Saturday, December 28, 2013

MAJLIS PERSARAAN WARGA PENDIDIKAN DAERAH KOTA SETAR



Setelah hampir dua bulan bersara, terasa sungguh gembira dan syukur tidak terhingga menerima jemputan majlis meraikan pegawai pendidikan yang telah tamat tempoh bekerja. Terima kasih kepada PPD Kota Setar yang meraikan kami, tak tau pula bila JPN Kedah akan buat majlis yang serupa. Mengikut surat jemputan kami dijemput melaporkan kehadiran, jam 10 pagi, di Hotel Star City, Alor Setar. Tepat jam 10.00 pagi, setibanya di lobi hotel, kelihatan Puan Ariyati sudah mengambil tempat di sofa dan bingkas bangun menyambut kami (Pn Ku Zamsiah dan Pn Faridah yang kebetulan sama-sama tiba). Kami semua bekas warga Bahiyah tertawa besar, apabila melihat atur cara majlis terpampang di lobi, menunjukkan majlis bermula jam 11 pagi. Semua kami tertawa pada diri sendiri, biar sudah lama tidak bertugas, tapi budaya menepati masa tetap sebati mendarah daging, walau di mana dan pada setiap waktu dan ketika.

Selepas pendaftaran kami bersalaman dengan teman-teman yang semuanya kelihatan ceria adanya. Sementara menunggu majlis bermula kami dihiburkan dengan cerita-cerita meriahnya menjadi orang bersara. Tidak lupa kami bertanya khabar sesama sendiri. Dan kami akhirnya bertumpu di meja mendengar cerita kisah suka duka dari seorang teman, yang juga telah lama bersara sejak awal tahun lagi. Melihat kepada wajahnya yang ceria, dan pada susuk tubuhnya yang kelihatan sihat sejahtera, sesiapapun tidak menyangka juga tidak pernah  terduga bahawa beliau adalah bekas pesakit kanser paru-paru tahap empat. Sambil mendengar ceritanya, masih jelas terbayang wajahnya yang layu tak bermaya sebelum beliau menjalani rawatan kanser sebelum ini. Semasa dia menjalani rawatan dulu, apabila hadir mesyuarat, kami selalu diingatkan agar berdoa akan kesihatan beliau. Walaupun ketika itu beliau sakit tapi masih hadir mesyuarat Pengetua Guru Besar. Masih jelas dalam ingatan, sejak dulu semasa diserang kanser sehingga sekarang, sudah selesai menjalani rawatan, dia masih tetap sama, sentiasa ceria dan sentiasa banyak cerita, walaupun kelihatan tubuhnya sudah sedikit susut.

Dengan selamba beliau berkata, 'saya ni entah berapa kali mati hidup semula.' Semasa saya sakit dulu sel kanser sudah merebak ke otak, jadi terpaksa menjalani rawatan infra red, radioterapi dan kimoterapi, serta bermacam lagi bentuk rawatan yang diaturkan. Beliau pernah tidak berupaya berjalan, dan sebulan di tempat tidur, dibantu semua aspek kehidupan oleh anak isteri dan juga warga hospital. Di samping itu lama juga dia berulang-alik ke Pulau Pinang untuk rawatan bersama follow-up dengan Doktor Pakar. Dan sudah pastinya dia tidak lupa masuk keluar wad di Hospital Sultanah Bahiyah yang entah sekian kali banyaknya. 



