Friday, October 14, 2011

LEARNING IS FUN BUT ITS NOT EASY 1


Terbaca blog angah tentang mengajar anak-anak membaca, teringat masa muda-muda. Mula-mula mengajar anak kenal huruf, mengajar anak kenal nombor, dan mengajar anak mengaji. Kelihatan sangat mudah tapi ternyata sangat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Mengajar anak kenal huruf, bermula sejak anak boleh bercakap. Semuanya dibuat dalam bentuk santai, main-main dan menyanyi, berulan-ulang dan berterusan. Sehinggalah mereka kenal huruf apabila melihat huruf di mana-mana.

Langkah kedua, apabila sudah kenal huruf, barulah diajar membaca huruf mengikut urutan. Ini pun berlaku secara main-main dan seolah-olah tidak dipaksakan, kerana menyanyi berulang-ulang kali, memang disukai kanak-kanak. Masa yang diambil untuk membolehkan anak membaca ABC, tidaklah lama sangat, tetapi untuk memahamkan anak mengeja, agak memakan masa dan perlu lebih banyak sabar. Mula-mula mereka diajak bermain dengan huruf vokal a,e,i,o,u, terlebih dahulu, sehinggalah mereka ingat bunyi setiap huruf vokal. Kemudian mereka diasuh dan dilatih menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal, ini pun secara bermain dan santai, selalunya semasa di dalam kereta. Akhir sekali barulah mereka belajar membaca, ini pun secara bermain, apabila kami membaca surat khabar atau kami memang bermain untuk memahirkan mereka mebaca.

Proses membaca ini, sangat mencabar, kerana anak-anak perlu duduk dan melihat apa-apa bahan bacaan. Ini perlukan teknik memujuk ibu bapa yang berkesan, dan memerlukan kesabaran ibu bapa yang tinggi. Ini berkaitan dengan pemupukan sikap dan tabiat, dan pemupukan minat dan kebiasaan. Ramai ibu bapa selalunya gagal di peringkat ini, dan selalunya mengalah dengan mengatakan anak mereka tidak minat, sedangkan sebenarnya mereka yang tidak sabar. Tambahan lagi mereka, iaitu ibu bapa, tidak ada budaya membaca, tidak ada suasana membaca dan tiada environmen membaca di rumah, jadi anak-anak tidak boleh melakukan sesuatu yang diarahkan, tapi tidak biasa dilakukan dalam kehidupan seharian mereka. Kadangkala pada waktu ini, semasa anak-anak baru menguasai huruf, mereka sangat agresif meminta kita melayan mereka membaca, sehingga ibu bapa rasa sangat terganggu dengan kerja-kerja harian. Membaca surat khabar pun terganggu, membaca buku pun tak menentu, kerana mereka minta diberi perhatian untuk mereka dapat membaca satu dua perkataan yang baru, atau membimbing mereka membaca perkataan baru untuk menambah keterujaan mereka membaca perkataan baru. Kita akan gagal jika kita minta mereka baca sendiri, kerana kita nak buat kerja kita. Kita akan gagal jika apabila mereka jemu, mereka akan memberontak dan membuat kacau, seperti menangis, dan bergaduh, dan akhirnya kita marahkan kerana mereka buat kacau. Sedangkan mereka memberontak kerana mereka mahu terus dibantu untuk mereka boleh terus membaca perkataan baru. Kalau zone kritikal ini dapat diatasi dengan sabar dan bijaksana, mereka akan melepasi saat kritikal ini dan dapat menguasai atau sekurang-kurangnya memulakan tabiat membaca pada peringkat awal.

Jadi untuk anak-anak mula membaca ibu bapa mesti membaca di hadapan mereka, membaca bersama mereka dan sabar mengajak mereka membaca bersama kita. Di samping itu aktiviti membaca mesti menjadi aktiviti keluarga sepanjang masa, barulah anak akan boleh membaca, rajin membaca dan terus suka membaca, sehingga mereka berjaya.

Saturday, October 8, 2011

HI-TEA PENGAWAS 2011

HOLIDAY VILLA, ALOR SETAR 3.30 PETANG

Alangkah bangganya, pada tahun ini buat kali keduanya, pengawas sekolah berjaya menganjurkan Jamuan Tahunan. Jemputan telah dihantar awal-awal lagi. Ketibaan kami disambut gadis-gadis cantik di pintu utama, dan menu sungguh nampak menyelerakan. Credit should go to PK HEM kerana perancangan yang rapi. Memang sangat rapi perancangan, dan sangat jelas pemupukan kepimpinan yang kelihatan. Sungguh membanggakan.

Untuk bakal pemimpin yang cemerlang, diingatkan bahawa antara ciri penting untuk menjadi pemimpin yang cemerlang, perlu kebijaksanaan dalam sebarang tindakan. Ada orang dilantik menjadi pemimpin, ada orang minta dijadikan pemimpin, ada pula orang yang memang berbakat menjadi pemimpin, walau pun tidak diangkat atau diiktiraf oleh sesiapa pun. Jadi bagaimana pun cara kita menjadi pemimpin, yang penting bagaimana tindakan kita dalam proses memimpin.

