Tuesday, September 8, 2020

BUAT DANGAU PONDOK

 


Sejak akhir-akhir ini kami  setiap hujung minggu pergi ke kebun dekat rumah mak. Pokok durian pelbagai jenis sudah ditanam, 20 pokok semuanya. Sekarang nak buat pondok tempat berteduh pula. Senang kami nak rehat, makan-makan, dan yang paling penting mudah sembahyang bila masuk waktu. Rumah mak dah dibagi orang duduk maka tak boleh lagi kami nak buat sesuka hati, tambah-tambah lagi bila mereka tiada, tak bolehlah kami nak masuk. Kadang-kadang rasa sedih juga masuktak boleh rumah sendiri. Tapi lebih baik taka boleh masuk ada orang jaga, daripada boleh masuk tapi rumah tak terjaga dan rosak semuanya. Alhamdulillah bersyukurlah dengan apa yang ada. Alhamdulillah semoga ia memberi manfaat kepada kedua mak dan abah yang kusayangi, insyaAllah. Ya Allah jika ada sedikit pahala atas pengorbanan ini, berilah kepada kedua orang tuaku, semoga mereka mendapat balasan syurgaMu, insyAllah aamiin.


Bolehkah papa diri dangau ni?  Tengoklah kerja tangan hero awak ni.  Aku gelak kuat bila papa dengan yakin menjawab. Aku bantu mana yang perlu saja. Tolong angkat-angkat barang, tolong ambil air minum, tolong pegang tali tape dan buat apa yang papa suruh. Kerja berat semuanya papa yang buat, cangkul tapak tiang, dan letak tiang simen di tapaknya, semuanya dibuat dengan mudah gayanya. Diam-diam aku sangat kagum. Papa bila buat kerja siap dengan alat dan pakai teknik, jadi kerja berat pun jadi mudah saja. Semua pakai otak, kerja jalan.

Melihat papa lagang kerja buat dangau, aku teringat barangkali beginilah agaknya mak dan abah buat rumah masa aku kecil dulu. Aku tak ingat sangat sebab terlalu kecil. Alangkah bahagianya mereka pada waktu itu, sama-sama buat tapak untuk buat rumah. Begitulah juga sekarang aku sangat bahagia untuk turut sama buat dangau di kebun dengan papa. Bezanya dulu masa mak buat rumah kami dua beradik ada bersama. Tapi kami sekarang, anak-anak semuanya sudah berumah sendiri, jadi mereka tidak merasa turut bahagia seperti kami rasa. Syukur padaMu Ya Allah kami masih boleh bersama menikmati masa yang amat berharga. Nikmat apa lagi yang kami dustakan, ya Allah. Buat dangau bersama-sama ini juga nikmat kurniaanMu, sesungguhnya kami ini orang yang zalim. Terima taubat kami ya Allah. Mudah-mudahan semua ini memberi manafaat kepada zuriat keturunan kami nanti insyaAllah, aamiin.

Wednesday, August 26, 2020

SEPERTI ULAR

Selepas usia mencecah 63 tahun Allah mempertemukan aku dengan seorang manusia yang lidahnya bercabang, pembohong besar dan penipu lagi putar belit yang amat sangat. Aku rasa sangat naif, dia dok bohong dan putar beslit akudan papa selama lebih 2 atau tiga tahun. Kami tidak pernah menyangka bahawa kata-kata manis dia racun, perkhabaranya palsu, berita dia  putar belit. Kami kadang-kadang amat simpati dengan cerita dia, sangat perihatin memberi nasihat mendengar masalah dia, sangat sedih dengan permasalah dia. Kadang-kadang dok berbincang sampai naik pening kepala pula. 
 
Ya Allah rupa-rupanya semua tu sadiwara belaka. Cerita dia kalau tak bohong cerita rekaan semata-mata. Perkhabaran dia dusta dan pula tu amat mengudombakan orang dan penuh caci  maki. Orang lain semua salah, orang lain semua tak betul. Orang lain tak boleh diharap dan menyusahkan orang. Ya Allah kalau Kau mahu Kau boleh tutup mata kami dan pintu hati kami seperti yang telah terjadi buat sekian tahun dengan seorang insan yang kau temukan dengan kami.
 