Selepas mengikuti beberapa sesi kimoterapi beliau sangat lemah. Pada waktu itu sangat teringin di hatinya untuk menjadi tetamu Allah, menunaikan haji. Tidak ada seorang doktor pun yang sanggup memberikan kebenaran, untuk dia berangakat ke tanah suci pada waktu itu, kerana keuzurannya yang amat sangat. Tetapi dengan izin Allah, oleh kerana kesungguhannya merayu, dan kesediaannya menanggung sebarang risiko, dia telah dibenarkan untuk berangkat ke Mekah, walaupun dia hanya mampu berjalan dengan bertongkat. Risiko yang paling tinggi sudah tentulah kematian. Tapi bagi seorang Islam sudah tetulah mati di tanah sucilah yang paling didambakan. Keyakinannya hanya satu, tidak ada daya kita untuk membuat kebaikan, dan tidak ada daya kita melaksanakan keburukan melainkan hanya dengan izin Allah semata-mata. Seorang teman yang dikenalinya sebagai sahabat semasa sakitnya datang berpesan,
'setiap penyakit tentu ada ubatnya, bersabarlah dan redhalah, mintalah doa hanya kepadaNya, bangunlah tahajjud setiap malam, bertaubatlah, mintalah ampun bagi segala dosa kita, Allah pasti akan mendengar kesusahan kita dan Allah sentiasa bersedia memakbulkan permintaan kita, hambaNya yang lemah, yakinlah.....'

Akhirnya tibalah dia  menjadi tetamu Allah. Semasa di sana entah berapa kali berita tersebar dia telah kembali kerahmatullah. Setiap kali dia ditanya dia minta anaknya buat kenduri di rumah anak yatim, dan minta mereka anak-anak yatim mendoakan kesihatannya. Boleh dikatakan tidak berhenti anak-anak yatim mendoakannya. Juga dia tidak tahu entah berapa banyak doa dipanjatkan ke hadhrat Allah di  hadapan Kaabah adanya. Di samping dia berserah dan redha dengan ketentuan yang ditimpakan kepadanya. Akhirnya dia amat bersyukur dia telah kembali sihat selepas itu sehinggalah kelihatan seperti sekarang adanya. Jadi kalau kita ditimpa musibah jangan putus asa, Allah bersama kita, jangan mengeluh kecewa kerana Allah sangat kasihkan kita. 

Sekarang dia lebih sibuk daripada jawatan Guru Besar dulu. Dia diminta berkongsi pengalaman, perasaan, memberi motivasi dan perbengkelan. Dia amat bersyukur kerana boleh juga membatu rakan yang senasib diserang kanser untuk meneruskan kehidupan. Pada waktu kita ditimpa kesusahan itu kadang-kadang kalau silap jalan kita boleh hilang pedoman.


Sunday, November 17, 2013

SHARED VISION



Entah kenapa, tiba-tiba teringat ucapan Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar, Encik Sofaruddin Ismail, semasa majlis meraikan persaraan anjuran MPSM. Katanya beliau sangat mengambil berat tentang keharmonian di sekolah. Tapi akhir-akhir ini beliau rasa terpanggil untuk bercakap tentang keadaan yang ada berlaku di sekolah, yang kalau tidak diberi perhatian, akan mengganggu keharmonian dan menghalang kecemerlangan pendidikan, terutamanya untuk mencapai hasrat Kedah Top 5. Ini disebabkan terdapatnya keadaan ketidakserasian, atau dalam kata lain 'konflik' antara Pengetua dan Penolong-Penolong Kanan.  

Jadi sebagai PPD, beliau amat mamandang serius hal ini. Katanya kadang- kadang Pengetua datang  mengadu, tentang PK, dan kadang-kadang PK pula datang mengadu tentang Pengetua. Sukar untuk diselesaikan kerana PPD berada di luar kotak. Walau bagaimanapun, bila merujuk pakar-pakar berhubung aspek pengurusan, maka dia membuat kesimpulan bahawa masalah yang timbul, pergeseran yang berlaku, barangkali disebabkan oleh satu aspek yang dikira releven - iaitu 'shared vision' atau perkongsian visi atau lebih tepat dikatakan visi bersama.


