Tuesday, February 27, 2018

WAHAI ANAK


Aku minta adik balik untuk urusan tanah arwah abah yang perlu diselesaikan di mahkamah. Sejak beberapa bulan lalu dia tidak pernah balik menjenguk emak yang terlantar sakit di rumahku. Bukan saja tidak balik malah tidak pernah juga dia bertanyakan khabar emak, walau sepatah pun. Dalam zaman moden ini kalau pun tidak balik, telefon pun boleh untuk bertanya khabar. Tapi tidak juga, aku pun tak tau nak kata apa. 

Balik ke rumah aku, adik pi bersalam dengan emak, tanya apa kbabar, kemudian keluar meninggalkan emak begitu saja di katilnya sendirian. Dah la lama tak balik, dah balik bersembang-sembang pun tidak. Aku rasa sungguh kecewa semoga Allah mengampunkan adikku ini. Barangkali dia rasa berdosa kot lama tak balik. Atau barabgkali dia rasa berdosa dengan emak, dia telah  mengambil semua barangan rumah emak tanpa sepatah pun minta izin dari emak. Dia angkut periuk belanga emak yang besar-besar tiga empat biji, kawah-kawah emak tiga empat biji, periuk nasi besar, dapur gas, peti ais, freezer, katil-katil dan tilam, semua permaidani dan tikar-tikar, semua kipas dinding, semua aircond, semua almari kabinet dan lemari baju, dan kusyen baru yang emak sayang. Dia juga angkut semua pinggan mangkuk, gelas-gelas dan cawan  yang banyak sebiji pun tak tinggal. Barangkali dia takut emak tanya, dia tahu dia buat benda yang tidak patut. Isterinya pun sama. Masa barang-barang dalam rumah emak tak diambil lagi datang menjenguk emak tak berhenti. Lepas semua diangkut balik muka hidung dah bertahun-tahun tak nampak.  Barangkali dia juga tidak sanggup berhadapan dengan emak kerana dia telah jual tanah hasil usaha keringat emak di depan rumah kami. Barangkali dia juga tidak sanggup berdepan dengan emak kerana dia buat bendang emak tapi sewa tak bayar sekali pun kepada tuan tanah. Barangkali kerana rasa bersalah itu dia tidak sanggup berhadapan dengan emak takut emak tanya semua itu kepadanya. Dia boleh bohong semua orang tapi dia tak boleh bohong diari sendiri. Dia tahu apa salahnya kepada emak sebab itu dia lari tak berani berdepan dengan emak.

Ya Allah aku pun tak faham. Ya Allah berilah pertunjuk jalan yang benar. Ya Allah jika ini ujianMu semoga emak sabar. Ya Allah jika ini ujian kepadaku semoga aku redha. Jika ini ujian kepada adikku berilah dia hidayah. Sesungguhnya tiada yang kekal di dunia ini. Semoga kami diberi keampunan, amin ya Allah.

ENTAH KENAPA?


Tak tau di mana nak ku mulakan. Dalam mengadun emak yang sakit, hati ku sentiasa saja merasa sayu, sering terasa sedih, dan mudah sangat tersentuh mengenangkan perjalanan hidup emak, yang sukar namun berjaya membesarkan kami hingga kami berjaya dan menjadi manusia. Banyak juga yang dapat kupelajari tentang perjalanan hidup ini. Banyak yang boleh menjadi panduan dalam aku mengharungi kehidupanku yang masih berbaki.

Sebagai seorang anak yang pernah menjadi ibu, aku sering terbanyangkan saat-saat gembira semasa emak membesarkan kami dulu-dulu. Sudah pasti emak  dan arwah abah sangat bahagia dengan dua orang anak:  seorang perempuan  dan seorang lelaki. Pastinya mereka menjaga kami dengan penuh kasih sayang yang tak terhinggakan. Waktu itu sudah tentu cuma bahagia dengan anak. Semuanya pada waktu itu tentulah terasa amat indah, anak  menangis pun suka, anak sakit pun tak mengapa. Segalanya tertumpu kepada perkembangan dan pembesaran anak hari demi hari. Sebab itu mereka bekerja keras mencari rezeki siang dan malam, pagi dan petang, panas atau hujan, tidak dirasakan terbeban sedikitpun. Semuanya tidak lain kerana kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Kerja mereka rencam: abah berniaga macam-macam - jual buah-buahan, jual manek koran, dan jual apom balik. Ada masa abah ambil upah buat bendang: mengala tanah, mukoi padi dan ayak padi untuk mendapatkan bekalan beras. Ada masa hari  cuti abah ikut Bomba Sukarela pula. Dan bila aku sudah besar abah jadi driver bas sekolah. Pendek kata macam-macamlah abah buat untuk mencari pendapatan dengan sungguh-sungguh  dan tekun untuk menjaga kami. Emak pula motong getah, tanam padi, tanam sayur tepi rumah, ambil upah jahit baju, ambil upah buat kueh, belajar masak dan tolong orang masak kenduri. Masa free emak ayak sekam untuk makan ayam itik yang dibelanya. Semuanya dikerjakan dengan tekun dan istiqamah. Semuanya terlaksana melalui kegigihan yang amat tinggi. Semuanya kerana kasih dan sayang mereka, demi anak-anak yang tercinta, sehingga tidak pernah mereka risaukan susah payah dan pahit  maung yang dirasai. 

