HARI I
DARI YALA KE PATTANI
Bergambar kenagan dengan Hj Ramli sebelum meneruskan perjalanan |
Alhamdulillah kami telah berjaya menjejaki laluan purba yang telah sekian lama tercatat dalam kitab sejarah Kedah. Sebelum meninggalkan laluan bersejarah itu, kami berhenti singgah sekejap di Masjid Nurul Huda Kg Padang Jerai Kunci
itu. Kami tertarik untuk merakamkan gambar masjid itu yang masih
mengekalkan tulisan jawi di Papan tandanya. Selepas
meraikan kejayaaan menemui jalan perhubungan laluan purba, kami pun beransur
meninggalkan denai bersejarah itu lebih kurang jam 2.30 petang.
Letih memang letih. Panas dan dahaga tidak tak payah kata. Namun demi
cintakan sejarah semua kami sungguh bangga dan lega. Syukur tidak
terkira. Alhamdulillah syukur pada Allah. Untuk menjimatkan masa, kerana jam sudah pukul 3.30 petang (2.30 waktu Thailand), kami makan roti lapik
perut seadanya di atas van dalam perjalanan ke Yala. Kami akan makan
tengah hari di Yala, dijemput oleh sebuah Pesantren yang berbesar hati
untuk memberikan jamuan makan tengah hari. Alhamadulillah.
Sepanjang dalam perjalanan suasana nyaman dan sejuk kerana hujan lebat mencurah-curah. Sebahagian anggota rombongan telah hanyut dibuai mimpi dek keletihan mengharungi hutan kebun getah meninjau laluan purba. Petang itu walaupun hujan kenderaan agak sibuk dengan lori. Antara yang menarik perhatian kami sebuah lori sarat dengan muatan akar-akar pokok, barangkali untuk dibuat hiasan. Kami tidak hairan kerana Thailand memang terkenal dengan hasil kraf yang unik untuk hiasan atau pun bagi tujuan landskap.
Mendengar taklimat di Sekolah Rakyat Kg Melayu Bangkok |
4.00 petang:
Sedar tak sedar kami sampai ke sempadan Yala Songkla. Abdullah pemandu kami dengan sabar dan tenang bertugas memandu dengan cermatnya. Lebih kurang jam 4.30 petang, kami tiba di sekolah Rakyat Tan Theik Tham atau Sekolah Rakyat Kg Melayu Bangkok. Kami disambut mesra oleh Pengarah sekolah dan guru-gurunya. Mereka kelihatan seperti orang Melayu di Malaysia, perempuannya berbaju kurung, bertudung, manakala lelakinya berbaju batik bersongkok dan bercakap melayu. Alangkah serupanya dua masyarakat dari dua negara, tapi asalnya dari rumpun bangsa yang sama.
Oleh kerana sudah agak lewat, acara dimulakan dengan makan tengah hari. Menunya nasi tomato, sup daging ala Thai, ayam goreng, ulam-ulaman dan perlbagai buah-buahan. Perut kami sebu kerana sudah lepas waktu makan. Jadi kebanyakan kami tak dapat menghabiskan nasi walaupun kelihatan agak sedap dan menyelerakan. Selesai makan Tuan Pengetua memberikan taklimat tentang sejarah sekolah mereka. Mereka bermula sebagai Sekolah Agama Rakyat dikenali sebagai Pondok Haji Harun Thani. Oleh kerana masyarakat Melayu Pattani sangat kuat jati diri, dan tidak mahu kehilangan bahasa mereka, dan tidak sanggup ilmu agama diabaikan, maka sambutan terhadap sekolah agama rakyat tersangat ramai.
Sebab itulah mereka cari tempat untuk buat sekolah. Kawasan baru yang dibeli agak luas juga, lebih kurang 17 rai.Mereka bina sekolah dan bawa budak 150 pelajar sebagai permulaan.
Sekarang jumlah murid mencecah1600 orang, suat jumlah yang sungguh ramai. Sebab itulah mereka ingin bekerjawama dengan sekolah di Kedah. Hasrat sekolah untuk buat kerjasama dengan sekolah di Kedah dari aspek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kerana mereka kurang kepakarannya.
Taklimat Dr Kasri tentang Jalan Purba yang ditemui |
Sehubungan itu, dalam ucapan balas Dr Kasri, beliau berjanji akan menyampaikan hasrat tersebut kepada sekolah yang bersesuaian. Barangkali akan disusuli lagi lawatan ke situ di lain masa. Dr Kasri juga menceritakan pengalaman team kaji selidik menjejaki laluan purba yang pernah menjadi penghubung aktiviti ekonomi, sosial dan polotik. Psmck telah mencari Genting Pahat di sebelah Malaysia (Kedah) sebelum ini. Kini tiba masa mencari laluan itu di sebelah Thailand pula. Kami berkongsi kegembiraan itu dengan semua pengurusan sekolah yang kami kunjungi. Mereka juga sungguh teruja. Tidak pernah diketahui tentang fakta yang ditemui sebelum ini.