Oleh itu jika visi sesebuah sekolah yang diterajui seorang Pengetua, difahami dan didokongi oleh semua Penolong Kanan, sudah pasti pergeseran tidak akan berlaku. Bagaimana boleh bergeseran jika apa hasrat Pengetua difahami, dihayati, dan  dicerna, sehingga apa saja tindakan menjurus untuk mencapai visi yang yang telah dipersetujui. Jika kurang dikuasai dan timbul berbagai- bagai masalah, Penolong Kanan akan berbincang dengan Pengetua. Jika terjadi Guru Kanan tidak mempamerkan keterlibatan, begitu juga guru-guru tidak memain peranan, maka jika PK menjadi pendokong utama merealisasikan visi, memahamkan tindakan yang perlu, menjelas dan merongkai mana yang kusut,
maka sesebuah sekolah itu akan mencapai visi yang tentunya menjurus kepada kecemerlangan. Ini kerana perkongsian visi berlaku dari atas ke bawah, dan peranan PK-PKlah yang menjadikan tiada masalah guru kanan dan guru melaksankan visi. Jika sebaliknya akan berlakulah apa yang dikatakan konflik itu. 

Kata PPD lagi, kita tidak menafikan ada Pengetua yang kurang jelas visi yang ingin dituju. Tapi itu sangat sedikit kerana selalunya seorang Pengetua memang bekerja keras untuk mencapai visi organisasinya,  kerana selepas dilantik menjadi Pengetua, maka terpikullah tanggungjawab memajukan organisasi yang diamanahkan melalui kuasa mutlak yang diberi.


Jadi jika berlaku konflik antara Pengetua dan Penolong Kanan maka, perlu dilihat kriteria-kriteria yang menyebabkan fenomenon ini terjadi. Mengikut  kajian ada pelbagai ciri Pengetua  ataupun PK yang menyebabkan berlakunya pergeseran yang menjejaskan keharmonian, yang boleh direnungkan untuk kebaikan sesebuah sekolah, demi kecemerlangan pendidikan.

1.  Kuasai ilmu pengetahuan
Baik Pengetua mahupun PK apabila dilantik untuk jawatan tersebut, mestilah  menguasai ilmu berkaitan bidang  tugas masing-masing. Jika ini tidak berlaku, maka akan menimbulkan ketidaksenangan antara keduanya. Hal ini akan menjadikan persepsi antara kedua pihak tidak sama, yang sekali gus akan menjarakkan dan merenggangkan hubungan, sehingga masing- masing boleh membuat anggapan yang salah terhadap satu sama lain. Akhirnya kedua pihak hilang fokus, maka berlakulah konflik semata-mata kerana kekurangan ilmu dalam melaksanakan tanggung jawab memimpin dan melaksanakan kepimpinan. 

2.  Coaching & mentoring
Dalam memastikan perjalanan sekolah berjalan lancar, maka Pengetua boleh memastikan pencapaian visi dengan melakukan proses coaching & mentoring kepada PK dan juga GK, supaya mereka dapat memahami peranan masing-masing, dan menjadi pemangkin kepada usaha mencapai sebarang matlamat. Hal ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara, melalui mesyuarat, dialog professional, tunjuk cara dsb. Di sinilah boleh menyebabkan berlakunya konflik jika tidak kena caranya. Jika seorang PK dapat mengikut rentak Pengetua dari segi ilmu pengetahuan, dari segi kapasiti dan kelajuan kerja, dari segi kehendak, dan rencana masa depan, maka tidak sedikitpun masalah akan timbul. Tetapi jika PK kurang berkemampuan, kurang  kefahaman dan kepekaan, maka mulalah suasana kerja menjadi panas. Bermulalah PK menjadi kurang senang dengan Pengetua kerana sering ditegur, kerja tidak siap, ramalan masa depan tidak tepat, kerja kurang teliti dan bermacam lagi. Apa yang lebih teruk ialah  PK tidak langsung menguasai apa yang sepatutnya dikuasai walaupun telah diberi tunjuk cara. Jika berlaku begini PK akan menjauhkan diri daripada Pengetua sedangkan tempatnya adalah sentiasa berada di sisi Pengetua, mesti seiring sejalan bertongkos lomos memajukan sekolah. Keadaan ini sering berlaku kerana perbezaan kefahaman dan kekurangan kemahiran melaksakan tugas untuk mencapai visi yang digariskan.



