Tuesday, March 9, 2021
WAUFAUWWI DHU AMRI ILALLAH
Saturday, March 6, 2021
MENU EMAK
Sejak mak kena stroke kali kedua, lepas kenduri adik bulan Januari 2019, mak dah tak boleh menikmati makanan seperti biasa. Sedih memanglah sangat sedih. Terasa tak tergamak kami nak makan bila tiba waktu makan. Manakan tidak, emak hanya boleh minum susu menggunakan tiub, 5 kali sehari, pukul 7, pukul 10, pukul 1, pukul 6, dan 10 malam. Begitulah rutin seharian, menu emak hanya susu saja. Susu untuk mak satu tin protimex cukup untuk dua hari saja, kemudian diselang dengan susu pentasure sehari untuk melawaskan najis. Begitulah rutin menu emak setiap hari.
Emak memang tidak mampu untuk menelan makanan walaupun yang lembut-lembut. Otot mak untuk menelan sudah lemah dan tak berdaya langsung. Ini berlaku barangkali kerana mak tak mau makan langung sebab tiadak ada selera. Lama-lama otot yang lama tidak digunakan menjadi lemah sehingga tidak boleh berfungsi langsung.
Ya Allah Engkau maha mengaturkan, kami redha. Takdir ini amat perit untuk kami, tapi kami amat yakin inilah yang terbaik untuk kami, yang telah Engkau aturkan untuk kami tempuhinya. Ya Allah berilah makan yang terbaik untuk mak di syurga nanti. Kami yakin segala musibah di dunia akan berakhir jika kita sabar. Ya Allah bantulah kami supaya sabar dengan segala ujian ini, semoga dengan sabar ini ia menjadi asbab untuk kamianak beranak menuju syurgaNya.
Friday, March 5, 2021
LA KHAU LA WALA QUWWATA ILLAH BILLAH
'Angah tolong cari bibik bantu mama.' 'Ok nanti angah aturkan.' Petangnya angah call balik. 'Esok dia hantar boleh?' 'Eh cepatnya, tapi baguslah mama pun tak berapa boleh angkat berat-berat pinggang sakit. kalau ada bibik bantu banyak tu.' Ya Allah hanya pada Mu aku berserah, hanya pada Mu aku berharap, dan hanya padaMu aku bertawakkal. Engkau maha mengetahui segala perjalanan langit dan bumi. Tiada masalah untuk mengetahui gerak hati dan hati budi orang yang kami sedang aturkan, tolong kami ya Allah bnatu kami ya Allah.
Ya Zaljala liwal ikrom, Engkau takdirkan musibah ini kepada emak dan Engkau takdirkan aku dengan segala kesulitan dan kesusahan. Aku yakin inilah yang terbaik untukku walau pun terasa amat sukar. Engkau yang maha merasai apa yang aku rasai, aku serahkan segala kesusahanku ini kepadaMu, mudah-mudahan segalanya Engkau beri jalan keluar untukku. Ya Allah, aku ini banyak dosa, tapi Engkau berikan segalanya kepada ku, Ya Allah nikmatMu melimpah ruah kepadaku, aku saja yang kurang bersyukur, ya Allah aku jauh padaMu tapi Engkau tetap memberikan segalanya. Ya Allah ampuni segala dosaku ya Allah. Bantu aku ya Allah. Beri aku seorang pembantu untuk menjaga emak, pembantu yang memberi kebaikan kepada agamaMu.
Ya Allah ya Razzak, jika bibik ini baik untuk agamaMu permudahkanlah, jika sebaliknya halanglah, jauhkan ia dari ku. Dengan tenang di hari Jumaat yang barakah ini aku menunggu sedak pagi. Lepas Jumaat tak dengar khabar lagi, dan aku dapat mesej mereka akan datang petang tapi tak pasti masanya. Aku terus berdoa
Thursday, March 4, 2021
RUTIN BARU
Aku bersaksi, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan Allah yang satu, dan Nabi Mohammad pesuruhNya. Dengan iktikad itu aku terus dapat bertahan walaupun kudrat aku dah kurang. Pinggang aku macam biasa sudah lama terasakan kesakitannya, Allah saja yang tahu. Dengan sedikit kekuatan, aku sangat berharap Allah bantu aku untuk terus menabur bakti menjaga emak yang semakin uzur, in sya Allah. Allah tidak akan memberikan sesuatu, melainkan kepada orang yang mampu menanggungnya. Begitulah jua dengan permasalah diri ku, sudah tentu Allah sudah aturkan yang terbaik untuk ku.