Bergambar kenangan dengan kakitangan Sekolah Rakyat |
4.35 petang:
5.45 petang:
Alhamdulillah selesai ucapan, bertukar-tukar cenderamata dan bergambar kenangan, kami meneruskan perjalanan ke Pattani. Kami lalu di Kersik dalam suasana hujan lebat. Abdullah pemandu kami seronok memandu kerana dalam hujan lebat itu, jalan tidak sibuk. Ada baiknya kerana jalan lengang tidak ada sebiji motosikal pun yang sudi meredah hujan lebat. Kami melalui masjid Kersik yang terkenal terbina di zaman perang. Sehingga sekarang masjid itu tidak siap-siap. Ia menjadi salah satu tempat wajib dikunjungi pelancong jika ke Pattani. Ia menjadi lambang pembakar semangat pengukuh jati diri generasi muda. Kami tidak singgah di situ, kerana akan berkunjung ke Kampung Parit, menerima jemputan Penghulu Husin, Pengerusi Persatuan Penghulu.
Makam Diraja yang kami kunjungi |
Lama juga di perjalanan, akhirnya kami tiba di mesjid Kampung Parit. Kami solat jamak takkhir asar zohor. Kemudian kami dibawa untuk ziarah kubur kerabat Diraja Pattani. Sepanjang
jalan dilihat rumah besar dan cantik. Rumah-rumah itu milik taukeh tomyam yang bekerja di
Malaysia. Mereka buka restoran tomyam di Malaysia atau bekerja tukang masak di kedai tomyam, kemudian membawa balik keuntungan dibuat rumah besar. Tapi tinggal kosong, cuma balik balik sekali sekala sahaja. Kami berjalan merentas kampung untuk ziarah perkuburan Raja tiga beradik itu, Raja Hijau, Raja Biru, dan Raja Ungu. Di kiri kanan makam tiga beradik itu ialah makam Raja Bahadur, dan Raja Bima. Seorang lagi Raja Kuning mangkat di Kelantan dan dikuburkan di sana.
Restoran Rakit Terapung Kg Parit |
Makanan yang disajikan kueh tempatan |
Makam Raja Pattani Tiga beradik |
Masa sangat pantas berlalu. Matahari hampir terbenam kami pun mula bertolak menuju ke bandar Patttani. Sungguh terharu dibekalkan dengan pelbagai makanan dan kudapan. Sungguh terasakan ukhwah saudara seagama dengan kesmesraan dan keikhlasan serta sambutan yang diberikan oleh
Penghulu Husin dan penduduk Kampung itu. Kenangan sungguh manis, tak mungkin dapat kami lupakan sehinga ke akhir hayat. Alhamdulillah. Ini sudah tentulah kerana mereka sangat hormatkan Haji Ramli Bekas DO Pattani yang menjadi Pegawai Perhubungan kami. Syukur padaMu ya Allah yang menentukan segalanya, subhanallah.
7.00 malam:
Kami tiba di Hotel, selepas checkin dan membersihkan badan, kami terus ke Restoran Pattana Buffet. Makan malam ini di sponsor oleh Tuan DO pattani. Malangnya beliau tidak dapat bersama kami, cuma diwakili
oleh ADO Keselamatan James, Tuan Abdullah, Tuan Mansur. Hidangan istimewa itik salai disajikan kepada kami. Begitu juga tomyam, ikan dan ayam. Alhamdulillah seharian dari pagi sehingga tengah hari dan malam kami makan kenduri. Semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada yang bermurah hati menjamu kami, insyaAllah.
9.30 malam
Selepas makan kami singgah sebentar di rumah Tuan Halim taukeh kedai antik. Banyak sungguh koleksi barangannya. Bangakali kedainya besar, sebab barangan di rumahnya pun sudah amat banyak. Sebelum tidur kami minum teh tarik di warung depan hotel. Kecilnya dunia kami berjumpa seorang rakan lama bersama keluarganya, dari Jitra yang sudah dua hari melawat Pattani. Ramai lagi pelancong dari Malaysia yang menginap di situ. Hotel ini milik orang Melayu sebab itu ramai orang melayu Malaysia menginap di situ. Mudah makan sebab halal dan sedap pula. Selesai minum teh kami naik awal untuk berehat bagi meneruskan perjalanan esok.
No comments:
Post a Comment