Friday, February 19, 2010

SAYA DEMAM

Mula-mula bertugas di sekolah baru banyak cabarannya. Pagi-pagi ronda kawasan, ternyata sangat luas kawasannya - 21 ekar. Jumpa pekerja yang menjaga taman-taman sungguh meragukan. Mereka kelihatan seolah-olah cuba melarikan diri, cuba mengelak dan kadang-kadang kelihatan seperti mencurigakan. Bila diberi salam, terbeliak biji mata mereka, tergagap-gagap nak jawab salam pun. Hairan akau, tak kan bagi salam pun susah nak jawab. Cuma ketua pekerja saja yang akan memberi maklumat bila didekati, yang lain kalau boleh nampak macam nak cabut lari.

Lepas beberapa bulan dan sudah banyak kali mesyuarat, keadaan sudah sedikit berubah. mereka sudah boleh menjawab salam dengan spontan, sudah boleh senyum mengangguk kepala dan terus bekerja. Tapi melalui pemerhatian, masih ada seorang yang masih agak 'liar' dariku. Selalu bila ronda pekerja lain akan kelihatan di kawasan masing-masing, yang seorang ini tidak kelihatan. Masa ronda diubah setiap hari, kawasan ronda juga ditukar haluan. Satu hari ronda tepat jam 1.00 tengah hari. Masih ada pekerja yang membersih kawasan, trim pokok bunga, membaja dan lain-lain lagi. Aku terus menuju ke setor pekerja. Nah hari ini aku jumpa pekerja yang seorang ini tengah nyenyak tidur atas bangku panjang. Bayangkan betapa marahnya aku kerana dia tidur waktu orang lain bekerja. Sudah banyak kali aku pesan kerja mesti jujur, bersungguh-bersungguh, tekun dan tidak curi tulang. Kita bekerja untuk beri makan anak isteri kita - jadi mestilah kerja sebagai ibadat dan kerja dengan amanah, dan bekerjalah kerana Allah, barulah berkat hasil titik peluh kita. Ini tidur waktu bekerja - apa sudah jadi dengan nasihat yang diberi? Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dikejutkan aku suruh pekerja itu jumpa aku di pejabat. Sejuklah sikit hati yang panas mendidih apabila duduk di hawa dingin. Tiba masa dia datang dengan muka selamba. Menggigil tangan aku menahan marah - mujurlah bingkai meja kuat , jika tidak boleh pecah kerana kuatnya genggaman aku menahan marah.

'Kenapa tidur tadi?' tanyaku.
'Saya demam cik gu, tadi makan ubat selesema, mengantuk sangat' jawabnya selamba.

Ya Allah, aku rasa nak ketawa besar. Aku selalu diusik, kalau jumpa pekerja tidur, itulah jawapah yang selalu diberi dalam lakonan sebagai pekerja.

'Bolehkah tidur waktu kerja?' tanyaku mengawal keadaan.
'Tak boleh ,' jawabnya pendek.
'Lain kali kalau demam, jumpa doktor, dia akan bagi cuti sakit, tak payah datang kerja, boleh rehat betul-betul dekat rumah. Kalau MC dah banyak, datang jumpa saya, saya akan suruh balik rehat di rumah, habis cerita, awak akan cepat sembuh bila berehat betul-betul.'

Dia mengangguk lesu, mungkin kerana rasa bersalah. Selepas minta maaf dan janji tidak buat lagi dia beredar. Beberapa bulan selepas itu nampak dia lebih jinak dengan ku. Mesyuarat selalu duduk depan, banyak masa ada di kawasan kerja, suara sumbang tanda protes jarang kedengaran lagi. Kebetulan ketua pekerja sakit kanser, aku lantik dia jadi pemangku ketua pekerja. Sekarang dia jadi ketua yang sangat patuh, contoh kepada pekerja lain dan sangat komited dengan tugas. Dia tidak lagi menjadi pemangku tapi jadi ketua sebenar pekerja.

Tuesday, February 16, 2010

BINTANG OH BINTANG


Hadir ke majlis penganugerahan bintang pagi ini sangat bermakna buat papa.Papa memang sangat kuat bekerja tanpa mengira apa. Dia membaca dengan sangat tekunnya. Membeli buku tanpa mengira harga. Mencari fakta dengan sabar, menulis dengan dengan sangat leka. Tidak cukup itu memburu harta karun (old coin) dengan sungguh-sungguhnya. Semuanya untuk satu tujuan, berkongsi dan menyebarkan ilmu. Minat papa memang sangat mendalam dan ini sangat bermakna untuk persatuan sejarah, sebab itu Pak Wan selaku Pengerusi sangat senang hati dan mencadangkan papa diberi penghargaan. 

Tapi yang lebih penting papa sangat puas hati dapat berkongsi ilmu. Memang sangat banyak yang ingin ditulis. Tapi terlalu sedikit masa yang boleh diguna pakai. Mudah-mudahan Papa diberi kelapangan masa untuk membuat apa yang diingini. Kami sangat bangga kerana papa buat semuanya bukan untuk dirinya, bukan untuk menambah wang dan bukan untuk bintang. Tapi segalanya sebagai sumbangan menyebar ilmu yang boleh dipusakai bangsa, dan menjadi kebanggaan keluarga.