Ya Allah barangkali ini cubaan untuk kami Ya Allah. Barangkali ini rahmatMu jua. Dia menyusahkan hidup kami, dia membolakbalikkan hati kami, dia menguji kesabaran dan dan mencalarkan harga diri kami. Kami sudah banyak bersabar deangan kerenah dia, tapi kami manusia biasa, ya Allah. Kami hampir tewas ya Allah. Bantu kami ya Allah. Uruskan kami ya Allah Tuhan yang maha halus pengurusanNya wahai Tuhan ya baarik tolonglah kami. 
 
Barangkali Allah mempertemukan kami dengan insan ini untuk memperlihatkan kebesaranNya.  Ya Allah maha suci Engkau Ya Allah, Engkau telah membukakan hijab kepada kami, Engkau tunjukkan siapa sebenar dia ini. Engkau tunjukkan hati budi dia macam mana, tingkah laku dia bagaimana, tindak tanduk dia pula Ya Allah segalanya memberikan kesusahan kepada kami. Kami jadi sangat susah, Engkau saja yang maha tahu. Segala kerja tak jalan, segala rancangan terbantut, segala macam tindak tanduk menjadikan kami dalam keadaan serba salah. Rupa-rupanya dia sangat licik seperti ular adanya. 

Ya Allah jauhkan kami dan lindungi kami daripada orang-orang yang kufur dan jahat seperti ini ya Allah. Kami pohon kepada Mu dengan sesungguh-sungguh hati,  lindungi kami ya Allah jangan biarkan kami walau pun sedetik berurusan dengan orang seperti ini, ya Allah kami tidak berdaya. Ya Allah jangan Engkau uji kami  ya Allah, dengan perkara-perkara yang tidak tertanggung oleh kami. Kami mohon ya Allah bantu kami dan lindungi kami ya Allah ya Rahman ya Rahiimm. Hanya kepada Mu tempat kami memohon pertolongan, hanya padaMu kami berserah dan hanya kepada Mu kami bertaubat. Sesungguhnya kami termasuk dalam golongan orang-orang yang zaliiim. Terima taubat kami ya Allah ya Rahman ya Rahiimm.

DUSUN DURIAN

 

Siapa yang tidak suka buah durian? Jarang kita jumpa orang tidak suka raja buah ini. Begitulah jugalah kami, memang penggemar durian, khususnya papa dia memang hantu durian. Papa memang sangat nostalgik dengan durian. Sejak kecil dia memang sudah banyak menghabiskan masanya di dusun sewaktu musim buah. Apatah lagi bila musim durian gugur dia memang tak lepas peluang mengutip buah durian, setiap awal pagi. Sekarang kami tidak boleh lagi menunggu buah durian gugur. Masa yang kurang dan kesibukan yang dialami menghalang kami untuk untuk menikmati suasana mengutip durian di dusun kami di Langkawi. Tambah-tambah lagi sekarang buah durian sangat mahal di pasaran, nak balik kampung masa tak mengizinkan, jadi kami teruja untuk menanam pokok durian di kampung di Tunjang.

Ini kerana musim sekarang buah durian sangat meriah dengan pelbagai jenis specis buah baru yang berada di pasaran. Kalau zaman dulu-dulu dalam tahun-tahun 80-an di kampung, antara buah yang sedap seperti ganja, kucing tidur, jantung dan kahwin. Kemudian diikuti pula dalam abad ke-21 dengan kehadiran jenis specis baru seperti D24, tangkai panjang dan pelbagai jenis durian Siam pula.  Jadi kami ambil peluang ini untuk memilih jenis specis durian yang popular sekarang antaranya duri hitam, musang king, dan monthon untuk kami tanam.

Jadi bermulalah aktiviti menanam durian. Mula bersihkan tanah sebab kebun kami yang kecil itu sudah semak dengan pokok-pokok belukar. Kemudian cari benih durian dan balik korek lubang dan tanam pokok-pokok durian pilihan hati kami. Lepas tu buat sistem paip untuk bagi air pada pokok durian agar tidak kering waktu tiada hujan turun. Lepas tu letak baja dan racun anai-anai agar pokok dapat hidup dan membesar dengan cepat. Kalau ikut kebiasaan dalam 5 tahun pokok durian sudah mula mengeluarkan buah insyaAllah. Jadi harapan kami Allah akan mengurniakan kami hasil untuk dinikmati bersama sebagai nikmat Tuhan kepada hambanya. Dulu-dulu pun orang tua kami walaupun sudah tidak boleh berjalan, pak masih tak putus asa. Dia semai biji durian, jaga anak durian sampai besar dan akhirnya tanam pokok durian. Dia buat semua itu walaupun dia sangat sedar masa untuk dia menikmati durian barangkali tidak sempat, mengenangkan usia dan keadaan kesihatannya. Begitulah juga kami, barangkali sempat barangkali tidak sempat, tapi kami tidak kisah, kerana kalau kami tak sempat makan, tentu anak cucu kami sempat makan. Tentu ia memberi manfaat kepada anak cucu kami insyaAllah.

