Monday, March 29, 2021

LA ILA HAILLA ANTA SUBHAA NAKA INNI KUNTU MINADHOO LIMIIN

 

Ya Allah, aku ini banyak dosa, ampuni segala dosa-dosaku ya Allah. Ya Allah aku hanya dapat mengadu kepadaMu, setiap masa, setiap hari. Aku tidak pernah putus asa ya Allah. Aku tidak pernah jemu, ya Allah, aku tidak pernah rasa kecewa ya Allah. Tapi aku sedih ya Allah, setiap hari, sudah banyak aku berdoa,  sudah banyak aku bermunajat, mengadu kepadaMu setiap hari setiap masa. Tapi barangkali aku banyak dosa ya Allah, aku masih seperti biasa, masih dengan masalah yang telah Engkau takdirkan kepadaku. Aku masih dengan memujuk hati menerima seadanya kehidupan ini, kehidupan yang telah Kau catatkan dalam genggamamMu. Takdirnya aku mesti harungi semua cubaan ini, Ya Allah Aku redha ya Allah. Jika takdirku begini redhalah aku. Ya Allah jika inilah takdirMu kepadaku ya Allah tolonglah redha,  ke atas ku. Aku sangat yakin Kau mendengar rintihan aku. Bantu aku ya Allah. Laila ha illa anta.....

Ya Allah. Aku yakin kau mendengar bisikan hati aku. Aku yakin kau berada dekat dekat kepadaku, aku yakin Kau maha pengasih dan Kau maha Penyayang. Barang kali aku banyak dosa. Kau ajar aku sabar dengan dugaan ini. Kau ajar aku redha. Kau ajar aku berlapang dada dengan segalanya.  Kau ajar aku menghadapi  kesususahan. Kau ajar aku menerima ujian yang nyata ini. La ila ha illa anta subha naka inni kuntu minadhoolimin.

Tuesday, March 16, 2021

ASMAULHUSNA ARRASYID

OLEH KH MUHAMMAD BAKHIET

Arrasyid itu maknanya  Tuhan yang teratur dan tersusun rapi  segala rancangan-rancanganNya atas jalan yang benar, dari ketiadaan isyarat dan ketiadaan pertunjuk, daripada sesiapa pun. Allah swt itu sangat teratur itu tersusun rapi segala aturan-aturanNya dan ciptaan-ciptaanNya. Segalanya berlaku tanpa sebarang petunjuk daripada siapa-siapa. Maknanya Allah itu maha cerdik dan  maha pandai. Allah itu ialah Tuhan yang tidak ada  apa bagiNya, apa yang diperbuatNya sia-sia. Segala tindakan dan aturan yang diperintahkanNya, ada makna kepada manusia dan wajib percaya bagi manusia yang patuh kepadaNya.

Allah swt itu menghukumkan segala sesuatu pasti ada kebaikannya kepada kita contohnya Allah melarang zina, baiknya untuk membezakan manusia dan binatang. Dan Allah haramkan zina juga sebab zina akan rosakkan keturunan, hingga akhirnya bangsa menjadi rosak. 

Begitu juga segala ciptaan perbuatan Allah swt menunjukkan betapa  cerdiknya Allah, contohnya dalam Surah Mulk dikatakan, Allah menciptakan 7 lapis langit itu daripada marmar, kemudiannya dari besi,  seterusnya dari tembaga, lepas itu dari  perak, dari  emas, dari yakult,  dan  akhirnya dari zamrud hijau. Masya Allah maha cerdiknya dan maha pandainya Allah swt. Semuanya diciptakan dengan tiada cacat atau celanya  ciptaan Allah yang pandai itu. Jika kita melihat orang sekarang sangat cerdik, itu kerana Allah swt sangat tinggi kecerdikanNya, dan maha tinggi kecerdikanNya.  Kerana itu Allah mampu beri kepandaian kepada manusia, kerana maha pandai dan maha cerdikNya Allah swt.