Monday, February 15, 2010

BAJU YANG CARIK

Pagi-pagi lagi sudah dapat berita pasal budak A di asrama. Tak lama dulu dia dah buat hal, dia kata almari dalam bilik sakit terbakar. Puas diselidik, dia tetap kata tak tau kenapa almari tu terbakar. Sungguh mengecewakan, sungguh terkilan. Kes yang itu belum selesai, dah timbul kes baru pula pagi ni. Kali ni dia potong baju pula dah. Dua tiga helai baju dalam dorm sudah kena potong. Ada baju budak form one, form two dan form four. Hei, masalah betul budak ni. Dah puas disoal siasat tak juga mahu mengaku. Last sekali ajak dia bersembang, slow talk, pujuk-pujuk – sampai masa dia leka terus accuse dia – dia pun tak boleh mengelak kenalah mengaku juga.

Rupanya dia marah kat mak dia paksa dia duduk asarama. Memanglah dia ni anak manja, kembar dan rapat pula dengan kembarnya, tentulah tak selesa duduk di asrama. Lagi pun cara hidup kat rumah memang amat berbeza dengan asrama. Semua kerja tok buat bagi. Mak sibuk, tak ada orang nak tunjuk ajar mana yang baik dan betul. Sembahyang kadang cukup 5 waktu, kadang tak cukup tak siapa nak tegur. Mandi dan makan tak perlu ikut jam. Semuanya mudah dan releks. Sebab tu sangat tertekan dia duduk di asrama. Akhirnya bajulah yang menjadi mangsa – tiga empat pasang telah carik dituris pisau. Di situlah tertumpahnya perasaan risau dan rimas terpaksa berubah gaya hidup yang dipaksakan. Inilah yang tidak difahamai oleh semua orang tua.

Saturday, January 23, 2010

AIR SUNGAI YANG JERNIH


Papa selalu usik mama, ‘ tu air sungai jernih, sampai hijau,’ dan aku selalu ketawa. Dulu-dulu memang air sungai kelihatan sangat jernih kehijauan. Air sungai itulah pada musim kemarau, kami mandi, kami guna untuk memasak, dan membasuh . Di tepi sungai telah dibina satu pelantar tempat mandi dan membasuh. Kalau tidak kami mandi dan membasuh di simen kok laluan air. Tapi yang hairannya kami tidak minum air sungai yang dikatakan jernih tu. Kami angkut air dari telaga batu di kaki bukit yang sangat jernih. Satu hari kami ambil setong air pagi dan setong waktu petang pula. Itu sudah cukup untuk bekalan air minuman sekeluarga bagi sehari. Waktu itu tiada peti ais untuk menjadikan air minum sejuk. Tapi kami masih boleh minum air yang hampir sejuk seperti air peti ais sekarang. Air minuman dari telaga batu rasanya seperti air mineral sekarang. Kami simpan air di dalam buyung tanah – rasanya memang agak sejuk.

Bukan itu saja yang aku ingat, yang lebih ingat kami kena basuh baju sekolah warna putih di telaga batu juga. Jika baju putih sekolah dibasuh di sungai warnanya tidak kelihatan putih berseri, tapi agak putih kemerahan. Masa tu aku sangat malas ke telaga batu di tepi bukit kerana agak jauh. Mengikut arahan mak aku pergi juga. Alangkah sangat mudahnya kehidupan sekarang, semuanya ada di rumah, ada dihujung jari pula tu. Alangkah nikmatnya hidup di zaman moden ini, tapi berapa orang yang mampu bersyukur?

40 TAHUN YANG LALU - SUNGAI DAN KAMI


Balik kampung menjenguk orang tua memang sangat nostalgik. Sungai masih mengalir tenang. Sawah padi tetap menghijau. Jauh berbalam-balam kelihatan bukit yang batunya kelabu dibarisi pokok-pokok yang menghijau. Masih segar dalam ingatan kehidupan remajaku dulu, sangat hampir dengan alam. Sungai menjadi tempat mandian yang sangat nyaman dan menyeronokkan. Sungai juga tempat riadhah yang sangat mengesankan. Tanpa perlu ada juru latih kami pandai berenang. Yang senior mengajar yang junior, sedikit demi sedikit, lama-lama semuanya sama-sama berpesta berenang dengan pelbagai gaya yang mengasyikkan. Jika terlalu lama berenang, akan ada orang tua yang menyuraikan semua, supaya masing-masing pulang ke rumah. Walau pun bukan anak sendiri, tapi semua akur dan tidak pernah marah, memberontak atau tidak senang hati, dan tiada pula perselisihan antara orang tua yang anak mereka ditegur. Masing-masing faham, semua orang tua perlu dihormati dan tiada siapapun, dalam apa bentukpun melawan orang tua-tua yang memberi teguran. Begitulah cantiknya norma masyarakat waktu itu, sosialisasi anak-anak menjadi tanggung jawab masyarakat, dan kami membesar dengan sihat dan penuh jati diri.

