Monday, October 12, 2020

ISTIADAT PEMASYHURAN RAJA MUDA KEDAH

DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL 29/2017  

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-61

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN (PSMCK)

 

 

DISUSUN OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK


 Negeri Kedah Darul Aman telah mencatat sejarah tanah air apabila DYMM Tuanku Sultan telah berkenan dilantik buat kali kedua sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia. Seluruh rakyat jelata merafak sembah ucapan terima kasih dan menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku berdua menjadi Payung Mahkota bagi rakyat Malaysia, bermula 13 Disember 2011 sehingga 12 Disember 2016. Sempena keberangkatan pulang, setelah 5 tahun bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke negeri Kedah yang aman permai ini, Baginda Sultan telah berkenan menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Pelantikan, Duli yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah. Demikianlah pada hari bersejarah itu, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah dalam majlis penuh istiadat di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit. Istiadat Pemasyhuran Pelantikan dan Menjunjung Duli Raja Muda Kedah, diadakan pada 15 Disember 2016.
  

 

Pada majlis bersejarah itu Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah dalam majlis penuh istiadat di Balai Penghadapan. Persatua Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) merafak sembah tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Maliha Binti Tengku Ariff yang dilantik sebagai Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah Darul Aman. Sebelum ini, Tunku Sallehuddin bergelar Yang Teramat Mulia Tengku Temenggong Kedah Darul Aman. Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, setelah kemangkatan kekanda baginda, Almarhum Tunku Bendahara Tunku Annuar Almarhum Sultan Badlishah pada 21 Mei 2014.  Kemudiannya baginda dilantik mengisi kekosongan jawatan Raja Muda setelah setahun kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah.



Istiadat Pengisytiharan pemasyhuran dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun. Selepas membacakan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin melafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah. Istiadat pemasyhuran itu turut dihadiri Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan beberapa kerabat Diraja lain. Tunku Sallehuddin, 74, yang juga adinda Sultan Kedah, kemudiannya melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggung jawab secara jujur dan ikhlas malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Paduka Sultan Kedah. Majlis disaksikan Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah.


 

 

Saturday, October 10, 2020

ALMARHUM TUANKU ABDUL MALIK PENAUNG PSMCK DALAM KENANGAN

DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL 28/2016

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-60

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN (PSMCK)

 

OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK

 


Tanggal 29 November 2015, rakyat negeri Kedah telah dikejutkan dengan berita sedih kemangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Kedah. Berita  sedih dan dukacita itu telah dimaklumkan,  bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman, Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, telah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, kira-kira pukul 1 pagi. Baginda mangkat pada usia 86 tahun, akibat kegeringan dan sakit tua, lebih kurang 2 bulan selepas kemangkatan isteri baginda Almarhumah Tengku Hajah Raudzah binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

 

Mengenang kembali riwayat hidup baginda, Tunku Abdul Malik diputerakan pada 24 September 1929 di Istana Anak Bukit, Kedah. Tunku Abdul Malik merupakan adinda kepada DYMM Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang kini dilantik sebagai  Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong buat kali yang ke-2.  Tuanku Abdul Malik merupakan putera kepada pasangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dengan Yang Amat Mulia Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud.

 

Pada zaman kanak-kanak, Tunku Abdul Malik mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah. Di sinilah baginda berpeluang dapat bergaul dengan rakan-rakan sedarjahnya, yang menjadikannya lebih memahami akan kehidupan dan keadaan hidup rakyat biasa.  Pengalaman itu amat bermakna dalam pembentukan seorang  anak raja sehingga menyantuni peribadinya yang perihatin dan berjiwa rakyat. Selepas itu baginda menyambung  pelajaran  menengah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Kemudian baginda melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi di Wadham College, Oxford, United Kingdom, dalam bidang Ilmu Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

 

Tunku Abdul Malik menamatkan zaman bujangnya apabila bertemu jodoh dengan puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Raudzah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Baginda berkahwin pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, Alor Star.

