Monday, November 7, 2022

 PERASAAN MAK

3 APRIL

Sejak mak kena serangan stroke kedua kalinya bulan Februari 2018, Doktor cadangkan mak diberi ubat penenang anti depressant untuk membantu emosinya. Perasaan mak berubah-ubah, sekejap terkawal sekejap tidak menentu. Bila mak tenang mak akan seperti biasa. Tapi bila emosi mak terganggu mak cakap banyak, ingat perkara lama-lama. Dan dia berada pada masa yang dia ingat itu. Fikirannya kelihatan bercelaru dengan kejadian masa silam, bersama kejadian yang dilaluinya, dengan orang pada masa silam. Tapi semua itu  dikaitkan dengan masa sekarang, jadi cerita mak sudah tak masuk akal. Mak jadi tidak tenang, kadang-kadag tak puas hati, dan kadang-kadang marah-marah, Bila jadi begitu mak susah tidur. Siang tak rehat dan malam pula tidak tidur. Kadang-kadang mak cakap-cakap waktu malam itu. Aku pantau, kalau tidak berpanjangan, aku biarkan saja sehingga akhirnya awal pagi baru mak tidur. Selalunya begitulah yang terjadi, aku akan pohon doa banyak-banyak pada Allah, agar mak diberi pertolongan Allah agar dia dapat tidur. Selalunya mak akan tidur sampai pagi.

Dalam keadaan begitu aku bagi mak ubat penenang. Alahmdulillah terima kasih papa cadangkan ubat yang banyak membantu itu. Papa bawa balik ubat apo-sertraline. Alhamdulillah syukur pada Allah mak akan tenang semula lepas nagi ubat itu. Papa cadangkan bagi  1/3 daripada ubat serbuk yang telah dicadangkan. Selalunya aku bagi jan 10 malam sebelum tidur. Lepas bagi ubat mak akan tenang, selalunya dia akan tidur saja sepanjang pagi itu. Petangnya barulah mak tenang semula seperti bia Alhamdulillah lega hati tengok mak tenang semula.sa. Bercakap seperti biasa dan berkelakuan seperti biasa.

Alhamdulillah masih dapat berbakti pada mak. Aku tahu tak setimpal pengorbanan mak dengan apa yang aku buat sekarang. Ya Allah bantu aku menjadi ikhlas dan sabar dengan ujian ini. Tapi aku yakin Allah tahu, Ya Allah jika segala musibah ini menjadi sebab untuk diampunkan dosa ku , tolong ya Allah ampunilah segaa dosa ku.. Aamiin

KAMI MOHON SYURGAMU

 Jam 6.30 pagi emak diberi susu sarapannya. Kadang-kadang dia biasa saja bila digerak untuk bangun, dibersihkan muka disikatkan rambut dan terus minum. Kemudian dibukakan tv, Quran Time sedang bersiaran, dia pasrah dan tenang menikmatinya sambil diberikan minum. Alhamdulillah. Itu tandanya dia cukup tidur dan emosinya stabil. 

Pada masa yang lain pula, bila buka mata saja dia suruh tutup lampu. Jangan ganggu dia, dia nak tidur. Tv yang bersiaran walaupun sedang mengaji Quran disuruhnya tutup kerana bising. Dia rasa ketat dada. Mukanya pun tak manis, muka kita pun dia tak mau tengok, dia hanya ingin bersendiri. Arahannya suruh tutup lampu kami dengar saja, dia terus diberikan sarapan susu seperti biasa. Kemudian kami tinggalkan dia sekejap supaya dia tenang. Jika dia berseorangan dia akan cepat tenang berbanding jika kita bertingkah bercakap dengannya. Jika dia begini hati terasa amat sayu, amat sedih tak tetahankan. Mengalir air mata tanpa disedari, Allah saja yang tahu.