Kesimpulannya shared vision ini kalau boleh dianalogikan, dan kalau boleh dihayati, barang kali seperti sembahyang berjemaah. Dalam melaksanakan sembahyang berjemaah ini, tiada apa yang tidak serupa, semuanya sama. Bemula dengan kiblat yang satu, imam  yang sama, niat yang serupa, maka terlaksanalah sembahyang berjemaah itu dengan sempurna. Jadi dalam organisasi seperti sekolah, maka perlu dilihat, perlu diwujudkan kesamaan ini, tidak boleh ada yang berbeza. Jika di sekolah wujud perbezaan dalam mencapai matlamat - persoalannya siapakah yang buat bagi  berbeza? Pengetuakah, PK-PKkah, GK-GKkah, guru-gurukah, atau stafkah. Perbezaan inilah yang harus ditangani untuk melihat tercapainya kecemerlangan dalam apa jua yang dicita-citakan. Jika dalam berjemaah, ada perbuatan yang berlainan daripada imam, maka tidak sahlah sembahyang seseorang yang melakukan perbuatan yang sumbang itu. Jadi, jika terdapat   berbezaan dalam melaksanakan tugas ke arah pencapaian visi, maka tidak tercapailah visi yang dipersetujui. Sama-samalah direnungkan nasihat tuan PPD Kota setar ini......

Thursday, November 14, 2013

PANTUN PERPISAHAN


Ingin dikongsikan pantun yang dicipta khusus untuk persaraan yang indah lagi amat bermakna. Terima kasih untuk semua yang terlibat. Sampai bila pun kenangan bersama tetap abadi di dalam hati. Sampai bila pun pengalaman bersama akan bersemadi di jiwa. Selamat tinggal semua, selamat maju jaya hendaknya, semoga terus cemerlang adanya.

Berhembus bayu angin menghilir
Sejuknya sampai ke hujung pohon
Sambutlah salam pesan terakhir
Kusampaikan lewat untaian pantun.

Hendak menebang nibung berduri
Dibuat pagar tepi perigi
Pantun dikarang melepas diri
Entahkan bila berjumpa lagi

Orang kampung mengail tenggiri
Tenggiri dijual dalam pekan
Kami yang di sini memohon diri
Silap dan salah mohon diampunkan

Tanjung sauh di Pulau Bentan
Tempat berlabuh orang  Penyengat
Berpisah jauh bercerai badan
Puan Rahinun tetap kami ingat

Raut wajah damai dan tenang
Tiada terkalam kasih dijunjung
Jasa baktimu tetap dikenang
Budi baikmu tetap disanjung

Bunga kemboja putih berseri
Putihnya melor di hujung dahan
Atas kerjasama dan bantuan yang diberi
Puji syukur dan terima kasih kami ucapkan

Kalau menjemur papan panjang
Baik disusun tegak berdiri
Kalaulah ada umur  panjang
Insy Allah kita akan berjumpa lagi



Wednesday, November 13, 2013

CERITERA ORANG TAK BERNAMA


Berada di rumah buat sekian lama, hampir selesailah tugas-tugas yang dirasakan perlu. Teringin pula keluar bersama bonda yang sudah sekian lama menunggukan saat dibawa bersiar-siar, menikmati dunia. Kami ingin makan tengah hari bersama. Kami pilih sebuah restoran yang menyajikan ikan bakar dan lain-lain masakan kampung tidak jauh dari rumah. Memang banyak sungguh pilihan ikan bakar, ayam bakar dan daging bakar. Sungguh berselera dan memberikan pelbagai pilihan yang tidak dapat disangkal lagi. Kami memilih lauk pauk yang memecahkan selera, dengan minuman air epal hijau daun belalai gajah. Makanlah kami anak beranak dengan sungguh berseleranya.