Ya Allah kami sangat yakin apa saja yang diusahakan akan membuahkan hasil. Ya Allah semoga usaha kami yang sedikit ini dapat memberi sumbangan kepada zuriat keturuan kami. Dan kalau ada sedikit pahala insyaAllah, Engkau limpahkanlah kepada kami sebagai pahala sedekah jariah, yang akan mengalirkan kebaikan kepada kami di sana nanti insyaAllah. Aamiin.

Monday, June 29, 2020

RUMAH MAK 2020


Lama kami tak balik kampung di Tunjang, Kampung Rumput Minyak yang kini tinggal kenangan cuma. Terasa tawar hati nak jengah ke kampung tengok-tengok rumah mak yang ditinggalkan. Rumah yang banyak menyimpan kenangan sejak kami kecil hingga kami tua, sekarang tidak lagi berseri. Ia tidak lagi diserikan dengan hirok pikok suara anak cucu, tidak lagi diserikan dengan hilai tawa kami waktu berhimpun, tidak lagi diserikan dengan pelbagai masakan mak untuk anak cucunya, dan tidak lagi diserikan dengan tetamu yang datang bertandang.

Sesekali aku paksakan diri menjenguk juga rumah kesayangan mak itu. Hancur luluh perasaan melihat rumah yang dulunya terjaga rapi, kini sepi. Dulunya kelihatan kehijauan rumput yang sentiasa disantuni. Dulunya kelihatan indah halaman yang diserikan dengan rambutan anak sekolah dan lekang nyok yang rangup lagi  manis di sekeliling rumah. Diramaikan lagi dengan pokok ulam-ulaman beluntas, putat, cemumak dan daun kari  yang segar pohonnya tersusun rapi. Ia menjadi salah satu menu kami bila berhimpun, ulam sambal belacan. Kini sudah tiada lagi pokok ulam-ulaman itu, semuanya telah diliputi pokok liar sehingga tiada lagi serinya.

Dan yang lebih meruntun hati ialah melihat keadaan rumah yang yang sangat usang. Bukan saja usang tapi sudah seperti bangsal usang. Perabot memang kami sudah kosongkan. Arwah adik Jo sudah bawa lori angkut semua barang di dalamnya bawa balik pi ke Penang. Alhamdulillah tidaklah kami terkenang-kenang barangan di dalam rumah tu, takut dikebas orang. Rupanya dah tak ada perabot untuk dikebas, semua wayar elektrik pula menjadi mangsa. Wayar elektrik seluruh rumah ditarik habis. Semua lampu dan kipas dicabut dengan ganas. Tingkap dipecahkan aluminium dikopek, dan grill dicolek, maka bermaharaja-lelalah mereka dalam rumah mak. Astagfirullah hal aziim, itu saja yang dapat dikatakan, maka berderailah air mata, apa pun tak dapat dikatakan lagi. Lepas itu aku jarang-jarang balik lagi.

Tapi lepas PKPP bulan Jun 2020 aku teruja untuk balik kampung. Rindu memang sangat rindu pada rumah kami. Rumah itu kami benarkan Bang Udi guna untuk buat pusat berzikir. Bang Udi dah cuci kawasan,dan halaman dah nampak hijau semula. Rumah dah bersih, pendawaian elektrik dah dibuat, lampu dan kipas dah dipasang semula dan kepala paip dah disiapkan. Alangkah seronoknya melihat rumah mak dah sempurna semula. Karpet dah dipasang dan kami dapat bejemaah semula di rumah mak. Alhamdulillah syukur padaMU ya Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Tuesday, May 12, 2020

