Saturday, March 20, 2010

MAKAN KENDURI

Dulu kalau kenduri adik beradik berkumpul berhari-hari. Yang remaja dan sebaya aktivitinya siapkan bunga telur, bilik pengantin, dan anything to do with anak dara - inai dsb. Satu kenduri yang masih segar dalam ingatan masa kak gayah kahwin di Teluk Malik Jitra. Masa tu ramai betul adik beradik yang sebaya remaja - kak Gayah, kak Syahbi, Kak Nab, Ton - antara yang masih in touch - berjumpa balik di rumah kenduri kak Nab. Tapi semuanya sekarang sudah mencecah umur 50an - sudah mula bermenantu. Tapi sekarang anak-anak kami semuanya sibuk sekolah , tidak ada masa berkumpul di rumah kenduri bermalam-malam. Tambahan pula kenduri sekarang tak tentu masa, bukan musim cuti sekolah. Tidak mengizinkan juga, kerana sibuk dengan tuisyen sebagainya. Jadi ikatan kekeluargaan tidak dapat dieratkan lagi seperti kami dulu. Masa telah berubah, entah macam manalah nanti - semuanya sudah tidak seperti dulu lagi.

Friday, March 19, 2010

SABARLAH SAYANG

Alang sedang tekun belajar untuk exam final last papernya. Dia sangat tekun, dia sangat gigih. Kalau di sekolah menengah dulu mama boleh bantu juga - carikan tiusyen dsb. Sampai saat ini mama hanya boleh berdoa saja, boleh bantu sediakan makan, dan lapangkan masa. Sabarlah sayang - susah-susah dahulu senang-senang kemudian. Semoga sayang sabar dan tabah. Marilah kita sama-sama berdoa agar Tuhan memberikan kejayaan yang dihajatkan. Amin.

Thursday, March 18, 2010

SELAMAT KEMBALI KE RUMAH


Gembiranya alang dapat bersama angah kembali
Angah telah meninggalkan Sanbongi Cho, menuju Narita untuk terbang pulang ke tanah air. Lama sungguh dia merantau mencari ilmu. Lima tahun di negara matahari terbit, alangkah lamanya. Rindu ayah bonda tidak terkata. Rindu sanak saudara apa kan daya. Kini dia akan kembali dapat ke pangkuan keluarga. Dia akan kembali, berkahwin dan bekerja. Kami sungguh rasa bahagia. Bahagialah hendaknya puteriku yang disayangi. Semua telah sempurna. Jadilah sahabat yang baik, jadilah kekasih setia, jadilah isteri yang sabar dan penyayang dan jadilah anak yang solehah. Semoga bahagia hingga ke akhir hayat dan semoga mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Amin

Friday, February 19, 2010

SAYA DEMAM

Mula-mula bertugas di sekolah baru banyak cabarannya. Pagi-pagi ronda kawasan, ternyata sangat luas kawasannya - 21 ekar. Jumpa pekerja yang menjaga taman-taman sungguh meragukan. Mereka kelihatan seolah-olah cuba melarikan diri, cuba mengelak dan kadang-kadang kelihatan seperti mencurigakan. Bila diberi salam, terbeliak biji mata mereka, tergagap-gagap nak jawab salam pun. Hairan akau, tak kan bagi salam pun susah nak jawab. Cuma ketua pekerja saja yang akan memberi maklumat bila didekati, yang lain kalau boleh nampak macam nak cabut lari.

Lepas beberapa bulan dan sudah banyak kali mesyuarat, keadaan sudah sedikit berubah. mereka sudah boleh menjawab salam dengan spontan, sudah boleh senyum mengangguk kepala dan terus bekerja. Tapi melalui pemerhatian, masih ada seorang yang masih agak 'liar' dariku. Selalu bila ronda pekerja lain akan kelihatan di kawasan masing-masing, yang seorang ini tidak kelihatan. Masa ronda diubah setiap hari, kawasan ronda juga ditukar haluan. Satu hari ronda tepat jam 1.00 tengah hari. Masih ada pekerja yang membersih kawasan, trim pokok bunga, membaja dan lain-lain lagi. Aku terus menuju ke setor pekerja. Nah hari ini aku jumpa pekerja yang seorang ini tengah nyenyak tidur atas bangku panjang. Bayangkan betapa marahnya aku kerana dia tidur waktu orang lain bekerja. Sudah banyak kali aku pesan kerja mesti jujur, bersungguh-bersungguh, tekun dan tidak curi tulang. Kita bekerja untuk beri makan anak isteri kita - jadi mestilah kerja sebagai ibadat dan kerja dengan amanah, dan bekerjalah kerana Allah, barulah berkat hasil titik peluh kita. Ini tidur waktu bekerja - apa sudah jadi dengan nasihat yang diberi? Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dikejutkan aku suruh pekerja itu jumpa aku di pejabat. Sejuklah sikit hati yang panas mendidih apabila duduk di hawa dingin. Tiba masa dia datang dengan muka selamba. Menggigil tangan aku menahan marah - mujurlah bingkai meja kuat , jika tidak boleh pecah kerana kuatnya genggaman aku menahan marah.

'Kenapa tidur tadi?' tanyaku.
'Saya demam cik gu, tadi makan ubat selesema, mengantuk sangat' jawabnya selamba.

Ya Allah, aku rasa nak ketawa besar. Aku selalu diusik, kalau jumpa pekerja tidur, itulah jawapah yang selalu diberi dalam lakonan sebagai pekerja.

'Bolehkah tidur waktu kerja?' tanyaku mengawal keadaan.
'Tak boleh ,' jawabnya pendek.
'Lain kali kalau demam, jumpa doktor, dia akan bagi cuti sakit, tak payah datang kerja, boleh rehat betul-betul dekat rumah. Kalau MC dah banyak, datang jumpa saya, saya akan suruh balik rehat di rumah, habis cerita, awak akan cepat sembuh bila berehat betul-betul.'

