

Semasa di Schippol Airport, kami dimaklumkan dengan bangganya Belanda menjadi naib juara, oleh seorang wanita pekerja Netherland Information Centre. Mungkin kereta tidak boleh masuk ke bandar, kerana orang Belanda berpesta di tengah kota – kononnya puluhan ribu, mungkin lebih 50 ribu. Mereka meraikan wira-wira pasukan bola Belanda, balik dari Afrika Selatan, menjadi naib juara Piala Dunia 2010.

Kami membayangkan entah jauh mana kami mesti berjalan ke hotel di tengah pekan. Semakin hampir ke Amsterdam, semakin nampak jelas penyokong dan rakyat jelata sedang berpesta – dengan teashirt oren di sana sini, dengan cat warna muka bendera Belanda, topi dan trompet Afrika – semuanya sudah pasti tidak ketinggalan berpesta, kerana Belanda menjulang naib juara Piala Dunia.


Rupanya andaian kami salah sama sekali, melihat teksi membawa pelancong, polis lalu lintas mempesilakan kami dibawa masuk menuju ke hotel di tengah bandaraya Amsterdam. Sepanjang jalan menuju hotel memang sangat ramai, memang sangat meriah, memang sangat terasa aura Belanda berpesta bola. Kami bagaikan VIPlah pula - kerana jalan yang ditutup hanya dapat dilalui oleh teksi yang kami naiki sahaja. Pemikiran negara maju memang menakjubkan - sangat kreatif dan bijak - hal ini kurang dihiraukan di Malaysia, mudahnya ikut buku, banyak birokrasi, berbau superiority kompleks.


Setibanya di hotel, memang suasana riuh rendah, gamat dengan nyanyian dan sorakan, sama ada yang sedang berpusu-pusu berjalan atau yang menyanyi-nyanyi dan menari-nari di bar, seberang sungai di depan hotel. Dari jendela hotel kami dapat lihat orang juga berpesta menaiki bot, tidak henti-henti. Ada bot kecil, dengan sedikit penumpang dan ada bot besar dengan penumpang yang penuh, menyanyi, menari dan ketawa ria meraikan kemenangan juara pasukan bola mereka.

Sepetang itu kami juga turut seronok melihat gelagat dan telatah orang Belanda. Kami juga seperti berpesta bola dengan penduduk Amsterdam. Petang itu memang mengasyikkan, turut teruja dengan keseronokan dan kemeriahan Belanda berpesta bola.