DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL
30/2018
KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT
AGONG KE-62
PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA
CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN
OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK
Siapa yang tidak kenal Dato’ Rawi di negeri Kedah
ini? Melihat dari susuk orangnya, beliau sangat peramah dan mesra. Sesekali
berjumpa atau terjumpa dengannya, dia dapat ingat kita. Mendengar ucapannya,
dapat dirasakan beliau matang dalam berbicara dan dan berupaya mengemukakan
pendapat dan pandangan yang bernas pula. Amat sesuailah keistimewaannya itu
dengan tugas-tugas rasmi yang pernah
disandangnya. Beliau pernah menjadi peguam di Langkawi sejak tahun 1994 hingga
tahun 2006, dan juga pernah menjadi Pegawai Khas Kepada Mantan Menteri Besar
Kedah YB Dato’ Seri Mahawangsa Mahathir
Khalid. Dengan Meneliti perjalanan kerjayanya, kita dengan senang hati dapat
merasakan beliau sangat menguasai perkara-perkara penting berkaitan dengan bidang tugas yang diberikan kepadanya.
Begitulah sepintas lalu tentang Dato Rawi, ADUN Air Hangat, sejak tahun 2008,
dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO), merangkap Pengerusi
JawatanKuasa Tetap Pelancongan, Agama, Warisan, Kerja Raya, Dan Hal Ehwal Masyarakat
Siam sejak tahun 2013.
Dato’ Rawi dilahirkan di Langkawi pada 12 April
1967, 51 tahun lalu, di Kampung Tua, Jalan Tanjung Rhu, Air Hangat. Beliau
bertemu jodoh dengan Datin Azizah Nor binti Othman, dan telah dikurniakan enam
orang cahaya mata yang menambahserikan lagi kehidupan berumah tangganya. Sesuai dengan latar belakang pendidikannya pemegang
Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari
Universiti Islam Antarabangsa, dapat dilihat
melalui ucapan-ucapannya, Dato’ Rawi telah menunjukkan minat yang amat mendalam
tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah terutamanya sejarah
negeri Kedah. Dalam beberapa majlis rasmi terutamanya dalam majlis-majlis
anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Beliau tidak pernah
berhenti menyebut, tentang kunjugan beliau bertandang ke Tetarak Hamka di rumah
Dato’ Wan Syamsuddin Yusof untuk sembang-sembang dan mencari serta menambah
maklumat sejarah. Walaupun beliau kelihatan banyak ilmu tentang sejarah tapi,
beliau sentiasa dengan rendah hatinya menyatakan beliau selalu ingin terus belajar
dengan Pak Wan. Sedangkan beliau juga telah melanjutkan pelajaran dan mendapat
Sijil Postgraduate dari Universiti Warwick, England. Sifatnya itu ibarat padi semakin berisi semakin
pula tunduknya.
Di samping itu cintanya pada sejarah Kedah amat
tebal. Sering disebut-sebut Kedah kekurangan buku sejarah. Beliau pernah
menyarankan agar PSMCK dapat menerbitkan
setiap tahun beberapa buah buku
berkaitan sejarah agar generasi muda dapat memahami dan mencintai sejarah
bangsa sendiri. Kecintaanya kepada buku memang sesuai dengan kerjaya awalnya
sebagai Pensyarah Undang-Undang di UIA pada tahun 1991 hingga 1992 dahulu. Beliau
pernah menyarankan agar diterjemahkan buku The Blockage of Kedah karangan Osborne, kerana buku itu banyak menyimpan maklumat sejarah
yang tertulis dengan jelas dan rapinya. Beliau
sangat teruja dengan rancangan terjemahan itu, kerana dirasakan amat malang, buku dalam Bahasa Inggeris itu dibaca hanya di kalangan sarjana-sarjana
di universiti-universiti sahaja. Sebab itulah Dato’ Rawi yang sangat terkesan dengan aspek sejarah yang
terkandung dalam buku itu, telah menyarankan agar diterjemahkan semula buku itu,
supaya dapat dibaca oleh masyarakat umum tentang pensejarahan negeri Kedah ini.
Di samping itu beliau juga berminat terhadap penulisan, dan sekarang sedang
berusaha menulis sebuah buku tentang Tokoh-Tokoh Sejarah Langkawi.
Bukan itu saja, Dato’ Rawi sangat perihatin dengan
perjalanan PSMCK. Oleh sebab itu telah banyak peruntukan yang disumbangkan
kepada PSMCK untuk pengembangan ilmu sejarah, dan aspek penyelidikan sejarah
juga. Antara aktiviti yang diberi peruntukan ialah Kaji Selidik di Setul dan Kaji
selidik di Bangkok. Bukan itu saja beliau juga telah banyak memberikan
sumbangan wang untuk usaha-usaha penerbitan buku, Jurnal, dan buletin
persatuan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kajian-kajian, beliau
sanggup meluangkan masa bersama AJK persatuan untuk mendengar taklimat tentang
dapatan-dapatan kajian yang telah dilaksanakan. Sifat murah hati itu barangkali
amat berkait rapat dengan pendidikan awalnya dari kecil hingga dewasa. Bermula
dengan pendidikan menengah rendah di Sekolah Agama Raudhatul Ulum Langgar,
kemudian Maktab Mahmud Alor Setar dan
seterusnya Kolej Islam Kelang, sebelum memasuki Universiti Islam Antarabangsa.
Seterusnya akhir-akhir ini Biro Kaji Selidik PSMCK
telah banyak menjejaki makam-makam pembesar dan Sultan pula. Jadi sesuai dengan
potfolio Dato’ Rawi berkaitan Agama dan
Warisan, beliau telah menunjukkan minat yang mendalam dengan memberikan peruntukan kepada
pasukan penyelidik PSMCK, untuk aktiviti kajiselidik makam-makam yang telah
dijumpai. Peruntukan juga bertujuan untuk pemuliharaan makam-makam tersebut
sebagai salah satu unsur warisan yang perlu dipelihara dan diketengahkan. Barangkali
perhatian khusus dan peruntukan telah diberikan dengan kesedaran bahawa makam-makam
tersebut penting sebagai lambang syiar Islam, dan menjadi bukti kepada
kegemilangan Islam dan kedaulatan kesultanan raja-raja Kedah yang sangat
panjang sejarahnya. Barangkali dengan sebab itulah Dato’ Rawi telah menunjukkkan minat yang
sungguh-sungguh dalam perkara tersebut. Bukan itu saja, sebagai penghargaan dan
minat yang kuat kepada Persatuan Sejarah, Dato’ Rawi telah sudi hadir
merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan PSMCK pada tahun 2017 yang lalu. Kesudian
hadir ini telah menyuntikkan semangat kepada semua ahli PSMCK terutamanya Ahli Jawatankuasa,
untuk terus berkhidmat melestarikan sejarah demi pembentukan jati diri bangsa
dan Negara.
PSMCK amat terharu dengan keperihatinan dan
perhatian serius yang telah diberikan oleh Dato’ Rawi. Kami mendoakan semoga
beliau akan terus diberikan kekuatan dan kesejahteraan untuk terus dapat
bersama-sama memperjuangkan sejarah bangsa dan memartabatkan sejarah di mata
masyarakat sebagai pemangkin kepada kemajuan bangsa dan negara insya Allah.