Kini terlantar di katil, sudah pasti emak teringatkan anaknya yang seorang lagi. Dia sudah pasti rindukan anaknya yang dahulunya dibelai sejak kecil hingga dewasa. Dia mesti terlintas dalam hatinya untuk mendengar khabar anaknya itu. Aku pun tidak faham tidak ingatkah langsung untuk menjenguk emak yang terlantar sakit ini? Aku pun tidak faham. Kalau anaknya tidak ingat, tidak adakah sedikit ingatan seorang isteri kepada ibu kepada suaminya? Aku pun tidak faham. Besarnya ujian untuk seorang ibu. Besarnya juga ujian untuk seorang anak. Ya Allah aku pohon pertunjukMu. Tunjukkan kami jalan yang  benar. Semoga kami mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ya Allah ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami. Tempatkan kedua ibu bapa kami setinggi-tinggi darjat di SisiMu ya Allah ya Rahman ya Rahiim ya Robbal Aalamin.


 

Wednesday, January 10, 2018

CERITA-CERITA "CIKGU AZIZAN"


BERIKUT DIKONGSIKAN CERITA-CERITA YANG PERNAH BERLAKU DI SEKOLAH YANG MASIH KEKAL DALAM INGATAN

CERITA 1:
Satu hari sedang kami mengajar kedengaran riuh rendah suara bising murid-murid. Kelihatan beberapa orang guru berlari meluru ke arah pejabat. Kelihatan juga guru yang lain berkejar lari keluar dari pejabat. Murid-murid mula berkerumun untuk meninjau apa yang sedang berlaku. PK HEM dengan tegas minta pelajar balik ke kelas masing-masing. Guru Disiplin pula meredakan suasana dengan mengarahkan pelajar meninggalkan kawasan yang sesak itu. Beberapa orang guru turut membantu. Tidak lama selepas itu, keadaan menjadi reda dan suasana pulih tenang. Dari dalam kelas kami nampak ada beberapa orang guru sedang bercakap-cakap dengan seorang waris lelaki yang kelihatan dalam keadaan yang sangat marah. 

Tidak lama kemudian kelihatan guru-guru yang berada di situ,  bersalaman dengan waris itu. Kemudian kami lihat dia beredar pulang. Rupa-rupanya waris itu datang menyerang Pengetua dengan parang panjang kerana marahkan pihak sekolah, yang menggantung persekolahan anaknya. Pihak sekolah telah menghubungi waris untuk datang ke sekolah bagi menyelesaikan masalah disiplin. Malangnya waris tidak hadir ke sekolah, walaupun sudah berkali-kali  surat yang dihantar. Waris juga tidak hadir ke sekolah walaupun telah dihubungi berkali-kali. Jadi tindakan akhir ialah menggantung persekolahan pelajar, selepas diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Disiplin Sekolah. Bila anak tidak boleh datang ke sekolah maka menyingalah si bapa. Dia terus bawa parang panjang ke sekolah, menyerang Pengetua. Rupa-rupanya dia sangat marah kepada guru yang menggantung persekolahan anaknya kerana dia tidak dapat mengawal anaknya jika berada di rumah. Anaknya akan melawan emaknya, bergaduh dengan adik-adiknya dan menjadikan suasana di rumah sangat kecoh dan kelam kabut. Jadi jika anaknya berada di sekolah amanlah sedikit keadaan di rumah mereka. 

CERITA 2:
Satu pagi Pengetua mendapat panggilan telefon dari seorang Wakil Rakyat. Kononnya dia mendapat aduan dari seorang waris, dia tidak puas hati anaknya telah didenda oleh Guru Disiplin. Wakil Rakyat itu mengugut Pengetua, jika kes ini tidak diselesaikan tindakan mahkamah akan diambil kepada pihak sekolah. Kemudian Guru Disiplin membuat laporan tentang kes kejadian pelajar yang dimaksudkan. Guru-guru dan pelajar yang terlibat juga dipanggil untuk memberi penjelasan yang jelas. 