Dengan kebijaksanaan, banyak perkara boleh selesai. Dengan kebijaksanaan yang kusut akan dapat lerai. Dengan kebijaksanaan masalah menjadi mudah. Jadi terlanjur menjadi pemimpin cubalah belajar menjadi bijaksana, cubalah amalkan bijaksana, cubalah bertindak dengan bijaksana dan dan meminpinlah secara bijaksana. Semuanya dapat diamalkan sejak di sekolah lagi. Belajarlah seni memimpin dengan bijaksana, mudah-mudahan bila nanti menjadi pemimpin, kita dapat diterima oleh masyarakat kerana kebijksanaan kita. Pemimpin yang bijaksana akan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu marilah menjadi pemimpin yang mengamalkan sifat bijaksana.....

Friday, October 7, 2011

SUKANEKA ASRAMA DI TAMAN TASIK

7 OKTOBER 2011 - 8.00 PAGI - 1.00 TENGAH HARI
Minggu ini pelajar asrama tingkatan 1, tingkatan 2, dan tingkatan 4, dibawa outing, bersukan, beriadhah dan bersantai di Taman Tasik Darulaman Jitra. Program ini ilaksanakan dengan kerjasama siswa siswi dari Kolej Petronas, UUM, sebagai salah satu program jalinan antara SMKSB dan UUM. Semoga program ini memberi pendedahan minda dan pengalaman baru dalam pemupukan kecemerlangan pelajar. Terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jawatan Kuasa terlibat yang telah berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya. Tahniah kepada semua puteri asrama kerana memberi kerjasama yang sungguh hebat. Anda memang cemerlang.

ATUR CARA MAJLIs

8.00 PAGI Pendaftaran peserta
Senamrobik, jogging
Ucapan Perasmian
Acara Sukaneka
Lari Dalam Guni
Menghadapi Halangan
Bowling buah kelapa
Bahagi Kacang
Lari Tempurung
Musang berjanggut (Pilih Bijirin)
Penyampaian Hadiah
Makan tengah hari
1.00 TH Bersurai

Semoga berjumpa lagi di tahun hadapan.

Thursday, September 29, 2011

ANAK SIAPA


Banyak sudah laporan yang diberikan guru, semuanya meluahkan rasa tidak senang, rasa marah, kesal, dan juga kasihan. Rasa marah dan kesal sebab pelajar tak buat kerja sekolah, seperti yang diarahkan, tak datang sekolah seperti sepatutnya, tak hormat guru dan tidak menampakkan perubahan, walaupun sudah ditegur berkali-kali, diberi nasihat tak henti-henti, dan dibawa berbincang berulang kali. Semua itu menimbulkan rasa tidak senang guru kepadanya. Guru sebolehnya, mahukan semua pelajar, dalam apa keadaan sekali pun mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Untuk zaman yang penuh dengan cabaran meritokrasi, pelajar tidak ada pilihan melainkan mesti berjaya barulah dapat merebut sebarang pelauang yang ada. Tambahan pula budak melayu pilihan apa yang ada untuk mendapat semua peluang? Tidak lain pilihan yang terbaik ialah berjaya dalam pelajaran, barulah melayakkan budak melayu keluar dari jaringan kemiskinan.

Inilah yang dikesalkan. Budak ini, emaknya entah di mana setelah bercerai dengan bapanya seorang pramugara. Tinggallah dia dibesarkan nenek kerana bapanya terbang sentiasa, mencari sesuap nasi untuk keluarga. Dengan segala susah payah, datuk yang sudah tua terpaksa menguruskan dirinya yang sudah besar mencapai umur remaja. Kalau menguruskan makan minum dan urusan hidup seharian, tidaklah menjadi bebanan. Tapi ini terpaksa menguruskan orang bermasalah, orang yang membuat masalah, mencipta masalah dan merupakan sebahagian daripada masalah. Semuanya kerana tidak dapat menerima masalah. Semuanya kerana tidak mengambil langkah bijak menangani masalah. Kalau kita renung Nabi Mohamad, saw, anak yatim piatu, dibesarkan oleh nenek dan bapa saudara, telah diangakat darjatNya menjadi rasul.

Sepatutnya kalaulah dia mengambil iktibar kisah Nabi, sedar tentang kemelut hidup yang melanda, maka dengan sedikit perhatian yang diberi guru, kalaulah dia boleh sedikit sabar, tidak emosional dan redha, maka dia boleh cuba memberi sedikit perhatian kepada pelajaran, sudah tentu dia boleh juga mencapai kejayaan cemerlang, yang nanti boleh membantu dia untuk hidup lebih baik daripada sekarang. Semoga dia mendapat hidayah ..........