Ya Allah kalau dengan penyakit dan kesakitan emak ku, Engkau janjikan syurga, maka redhalah ke atas aku. Aku redha dengan ketentuan yang telah ditakdirkan. Aku sanggup dengan rela hati menerimanya. Aku hanya mengharapkan syurgaMu. Aku merindukan syurgaMu, terimalah khidmatku yang sedikit ini. Aku tidak mampu membayar segala penat lelah emak kepada ku. Aku tak terdaya memelihara dan berkorban kepada emak sebagaimana dia berkorban membesarkan aku, sejak dari dalam perut hingga aku dewasa, boleh menikmati hidup dan berjaya menjadi manusia. Apa yang aku buat ini tidak mungkin akan setanding dengan segala kasih sayang dan pengorbanan yang dicurahkan emak kepada ku.
Pagi jam 7 pagi, kakak akan bantu menukar pampers emak, dak mengelap seluruh badan. Emak dipakaikan losyen dibadannya supaya kulit tidak kering. Kemudian emak diberi minum susu melalui tiub dan terus rehat selepas itu sambil menonton tv. Penat dengan tv dia akan disajikan alunan bacaan AlQuran, supaya dapat mengingatkan dia, dan supaya dia dapat mengikut bacaan yang didengari. Jam 10, jam 1 tengah hari, jam 6 petang dan jam 10 malam mak akan diberi susu lagi sebagai ganti nasi dan makanan lain kerana mak tidak berupaya menelan lagi. Dua hari minum protimex dan hari ke-3 minum susu pentasure supaya emak akan buang air besar dengan elok.
Seminggu sekali aku syampu rambut emak biar lebih segar dan sentiasa harum. Tapi bukanlah mudah kerana emak tak mau duduk lama dia minta disandarkan ke katil, sebab dia selalu kata dia lenguh. Jadi masa syampu rambut adalah masa yang perlu sabar mendengar leteran emak. Macam-macam mak membebel, dengarkan saja dan terus cepat-cepat siapkan basuhan rambutnya, dia akan diam bila semuanya selesai. Berkali-kali aku cium mak yang wangi lepas syampu rambut. Emak senyum saja, kelihatan segak dan tenang. Jenuh jugalah bersagang dengan emak yang nak bersandar tak mau duduk tegak, kerana dia sudah kurang kekuatan untuk duduk. Pinggangnya sudah tidak kuat lagi, aku terpaksa terima kudrat mak dah semakin kurang adanya.
Bila rambut emak panjang aku potong biar pendek. Aku tak biasa potong rambut tapi sekarang bila dah selalu potong rambut emak dipotong kemas dan kelihatan cantik. Dulu emak marah-marah bila aku potong rambunya jadi pendek. Dalam mimpi dia marah-marah aku, dia bebel rambut pendek tak elok macam nyonya siam. Apakan daya untuk keselesaan, kekemasan dan kebersihan emak, terpaksalah dipotong juga, walaupun dimarah-marah. Akhirnya sekarang mak dah boleh terima dan tak marah-marah lagi. Tapi mesti di potong pantas sebab mak tak tahan duduk lama.
Seterusnya seminggu sekali kuku yang panjang dipotong walaupun dengan sangat sukar kerana emak selalu kata sakit masa potong kuku jadi, puaslah dipujuk-pujuk hingga selesai semua kuku tanga dan kaki di potong. Emak selalu kata nanti mati potonglah bagi elok-elok, sekarang tak payah potong buat sakit saja. Dia kata masa dia mandi mayat dulu-dulu, dia potong kuku mayat. Jadi bila dia mati nanti potonglah kuku, tak payah susah-susah potong sekarang. Aku jadi sedih tak terkata, tapi aku diam saja. Aku cepat-cepat potong seadanya mana yang patut, bila selesai emaka akan diam berehat.