Kalau begitu karenahnya bermakna emak fikirannya terganggu. Dia tidak boleh tidur, dia berjaga semalaman. Alahai ya Allah ya Rahman kasihannya dia. Aku lena berehat dia berjaga semalaman. Dulu masa dia jaga aku masih kecil, kalau aku tak lena pasti dia juga tidak lena tidur. Dia akan pastikan aku tidur baru dia boleh tidur, besarnya pengorbanan mak membesarkan aku dengan susah payahnya. Terasa amatlah bersalah dan berdosa. Alangkah sedihnya  dia tidak pernah gerak atau kejutkan aku kalau dia tidak lena. Enam tahun teman mak tidur masa dia sakit, tidak pernah dia bertindak luar biasa, sampai aku tak boleh lena. Namun aku tahu dia tidak lena kerana bila aku tersedar untuk ke bilik air aku nampak kelibat mak bergerak tangan atau kaki kanannya. Barangkali dia lenguh dan kurang selesa kerana terlalu lama dalam posisi  tidur tapi tidak lena. Dan dia pun tidak dapat mengalihkan badannya kecuali tangan dan kaki kanannya sahaja. Kerana itu dia juga sentiasa naik turun emosinya yang mesti kami berikan perhatian. Kalau dia tidak lena tidur kami berikan sedikit ubat penenang. Dengan itu dapatlah membantunya supaya dapat tidur malam. Bila dia lena emosinya akan kembali stabil dan dia akan lebih selesa dan tenang.

Waufawwi dhu amri ilaalah, innallaha basiirul bil ibadd. Ya Allah aku serahkan kesusahan yang kami alami kepadaMu kerana Engkau ya Allah, maha melihat dan maha mengetahui keadaan sebenar kami. Dalam kegelapan malam aku panjatkan doa itu bila mana aku terjaga dan melihat mak tak lena tidur. Tak henti-henti aku panjatkan doa itu, hanya Allah saja yang tahu. Aku pun sudah pasrah menerima ketentuan takdir Tuhan kepada kami. Saban hari masa berlalu, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun.

Sudah enam tahun keadaannya sama saja tiada yang berubah. Mak masih tetap tidak bergerak dari pinggan ke bawah. Dia tak boleh uruskan dirinya. Dia sudah tidak dapat mengenal masa, pagi atau petang, siang atau malam. Pada mak semuanya sama saja. Diajar mengucap dia ikut, berzikir dia ikut, bila disuruh banyakakan zikir dia dia seolah anak kecil diam membisu. Aku tak paksa cuma lihat saja dengan penuh rasa sayu dan terharu. Ajak baca qulhu dia ikut, tapi baca Quran ayat yang lain dia diam bagai anak kecil lagi. Sedangkan dulu setiap pagi setiap petang kerja dia baca Quran. Ada ayat-ayat yang dihafalnya tapi kini bila dicuba-cuba bawa bacaan itu, dia seperti tidak ingat sangat. Aku sedih lagi rasa sangat sedih. Ya Allah penyakit ini Engkau yang berikan. Tidak ada daya upaya kami berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiadak ada daya upaya kami berbuat keburukan melainkan juga dengan keizinanMu jua.

Ya Allah jika segala penyakit Engkau berikan kepada mak untuk menghapuskan dosanya berilah dia syurga Firdaus Mu. Jika segala masalah, kesulitan dan kepayahan mengurus mak Engkau berikan kepada kami untuk menghapuskan dosa kami, kami redha ya Allah. Bantulah kami supaya dapat bersabar, bantulah kami supaya ikhlas, bantulah kami supaya dapat redha dan  redhalah ke atas kami. Mudahkanlah segalanya kepada kami. Hanya kami mengharapkan redhaMu. Kami berlapang dada dengan mengharapakan redhaMu. Ya Allah jika semua yang Kau berikan ini untuk Kau gugurkan dosa-dosa kami, kami mohon syurga FirdausMu ya Allah. Aamiinn ya Allah ya Robbal aa lamiin

Friday, October 14, 2022

TANAM GETAH

 

Selepas bayar premium tanah Rm 35 000 untuk tanah usaha di Kuala Nerang, bermulalah episod baru hidup kami. Mula-mula kami isi borang untuk ubah syarat dari dusun ke getah. Dusun di Pasir Putih Tualak ini sudah dikirakan sebagai tidak ekonomik dan tidak komersial lagi. Pokok-pokok buah semuanya sudah tua dan tinggi merenjong. Pokok-pokok hutan sudah mendominasi pokok-pokok buah yang ditanam 20 tahun lalu. Kalau pun nanti diletak baja barangkali buahnya tidak semeriah dulu-dulu, lebat dan dapat dipetik dengan tangan saja. Sungguh sangat seronok mengenangkan dusun yang dulunya sangat cantik, pokok-pokok yang menghijau tersusun berbaris, cerah dan kemas  merimbun, bagaikan padang golf saujana mana memandang. Sungguh nostalgik. 