Sambil makan kami bercerita. Macam-macam topik, lepas satu, satu. Antara yang ingin dikongsikan... rasa syukur yang tak terhingga dengan nikmat Tuhan yang ditakdirkan. Suatu hari aku keluar ke kedai membeli barang keperluan dapur. Sambil melayan aku memilih barangan yang dimintakan, pekedai tiba-tiba beritahu, anaknya cerita majlis persaraan di sekolah. Kononnya sangat meriah. Aku senyum sambil bertanya yakah... Dia sambung lagi, risau juga siapa ganti nanti... Dengan selamba aku bagi tau dia, ada tu nanti.. Selesai membayar, aku mengambil semua barangan dengan hati-hati. Tapi sebelum beredar dia memberikan aku satu bungkusan. Ini untuk cikgu, saya kenduri. Anak saya dah berjaya keluar dari sekolah cik gu, tinggal yang sorang saja lagi. Banyak jasa cik gu pada kami....

Aduhai, aku terkedu, selepas mengucapkan terima kasih aku berlalu dengan perasaan syukur dan terharu. Bukan pemberiannya yang mengusik hati, tapi ingatan yang tulus itu yang menjadikan hati tersentuh. Sebagai guru kami tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Kami hanya bahagia bila semua murid berjaya. Kami mendidik nilai yang baik, rupanya nilai itu menjadi amalan anak-anak juga keluarga murid yang pernah bersama kami. Itulah kebanggaan kami. Terasa terubat juga hati yang kadang-kadang bagai dihiris-hiris. Ada waris yang maki hamun, ugut, hantar surat layang dan pelbagai laku perlakuan yang mempamerkan rasa tidak puas hati kepada guru. Cukuplah walau pun seorang terasa amat dihargai.

Kemudian aku terus ke kedai lain untuk belikan makanan petang. Sambil menunggu makanan yang dipesan siap, seorang wanita separuh abad dengan senyum menghampiri. Cik gu dah pencen ya... Anak saya sedih, risau pun ada juga,  sebab dia belum habis SPM lagi. Tak apa guru lain kan ada, mereka semua akan bantu anak puan. Kalau saya ada pun mereka yang buat kerja, jangan risau, insyaa Allah anak puan akan berjaya........  Makanan yang dipesan siap, aku ke kaunter untuk buat bayaran. Dengan senyum wanita tadi beritahu, hari ini saya  kenduri  kat cik gu......

Masya Allah...... Apa yang dapat dikatakan lagi, jika ditolak nanti dikatakan tidak sudi, dan tidak berbesar hati atas kenduri yang dihajati. Dengan ucapan terima kasih aku melangkah pulang dengan rasa terharu, dan syukur atas nikmat yang diberi. Hari ini mencurah-curah rezeki dari Ilahi. Demikianlah cerita-cerita sepanjang makan tengah hari yang sungguh enak dan santai.

Sedang makan tiba-tiba seorang lelaki separuh umur yang agak familiar rupanya, memberi salam. 'Cik gu dah pencen, muda dah berhenti, nak buat apa nanti.....?' Aku senyum mendengar soalan biasa ditanyakan, sejak belum pencen lagi. 'Anak saya Najwa dah sem akhir di UIA, sekarang sedang cuti kat rumah.' ' Ooo tahniahlah anak encik berjaya, kirim salam dekat dia, Insyaa Allah dia terus berjaya nanti. '

Kami terus menjamu selera, selepas lelaki itu beredar. Bila siap makan, kami bangun untuk ke kaunter. Belum sempat bergerak kami diberitahu, makanan kami sudah dibayar. Dibayar oleh waris pelajar yang menyapa kami tadi. Alhamdulillah ...........  mencurah-curah rezeki orang pencen rupanya. Inilah yang dikatakan takdir. Barangkali inilah nikmat yang diberikan Allah dengan tidak disangka- sangka. Siapalah yang dapat menduga rezeki dan nikmat Allah ini? Mudah-mudah Allah memberikan balasan yang setimpal untuk orang yang dengan murah hati membuat kenduri kepadaku insan kerdil tak bernama ini insyaa Allah.......