Wednesday, March 3, 2021
BIBIK WATI
Ya Allah segala puji bagiMu, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Yang Maha Mengetahui lagi Maha Menentukan, Yang maha adil lagi maha menguruskan; sesungguhnya tiada daya upaya untuk aku melakukan sebarang kebaikan melainkan dengan keizinanMu, dan tiada daya upaya untuk aku melakukan sebarang kejahatan melainkan dengan keizinanMu jua.
1 Mac 2021, bermulalah era baru untukku. Bibik yang menjaga emak akan pulang ke rumahnya di Bandung. Aku sudah tidak tahan lagi setiap hari minta balik, setiap hari buat cerita ajar aku macam mana nak buat untuk dia dapat balik. Nampak macam bodoh tapi untuk bersedia nak balik, dia ajar aku itu ini, macamlah aku bodoh. Aku biarkan dia, aku buat-buat bodoh. Patutlah kerja banyak tak buat, rupanya dok keja wasap geng dia cari maklumat, nak bagi tau aku, suruh buat itu ini, apa kawan dia buat, bagi dia boleh balik. Dasar tak sedar diri, kaduk naik junjung, aku pun dah mula menyampah dengan karenah dia. Lama-lama aku pun tak tahan.
Aku uruskan tiket balik Garuda Air. Kemudian buat permohonan hantar balik pembantu rumah dari Imigresen, sekejap saja telah diluluskan. Kemudian buat temu janji dengan Lab Gribbles, untuk buat test covid 19, supaya tidak melebihi 72 jam pada hari penerbangan. Kemudian beli tiket Malindo ke Kuala Lumpur. Aturkan agar anak- anak dapat menjemput kami di airport. Dapatkan surat rentas negeri dari pejabat Polis dan terbang hantar bibik ke KL.
Dan 2 Mac hantar bibik ke KLIA untuk dia terbang balik ke rumah dia. Senang hati tak dak lagi orang desak-desak, dah tak tahan dengan karenah orang tak reti-reti bahasa, pergilah balik, kami Allah ada, pasti kami akan ditolongNya. Ya Allah kami serahkan diri kami dengan segala masalah kami kepadaMu, kerana Engkaulah yang maha mengetahui tentang keadaan sebenar kami, dan bagaimana keadaan kesusahan sebenar kami. Ya Allah ya baari', kami ini hamba yang banyak dosa, ampuni dosa kami dan redhalah ke atas kami. Lindungi kami dari sebarang mara bahaya dan tolonglah uruskan kami supaya berada dalam pertolongan, rahmat dan hidayahMu in sya Allah. Aamiin.
Wednesday, January 20, 2021
PESAN NABI INGAT 5 PERKARA
Nabi telah berpesan ingat 5 perkara: 1. muda sebelum tua, 2. sihat sebelum sakit, 3. kaya sebelum miskin, 4. lapang sebelum susah, dan 5. hidup sebelum mati.
Sekarang aku sudah mencecah usia tua. Ternyata memang banyak perkaranya yang telah terabaikan untuk dilaksanakan, semasa aku masih muda. Tapi aku masih bersyukur kerana telah tersedar juga, bahawa dalam keterbatasan usia, aku memohon kepadaMu Ya Allah agar dikurniakan sedikit masa untuk dapat terus berusaha melaksanakan apa yang masih terdaya mampu dibuat walaupun dalam usia yang telah hampir senja. Semoga Engkau beri kelapangan kepada Ku. Ya Allah dulu masa muda ku, aku habiskan mendidik anak-anakku menjadi anak-anak soleh. Aku berikan pelajaran dunia dan akhirat kepada mereka. Kini mereka telah berjaya menjadi orang besar, bergaji besar dan semoga meraka dapat berbakti kepada agamaMu ya Allah. Ya Allah bimbinglah mereka dan redhalah ke atas mereka. Ya Allah aku serahkan mereka kepadaMu ya Allah, kerana aku yakin Engkau lebih sayang mereka walaupun aku amat menyayangi mereka melebihi apa saja. Semoga Engkau terima itu sebagai amalanku yang baik-baik Ya Allah, semoga Engkau redha ke atasku Ya Allah. Sesungguhnya aku ini termasuk golongan orang yang zalim ampuni aku ya Allah.