Sesungguhnya banyak kenangan tertumpah di situ. Banyak masa terhabis di situ. Sungguh bermakna masa yang diluangkan kami berdua. Di situlah kami sama-sama memanjat bukit. Sama-sama meleraikan paip air bergulung-gulung. Sama-sama mengumpul dan menyusun batu-batu sungai dalam sangkar di puncak bukit menjadikan sumber air untuk di alirkan ke dusun. Sama-sama kami menyediakan tangki air di teres bukit. Sama-sama kami berusaha mengalirkan air ke pokok durian dan pokok dokong yang dibelai sehingga subur dan membesar, menggunakan sistem paip. Sama-sama kami makan nasi berkelah di hari Jumaat selepas dengan sabar pula menunggu kepulangan dari solat Jumaat. Kini semunya cuma kekal dalam memori kami berdua. Alhamdulillah Tuhan berikan nikmat berkasih sayang dengan sama-sama mengusahakan dusun yang kami sangat-sangat bersyukur dengan anugerah yang Allah kurniakan. Tanah yang beralun dihiasi anak sungai itu memang menjadi idaman kami berdua semasa kami masih muda. Puas dicari merata-rata, akhirnya dianugerahkan sebidang tanah yang di dalamnya mengalir air sungai yang sungguh mendamaikan dan menyamankan hati. Setiap minggu tak ada lain kerja lagi, melainkan ke dusun buat apa yang patut, menebang, menebas, mencuci menanam, membaja dan macam-macam lagi. Alhamdulillah nikmat apa lagi yang kau dustakan, maha suci Allah yang maha mengetahui akan hati sanubari setiap insan ciptaannya.

Tapi itu dulu, sekarang selepas diubah syarat tanah, kami berdaftar dengan RISDA  sebagai pekebun kecil. Kami pohon bantuan tanam semula. Diberi subsidi penyediaan tanah untuk buat teres, diberi bantuan anak benih, bantuan baja dan juga bantuan racun. Bermulalah era baru menanam getah. Ia menjadi serampang dua mata, pertama untuk hasil getah dan kedua supaya tanah dusun yang kami sayangi menjadi cerah asbab pokok getah yang perlu dirawat dan dijaga. Dengan itu dapatlah kami menghabiskan masa di rumah dusun yang telah sekian lam merindui kami. Alhamdulillah, jika ada rezeki akan kami kongsikan rumah kebun ini dengan orang yang rindukan kehijauan hutan dan kedamaian serta inginkan keseronokan berendam air sungai yang dingin, in sya Allah.

Jadi kami pun berusaha keras pula mengurus anak-anak getah yang sudah ditanam. Selepas ditanam dibajakan supaya akarnya subur dan dapat tumbuh subur. Diletakkan racun supaya tidak diganggu serangga akarnya, dibersihkan rumput diperdunya dan diracun rumput di dada antara barisan anak getah yang ditanam. Semuanya dibuat dengan tekun dan penuh hati. Sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji jika berbudi dengan tanah. Semoga ia dapat memberi manfaat kepada agamaMu ya Allah. Restuilah usaha kami aamiin

Saturday, September 24, 2022

MEMBANTU

 

Banyak kali berurusan mendapatkan bibik pembantu,  untuk menguruskan emak yang terlantar sudah 6 tahun, inilah kali pertama pengurusannya dipermudahkan Allah. Segalanya berjalan lancar, terasa lurus tidak terasa diperbodoh atau ditipu. Terasa keikhlasan bibik yang datang ingin membantu, terasa seperti ingin bekerja seadanya, bukan mengambil kesempatan atas kesusahan yang kita sedang alami. Orang yang menguruskan pun kelihatan mahu membantu, tidak terlihat 'hanky-panky' seperti selalunya sebelum ini. Alhamdulillah ada juga orang Indon yang tidak banyak akal, tidak kelihatan menipu, tidak terlihat seperti ambil kesempatan, tidak kelihatan seperti orang yang telunjuk lurus kelingking berkait macam  selalu yang ku alami. Mudah-mudahan apa yang ku rasakan ini betul, Allah saja yang tahu. Ya Allah tolong uruskan aku dan pembantu ku ini, agar dia dapat membantu aku, membantu menguruskan emak yang sudah tidak bermaya lagi, yang setiap masa perlu diurus, dan tidak boleh ditinggalkan sendirian. Dia sudah tidak berdaya lagi seperti yang dijanjikan Allah dalam kitab suci, 'manusia dilahirkan, membesar, ramaja, tua, dan kemudian kembali tidak bermaya, memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan sebelum kembali menemui pencipataNya. Ya Allah aku sangat tidak berdaya menguruskan diriku, dan menguruskan nasibku, janganlah engkau biarkan aku sendirian mengendalikan nasib kehidupanku walaupun sekelip mata. Bantulah aku ya Allah ya Rahman ya Rahim ya Zaljalaa liwalikroom.