Tuesday, November 12, 2013

TAHNIAH BUAT SEMUA


Sudah genap seminggu berada di alam persaraan. Kawan rakan dan taulan serta jiran tetangga, juga sanak saudara, mengucapkan tahniah tak terhingga. Tapi ada juga yang geleng kepala, kononnya bersara terlalu muda. Apa pun sudah dapat dirasakan nikmatnya menjadi orang biasa. Sudah sekian lama dirasakan menjadi orang 'ternama'. Setiap hari dan setiap masa memikirkan orang-orang 'penting' yang dititipkan. Pagi petang, siang atau malam, dalam jaga ataupun lena, semuanya tidak lain, hanya untuk mereka. Tidak pernah pun  dikesali,  tidak sedikit pun bergundah hati, malah sentiasa ceria dan diterima tanpa berbelah bahagi. Begitulah ketentuan Ilahi adanya. Begitulah yang telah tertulis untuk insan kerdil ini, sehingga tanggal 22 Oktober 2013 tamatlah sudah masa berkhidmat. Maka bermulalah kehidupan menjadi YB,iaitu yang bersara. Maka jadilah salah seorang anggota POP, persatuan orang-orang  pencen, dengan rasminya, pada hari usia sudah genap mencapai 56 tahun.



Sebenarnya sejak mula berkhidmat, sehingga tiba masa tarikh  pencen, tidak pernah sempat pun menghitung hari. Jadi hari-hari berlalu begitu pantas, walaupun sebenarnya melebihi 32 tahun. Begitulah juga dek kerana banyaknya tugas yang mesti diselesaikan, maka tidak terbau sedikitpun perancangan rapi yang diaturkan, oleh pengurusan yang  disayangi, juga PIBG yang disanjungi. Dan tentunya dengan komitmen kaunselor, guru- guru, juga staf  yang hebat lagi menggungguli, dan sangat dekat di hati.


Maka terjadilah apa yang telah tertulis dan ditakdirkan kepada diri ini, suatu majlis persaraan yang sungguh-sungguh hebat, yang tidak pernah terbayangkan dibuat untuk seorang manusia tak bernama. Terpancar dengan jelas  keperihatinan, kasih sayang, kecemerlangan, ketelitian dan penghargaan seluruh warga Bahiyah. Kelihatan mengalir budaya kerja cemerlang yang mendarah daging dalam setiap jiwa, yang menjadi amalan dan menjadi tradisi dalam setiap apa yang dilaksanakan. Sungguh terpesona, amat terpaku, lagi  terpukau dan tidak terkata lagi. 


Apa yang boleh ku katakan lagi? Syukur padaMu ya Allah. Terima kasih Puan Norlela, kepimpinan yang terserlah menerajui semua. Terima kasih Puan Faridah menjadi pembantu yang setia, Yunizah, Raudhah, Hamidah dan Noor Afiza semuanya sudah pasti cukup serius mengaturkan segalanya. Sudah pasti Puan Noor Asyikin juga, tidak jemu-jemu mendoakan yang terbaik di tanah suci, walaupun tiada bersama tapi hatinya pasti sarat dengan ingatan pada kami, kerana kami pun terasakan keberadaannya dalam majlis yang sungguh syahadu. Terima kasih Puan Zanifa, Ruzila, Halijah Kaunselor dan AJK yang menganjurkan majlis yang bermakna ini. Sungguh hebat, meriah dan unggul, majlis untuk ku,  tidak pernah akan dapat diulangi walau di mana jua. Terima kasih semua guru yang tidak dapat disebutkan nama, dalam ruang yang terhad ini. Tidak lupa terima kasih staf dan pelajar yang disayangi. Anda semua akan kekal dalam ingatan. Terima kasih dari seorang insan kerdil yang diraikan. Allah sajalah yang layak membalasnya....