 

Apabila Ayahanda baginda mangkat pada 13 Julai 1958 dan kekanda baginda Tunku Abdul Halim dilantik sebagai Sultan Kedah, baginda telah berkenan untuk mengurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah kepada Tunku Abdul Malik pada 23 Februari 1959. Akhirnya Tuanku Sultan telah berkenan melantik Tunku Abdul Malik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah berkuatkuasa 28 November 1981.

 

Oleh kerana baginda menceburi bidang pendidikan  dalam  Ilmu Kemasyarakatan, maka  tidak hairanlah baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), sejak persatuan ini  diasaskan pada tahun 1956, sehingalah kemangkatan baginda (2015). Di bawah naungan baginda persatuan ini bergerak semakin hari semakin maju.

 

Sehingga kini PSMCK sudah genap mencecah usia 60 tahun, sehingga dapat memantapkan budaya dan jati diri masyarakat Kedah, melalui kecintaan terhadap sejarah. PSMCK bergerak aktif dalam memasyarakatkan ilmu sejarah, melalui pelbagai aktiviti yang direncanakan saban tahun. Sehubungan itu, Baginda DYTM Raja Muda Tunku Abd Malik, telah memberikan sokongan yang kuat kepada PSMCK dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan pada setiap masa.

 

PSMCK amat merasakan kehilangan baginda kerana sepanjang penglibatan  baginda, boleh dikatakan setiap agenda besar PSMCK akan mendapat  sentuhan baginda. Begitu juga setiap majlis dan program-program budaya dan akdemik, akan diserikan jua dengan kehadiran baginda. Sokongan dan keterlibatan baginda amat menyumbang dan menambahserikan lagi majlis dan aktiviti persatuan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda dan dimasukkan di  kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

 

TUNKU PUTERI INTAN SHAFINAZ PEMANGKIN KEMAJUAN PENDIDIKAN KEDAH

 


DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL 27/2015       

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-59

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN (PSMCK)

 

OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK

 

Siapa yang tidak kenal Tunku Puteri Intan Shafinaz atau lebih mesra dipanggil Tunku Puteri? Sebenarnya, Tunku Panglima Besar Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah, adalah  Puteri  Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, bersama Almarhumah DYMM Tuanku Sultanah Hajah Bahiyah, dan merupakan Puteri kesayangan rakyat negeri Kedah Darul Aman. Seluruh rakyat negeri Kedah amat bergembira dan berbangga apabila Tunku Puteri diputerikan pada 22 Julai 1966. Tunku Puteri mendapat pendidikan awalnya di Sekolah St Nicholas Convent, Alor setar, kemudian meneruskan  pendidikan menengahnya  di Kolej Tunku Kursiah (KTK) dan selepas itu, meneruskan pengajian pendidikan tinggi dalam bidang Politik di Chethelmen Ladies College, England.

Yang Teramat Mulia Tunku Puteri sangat menggemari aktiviti sukan lasak seperti berkayak, bermain jetski,  paintball, dan memanjat gunung. Oleh kerana kecintaannya kepada aktiviti berkaitan  alam sekitar, Tunku Puteri dilantik sebagai Felo Diraja Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari). Di samping itu, dengan semangat semula jadinya yang kental, telah mendorongnya menyertai Pasukan Askar Wataniah, sehingga dilantik sebagai Brigader Jeneral. Penglibatan ketenteraannya itu telah membawa kepada perlantikannya sebagai Pro Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 10 Oktober 2010. Perlantikan ini menunjukkan keyakinan yang tinggi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, atas kebolehan Tunku Puteri  untuk memberi khidmat dan memberi sumbangan, terutamanya dalam bidang pertahanan negara.