Sekarang juga telah mula merasai sakit, baik penyakit atau sakit-sakit biasa ia sudah mula dirasai. Dulu sakit-sakit demam batuk saja. Sekarang sudah mula darah tinggi, sudah mula sakit urat sana sini, dan merasa sakit gigi, sebab badan dah berumur tidak muda lagi. Jadi kuranglah lagi keupayaan kita dalam menjalani kehidupan yang semakin lanjut usia. Ya Allah kami hanya dapat memohon agar diberikan kemudahan dalam kami mengharungi hidup walaupun keadaan kami sudah mula menghadapi sakit-sakit. Semoga dengan itu gugurlah dosa-dosa kami insyaAllah. Jika kami ditakdirkan sakit ya Allah permudahkan urusan kami dalam apa jua keadaan, kerana menjadikan segala yang mudah bagi kami adalah sangat mudah bagiMu.
Ya Allah Engkau berikan kami rezeki yang melimpah ruah kepada kami. Syukur alhamdulillah, kami sudah merasa cukup dengan apa yang kami miliki. Nabi berpesan jika umatku merasa cukup maka, maka sudah kayalah orang itu. Walaupun pada pandangan mata kamit tidak sekaya orang-orang kaya, namun kami masih boleh bersedekah, berinfak dan sebagainya. Bukakan pintu-pintu rahmatMu ya Allah agar kami tidak jadi orang yang kedekut dan berkira-kira dengan rezeki kurniaanMu. Sesungguhnya tiada daya upaya kami untuk berbuat kebajikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiada upaya kami berbuat kejahatan melainkan dengan keizinanMu jua adanya. Lindungi kami dari jalan mungkar ya Allah. Dorong kami ke jalan kebaikan ya Allah, agar kami sentiasa dapat melaksanakan kebajikan, pada setiap masa, seperti yang KekasihMu telah tunjukkan dahulu.
Ya Allah syukur padaMu aku masih dapat rasakan kelapangan walaupun dalam kesusahan yang berbagai. Ya Allah redhalah ke atas ku supaya Engkau dapat terus memberikan kelapangan hati dan perasaan kepada ku, pada setiap masa dan ketika. Tiada daya upaya ku untuk apa saja melainkan dengan keizinanMu jua. Ya Allah, sesungguhnya aku telah redha dengan semua pemberianMu, dengan segala takdirMu. Ya Allah aku mohon kepada Mu sungguh-sungguh, jadikan anak-anak ku anak-anak yang memberikan kebaikan kepada hidup ku dan juga memberikan kebaikan setelah matiku. Mereka anak-anak yang baik, aku sangat berbangga dan bersyukur Engkau anugerahkan mereka lahir dari darahku. Aku amat bersyukur Engkau takdirkan mereka tidak pernah mendatangkan masalah kepadaku. Aku sangat bahagia dengan kehadiran mereka. Ya Allah rahmati mereka, bimbing mereka dan aku serahkan mereka kepadaMu, kerana Engkau maha menguruskan yang baik-baik untuk mereka. Aku hanya menunggu saat bertemu denganMu, berilah aku syurga Mu atas rahman Mu, dan redhalah ke atas ku yang hina ini. Sesungguhnya aku ini tergolong orang yang zalim ampuni aku ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.
Saturday, January 2, 2021
SELAMAT TINGGAL 2020
SELAMAT TINGGAL TAHUN 2020.