Manusia yang cerdik dan pintar, beriman dengan Allah Arrasyid, selalu memikirkan akibatnya daripada sebarang tindakannya. Manusia yang dikatakan  cerdik dan pandai, ialah manusia yang beriman kepada Allah dan Rasul, dan  berbuat sesuatu atau meninggalkan sesuatu, kerana Allah dan Rasul.  Sebab itulah kalau pun sesuatu suruhan itu susah, tapi jika akibatnya akan mendapat balasan syurga,  manusia yang pintar  akan melaksanakannya jua., contohnya puasa. Sebaliknya jika sesuatu larangan itu walaupung  senang dan dan disukai serta menyeronokkan, tapi akibatnya mendapat balasan neraka, orang yang cerdik pintar  akan meninggalkan larangan itu untuk mendapatkan hasil yang Allah janjikan sebagai akibat daripada tindakannya itu.. 

Seterusnya orang yang  pintar memikirkan bekal, dan berusha keras menyediakan bekalan bagi kehidupan   selepas mati. Orang pintar  mempersiapkan  bekal untuk kematian. Bekal di alam kubur, dan bekal di akhirat. Orang pintar buat apa yang diwajib oleh Allah, usaha untuk cukup bekal di akhirat. Jika semua perbuatan yang diusahakan itu diterima oleh Allah alangkah bahagianya. Sebab itu orang berlumba-lumba banyakkan ibadah  selain yang wajib, untuk memastikan ibadat diterima Allah Arrasyid.

Jadinya orang pintar akan sibuk persiapkan bekalan untuk mendapat nikmat dalam kubur. Orang cerdik dan pandai akan fikirkan dan usahakan sungguh-sungguh bekal dalam kubur seperti firman Allah yang disampaikan kepada kita oleh Nabi Mohamad saw. Bila mati anak Adam tiada yang lebih berguna kepadanya melainkan 3 perkara, telah ada di dunia sedekah jariah yang diberikan, anak-anak yang soleh yang ditinggalkan, dan ilmu yang bermanfaat yang disebarkan. Dalam kubur sedekah jariah kita terus memberi manfaatkan terus menyalurkan pahala. Begitu juga curahan ilmu  bermanfaat yang terus diamalkan, jua akan terus mengalirkan pahalakepada kita. Dan sudah tentulah anak-anak yang soleh yang sentiasa berbuat kebaikan dan tak henti-henti mendoakan kepada kita akan menjadikan kita mendapat nikmat yang dijanjikan Allah kepada kita, in sya Allah. Jadi siapkan, bekerja keraslah, mendidik anak-nak supaya menjadi anak soleh semasa kita hidup kita. Mereka akan mengalirkan nikmat pahala kepada kita di alam kubur nanti.  Begitu juga banyakkanlah  sedekah, dan  ajarlah  ilmu yang memberi manfaat sebanyaknya supaya pahala berganda terus mengalirkan nikmat kepada kita di alam kubur.

Orang pandai juga buat persiapan untukmdi Mahsyar. Kita  dibangkit dalam haus dan lapar.  jika di dunia suka beri makan Allah beri makan kepdanya. Jika di dunia suka beri minum kepada orang, Allah beri di minum. Dan jika di dunia suka beri pakaian kepada orang, Allah  beri pakaian kepadanya.

Orang pandai buat bekalan semasa di hisab. Bekal untuk hisap Allah, menuntut ilmu kerana Allah, berbakti kpd suami,  bakti kepada kedua orang tua, Allah janji akan  masuk syurga.