Sebenarnya, negeri Kedah ini amat bertuah kerana memiliki seorang Puteri Raja yang sangat memberikan perhatian kepada kemajuan  pendidikan negeri Kedah dan pembangunan pendidikan negara amnya. Sebagai salah seorang pencetus idea penubuhan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan salah seorang pemegang amanah seumur hidup YSB, serta  Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Tunku Puteri sangat menumpukan masanya dan fokusnya kepada bidang pendidikan. Tunku puteri memenuhi jadualnya setiap tahun, sebagai VVIP,  hadir ke Majlis Hari Anugerah Cemerlang sekolah-sekolah di negeri Kedah seperti, Sekolah Sains Pokok Sena, SMK Sultanah Bahiyah, SMK Tunku Sofiah, SMK Dato’ Syed Omar, dan banyak lagi. Kehadirannya itu membolehkan Tunku Puteri melihat dari dekat akan pencapaian pelajar-pelajar dan kemajuan pendidikan sekolah-sekolah di negeri Kedah, di samping dapat mengikuti isu-isu dalam bidang pendidikan dengan lebih dekat. Sejak tahun 2004, Tunku Puteri telah memberikan perhatian khusus kepada SMK Sultanah Bahiyah (SMKSB), yang menjunjung nama Almarhumah bondanya. Banyak dana yang disalurkan untuk kemajuan pendidikan SMKSB. Sebagai contohnya, Tunku Puteri telah memperuntukkan sejumlah wang sebagai pemberian untuk Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mencapai semua A, sejak tahun 2004 hingga sekarang. Penganugerahan ini, sesungguhnya   telah menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar untuk terus meningkat maju dan berjaya dalam pendidikan, yang kemudiannya dapat mengharumkan nama negeri Kedah.

Di samping itu, Tunku Puteri juga amat meminati dan bersungguh-sungguh berusaha memelihara unsur seni budaya warisan Melayu seperti permainan angklong. Setiap kali menghadiri majlis Hari Anugerah Cemerlang di SMKSB Tunku Puteri sangat teruja dan berulang kali mengucapkan tahniah kepada pencapaian pasukan angklong sekolah. Tunku Puteri sanggup turun padang bercemar duli melawat ke asrama untuk meninjau keperluan pasukan angklong sekolah. Atas kemurahan hati Tunku Puteri menyumbangkan dana untuk pelbagai keperluan, maka kemantapan pasukan angklong telah membantu sekolah memenangi Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan tahun 2007. Bagi menyemarakkan lagi semangat pelajar, pasukan angklong juga sering dijemput mengadakan persembahan semasa sambutan Hari Penyayang YSB. Selain itu, Tunku Puteri juga meminati seni muzik,  dan turut menyumbang ke arah pembangunan pasukan Mini Orkestra SMKSB. Keperihatinan dan kesungguhan Tunku Puteri menyalurkan pelbagai sumbangan, telah mencemerlangkan pasukan orkestra sehingga membantu SMKSB memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan tahun 2008.

Sesungguhnya Tunku Puteri amat mudah didekati, dan tidak memiliki sifat tinggi diri. Namun Tunku Puteri tetap dihormati dan disegani kerana berjiwa rakyat, perihatin, pemurah dan penyayang. Golongan yang memerlukan tidak pernah dilupainya. Setiap tahun pelajar-pelajar miskin akan menerima sumbangan baju raya, telekung dan duit raya. Dan yang paling manis semua pelajar asrama dapat menikmati kek hari keputeraaan DYMM Sultan Kedah, dihantar oleh Tunku Puteri pada setiap tahun. Semua hasil usahanya ke arah pembangunan pendidikan  menggungguli peribadi Tunku Puteri sebagai pemangkin ke arah kecemerlangan pendidikan. Sebab itu, sangat sesuailah Tunku Puteri Intan Shafinaz telah dimasyhurkan menjadi  Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baru pada 8 Nov 2014, dan juga menjadi Pro Canselor  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pelantikan Tunku Puteri Intan Shafinaz  sebagai Canselor, amat menjadi kebanggaaan rakyat Kedah dan telah mencipta sejarah kerana menjadi  wanita pertama menyandang jawatan itu di UUM.

Ketika makalah ini ditulis, Tunku Puteri adalah salah seorang daripada Jemaah Pemangku Raja yang dilantik pada 13 Disember 2011. Semoga Tunku Puteri akan terus diberikan  kegemilangan, dan kerahmatan dalam semua urusan pekerjaannya, dan juga dalam segala urusan kehidupannya, serta terus dapat menyumbangkan jasa bakti untuk pembangunan negeri Kedah tercinta ini  insyaAllah, aamiin.