Sebelum tiba tahun 2020, semua orang tertunggu-tunggu. Pernah satu ketika tahun 2020 dikaitkan dengan negara maju, dan dikaitkan dengan wawasan 2020. Ramai yang merancang pelbagai program untuk menyambut ambang tahun 2020. Tapi manusia merancang Allah jua yang menntukan. Tahun 2019 diakhiri dengan penularan wabak corona. Ia bermula di China dari daerah Wuhan, kononnya merebak daripada pasar basah yang menjual pelbagai binatang makanan orang China. Virus ini kemudiannya dengan cepat merebak ke banyak daerah lain di China. Kemudia dengan sangat pantas ia merebak ke banyak negara lain ke seluruh dunia. Oleh sebab ia bermula dalam tahun 2019 maka ia dikenali sebagai covid 19. Kini di seluruh dunia wabak ini menjadi satu pendemik yang perlu ditangani oleh kita semua. Tidak tahu bila ia akan berakhir hanya Allah saja yang ada jawapannya. Jadi marilah kita semu berdoa agar Allah ampuni kita semua dan semoga di tahun yang baru ini tahun 2021, Allah akan membantu kita. Ya Allah angkatlah wabak ini ya Allah. Engkau yang memberikan penyakit kepada kami, kami yakin sudah tentu Engkaulah yang amat berkuasa menyembuhkannya, insyaAllah. Kami hanya berserah kepadaMu, bantulah kami Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.
Walau bagaimanapun kehidupan kami tetap diteruskan. Sepanjang tahun 2020 kami mula hidup dengan norma baharu selepas menjalani kehidupan dalam keadaan Mematuhi Perintah Kawalan Pengawalan Pergerakan (PKPP) bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 September 2020. Kami hanya duduk rumah, bekerja dari rumah, mesyuarat dari rumah dan belajar dari rumah. Kami belajar menyesesuaikan diri dengan norma baharu yang dianjurkan Kerajaan. Kerajaan tetapkan SOP, dan meminta rakyat menjaga SOP. Jika perlu keluar rumah mestilah pakai topeng muka, mesti basuh tangan dengan pencuci pada setiap masa, mesti jaga jarak dalam satu meter jauh dari orang laing, dan mesti jauhi tempat sesak dan mengelakkan sebarang perhimpunan.
Sehubungan itu banyaklah drama berlaku dalam kehidupan, Ada anak terkandas di rumah nenek, ada suami isteri terkandas tidak boleh rentas negeri, Ada jua rakyat Malaysia terkandas di luar negeri, dan banyak pelajar Malaysia terkandas di Indonesia, di China, Di Mesir dan banyak lagi. Mereka memohon misi bantuan untuk pulang ke Malaysia kerana penularan wabak yang teruk di negara tempat mereka belajar. Pekerja Malaysia di Singapura juga ramai tidak boleh berulang alik pergi kerja setiap hari, terpaksa tinggal di sana. Akhirnya Malaysia membenarkan rakyat Malaysia pulang ke Malaysia tanpa perlu dikarantin di pusat karantin, sebaliknya menjalani karantin di rumah sahaja. Maka beribu-ribu rakyat Malaysia pulang termasuklah anakandaku Azfar suami adik. Dia karantin di rumahnya di Johor. Aku senang hati sebab sejak Mac adik tidak berjumpa suaminya yang terkandas di Singapura. Alhamdulillah aku berdoa agar PKPP ini akan segera berakhir supaya dapatlah adik selalu berjumpa dengan suami
Dalam suasana berharap PKPP akan berakhir rupanya ia tiada kesudahan, berpanjangan lepas sebulan ke sebulan. Dan alangkah sedihnya aku dalam suasana ketidaktentuan itu, adik pula tamat housemanship, dan dapat posting di Johor, sedangkan Azfar terpaksa balik bekerja ke Singapura. Alangkah hancurluluhnya hati seorang ibu untuk melepaskan anaknya untuk hidup dalam PKPP seorang diri jauh di perantauan. Apa kan daya, aku hanya mampu berdoa. Aku dapat bayangkan kehidupan yang akan adik lalui di sana sebatang kara, di tempat yang baru, suasana kerja yang baru dan segalanya akan jadi sangat asing baginya tanpa ayah ibu dan suami tercinta. Tapi sebagai ibu aku sangat yakin Allah sangat halus urusan dan tadbirannya, insyAllah segalanya akan selamat kerana Allah maha pengasih, maha penyayang dan maha bijaksana. Ya Allah aku serahkan anakku ini dalam urusanMu, Engkau sahajalah tempat kami bergantung harap, berikan yang terbaik untuk mereka dan berikan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat kepada semua anak-anakku, aamiin.