Sunday, September 25, 2011

MAHA SUCI ALLAH


Seorang ibu dengan wajah suram mohon untuk berjumpa di dalam pejabat. Tanpa banyak soal dia dijemput masuk. Pendek cerita dia ingin mohon masuk sekolah. Kenapa pindah sedang dia di sekolah ternama? Tiba-tiba ibu menangis terisak-isak.Saya sudah tak ada siapa lagi di sana, suami saya baru meninggal, saya dalam proses pohon pindah balik ke sini. Saya pindahkan anak saya dulu kerana dia nak ambil periksa. Tersentuh hati mendengar nasib malang yang menimpa ibu di hadapan aku. Tanpa banyak soal , atas dasar peri kemanusiaan, pelajar itu diterima masuk.
Seminggu kemudian Penolong Kanan dengan penuh perasaan bercerita, seorang guru sangat risau dengan pelajar baru yang tidak mahu bercakap, dan tidak mahu buat apa-apa pun. Nampak seperti degil, dan nampak seperti bermasalah besar. Susah nak tolong kalau macam tu, tak tau punca apa, tak tau masalah apa.

Rupanya ramai yang tidak tahu penanggungan anak itu. Ramai yang tidak tahu dia telah kehilangan bapa kesayangan tempat dia bermanja, tempat dia bergantung harap, dan tempat mengharap belaian kasih dan bermanja. Ramai juga yang tidak tahu di saat dia merindukan ayah yang telah meninggalkannya, dia juga terpaksa menanggung perasaan sedihnya seorang diri, tanpa siapa-siapa. Di saat dia memerlukan pelukan seseorang untuk meredakan sayu pilu di hatinya, dia tiada pilihan kerana terpaksa hidup sendiri-sendiri sementara menunggukan emaknya dapat bertukar ke kampung halamannya sekarang.

Bagaimanalah dapat seorang anak remaja semuda itu berdaya untuk mengharungi pahit getir gelombang yang melanda dalam jiwanya. Bagaimanalah si anak dapat bertenang dan berupaya menghadapi dunia yang seakan sudah gelap gulita tanpa orang tersayang yang telah dijemput pergi meninggalkannya. Tambah parah lagi dia tinggal sendirian, dia terpaksa mengubat hati pilunya sendirian dan dia tidak berdaya lagi untuk menangis kesedihan. Hanya yang mampu berdiam diri menaggung perasaan sedih, pilu, duka dan lara tanpa siapa-siapa. Alangkah....... Maha suci Allah, hanya Allah saja yang maha mengetahui akan segala apa yang berlaku...........

WASIAT HIKMAT HASSAN AL-BANNA


Antara wasiat beliau yang terkenal,  yang patut kita renungi,  kemudian kita amalakan ialah:
  1. Apabila mendengar azan, maka bangunlah sembahyang serta merta walau dalam keadaan apa sekali pun.
  2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, pergilah ke majlis ilmu,dan amalkan zikrullah, serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
  3. Berusahalah untuk bertutur dalam Bahasa Arab,  kerana Bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.
  4. Jangan bertengkar adalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberi apa-apa kebaikan.
  5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhububg dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
  6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu, tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
  7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu, adalah perkara yang sia-sia malahan menyakitkan hati orang.
  8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang memberi kebajikan.
  9. Berkenal-kenalan dengan setiap muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih sayang.
  10. Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu gunakan masa dengan sebai-baiknya dan ringkaskan perlaksaannya.

Tuesday, September 20, 2011

SURAH AN-NAMLU AYAT 4

Terjemahannya bermaksud......

'Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, Kami jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka kelihatan baik kepada mereka; oleh itu tinggallah mereka meraba-raba dalam kesusahan'

Isu-isu dalam kehidupan organisasi, semua pekerja orang Islam, muslimin dan muslimat, percaya kepada hari kiamat, tetapi kenapa masih suka kepada perkara-perkara buruk, cuba kita renungkan,

1. Tugas yang diamanahkan tidak dilaksanakan seperti yang sepatutnya, sebaliknya lebih banyak mencari alasan untuk menghalalkan sikap tidak bertangjawab mereka.
2. Janji dalam Aku Janji tidak ditunaikan, dan tidak langsung rasa bersalah atau rasa berdosa memungkiri janji-janji dan tidak ingat langsung akan janji-janji tersebut.
3. Menghasut orang dengan gembiranya, selalu dengan bangganya memberitahu rakan supaya tidak perlu buat kerja keras, supaya orang tidak akan mengamanahkan apa-apa tugas lain yang besar, jadi kerja lebih mudah dan senang.
4. Selalu komplen, merungut di belakang, bukan memberi teguran yang membina, atau buah fikiran yang bernas, atau nasihat yang membantu.
5. Tidak menggalakkan orang buat kebaikan/tidak suka kebaikan, baca quran, sembahyang jemaah, zikir, doa, patuh masa, ikut peraturan.

Banyak lagi contoh perkara-perkara buruk disukai dan kelihatan baik kepada kita manusia, adakah kita termasuk dalam golongan orang yang tidak percaya pada hari akhirat? Sama-samalah kita renungkan, semoga mendapat pertunjuk jalan yang benar dalam melaksanakan tanggung jawab yang diamanahkan.