Bekalan di siratal mustaqin,  orang yg mesjid itu menjadi rumahnya, Allah janjikan mudah lalu titi siratal mustaqin

Akhir sekali orang yang cerdik mengutamakan menjaga baiknya amal dan diterima amal oleh Allah, dan tidak fikirkan banyaknya amal, keran Allah berfirman siapa di antara kalian yang baik amalnya. bukan banyaknya dia orang yang beruntung. Baca quran biar bagus, sembayang biar baik dan bagus. Sembahyang yang baik dan diterima Allah nilainya perhatikan 6 perkara. Jaga rukun dan syarat, meninggalkan yang mbatalkan, ikhlas, khusuk hati dan anggota, halal daripada makanan, dan  halal daripada pakaiannya. Sama-sama kita ambil iktibar insyaAllah.




Sunday, March 14, 2021

BAGAIMANA HARUSKU LAKUKAN

Sejak tanggal 24.4.2016, emak terlantar di katiknya. Sejak itu sebelah badan emak yang kiri tidak boleh bergerak. Sejak itu kami dah cuba macam-macam, panggil fisioterapis untuk bantu mak buat fisio, panggil orang urut untuk sekian lama, dan bantu mak buat excercise setiap pagi. Tapi takdir Allah begitulah, mak tidak menunjukkan reaksi pun untuk pulih dari lumpuhnya. 

Mula-mula terasa amat sedih sangat. Selalu tertanya-tanya di benak hati dan terbayang-bayang dalam fikiran kenapa mak tak mau bagi kerjasama? Fisio tak mau buat, senam pun tak mau, gerak-gerak kaki atau tangan pun tak mau. Aduh mak kenapa macam tu, apa lagi yang nak dikata biar mak faham, dia perlu berusaha untuk jadi lebih baik atau sekurang-kurangnya untuk sedikit pulih dari lupuhnya itu. Kadang-kadang cuba bantu mak untuk berdiri bergayut di tingkap, ini pun juga  juga gagal dan sangat menyedihkan. 

Aku jadi sangat keliru, sangat sedih malah sangat kecewa,  dan terasa amat stress tidak dapat menerima keadaan emak yang seolah-olah tidak ada semangat langsung untuk ditolong dan dibantu supaya dapat sedikit kurang kalau pun tidak pulih sepenuhnya. Mujurlah papa membantu menyedarkan situasi yang sebenarnya. 'Mak tu bukan dia tak mau fisio, bukan dia tak rasional, tapi mak memang kerosakan otaknya banyak, tak boleh nak fikir lagi apa perlunya buat fisio, apa perlunya senaman, kerana dia memang tak boleh fikir dengan waras seperti biasa lagi.' 

'Ini kita kena terima. Ini ketentuan Tuhan yang maha penyayang kepada kita, Allah hadiahkan semua ini kepada kita, kita kena sabar. Kita kena terima, belajarlah menerima supaya kita tidak teruk dan kita lebih tenang menghadapi semuanya. Kehidupan kita perlu diteruskan, kalau kita tidak tenang semua perkara akan jadi susah.' 

'Elok kita fikir bagaimana boleh bagi mak selesa. Bagaimana kita boleh bantu mak dengan kita juga berada dalam keadaan kita pun selesa juga seadanya.' Jadi bermulah perjalanan menguruskan emak yang sudah tidak seperti sediakala lagi adanya. Bermulalah episod menjaga mak sebagai pesakit stroke yang yang fikirannya sudah berubah dan keadaanya lumpuh separuh badan. 

Alhamdulillah hingga kini emak terlantar hanpir 5 tahun. Allah hadiahkan dia untuk kami jaga seadanya. Kami barangkali tak dapat menjaganya seperti dia menjaga kami semasa kami masih kecil hingga kami besar dan dewasa. Tapi kami cuba sedaya mungkin semoga Allah menerima khidmat kami yang tak seberapa berbanding jasanya yang amat besar membesarkan kami dulu. Ya Allah ampuni kami dan terimalah sedikit amalan kami,  yang kami buat untuk mak yang kami kasih. Hanya Engkau maha mengetahui akan segalanya, kami berserah kepadaMu segala kesusahan yang kami lalui. Tunjuki kami jalan yang lurus bagaimana harus ku  lakukan untuk mendapat redhaMu ya Allah. Bantu kami ya Allah, dan kami hanya mampu berserah kepada Mu.