 

Friday, September 18, 2020

BANDUNG KE PENANG

 

Hera sudah terduduk di kerusi pesawat. Terasa empuk, terasa amat cantik kerusi yang Hera duduk. Dadanya masih cemas beralun kencang mengenangkan peristiwa di balai berlepas tadi. Dia hampir-hampir terlepas pesawat gara-gara pegawai berttugas di kaunter yang tidak memberikan pass berlepas, dan mencampakakan dokumen penting itu, tidak diberikan kepadanya. Dia tidak memberikan dokumen yang perlu di bawa. Barangkali dia mengharapkan nanti Hera akan membayar wang kopi kepadanya, bila Hera terdesak nanti, barangkali. Tapi Allah bersama Hera. Syukur alhamdulillah segalanya lancar. 

Dan kini Hera sudah di pesawat. Hera menghela nafas lega. Dicubit-cubitnya lengan sendiri, Hera terasa sakit. Mimpikah, atau benarkah apa yang terjadi ini? Hera terasa sakit di lengannya bekas cubitan sendiri.  Oh ya Allah, memang bukan mimpi, tapi ia benar ya Allah. Hera mula rasa cemas. Bagaimana nanti bila tiba di Penang? Apa perlu dibuat? Bagaimana kalau kakak Yanti tidak ada? Ya Allah tolong ya Allah, Hera hanya dapat berdoa. Alangkah, alangkah cemasnya Hera.

Dari jelingan mata Hera dapat lihat pemuda di sebelahnya membaca majalah. Namun Hera tak berdaya berbuat apa-apa pun. Hera cuma boleh merenung jauh ke luar jendela. Melihat kepulan-kepulan awan, melihat silaunya cahaya matahari pagi, namun fikirannya kosong. Hera tidak dapat membanyangkan apa-apa, semuanya tidak pernah terbayangkan. Pramugari kelihatan memberikan  makanan dan minuman kepada penumpang lain, dia tidak ambil pusing, terasa kerongkongnya sempit. Dia terdengar pengumuman, tapi dia tidak faham. Ditanyakan kepada pemuda yang di sebelahnya apa yang diberitahu. Katanya ada jualan makanan dan minuman. Hera tidak minat dan tidak ada nafsu untuk makan. Hera tidak terasa lapar langsung, kerana dia terus-terusan cemas memikirkan keadaannya nanti bagaimana?. Dari semalam, terakhir dia makan sebelum bertolak ke bandara, jam 6 petang. Lepas itu Hera tidak sempat makan atau minum walau seteguk air pun. Sekarang pun perutnya terasa sebu, terasa bagaikan kekenyangan. Masa terlalu pantas berlalu, dengan segala urusan yang dia sendiri tidak terbayangkan di bandara tadi. Sedar-sedar Hera sudah naik pesawat jam 6.00 pagi, patutlah perutnya menyanyi-nyanyi. Tekaknya terasa loya, namun bila mengenangkan hal-hal yang bakal terjadi entah bagaimana, dia terus jadi kenyang.

Hera masih terbayang pegawai yang menyapanya dan membantunya memberikan pass berlepas di kaunter tadi. Dia bukan saja mengucapkan selamat tapi menghulurkan sedikit wang buat bekalan, katanya, nanti kamu akan memerlukannya bila sampai di Penang, simpanlah. Dia memberikan semula pass tempat duduk yang sengaja dibuangkan oleh sahabatnya tadi. Dia tidak kenakan bayaran pula, kerana diberitahu Hera sudah tidak punya wang walau sedikit pun. Barangkali dia dapat melihat kesusahan Hera pada waktu itu. Barangkali juga dia rasa amat kasihan melihat wajah Hera yang bercampur baur pelbagai perasaan, cemas, takut, kecewa dan letih. Dia sempat marahkan rakannya yang tidak bertanggung jawab itu. Dia barangkali tahu niat serong rakannya itu. Sebab itu dia tolong Hera untuk dapat berlepas.