Maka 18 Ogos 2022, bermulalah seorang bibik yang datang membantu, Puteri Marito, Kami panggil dia Kak Put, dia pun sangat senang dengan panggilan itu, dan kami pun senang dengannya. Semoga dia dapat terus membantu, dengan bantuan yang Allah takdirkan kepada ku insyAllah. Syukur ya Allah hanya aku saya yang kurang bersyukur, jadi ampunilah aku dan aku mohon pertunjuk dan hidayahMu, agar aku sentiasa dibantu dalam apa jua keadaan hidupku ini, aamiim.

Sunday, September 18, 2022

KEBUN YANG DITINGGALKAN

Lebih kurang 20 tahun yang lalu masih kekal dalam ingatan papa mencari tanah kebun untuk kami. Puas dicari di Bukit Wang, di Perik, di Kuala Nerang, di Kampung Moktan dan banyak lagi. Setiap petang selepas balik kerja papa bawa mama pergi tinjau tanah-tanah yang dikatakan orang nak jual. Boleh dikatakan setiap hari masuk hutan, hampir senja baru balik. Masa yang ada pun tak banyak, cuma pergi selepas asar dan balik sebelum maghrib.

Papa mengidamkan tanah yang ada sungai. Selain buat dusun boleh juga dijadikan tempat berekreasi anak beranak bila masa terluang. Syarat itu menjadikan kami tak banyak pilihan. Ada tanah dusun tak ada sungai. Ada tanah ada sungai tapi terlalu dalam sungainya. Ada tanah pula sungainya dalam kebun getah. Ada tanah ada sungai tapi jalan terputus dek derasnya laluan sungai di situ. Namun aturan Allah sangat halus, kami bersyukur ditakdirkan membeli sekeping tanah dusun di Kampung Pasir Putih, Tualak, berhampiran Puncak Janing Kuala Nerang. Dusun itu ada laluan air sungai dalam kebun. Pokok buah tak banyak, ada langsat tua dan ada dua tiga pokok durian tua. Tanah pun tak besar sangat lebih kurang 5 relung. Alhamdulillah. Kami sungguh amat bersyukur ya Allah yang maha pengasih lagi mah pemurah.

Kami pun setiap minggu berada di kebun. Menebang, menebas, membuat pagar, buat rumah dan buat sistem air paip dari bukit. Sambil itu kami tanam pokok dokong, pokok durian dan macam-macam lagi pokok exotik yang kami suka. Banyak modal telah dilaburkan untuk minat yang digemari itu. Kami perbaik jalan supaya mudah laluan ke kebun. Pokok buah semakin subur membesar. Rumah pun dah ada api letrik dibantu seorang kawan yang memudahkan urusannya.

Kemudian kami ada seorang pembantu Pak Broheng dari Kampung Bukit, Bayas, Pattani. Dia ditemani isteri dan anak perempuannya Soraya. Dusun kami jadi semakin cantik dan menyenangkan. Kami terus mengusahan mana yang patut. Malangnya selepas pokok dokong dah hampir berbuah Pak Heng balik kampungnya. Kami pun sudah semakin sibuk dengan urusan kerja pula. 

Bila tiba musim buah, dokong berbuah lebat, berputik, kemudian berkembang menghijau dan bertukar menjadi sedikit kekuningan apabila hampir masak. Kami berkira-kira minggu seterusnya kami dapat menuai hasil usaha kami selama ini. Dengan penuh bersemangat minggu berikutnya kami membawa segala peralatan untuk memetik buah dokong yang banyak itu. Masya Allah hanya Tuhan saja yang tahu segala kejadian yang berlaku dan segala yang telah ditakdirkan untuk kami lalui. Sampai di kebun lemah longlai kaki, tak bermaya lagi nak menapak. Tiada kata yang dapat dikeluarkan. Semua kami terduduk kecewa, sedih dan sayu. Buah dokong yang begitu banyak sebiji pun tiada lagi di pokok. Alangkah sedihnya kami. Sampainya hati, tergamaknya hati, orang yang dipanggil manusia, sedikit pung tidak berperasaan dan sedikit pung tidak berhati perut. Sanggupnya mereka mengaut segala hasil yang diusahakan dengan titik peluh dan wang ringgit yang tak terbilang jumlahnya. Tergamaknya mereka, tergamaknya mereka, manusia apakah mereka, sebiji pun tak ditinggalkan untuk dirasa oleh tuan yang mengusahakan, Masya Allah tabarokallah.

