DAY 3
TRIP TO PATTANI
26 DIS 2018
Sedia mendengar taklimat Dr Kasri untuk perjalanan hari terakhir |
Awal pagi selepas sarapan kami mendengar taklimat terakhir Dr Kasri. Kemudian kami terus check-out. Destinasi pertama hari ini berkunjung ke Masjid Raja. Tuan Imam menyambut kami bersama AJK masjid seperti menyambut saudara adanya. Turut hadir ADO Pelancongan dan beberapa orang pegawainya, memeriahkan majlis pagi itu. Sambil mendengar taklimat Tuan Imam yang diterjemahkan oleh Haji Ramli, kami dijamu nasi dagang Simpang Tiga Pattani, makanan eksotik yang menjadi buah mulut penduduk tempatan. Pemanis mulutnya pula putu halba, dan dilengkapi dengan nescafe panas yang menyelerakan.
Gendang raya masih digunakan di sini untuk memaklumkan masa sembahyang atau masa buka puasa |
Perigi purba yang masih digunakan |
Di depan rumah pahlawan Pattani |
Bersama Tuan Imam dan Pegawai dari Pejabat Daerah Pattani |
Mengunjungi Istana Asam Jawa |
Bergambar kenangan di hadapan istana |
Kemudian van membawa kami ke Pondok Baba Lee (Baba Ramlee) di Kampung Padang Kucil Mukim Rumbia. Baba Lee kononnyanya seorang yang sangat disegani, berilmu tinggi, dihormati lagi berkarisma di daerah Pattani. Haji Ramle semasa masih menjadi DO Pattani selalu berjumpa Baba untuk sebarang urusan dengan penduduk Kampung daerah itu. Sebab itu bila Haji Ramlee tiba dengan rombongan kami, sambutannya masya Allah Tuhan saja yang tahu. Kemesraan dan keikhlasan terpancar di kedua-dua pihak. Alangkah bahagianya menjadi tetamu yang diraikan dengan penuh kasih sayang dan ukhwah Islamiyyah. Seluruh anak murid dan kaum keluarga di pondok itu turut meraikan kami. Amatlah terharunya kami menjadi tamu yang amat dihargai dan disanjungi. Alhamdulillah Subhanallahhh.
Kononnya pondok ini telah dibangunkan sejak lama dulu dan sejak 40 tahun yang lalu Baba Lee mengajar di situ sehinggalah dia menjadi penerajunya sekarang.. Baba Lee ini adalah waris generasi ke-5 kaum keluarganya yang mengetuai pondok. Pengasasnya dulu Haji Ahmad, telah menurunkan kepada waris lepas seorang kepada yang lain hingglah diserahkan kepada Baba Lee. Kononnya Hang Tuah dari Melaka pernah datang belajar agama di pondok ini dulu. Dan ramailah lepasan pondok ini yang berselerakan di seluruh Pattani dan Malaysia juga menjadi ulamak sehingga kini. Selepas ini pondok ini akan diwariskan kepimpinannya kepada Pak Su Abdullah pula, anak Baba Lee. Baba dan kaum keluarganya buat kenduri nasi menjamu kami tengah hari itu. Alhamdulillah syukur pada Allah jamuan yang sedap disajikan dengan rasa kasih saudara seagama menjadikan kami makan dengan sungguh berselera. Selesai makan kami ibarat pacat terpaksa meneruskan perjalanan. Dengan rasa syukur yang amat sangat kami mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh kaum keluarga Baba Lee
Seterusnya van bergegas membawa kami ke Rumah Kopiah pula. Kami tak boleh berlengah di situ. Dengan pantas kaum lelaki memborong kopiah, yang wanita berehat menikmati suasana kaum lelaki membeli belah. Kami sungguh kagum dengan perusahaan jutaan ringgit taukeh kopiah yang berdaya maju. Mesin jahitnya sudah bernilai jutaan ringgit beroperasi 24 jam dikendalikan komputer, Melihat perusahaan itu kita amat kagum dengan kebolehan mengurus yang diberikan Allah kepadanya. Sungguh jika Allah kehendaki segalanya akan diberi jalan dan dipermudahkan. Sekarang kopiah keluarannya dieksport ke seluruh dunia, termasuk Malaysia dan Arab Saudi
Kemudian kami bergerak dalam hujan lebat untuk pulang ke Malaysia. Ramai kami yang tertidur sejenak kerana terlalu letih. Maklumlah kami mengikuti jadual yang cukup padat pada pagi hingga ke tengah hari. Kami singgah solat di Ban Ka Me Yo (Rumbia). Selepas itu ka bertolak ke Ban Prakob Durian Burung. Alhamdulillah kami tiba di Durian Burung dalam pukul 4.00 petang. Ka mi engucapkan selamat tinggal kepada Haji Ramlee dan berharap dapat berjumpa lagi di masa yang akan datang dalam trip yang lain pula insyAllah. Kami amat bersyukur sepanjang 3 hari dua malam lawatan kami, semua makan minum ditaja dan dibuat jamuan oleh sahabat handai Haji Ramli yang menyambut kami dan Haji Ramlee dengan rasa kasih dan mesra. Sungguh tidak dapat dibalas, hutang budi dibawa mati. Semoga Haji Ramlee diberikah kesejahteraan dan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezekinya pada setiap masa, Allah sajalah yang layak membalasnya mudah-mudahan.
Mengucapkan selamat tinggal kepada Haji Ramli selepas tiga hari bersama kami |
No comments:
Post a Comment