Sunday, October 20, 2013

HARI GRADUASI KE-10, 2013


Berarak masuk ke dewan pagi ini, amat bermakna bagi diriku. Berbagai perasaan bermain dalam fikiran. Bermacam rasa bercampur baur. Terkenangkan 10 tahun yang lalu perarakan yang sama juga, dalam majlis yang sama juga, Majlis Graduasi yang pertama tahun 2004. Pagi ini, majlis yang ke-10, walau perarakan masuk sama, VIP -  EXCO Pendidikan negeri Kedah, bersama Pengarah  Pendidikan dan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar, serta  YDP PIBG, namun suasananya tidak sama, kerana ini majlis terakhir. Turut sama berarak masuk semua pelajar yang mencapai 7 A ke atas,  dalam Peperiksaan Percubaan SPM, dengan segak dan bergayanya. EXCO Pendidikan  beri komen, sungguh meriah, walaupun pertama kali datang ke sekolah tapi dapat dirasakan kehebatannya. Syukur alhamdulillah......


Tuan Pengarah juga menyebut, 'semalam dah wakilkan kepada orang lain, tapi, kerana you nak bersara pagi ni saya hadir sendiri.' Sungguh tidak diduga Pengarah hadir. Semua amat tahu beliau sangat sibuk, penuh dengan schedule yang padat, tapi alhamdulillah dapat juga menghadirkan diri. Ini sangat bermakna buat orang yang dah sampai tarikh akhir perkhidmatan - menghampiri gerbang bersara.

Tuan PPD juga kononnya ada pehimpunan pagi, tapi  akan hadir jam 9.00 pagi. Oleh kerana EXCO akan sampai lebih awal jadi kami buat pelan kontigensi supaya tidak disedari oleh  semua hadirin. YDP PIBG telah dimaklumkan pelan B. Perarakan masuk tanpa PPD tidak disedari hadirin, setiba di atas pentas tiba-tiba PPD sudah tercegat berdiri di sebelah, siap berjubah lagi. Oh sungguh bersyukur kerana majlis kelihatan seungguh sempurna, tiada yang tahu pelan B yang telah dirancang. Syukur alhamdulillah, semuanya kelihatan lancar dan licin.
 

Begitulah melaksanakan majlis mesti cepat menyesuaikan ikut situasi. Maka selesailah Majlis Graduasi ke -10 dengan jayanya. Tahniah kepada semua guru dan AJK  PIBG, aku sungguh rasa bersyukur dan berbanga.  Tahun depan tiadalah lagi majlis gilang gemilang ini kerana aku sudah bersara. Selamat tinggal Bahiyah selamat tinggal semua.

Wednesday, October 2, 2013

6 K UNTUK BERJAYA


UCAPAN PENGETUA
MAJLIS MOHON RESTU PMR
30 SEPT 2013

Apabila diminta berucap untuk pelajar PMR,  maka terdapat beberapa perkara yang terasa ingin disampaikan sebagai ucapan terakhir kepada mereaka. Sebenarnya ucapan ini sesuai diamalkan oleh pelajar bukan sahaja untuk mereka menduduki PMR, tapi juga sesuai untuk mereka  bagi menghadapi apa jua peperiksaan dan temu duga. Bukan itu sahaja tapi amanat ini sesuai juga untuk mereka menghadapi apa jua situasi yang memerlukan mereka dinilai dan diberi markah. Petua yang ingin disampaikan untuk menghadapi PMR terkandung dalam 6K seperti berikut.