Di samping sungai, sawah juga menjadi unsur alam yang sangat mengasyikkan. Kecil-kecil diajak ke sawah membawa air untuk orang tua yang haus. Setiap musim jika orang tua ke sawah kami diberikan tanggung jawab menjadi pembawa minuman bila matahari sudah agak tinggi. Ini dilakukan dengan penuh keseronokan kerana apabila ke sawah, kanak-kanak bukan hanya membawa air minuman tapi boleh bermain serunai pada musim menuai, atau menangkap belalang pada musim menanam. Bila sudah besar, kami tidak lagi menjadi pembawa air tapi sudah boleh turun ke bendang mengatur anak semai untuk orang tua menanam. Kami bermandi selut tanpa sedikit pun berasa kotor, dan orang tua pun membiarkan saja, walaupun kami lebih banyak main daripada bekerja. Musim menuai kami memotong padi pula. Dan kadang-kadang membakar jerami kering juga. Begitulah sangat indahnya rasa tanggung jawab dan kasih sayang dipupuk di hati kami. Tidak pernah dipaksakan, ia menyemarak dan mendarah daging sehingga kami sangat menghargai jasa dan pengorbanan orang tua yang sangat kami cintai.

Monday, December 14, 2009

TAHUN BARU SEKOLAH BARU


Bulan Disember memang sangat sibuk melayan tetamu yang tidak diundang. Setiap hari ada saja tetamu yang datang mengadap. Ada saja alasan yang diberikan untuk didengar dan dinilai.Paling tidak dapat memberikan harapan kepada mereka, permintaan mereka akan dipertimbangkan. Itu sudah cukup baik, sudah cukup memberi harapan dan bolehlah mereka pulang dengan membawa harapan. Ada yang datang bertanya, ada yang datang merayu, tidak kurang juga datang memaksa. Yang lebih mengesankan ada yang datang membawa masalah, ingin lari dari masalah yang sedia ada; dengan andaian bahawa masalah akan selesai begitu mudah dengan bertukar sekolah, tanpa mengambil kira aspek-aspek lain yang juga menyumbang kepada masalah.

Ini yang masyarakat tidak faham, ini yang masyarakat selalu salah pertimbangan. Masyarakat tidak nampak segalanya datang dari ibu bapa. Kalau ibu bapa dapat menjadi role model yang baik kepada anak-anak semua masalah remaja memang senang dapat diatasi, tidak perlu bergantung kepada sekolah semata-mata. Ini tidak, ibu bapa sibuk pilih sekolah baru pada awal tahun, untuk masuk tingkatan satu terutamanya, atau bertukar sekolah kerana pencapaian akhir tahun tidak seberapa, dengan apa cara sekali pun, tapi tidak menyelami remaja dengan apa cara sekali pun untuk pembentukan jati diri dan sahsiah.

Kalau pemilihan sekolah pun dengan cara yang tidak betul, menggunakan pelbagai saluran, ini sudah mengajar anak-anak bahawa dalam hidup kalau ada kuasa, ada nama, ada wang, semua peraturan sudah tidak lagi terpakai. Jadi tidak hairanlah jika nanti pegawai tinggi terlibat rasuah dan penyelewengan kerana didikan yang sangat berkesan ialah perlakuan ibu bapanya yang dilihat sejak mereka kecil lagi.

Monday, December 7, 2009

CUTI OH CUTI


Dua puluh tahu yang lalu bila tiba musim cuti sekolah, kami dah ready untuk jalan-jalan. I will book the hotel facilities, fix the date and get everything ready. Lepas tu, bila papa habis jadual sunat dia, there we go, start the journey round Malaysia kah or any where we plan to go. At one time we started the journey from Alor Setar to Kota Bharu, rest and enjoy the plessure in Kelantan. Then moved to Kuala Terengganu, visited freinds at KT, spent a night there then go down to Kuantan. Not to forget a family visited my uncle in Jengka so we spent overnight to make him happy and proud of his neice. To make the children happy we moved on to Malacca. Banyak yang dapat dilihat di sana. Banyak pula aktiviti untuk menghabiskan masa bersama - shopping antiques, melawat muzeum dan zoo dan entah apa-apa lagi. Dari Melaka kami terus ke Perak tidur di Lumut dan melawat ke Pangkor. Hajat di hati nak bermalam lagi di Penang, tapi oleh kerana papa sudah tidak sihat kami balik awal dua hari daripada tarikh yang dijangkakan. Itu satu cerita masa anak-anak masih semuanya ada di rumah dan masih tidak sekolah. Sekarang sudah lama tidak bersama menghabiskan cuti sebab masing-masing sibuk dengan aktiviti masing-masing. Mungkin akan datang akan tiba lagi masa seperti itu untuk semuanya dapat kembali berpariwisata satu keluarga secara total.