Saturday, March 13, 2021

BERTUAHLAH

Menguruskan mak bukan mudah, perlu sabar, perlu tenaga dan sedikit ilmu.  Untuk bagi dia minum susu mudah, cukup masa berikan saja, dia akan terasa tidak lapar lagi. Tapi perlu ilmu menguruskan supaya dia lancar buang air besar. Dua hari beri susu protimex dan sehari lagi bagi dia susu pentasure, esoknya emak akan buang air besar. Jika silap emak akan cirit atau tidak buang air besar langsung. Jadi tidak boleh sebarangan sesuka hati beri emak minum susu, mesti ikut jadual, in sya Allah semua akan lancar. Emak bertuahlah makanannya berkhasiat walaupun cuma susu, mak tidak pernah lapar seperti orang lain yang tidak boleh makan macam biasa. Badannya masih segar bugar, dan wajahnya masih berseri walaupun sudah hampir 5 tahun terlantar di katilnya.

Di samping minum susu mak perlu diberi anti depressant. Dua hari sekali kami berikan mak ubat itu supaya emak sentiasa tenang walaupun dia sakit yang dikatergorikan sebagai teruk kerana tidak dapat menguruskan diri sendiri. Jadi emak dapat tenang dan dapat lena malam seperti orang biasa. Sesekali kalau terlupa, emak jadi ghoflah, banyak cakap perkara-perkara lama dan tidak lena malamnya. Kami pun turut tidak nyenyak tidur mengawasi perlakuan mak takut berlarutan. Esoknya kami terpaksa tambah dos ubat supaya emak kembali tenang semula. Begitulah   adanya setiap hari. Emak bertuah kerana papa sentiasa membantu mengawasi kesihatan emak. Bertuahlah dia alhamdulillah.

Sesekali kulit mak di bahagian belakang punggungnya melecet kerana kulitnya yang nipis dan kurang pergerakan. Sepanjang hari duduk dan tidur. Pagi dimiringkan supaya kurang tekanan pada bahagian belakangnya itu. Tapi sesekali melecet juga, jadi perlu diletakkan ubat dan dibantu dengan bantal donut supaya bahagian luka tidak tertindih, dan luka cepat kering dan sembuh. Bertuahlah mak dapat menantu yang membatu menguruskan ubat-ubatan dan membantu membimbing teknik penjagaan yang terbaik untuk mak,  jadi kalaupun belakang mak luka pun, dia cepat sembuh dan tidak melarat. Alhamdulillah.

Satu hari sedang aku bagi mak susu, mak tengok aku, dia kata, 'bertuahlah.' Lepas tu dia diam tak sambung lagi. Aku tak tau apa sebenarnya yang mak nak bagi tau, mak diam terus, dan aku juga terdiam memikirkan segala nikmat dan anugerah yang Allah kurniakan untuk aku dan keluaragku termasuklah mak.  'Alhamdulillah, kita semua bertuah, penuh dengan rahmat Allah.' Tersentuh hati kecilku, memang mak sungguh bertuah. Begitu juga aku, sungguh amat bertuah, alhamdulillah. Apa lagi yang dapat dikatakan, alhamdulillah sukur padaMu ya Allah atas segala-galanya.