Dia mengangguk lesu, mungkin kerana rasa bersalah. Selepas minta maaf dan janji tidak buat lagi dia beredar. Beberapa bulan selepas itu nampak dia lebih jinak dengan ku. Mesyuarat selalu duduk depan, banyak masa ada di kawasan kerja, suara sumbang tanda protes jarang kedengaran lagi. Kebetulan ketua pekerja sakit kanser, aku lantik dia jadi pemangku ketua pekerja. Sekarang dia jadi ketua yang sangat patuh, contoh kepada pekerja lain dan sangat komited dengan tugas. Dia tidak lagi menjadi pemangku tapi jadi ketua sebenar pekerja.

Tuesday, February 16, 2010

BINTANG OH BINTANG


Hadir ke majlis penganugerahan bintang pagi ini sangat bermakna buat papa.Papa memang sangat kuat bekerja tanpa mengira apa. Dia membaca dengan sangat tekunnya. Membeli buku tanpa mengira harga. Mencari fakta dengan sabar, menulis dengan dengan sangat leka. Tidak cukup itu memburu harta karun (old coin) dengan sungguh-sungguhnya. Semuanya untuk satu tujuan, berkongsi dan menyebarkan ilmu. Minat papa memang sangat mendalam dan ini sangat bermakna untuk persatuan sejarah, sebab itu Pak Wan selaku Pengerusi sangat senang hati dan mencadangkan papa diberi penghargaan. 

Tapi yang lebih penting papa sangat puas hati dapat berkongsi ilmu. Memang sangat banyak yang ingin ditulis. Tapi terlalu sedikit masa yang boleh diguna pakai. Mudah-mudahan Papa diberi kelapangan masa untuk membuat apa yang diingini. Kami sangat bangga kerana papa buat semuanya bukan untuk dirinya, bukan untuk menambah wang dan bukan untuk bintang. Tapi segalanya sebagai sumbangan menyebar ilmu yang boleh dipusakai bangsa, dan menjadi kebanggaan keluarga.

Monday, February 15, 2010

BAJU YANG CARIK

Pagi-pagi lagi sudah dapat berita pasal budak A di asrama. Tak lama dulu dia dah buat hal, dia kata almari dalam bilik sakit terbakar. Puas diselidik, dia tetap kata tak tau kenapa almari tu terbakar. Sungguh mengecewakan, sungguh terkilan. Kes yang itu belum selesai, dah timbul kes baru pula pagi ni. Kali ni dia potong baju pula dah. Dua tiga helai baju dalam dorm sudah kena potong. Ada baju budak form one, form two dan form four. Hei, masalah betul budak ni. Dah puas disoal siasat tak juga mahu mengaku. Last sekali ajak dia bersembang, slow talk, pujuk-pujuk – sampai masa dia leka terus accuse dia – dia pun tak boleh mengelak kenalah mengaku juga.

Rupanya dia marah kat mak dia paksa dia duduk asarama. Memanglah dia ni anak manja, kembar dan rapat pula dengan kembarnya, tentulah tak selesa duduk di asrama. Lagi pun cara hidup kat rumah memang amat berbeza dengan asrama. Semua kerja tok buat bagi. Mak sibuk, tak ada orang nak tunjuk ajar mana yang baik dan betul. Sembahyang kadang cukup 5 waktu, kadang tak cukup tak siapa nak tegur. Mandi dan makan tak perlu ikut jam. Semuanya mudah dan releks. Sebab tu sangat tertekan dia duduk di asrama. Akhirnya bajulah yang menjadi mangsa – tiga empat pasang telah carik dituris pisau. Di situlah tertumpahnya perasaan risau dan rimas terpaksa berubah gaya hidup yang dipaksakan. Inilah yang tidak difahamai oleh semua orang tua.

Saturday, January 23, 2010

AIR SUNGAI YANG JERNIH


Papa selalu usik mama, ‘ tu air sungai jernih, sampai hijau,’ dan aku selalu ketawa. Dulu-dulu memang air sungai kelihatan sangat jernih kehijauan. Air sungai itulah pada musim kemarau, kami mandi, kami guna untuk memasak, dan membasuh . Di tepi sungai telah dibina satu pelantar tempat mandi dan membasuh. Kalau tidak kami mandi dan membasuh di simen kok laluan air. Tapi yang hairannya kami tidak minum air sungai yang dikatakan jernih tu. Kami angkut air dari telaga batu di kaki bukit yang sangat jernih. Satu hari kami ambil setong air pagi dan setong waktu petang pula. Itu sudah cukup untuk bekalan air minuman sekeluarga bagi sehari. Waktu itu tiada peti ais untuk menjadikan air minum sejuk. Tapi kami masih boleh minum air yang hampir sejuk seperti air peti ais sekarang. Air minuman dari telaga batu rasanya seperti air mineral sekarang. Kami simpan air di dalam buyung tanah – rasanya memang agak sejuk.

Bukan itu saja yang aku ingat, yang lebih ingat kami kena basuh baju sekolah warna putih di telaga batu juga. Jika baju putih sekolah dibasuh di sungai warnanya tidak kelihatan putih berseri, tapi agak putih kemerahan. Masa tu aku sangat malas ke telaga batu di tepi bukit kerana agak jauh. Mengikut arahan mak aku pergi juga. Alangkah sangat mudahnya kehidupan sekarang, semuanya ada di rumah, ada dihujung jari pula tu. Alangkah nikmatnya hidup di zaman moden ini, tapi berapa orang yang mampu bersyukur?