ALLAH MAHA MENGETAHUI


Semua manusia mahukan apa yang disukai dalam menjalani kehidupan ini. Sedar atau tidak semua kita sentiasa  memohon pada Yang Maha Esa apa yang dihajati. Kadang-kadang permintaan  kita terpenuhi cepat, kadang-kadang lambat dan kadang-kadang tidak terpenuhi pun. Namun kita tetap meneruskan kehidupan. Kadang-kadang kita tidak pernah sedar pun macam-macam kita minta, tapi macam-macam yang kita dapat tanpa kita minta pun. Tapi yang dikatakan manusia itu, jarang sangat  bersyukur dengan apa yang diperolehi dengan banyak dan lumayan pada setiap masa. Jarang menghitung pemberian-pemberian Ilahi yang melimpah ruah. Yang dihitung apa yang diingini tapi tidak diperoleh. Yang disesali, yang disedihkan, dan yang digundah-gulanakan ialah apa yang diharapkan, apa yang dimahukan tapi kononnya masih tidak  dimakbulkan Ilahi. Begitulah manusia semulajadinya  dengan penuh keluh kesah. 

Dalam sebuah hadis qudsi, di akhirat nanti umat masusia ditanyakan tentang permintaan-permintaan mereka di dunia. Allah menunjukkan semua permintaan yang telah termakbul di dunia, dan manusia mengiakan. Kemudian ditanya pula permintaan-permintaan yang masih tidak termakbul di dunia, dan manusia mengiakanya. Kemudian Alah menunjukkan,
'lihatlah balasan kepada permintaan kamu yang tidak diberikan di dunia, ia disediakan di akhirat untuk kamu nikmati'. 
Umat manusia terpegun dengan balasan Allah kepada permintaaan-permintaan  yang tidak diperolehi di dunia. Lalu manusia pun berkata, 
'Ya Robb jika kami tahu besarnya balasan yang disediakan untuk kami di akhirat sudah pasti kami lebih rela semua permintaan kami tidak tepenuhi di dunia. Sudah tentu kami akan hanya mengharapkan balasan rahmatMu di akhirat semata-mata, sebab ia adalah kebahagiaan yang kekal abadi dan jauh lebih baik daripada yang telah diberikan di dunia'.

Jadi marilah kita berlapang dada dengan segala pemberian Allah kepada kita. Marilah kita mengharapkan redha Allah semata-mata dan belas kasihan Allah. Untuk itu kita mesti sentiasa bersyukur dengan apa saja ketentuan Allah Yang Maha Esa. Ya Allah bantulah supaya kami sabar, ikhlas dan redha menerima qadha dan qadarMu. Semoga dengan itu kami akan mendapat rahmatMu nanti insyaAllah, aamin.

Saturday, May 9, 2020

RAMADHAN KAREEM 2


Tahun 2020 memang telah kami tunggu sejak sekian lama dulu. Semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri diwarwarkan tentang Wawasan 2020. Semua orang dari peringkat bawah hingga ke peringkat atas bercakap hal yang sama. Pemimpin, majikan, ketua jabatan, ketua kampung, ibu bapa dan pelajar juga tidak pernah terlepas bercakap soal Wawasan 2020. Dan pada hari ini,  pada tahun ini, aku telah memasuki tahun 2020.

Berada di tahun 2020 usia aku sudah mencecah 62 tahun. Dulu aku lihat orang seusia aku sudah sangat tua, barangkali kerana aku masih muda belia. Kini aku lihat diri sendiri pada usia 60an, tidaklah tersa begitu tua sangat. Barangkali kerana aku sudah berada di usia emas ini. Apa pun perasaan aku amat bersyukur. Ya Allah syukur padaMu Engkau takdirkan aku dapat menikmati usia emas ini. Bagaimna aku tidak bersyukur?  Nikmat apa lagi yang aku dustakan? Menelusuri kehidupanku sendiri memang aku patut sangat bersyukur kerana takdir Tuhan tentang usia, hanya Dia saja yang memegang rahsianya. 