Menurut laporan kejadian, pelajar itu memang terlibat dengan pelbagai kes disiplin, dan terakhir ialah kes gaduh. Pelajar telah memberitahu warisnya dia dihukum walaupun dia tidak bersalah. Dengan bukti yang sahih, prosedur yang betul, dan saksi yang ramai, pelajar itu memang didapati bersalah. Selepas itu waris pelajar dipanggil dan dimaklumkan perkara yang sebenar. Kesimpulannya pelajar itu telah lama menipu warisnya tentang masalah yang berlaku di sekolah. Waris pun  sangat percaya sehingga membuat aduan kepada Wakil Rakyat. Semasa pelajar disemukakan dengan Guru-guru Disiplin dia masih menegakkan benang basah mengatakan dia tidak bersalah dengan sombong dan angkuhnya. Tetapi selepas dibawakan saksi-saksi dari rakan-rakannya sendiri dia sudah tidak boleh berbohong lagi. Begitulah jika ibu bapa selalu menyebelahi anak tanpa usul periksa anak menjadi rosak akhlaknya.

Saturday, December 30, 2017

NOSTALGIA CERITA-CERITA CIK GU AZIZAN


Membaca kronologi cerita cikgu Azizan mengingatkan aku kepada cerita-cerita yang sama semasa di sekolah dulu. Sangat banyak cerita seperti itu terjadi di sekolah. Boleh dikatakan saban hari ada saja kes ibu bapa datang ke sekolah sergah cikgu, marah cikgu, maki hamun, ugut, bawa Lawyer, telefon dan entah berbagai-bagai cerita dan insiden perlakuan ibu bapa kepada guru.  Kadang-kadang ada kejadian yang tak terfikirkan boleh dilakukan oleh ibu bapa kepada pihak guru di sekolah. 

Ibu bapa zaman sekarang dari segi status sosialnya kadang-kadang lebih tinggi berbanding guru di sekolah. Ibu bapa yang status sosialnya di mata masyarakat lebih tinggi kadang-kadang kurang menghormati guru, jadi ada masanya berlakunya konflik yang menyusahkan kerja buat guru di sekolah. Ini kerana dalam kelas pelajar di mata guru semuanya sama, mereka semuanya berpotensi dalam perbagai bidang. Dan potensi inilah yang cuba digilap guru sebaik mungkin, supaya pelajar menjadi orang yang berjaya menjadi insan yang seimbang dari segi intelek,  rohani,  emosi, dan jasmani. Itulah tugas dan amanah para guru, yang orang lain tidak dapat memahami dan merasai penanggung jawaban yang termaktub dan tersirat itu.

Bukan mudah cikgu yang berjiwa guru dapat berkelakuan seperti sesetengah orang berpendapat;  kenapa perlu cikgu susah payah mengajar dan mendidik? Kalau ada guru yang berkata begitu dia hanya bekerja guru tetapi bukan guru sejati. Guru begitu umpama guru kelas tiusyen yang mengajar untuk mendapat wang tanpa melihat aspek lain dalam pendidikan. Guru yang berkata begitu adalah guru yang tidak menjiwai Falsafah pendidikan Kebangsaan, dia hanya nak makan gaji sebagai guru, dia bukan guru. Tetapi dengan permasalahan sekarang, seperti kes yang berlaku kepada cikgu Azizan, selayaknya untuk selamat guru perlu jadi guru yang mengajarkan mata pelajaran sahaja. Yang lain  tak payahlah diberi tumpuan, kalau tidak guru yang akan bermasalah.

Berikut dikongsikan cerita-cerita seperti kes cikgu Azizan untuk renungan:

Friday, December 15, 2017

BUDAYA BARU ZAMAN MODEN


Sekarang musim cuti sekolah. Atok nenek amat seronok dan bahagia dengan kehadiran cucu-cucu yang pulang bercuti di kampung. Zaman sekarang ini anak-anak lazimnya bekerja di bandar, jauh dari kampung halaman. Kalau dulu anak-anak bekerja dekat dengan kampung asal, tak jauh dari rumah emak bapa, jadi bolehlah sering-sering balik ke kampung menjenguk dan bertemu orang tua. Sekararang tunggu cuti sekolah baru semua seisi keluarga baru boleh balik kampung, Kadang-kadang hanya cucu-cucu ditinggalkan di kampung. Jika tidak mereka hanya main gadget di rumah, atau menonton televisyen, atau dibawa keluar main-main di taman, atau jalan-jalan di pasaraya. Itulah antara aktiviti yang biasa. Jika tidak mereka akan berada sepanjang hari berada dengan pembantu rumah atau berada di rumah transit dengan aktiviti rutin. 
 