Selepas itu kebun  kami tinggalkan begitu saja. Tak ada perasaan untuk menjenguknya lagi. Tidak kami kunjungi. Tidak kami tanya lagi. merajuk hati dengan orang kawasan itu. Tak boleh dibuat kawan, tak boleh dikira sama, tidak kira haram halal, ikut nafsu serakahnya saja. Maka terbiarlah ia. Kami selalu iklan untuk dijual tapi selalu tak jadi, tiada siapa yang sanggup beli. Kami cuma nak balik kos usaha kami yang beratus ribu telah dicurah di situ, tapi malangnya Tuhan tak bukakan rezeki. Maka terbiarlah ia berpuluh tahun menjadi tinggalan. Semoga Allah gantikan rezeki yang lebih baik untuk segala penat lelah kami. Allah maha pengasih semoga aniaya kami digantikan afiah untuk kami insyaAllah aamiin.

Saturday, September 10, 2022

SYUKUR SEADANYA

24.6.2016 masih segar dalam ingatan emak diserang stroke. Sejak itu selepas 2 minggu di hospital, 1 Mei 2016 bermulalah episod baru dalam hidup keluargaku. Emak dibawa balik ke rumah dan dijaga sepenuhnya dengan bantuan kami kerana emak sudah tidak boleh bergerak kaki dan tangannya yang sebelah kiri. Tangan kanan dan kaki kananya, masih boleh bergerak. Emak masih boleh duduk, tapi tidak lagi boleh berjalan. 

Mula-mula aku jaga sendiri - makan minum, lap mandi, dan salin lampin. Lama-lama tenaga sudah tidak mampu dan emosi pun sudah kurang stabil menjaga emak. Semuanya memerlukan tenaga dan komitment yang memakan sepenuh masa yang ada dan tenaga. Aku minta bantuan papa untuk mencarikan seorang pembantu. Alhamdulillah selepas ada pembantu, Tilla namanya, keadaan menjadi semakin baik. Urusan lap mandi, salin lampin dan makan emak di ambil alih bibik. Aku masak, dan menyediakan keperluan asas emak seperti lampin,  tisu dan segala yang berkaitan dengannya. Alhamdulillah lega sikit, kesibukan dapat dibantu. Jadi kehidupan dapat diteruskan seperti biasa. Walaupun tidak dapat ke mana-mana dan tidak pula dapat meninggalkan rumah ikut sesuka hati. Itu saja rezeki yang Allah bukakan kepada ku, syukur alhamdulillah. Namun kelegaan itu tidak kekal lama, hampir 2 tahun (2018) Tilla terpaksa balik ke Palembang.

Jadi selepas itu bermulalah rutin lama menguruskan emak sendirian tanpa siapa-siapa. Sebulan dua bulan hinggalah berbulan-bulan. Puas berdoa mengadu pada Yang Esa. Allah maha mendengan dan maha pengasih, datang pula Herawati membantu mengadun emak bersama ku. Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah Engkau titipkan aku pembantu yang meringankan sedikit tanggunganku, menjaga dan merawat orang yang amat ku kasihi, orang yang banyak berjasa menjadikan aku dapat menjalani kehidupan sebaiknya, alhamdulillah aku amat berterima kasih dan bersyukur adanya. Malangnya Wati juga tidak lama, cukup 2 tahun (2020) dia juga mohon untuk kemali ke kampungnya di Bandung. Aku pasrah, tidak boleh memaksanya dan tidak lagi dapat memujuknya kerana emaknya juga diserang stroke.