Mengenang kembali semasa  aku muda, aku sangat terkesan dan sedih dengan pemergian sepupu yang masih muda Latifah nanmanya, dalam usia awal tiga puluhan. Anaknya masih kecil-kecil dan dia meninggal semasa melahirkan anaknya yang ke-3. Semua orang sebak melihat 3 orang anak kecil ditinggalkan ibu. Mereka menangis kami pun turut menangis, tak tertahan-tahan rasanya. Sedangkan pada waktu itu bapanya yang separuh usia, dan tok kami yang sudah tua masih belum dijemput Ilahi lagi. Kemudian tak lama lepas tu abangnya pula dijemput pulang, kami sedih, bapanya lagi sedih sebab hilang tempat bergantung harap, iaitu anak sulung lelaki yang menjadi tonggak keluarga. Anaknya pun masih keci-kecil dan ramai masih bersekolah. 

Kemudian selepas itu kami kehilangan Mak Wa dan Pak Wa, kakak emak yang sulung. Kami dapat menerima sebab dia sudah tua,tapi tok kami yang sudah tua masih tidah dijemput Ilahi, dia menangisi pemergian anak sulungnya. Kemudian Pak Ngah kami pula yang pergi tok masih bersama kami syukur alhamdulillah, kami tau tok sungguh sedih anak lelakinya sudah tiada lagi. Dan akhirnya sampailah masa tok berangkat kembali menemui Allah. Kami sudah  kehilangan tok buat selama-lamanya, tapi yang tua meninggal itu lumrah semua orang redha dan dapat menerima dengan baik. 

Lepas itu emak tinggal empat beradik lagi, dia anak ke-3 dengan 3 orang  lagi adik-adiknya.  Ketentuan Allah satu lepas satu adik-adiknya dijemput Allah. Dimulai adik emak yang nombor 4 Pak Lang, diikuti adik emak yang bongsu Pak Su yang paling kecil dan paling muda, kemudian adik emak nombor 5 yang kami panggil Mak Su juga. Akhirnya tinggallah emak sebatang kara,selepas semua adik-adiknya yang lebih muda darinya  kembali mengadap Allah yang maha esa. Dan abah juga telah dijemput mengadap Allah jua adanya. 

Namun yang paling pedih dalam hidup kami ialah cucu emak Nabila meninggal dalam usia yang sangat muda akhir 20an. Dia meninggalkan kami, kami sungguh sedih kehilangnnya. Anak-anaknya  masih kecil, yang seorang 3 tahun  dan seorang lagi satu tahun masih menyusu. Setiap kali menyebut budak-budak yang ditinggalkan kami mengalirkan air mata, sayu sangat. Emak lagi sayu sebab jenazahnya pun dia tidak dapat lihat sebab emak stroke dan masih berada di wad, semasa Nabila menghembuskan nafas terakhir di Kuala Lumpur. Kami semua sungguh sedih namun takdir Tuhan hanya Allah saja yang tahu, semuanya dalam genggamanNya jua. Subhaanallah.

Akhirnya yang paling tidak kami duga ialah peninggalan adik Johari. Dia baru berusia 58 tahun, selalu kelihatan sihat, tidak pernah dilihat sakit atau mengadu sakit. Dia sakit sekejap selepas sebulan dia kembali kerahmatullah. Semua kami tekejut, emak yang sakit, emak yang telah tua  dalan usia 80 tahun, tapi takdir Allah siapa pun tidak pernah menduga dia pergi meningalkan kami, subhaanallah. Begitulah Allah menyebut ajal maut di tangan Tuhan hanya Allah saja yang tahu dalam genggaman Allah jua adanya. Semoga kita semua bersedia menghadapi saat bertemu Allah insyAllah. Segala puji bagi Allah, Ya Allah di bulan Ramadhan yang mulia ini, ampunilah dosa-dosa  mereka dan berilah balasan syurgaMu kepada mereka aamiin.