Saturday, November 25, 2017

KE MANA KAN KU BAWA HATI 1


Entah bagaimana mahu ku mulakan. Aku tidak pasti. Barangkali boleh aku mulakan atau aku sebutkan tentang perasaanku sejak sekian lama. Perasaan ku yang aku rasa dan aku tanggung sejak  kebelakangan ini. 


Yang pertama yang dapat aku lahirkan ialah, aku amat terkejut dengan musibah yang Allah hantarkan kepadaku. Rasa terkejut itu amat mencengkam dan menyesakkan dada. Bukan kerana tidak bersangka baik dengan ketentuan Mu Ya Allah, tidak sekali-kali.  Tapi tidak pernah aku menduga bahawa selama ini emak yang sentiasa kelihatan kuat, dan kental semangatnya, rupanya rapuh perasaanya dik memendam rasa sedih yang amat sangat, selepas pemergian abah yang amat dicintainya. Semasa edah emak memang tidak keluar rumah. Selepas edahnya dia terus tidak mahu ke mana-mana, terperuk di rumah. Kawan-kawan rapatnya tak henti datang memujuk, mengajak emak ke kelas mengaji atau kualiah-kuliah. Tapi emak tetap menolak dengan alasan dia sakit lutut dan tidak sampai masa lagi. Jadi kami tidak mendesak emak untuk menikmati kehidupan dengan kawan-kawannya seperti biasa. Emak bukanlah orang yang mudah dipengaruhi, dia mempunyai pendiriannya sendiri dan membuat keputusannya sendiri. Jadi jika emak sudah buat keputusan, kami memang tidak berupaya memujuknya lagi. Hari demi hari tinggallah emak dengan pembantunya, dan diziarahi teman-teman mana yang kelapangan. Kami bergilir-gilir balik menjenguk emak tak henti-henti, untuk menghiburkannya, supaya dia tidak sunyi. Dia nampak ceria dan gembira bersama kami. 

Beginilah suasana gembira balik kampung
Oleh itu, kami kurang risau, kerana kami lihat kehidupan emak berjalan seperti biasa. Emak sihat orangnya, tiada darah tinggi, tiada kencing manis atau sakit jantung.  Cuma dia sakit lutut, dia telah membuat pembedahan lutut dan boleh berjalan seperti biasa . Jadi pada kami dia sihat fizikalnya, dan kuat pemikiran serta semangatnya. Rupanya kami salah, andaian kami langsung tidak benar. Hati dan perasaan emak sebenarnya rapuh. Semangatnya  tidaklah sekental yang kami bayangkan. Kami tidak pernah menduga emak memendam rasa. Emak sembunyikan perasaannya yang sebenarnya. Kesunyiannya yang tak tertanggung. Kerinduannya yang tak berakhir. Tawanya hanya di luar. Dia sibukkan dirinya dengan pokok-pokok bunganya, tanamannya, dan aktiviti kejiranannya. Dia sibuk dengan kelas baca Yaasin, Marhaban dan tahlilan bersama rakan taulan. Kadang-kadang jadi ketua masak di rumah kenduri. Kami tidak pernah terfikirkan bahawa perkara itu menjadi gangguan emosi kepadanya. Akhirnya penanggungan perasaan yang berat dan sekian lama disembunyikan itu tak tertanggung lagi. Begitulah takdir ketentuan Ilahi Ya Muqtadir: Yang Maha Berkuasa, Ya Malikukul Mulk: Yang Maha Menguasai Segala Kerajaan,  terjadilah takdir suratan Ilahi, Kun Fayakun - tanggal 24 April 2016, lebih kurang jam 12,30 tengah hari, emak diserang angin ahmar. Dengan sekelip mata emak sudah tidak boleh berjalan, boleh bangun duduk, dan boleh menggerakkan cuma kaki dan tangan kanannya sahaja.
Inilah rumah kami yang amat emak sayangi sepanjang hayatnya
Alangkah berdosanya kami, Ya Allah ampunilah kami, maafkan kami, terimalah taubat kami Ya Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Lembut PengurusanNya. Sesungguhnya kami amat dhaif, dan kami amat tidak berilmu tentang perkara-perkara yang kurang dapat kami lihat, khususnya perihal yang tersembunyi dan disembunyikan oleh Iradat Mu Ya Alah yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Luas kekuasaanNya . Hanya padaMu Ilahi yang terserlah semua ketentuan yang tercatat sejak azali. Bantulah kami supaya kuat, dan bantulah kami supaya sabar. Sesungguhnya tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan dan tiada daya upaya kami untuk mengelak keburukan melainkan dengan kekuasaan Mu jua Ya Allah. Kasihaninilah kami sesungguhnya kami hanya berharap kepada Mu tidak lain hanya kepada Mu. Aamiin Ya Robbal Aalamiin.