Keadaan menjadi semakin rumit, dan semakin sukar. Zaman pendamik covid 19 pintu sempadan ditutup jadi akau tidak lagi dapat mencari pembantu terus dari Indon. Maka ligatlah kami menjari pembantu yang masih ada di Malaysia. Tambahan lagi untuk menjaga orang tua sakit tak ramai pembantu yang sanggup. Akhirnya melalui agen di Johor, kami dapat seorang pembantu dengan bayaran RM7K. Bulan puasa April 2021, datanglah seorang lagi pembantu Musnaini. Kami panggil kak Ani kelahiran dari Acheh. Yang ini kerjanya aduh pening kepala. Tapi mengenangkan perlu bantuan untuk mengurukan emak yang sakit, pejamlah sebelah mata. Bersyukurlah dengan apa yang ada, ini ujian untuk aku. Mudah-mudahan dengan segala kesusahan ini akan gugurlah segala dosaku, insyAllah aamin. Allah maha pengasih dan maha mendengar keluhan isi hati ku yang amat susah menanggung perangai orang gaji yang baru ini. Akhirnya Allah susun aturkan Kak Ani minta balik ke Acheh dalan bulan puasa 2022. Aku memang akan susah dengan ketiadaan pembantu, tapi aku rasa lega kerana kak  Ani banyak buat perangai dan banyak karenah. Aku pun pening kepala dan tidak senang hati, dengan perangai dia, serabut fikiran. Mana emak sakit, pembantu pula banyak akal, jadi bila dia minta nak balik aku amat bersyukur. Halus aturan Allah menguruskan kehidupanku ini, syukur alhamdulillah. Engkau maha mendengar bisikan hati hambaMu yang dhaif dalam kesusahan ini, alhamdulillah.

Puaslah aku mengadu mohon kepada Allah. Mohon diberikan seorang yang dapat membantu, mohon seorang yang tidak memeningkan kepala, mohon bantuan dan takdir yang baik untuk dapat mengadun emak yang sudah semakin tidak bermaya. Alhamdulillah bulan ogos 2022, Allah kurniakan seorang pembantu lagi Puteri yang kami panggi Put. Dia masih muda cepat belajar dan kurang karenah, tak banyak akal sangat dalam mengendalikan kerja-kerja menjaga emak dan membant kerja-kerja rumah. Ya Allah semoga Engkau permudahkan segala urusan ku selagi emak masih ada bersama ku. Hanya padaMu tempat aku berserah dan hanya padaMu tempat aku memohon agar mendapat petunjuk dan hidayah Mu ya Allah ya Rahiim ya Rahman. Aku bersyukur dengan segala nikmatMu, Engkau maha pemurah cuma aku saja yang kurang bersyukur. Lailaha illa anta subhaa nakainnii kun tuminadhoo limiiin. 


Sunday, July 17, 2022

KAWAN LAMA PULAU NYIOR

 

Tahun 2020 dan 2021 menyaksikan tiada sebarang perhimpunan bersemuka, disebabkan pendemic covid 19 yang melanda seluruh dunia dan tidak terkecualilah di negara kita. Namun dalam  tahun 2022 semuanya telah berubah. Banyak  acara dapat dilaksanakan semula, sebab covid 19 sudah bertukar menjadi endemik. Maka bila hujung minggu banyaklah jemputan kenduri kahwin yang sudah mula diadakan. Tanggal 16 Julai, saya menyantuni dan turi meraikan kenduri kahwin anak seorang sahabat. Oleh kerana menjaga SOP, saya duduk di meja yang kosong, sambil menikmati hidangan yang enak seorang diri. 

Tak lama selepas itu, tuan rumah datang menemani saya. Disampaikan ucapan tahniah, sambil bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita  sementara menemani saya menikmati hidangan.  Bukan main rabung lagi kami bersembang, terlupa diri sekejap sebab lama dah tak bersua teman-teman maupun sahabat.

Saya terus makan ditinggalkan sahabat saya kerana nak merikan tetamu-tetamu lain yang hadir. Saya terus menikmati nasi yang sedap, kebetulan perut pun sangat lapar sebab dah hampir jam 2.00 petang. Sedang saya mengelamun, tiba-tiba datang seorang sahabat lama saya yang telah lama tidak bertemu. Dah hampir 10 tahun. Ya Allah Tuhan pertemukan kita yang dah lama tak jumpa. Syukur Alhamdulillah.

Begitulah sahabat saya Siti Jariah Man namanya. Saya sama kelas dengannya sejak Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di Sekolah Pulau Nyiur, kemudian tingkatan 6 di Sekolah Asma. Kemudian kami menjalani kehidupan masing-masing. Bekerja, berkeluarga, sibuk membersarkan anak dan terakhir berpencen dan sempat juga meraikan cucu-cucu. Begitulah adanya alhamdulillah syukur padaMu ya Allah, tang memberikan kesihatan dan kelapangan, dan dapat sempat  menikmati sisa-sisa hidup yang masih berbaki.