Sedang masih melayan perasaan terdengar ada pengumuman lagi. Pemuda di sebelah bagi tahu sampai masa untuk mendarat. Ya Allah sudah sampai, sudah sampai rupanya, Tolong ya Allah, bantu ya Allah. Sebaik turun pesawat dia ikut saja arus pergerakan penumpang-penumpang lain. Dia cuba telefon Kak Yanti, tapi tidak boleh kerana itu telefon Indonesia. Dia mula panik, terus ke kedai telefon yang dia nampak. Hera mesti beli sim  baru, pergi tukar duit Malaysia dulu, jelas peniaga itu. Ya Allah memang betul kata pegawai di bandara tadi. Duit yang diberikan itu cukup untuk beli sim baru. Syukur alhamdulillah, Hera dapat hubungi Kak Yanti. Hera lega dan dia duduk di kerusi menunggu lama, sehinggalah Kak Yanti muncul. Alhamdulillah perjalanan Bandung ke Penang selamat. Perjananan pertama kali seumur hidupnya itu,  dilaluinya dengan penuh debaran, dengan penuh cabaran, kini benar-benar di menjejaki bumi Malaysia, di Penang. Hera bernafas lega, walaupun dia masih rasakan bagai mimpi, tapi dia amat bersyukur segalanya lancar. Ya Allah Hera rasa dia sudah benar-benar berhijrah, merantau jauh meninggalkan kampung halamannya. Bantulah aku ya Allah.

Tuesday, September 15, 2020

SEDIA UNTUK BERLEPAS

 

BISMILLAA HIRROHMAA NIRRAAHIIM 

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani. 

Mula awal cerita tidak perbah terbayang Hera akan terbang ke Malaysia. Tidak pernah terlintas akan bekerja, mencari rezeki jauh di perantauan. Jauh dari kaum keluarga, jauh dari sanak saudara dan jauh jauh dari segala yang pernah ada. Sungguh amat berbeza, 360 darjah bezanya. Bahasa beza, makanan beza, pakaian beza, suasana rumah beza, perasaan lagi berbeza. Pendek kata segala-galanya memang sangat berbeza. Ibarat bermimpi di siang hari, terkadang terasa ibarat mimpi setiap hari, dari pagi, tengah hari hingga ke malam dan pagi lagi. Segalanya bagai mimpi, mimpi dan mimpi lagi.

Masih terbayang dengan jelas waktu sibuk-sibuk Hera mencari kawan-kawan untuk bekerja di Melaysia. Tapi bila diberi syarat mesti sembahyang, yang berjanji sudah mula beri alasan tidak mahu. Ada yang sudah ambil wang duluan, namun mungkir lagi. Lepas seorang, seorang pada mungkir, tidak sanggup bekerja sebagai bibik di rumah orang. Mahunya bekerja di salun atau di mall. Akhirnya Hera sudah tekad, dia sendiri yang datang, kerana tiada yang sanggup. 

Dia mulanya ke Imegresion, urus passport, terpaksa tunggu tarikh yang ditetapkan. Kemudian beli tiket seperti syarat yang diberikan sebelum buat passport. Sampai tarikh pergi lagi isi segala butiran. Masih tidak lulus kerana macam-macam yang diminta sediakan. Berkejaranlah ke sana sini melengkapkan apa yang diminta. Setiap suatu yang diminta semunya perlu biaya. Bagai air mengalir wang keluar dari poket, aduh kenapa amat sukar jadinya? Akhirnya dengan segala susah payah dan belanja yang  berjuta-juta rupiah, dapatlah passport bersama tiket untuk terbang ke Malaysia. 

Tiba harinya bapa sewa kereta hantar Hera ke bandara Bandung. Turut serta bekas suami yang tidak disukai bapa. Apa lagi kereta jadi panas dengan leteran bapa. Macam-macam pula masalah yang timbul. Kata bapa tak lain musibah semuanya kerana orang yang tak diundang turut serta, dia tetap terus-terusan menyalahkannya. Alhamdulillah sampai di bandara juga akhirnya. 