RAMADHAN KAREEM


Ramadhan tahun ini lain daripada biasa. Sudah 62 tahun aku hidup inilah kali pertama Ramadhan disambut dengan penuh ujian dari Allah Azzawajal. Namun aku  yakin Allah sayang aku. Pertama-tama seminggu sebelum puasa keadaan emosi emak semakin sangat kacau. Sebelum ini keadaan emosi emak sejak 2016 agak stabil, dia tenang dan berada dalam situasi biasa tanpa gundah gulana.  Sebenarnrnya emak sudah 5 tahun terlantar, di atas katil. Keadaanya semakin gawat bila dia sekali lagi diserang stroke kali ke-2, pada Februari 2018. Berada seminggu lebih  di hospital ketika itu,  kami terpaksa menerima kenyataan emak sudah tidak seperti dulu lagi. Dia tidak lagi boleh makan dan minum apa yang kami nikmati bersama. Emak tidak boleh makan seperti biasa, emak minum susu saja melalui tiub sehingga kini. Aku sedih, tapi aku sangat yakin itulah pemberian terbaik yang Allah sajikan kepadaku yang sebatang kara ini. Aku redha dengan ketentuan itu walaupun sangat sukar menerima kenyataan yang sebegitu perit.  Berat mata memandang namun berat lagi bahu yang memikul, subhanallah. Ya Allah jangan Engkau beri kami kesusahan melainkan Engkau bantu kami menyelesaikannya. Ya Allah, jangan Engkau tinggalkan kami untuk membuat keputusan walaupun buat seketika cuma, sungguh kami kami tidak berdaya, kami sangat lemah, kami  hanya mampu  berserah kepadaMu untuk apa saja takdir yang Engkau telah aturkan.

Oleh itu takdir kami, dua minggu sebelum Ramadhan keadaan emak jadi tak menentu perasaannya. Dia sering bertanya abah, kenapa abah tak datang menjenguk mak? Dia sangat depress, kerana kononnya abah tinggalkan dia seorang diri. Kononnya abah balik ke Tunjang tak datang-datang, sedangkan dia sakit terlantar seorang diri di Alor Setar. Dia sangat kecewa sebab Tok Bah pun tak suruh abah datang menjenguknya, sia-sia jadi orang tua.

Kami pun tak mampu dan boleh lagi memberi alasan yang sebenar. Emak sudah jadi orang lain, aku sangat sedih melihat keadaan mak. Alhamdulillah papa selalu menjadi pendengar yang baik. Papa selalu ingatkan tentang realiti keadaan emak, perjalanannya bukan semakin pulih, tapi semakin hari semakin menurun. Memang kita terpaksa berhadapan dengan penyakit emak yang semakin hari terus berubah, tapi kita cuba berusaha sedaya mungkin menangani apa yang Allah izinkan. 

Alhamdulillah, dengan izin Allah selepas seminggu keadaan emosi emak tenang semula, dan dia sedar dan tahu kami akan menyambut puasa. Dia terus bertanyakan anak-anak cucu, dia terus mengharapkan anak cucu pulang dan berpuasa bersamanya. Dia terus bercita-cita akan beraya bersama mereka. Dia nak beli baju pada cicit-cicitnya. Dia merancang-rancang menu-menu yang dia nak masak. Aku sangat tersentuh hati. Ya Allah itu saja hiburan yang dia ada, ingatan kepada anak cucu menjadi impian manis yang dinanti-nantikan setiap masa. Impian itu tak pernah lekang dari benak fikirannya. Dan yang paling sedinhyna dia tidak pernah rasa sedikitpun, dia sudah tidak mampu lagi, membuat apa yang dia inginkan. Ya Allah maha suci Engkau ya Allah, Engkau bahagiakan dia dengan memori-memori indah yang tidak pernah terlupakan sepanjang hayatnya. Syukur padamu Ya Allah sekurang-kurangnya dia akan terus bebahagia di saat-saat akhir hidupnya.

Ya Allah dia telah banyak berjasa kepadaku ya Allah. Kasihanilah dia. Dia telah menjadikan aku manusia berjaya. Dia mendidik dan mengajarku erti kehidupan. Dia semai sikap-sikap terpuji di jiwa ku. Semangat kentalnya, kegigihannya, ketegasannya, ketegaran jiwanya, kepatuhan kepada prinsipnya, dan art or working yang ada padanya, semuanya itu membantu dan telah membentuk keperibadianku yang tidak ternilai.

Kalau ada orang berkata apa saja yang baik tentang aku, maka tidak lain datangnya dari emak dengan izin Allah. Ya Allah kasihanilah dia sepertimana dia mengasihaniku semasa aku masih kecil. Ya Allah berikan husnul khotimah kepadanya, Ya Allah berikan syurgaMu tanpa hisap kepadanya. Sesungguhnya memberikan apa saja kepada kami, amat mudah bagiMu. Ya Allah Ya zaljala liwalikram. Di pagi bulan mulia ini, Ramadhan tahun ini, aku hanya mengharapkan rahmatMu dan maghfirahMu, semoga kami tergolong antara orang-orang yang berjaya di sana nanti insyAllah aamiin.