NIKMAT MANA LAGIKAH YANG KAMU DUSTAKAN

Ya Allah hambaMu ini  banyak dosa ya Allah, ampuni aku ya Allah. Engkau maha halus pengurusanMu atas segala sesuatu.  Segalanya Engkau aturkan, segalanya Engkau takdirkan dan segalanya Engkau aturkan. Hanya kami yang tidak tahu akan ketentuan yang sudah termaktub dalam ilmu dan pengurusanMu. Apa pun ketentuanMu, yang baik atau yang tidak baik, semuanya adalah yang terbaik mengikut aturan dan ketentuanMu. Maka hendaknya redhalah, dan belajarlah untuk redha, semoga dengan itu kita mendapat keredhaan Allah in sya Allah. Ya Allah, Engkau hadiahkan kepadaku ibu yang sakit, ibu yang tidak boleh bergerak, ibu yang tidak boleh bangun, tidak boleh angkat kaki, dan tidak boleh angkat tangan. Segalanya berlaku dengan sekelip mata. Segalanya bertukar tanpa sempat berkata apa-apa. Memang benarlah Engkau ya Jabbar wahai Allah yang  maha memaksakan apa saja kehendakMu kepada kami hambaMu, kerana itulah takdirMu yang terbaik dariMu ke atas kami. 

Ya Allah. Hanya Engkau saja yang maha mengetahui, kerana Engkau maha pengasih lagi maha pengasihani. Kami hanya mampu berharap dan berserah kerana kalau dihitung nikmatMu kepada kami memang tak terhitung nikmatMu yang melimpah ruah. 'Nikmat mana lagikah yang kamu dustakan?' Wahai Allah padaMu kami berharap semoga dipermudahkan segala urusan atas takdir yang telah diberikan. Tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiada daya upaya kami berbuat kejahatan melainkan dengan keizinanMu jua ya Allah. Ya Allah terlalu banyak nikmatMu tapi kami kurang bersyukur, ampuni kami ya Allah, terimalah taubat kami ya Allah....Hanya padaMu kami berserah....

Tuesday, March 9, 2021

WAUFAUWWI DHU AMRI ILALLAH

Emak semakin menyendiri kurang bercakap, kurang berkomunikasi lebih banyak pejam mata  dan mengelakkan diri daripada kami. Tak atau apa yang mak fikir, tak tau apa yang mak rasakan. Entah apa yang ada dalam fikiran, tak dapat kami selami. Kami hanya dapat berdoa agar mak dikasihi Ilahi. Asal mak tenang kami sudah dapat berlega hati. Ya Allah berilah kesudahan yang baik kepada mak, jauhinya daripada kesudahan yang tidak baik. Ya Allah bantulah dia supaya sentiasa mengingat namaMu, bersyukur kepadaMu dan bantulah kami untuk sentiasa memperbanyak ibadat kepadaMu. Aamiin.

Saturday, March 6, 2021

MENU EMAK

Sejak mak kena stroke kali kedua, lepas kenduri adik bulan Januari 2019, mak dah tak boleh menikmati makanan seperti biasa. Sedih memanglah sangat sedih. Terasa tak tergamak kami nak makan bila tiba waktu makan. Manakan tidak, emak hanya boleh minum susu menggunakan tiub, 5 kali sehari, pukul 7, pukul 10, pukul 1, pukul 6, dan 10 malam. Begitulah rutin seharian, menu emak hanya susu saja. Susu untuk mak satu tin protimex cukup untuk dua hari saja, kemudian diselang dengan susu pentasure sehari untuk melawaskan najis. Begitulah rutin menu emak setiap hari. 

Emak memang tidak mampu untuk menelan makanan walaupun yang lembut-lembut.  Otot  mak untuk menelan sudah lemah dan tak berdaya langsung. Ini berlaku barangkali kerana mak tak mau makan langung sebab tiadak ada selera. Lama-lama otot yang lama tidak digunakan menjadi lemah sehingga tidak boleh berfungsi langsung. 

Ya Allah Engkau maha mengaturkan, kami redha. Takdir ini amat perit untuk kami, tapi kami amat  yakin inilah yang terbaik untuk kami, yang telah Engkau aturkan untuk kami tempuhinya. Ya Allah berilah makan yang terbaik untuk mak di syurga nanti. Kami yakin segala musibah di dunia akan berakhir jika kita sabar. Ya Allah bantulah kami supaya sabar dengan segala ujian ini, semoga dengan sabar ini ia menjadi asbab untuk kamianak beranak menuju syurgaNya.