Meraikan kejayaan yang dicapai......
  • Ketenangan  -  Dalam menghadapi apa jua ujian atau peperiksaan maka sangat penting untuk kita mempunyai ketenangan hati dan  jiwa. Orang yang tenang jiwanya akan dapat melaksanakan kerja dengan lebih baik. Orang yang tenang sudah pasti dapat menjawab soalan peperiksaan dengan lebih tepat , dan hasilnya akan lebih cemerlang. Jadi untuk menghadapi PMR semua pelajar perlu menjaga hati supaya sentiasa tenang. Dengan hati yang tenang, pelajar akan dapat berfikir dengan baik dan mencari jawapan yang tepat. Elakkan daripada perkara-perkara yang boleh mengganggu ketenangan jiwa. Di samping itu berusahalah dan berdoalah supaya  menjadikan kita tenang semasa kita menduduki peperiksaan.
  • Kesihatan  -  Sebaiknya semasa musim peperiksaan kita berada dalam kesihatan yang baik. Kita perlu berusaha supaya badan kita sihat kerana dengan badan yang sihat barulah  otak kita cergas. Untuk itu kita kita perlu menjaga pemakanan yang seimbang, supaya tidak mengganggu perut yang boleh mengganggu kesihatan pula. Elakkan daripada berada di tempat awam yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit berjangkit seperti selesema. Dengan kesihatan yang baik, selalunya dengan izin Allah,  kita boleh menjawab dengan baik dan cemerlang.
  • Kepercayaan -  Untuk berjaya kita mesti mempunyai kepercayaan yang kita memang boleh berjaya dan kita mampu untuk mencapai kejayaan. Jika tidak, maka sudah pasti kita tiada keyakinana diri, dan kita tidak akan dapat menghadapi cubaan dan dugaan. Jadi akhirnya kita tidak teransang untuk berjaya dan tidak kuat percaya diri untuk berusaha bagi mencapai kejayaan. Percaya diri membuatkan kita akan berusaha bersunggu-sungguh sehingga berjaya walau dengan apa cara sekalipun. Jadi percayalah bahawa pelajar akan berjaya cemerlang dalam PMR dan teruskan usaha untuk mencapai apa yang dicita-citakan.
  • Kepatuhan disiplin - Dalam kehidupan seharian, dalam apa jua keadaan, untuk mencapai kejayaan cemerlang, tidak boleh tidak kita mesti mempunyai disiplin diri. Kepatuhan kepada disiplin yang tinggi akan menjadikan kita boleh bergerak ke arah kecemerlangan diri. Jadi untuk cemerlang PMR semua pelajar teruskan mematuhi disiplin, semoga dengan itu semuanya akan mencapai kejayaan yang dicita-citakan.
  • Keredhaan -  Kejayaan seseorang selalunya berkait rapat dengan keredhaan orang tua masing-masing. Kejayaan dalam bidang pelajaran ada juga kaitannya dengan  keredhaan daripada kaum guru. Oleh itu dapatkanlah keredhaan daripada ibu bapa, dan mohonlah keredahaan juga daripada guru-guru yang mengajar. Semoga dengan restu dan keredhaan ibu bapa tercinta dan guru yang sentiasa peka, kita akan lebih berjaya dengan cemerlangnya.
  • Ketaqwaan - Akhir sekali setelah segala usaha dilaksanakan, setelah segala usaha dibuat, maka apalah daya kita untuk mencapai sebarang kebaikan melainkan dengan izinNya jua. Jadi selespas berusaha keras berserah dan bertaqwalah kepada Allah. Pohonlah diberikan kejayaan, kerana Dia sajalah yang berhak memberikan segala apa yang diingini - kejayaan yang cemerlang tentunya.
Semoga dengan tips yang diberikan dapat dijadikan panduan untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat sana. Sama-samalah kita renungkan dan mengambil iktibar daripadanya.