Wednesday, November 1, 2017

KITA TAHU TAPI KITA TIDAK PEDULI



Saya mendapat wasap ini berulang kali dari banyak rakan yang mengirimkan. Berkali-kali membacanya mengingatkan saya untuk memuatkannya ke dalam blog saya untuk dititipkan kepada anak cucu yang disayangi dan kaum kerabat yang dikasihi. Semoga ia menjadi amalan yang berterusan biarpun selepas saya sudah tiada lagi, in sya Allah.

*KITA TAHU*
              *_tapi kita_*
       *TIDAK PEDULI*

🕌 *Kita mengetahui,* _*Sholat secara berjamaah* itu adalah sunnah, mendapat lebih 27 derajat dibanding Shalat bersendirian. Tetapi ruginya kita masih *tidak mampu untuk berjamaah di Masjid atau Surau.*_

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa ucapan *Subhaanallaahi wa bihamdihi* sebanyak 100 kali dalam sehari akan *menghapuskan dosa-dosa kita,* walaupun dosa kita sebanyak buih di lautan. Akan tetapi sayang, berapa banyak hari kita yang berlalu *tanpa kita mengucapkannya sedikitpun.*_

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa *pahala dua rakaat Dhuha setara dengan pahala 360 sedekah*, akan tetapi sayang, hari berganti hari *tanpa kita melakukan sholat Dhuha*._

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa orang yang *berpuasa sunnah karena Allah satu hari saja*, akan dijauhkan wajahnya dari api Neraka sejauh 70 musim atau 70 tahun perjalanan. Tetapi sayang, *kita tidak mau menahan lapar.*_

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa siapa yang *menjenguk orang sakit* akan diikuti oleh 70 ribu Malaikat yang memintakan ampun untuknya. Tetapi sayang, kita *belum juga menjenguk satu orang sakit pun minggu ini.*_

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa siapa yang membantu *membangun Masjid karena Allah SWT* walaupun hanya sebesar sarang burung, akan dibangunkan sebuah rumah di Syurga. Tetapi sayang, kita *tidak tergerak untuk membantu pembangunan Masjid* walaupun hanya dengan beberapa puluh ribu atau seribu rupiah._

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa siapa yang *membantu ibu tunggal dan anak yatimnya, pahalanya seperti berjihad di jalan Allah,* atau seperti orang yang berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka, atau orang yang shalat sepanjang malam tanpa tidur. Tetapi sayang, sampai saat ini kita *tidak berniat membantu seorang pun anak yatim*_

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa orang yang membaca *satu huruf dari Al-Qur'an, baginya sepuluh kebaikan dan satu kebaikan akan di lipatgandakan sepuluh kali*. Tetapi sayang, kita *tidak pernah* meluangkan waktu membaca Al-Qur'an dalam jadwal harian kita._

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa *Haji yang mabrur,* tidak ada pahala baginya kecuali Syurga, dan akan diampuni dosa-dosanya sehingga kembali suci seperti saat dilahirkan oleh ibunya. Tetapi sayang, *kita tidak bersemangat untuk melaksanakan Haji,* padahal kita mampu melaksanakannya._

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa orang mukmin yang paling mulia adalah yang yang *paling banyak shalat malam,* dan bahawasanya *Rasulullah SAW* dan para sahabatnya *tidak pernah meremehkan sholat malam* ditengah segala kesibukan dan jihad mereka. Tetapi sayang kita *terlalu meremehkan sholat malam*._

🕌 *Kita mengetahui,* _bahawa *hari Kiamat pasti terjadi*, tanpa ada keraguan, dan pada hari itu *Allah SWT* akan membangkitkan semua yang ada di dalam kubur. Tetapi sayang, kita tidak pernah mempersiapkan diri untuk hari itu..._

_Kita sering menyaksikan orang2 yang kita kenal dan kita sayangi *meninggal mendahului* kita. Tetapi sayang, kita selalu hanyut dengan senda gurau dan permainan seakan kita mendapat jaminan hidup selamanya._

Saya telah mengirimkan nasihat ini kepada orang2 yang saya cintai karena *Allah SWT*, maka kirimkanlah nasihat ini kepada orang2 yang kalian cinta & sayangi