Usai bersalaman Hera dengan cemas bertanya-tanya balai perlepasan antarabangsa. Maklumlah dia tidak pernah keluar dari Bandung. Apatah lagi naik kapal terbang tidak pernah termimmpikan, Tapi hari ini, dia sudah berada di kaunter untuk  mendapatkan boarding pass. Dia akan terbang ke Penang Malaysia. Alangkah, alangkah janggalnya tapi ia benar. Pekerja di kaunter menyapa, Pergi kerja ya neng? Kerja baik-baik, selamat maju jaya ya.  Dia kemudian  menghulurkan  boarding pass sambil senyum. Hera meluru ke pintu perlepasan. Terasa lega berada dalam barisan menunggu masuk. Tiba-tiba pramugara minta satu dokumen. Hera sendiri tidak mengeri apa,  tapi  bila diberitahu Hera mengagak-agak memang Hera terperasan ada sekeping surat yang dibuang ke tong sampah semasa di mendapatkan tiket tadi. Hera lari ke kaunter tiket mencari-cari pegawai yang bertugas tadi, malang pegawai itu sudah berganti orang lain. Hera minta simpati pegawai di situ, meminta dia tolong carikan surat tersebut yang dibuang ke tong sampah. Allah amat penyayang surat itu ada di tong sampah. Lari lagi Hera ke pintu berlepas. Akhirnya dia menghela nafas lega bila sudah duduk dalam pesawat sedia untuk berlepas ke Penang buat pertama kali dalam hidupnya.


Tuesday, September 8, 2020

BUAT DANGAU PONDOK

 


Sejak akhir-akhir ini kami  setiap hujung minggu pergi ke kebun dekat rumah mak. Pokok durian pelbagai jenis sudah ditanam, 20 pokok semuanya. Sekarang nak buat pondok tempat berteduh pula. Senang kami nak rehat, makan-makan, dan yang paling penting mudah sembahyang bila masuk waktu. Rumah mak dah dibagi orang duduk maka tak boleh lagi kami nak buat sesuka hati, tambah-tambah lagi bila mereka tiada, tak bolehlah kami nak masuk. Kadang-kadang rasa sedih juga masuktak boleh rumah sendiri. Tapi lebih baik taka boleh masuk ada orang jaga, daripada boleh masuk tapi rumah tak terjaga dan rosak semuanya. Alhamdulillah bersyukurlah dengan apa yang ada. Alhamdulillah semoga ia memberi manfaat kepada kedua mak dan abah yang kusayangi, insyaAllah. Ya Allah jika ada sedikit pahala atas pengorbanan ini, berilah kepada kedua orang tuaku, semoga mereka mendapat balasan syurgaMu, insyAllah aamiin.


Bolehkah papa diri dangau ni?  Tengoklah kerja tangan hero awak ni.  Aku gelak kuat bila papa dengan yakin menjawab. Aku bantu mana yang perlu saja. Tolong angkat-angkat barang, tolong ambil air minum, tolong pegang tali tape dan buat apa yang papa suruh. Kerja berat semuanya papa yang buat, cangkul tapak tiang, dan letak tiang simen di tapaknya, semuanya dibuat dengan mudah gayanya. Diam-diam aku sangat kagum. Papa bila buat kerja siap dengan alat dan pakai teknik, jadi kerja berat pun jadi mudah saja. Semua pakai otak, kerja jalan.

Melihat papa lagang kerja buat dangau, aku teringat barangkali beginilah agaknya mak dan abah buat rumah masa aku kecil dulu. Aku tak ingat sangat sebab terlalu kecil. Alangkah bahagianya mereka pada waktu itu, sama-sama buat tapak untuk buat rumah. Begitulah juga sekarang aku sangat bahagia untuk turut sama buat dangau di kebun dengan papa. Bezanya dulu masa mak buat rumah kami dua beradik ada bersama. Tapi kami sekarang, anak-anak semuanya sudah berumah sendiri, jadi mereka tidak merasa turut bahagia seperti kami rasa. Syukur padaMu Ya Allah kami masih boleh bersama menikmati masa yang amat berharga. Nikmat apa lagi yang kami dustakan, ya Allah. Buat dangau bersama-sama ini juga nikmat kurniaanMu, sesungguhnya kami ini orang yang zalim. Terima taubat kami ya Allah. Mudah-mudahan semua ini memberi manafaat kepada zuriat keturunan kami nanti insyaAllah, aamiin.