Monday, May 7, 2018

DAY 2: (3) BERAT ALBANIA

 
13 APRIL - JUMAAT
ISTANBUL  - TIRANA - BERAT ALBANIA






Menara Mesjid Rajadari jauh
Petugas Mesjid melayan  kami
Kami tiba di Berat Albania lebih kurang jam 3.30 petang, disambut oleh Mr Elton Pemandu Pelancong yang akan melayan kami di Berat. Menurut Elton Berat adalah sebuah pekan yang mempunyai banyak mesjid dan gereja. Kami terus ke King mosque untuk sembahyang jamak Zohor dan Asar. Sesuai dengan namanya ia tersergam indah tapi sudah agak usang cat dan peralatan di dalamnya. Kami dibantu oleh dua orang petugas mesjid sepasang suami isteri yang tekun menjaga mesjid itu.

Ruang legar depad mesjid untuk sebarang akativiti
Selesai solat kami dibawa untuk melihat-lihat sekitar bandar lama Berat yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai satu tempat bersejarah. Di  kawasan itu kelihatan  rumah-rumahnya didirikan bertingkat-tingkat di lereng bukit. Sekali pandang memang sesuailah gelaran kawasan itu yang dikenali sebagai "House of Thousand windows". Kami berhenti di kawasan lapang berhadapan sebuah bangunan dikenali sebagai Bachelor's Museum. Kononnya pada zaman dahulu di situlah tempat anak-anak muda berkawal malam menjaga keselamatan kawasan tempat tinggal mereka daripada di ganggu oleh orang jahat. 
Salah sebuah kedai bunga berhadapan Pasha Bridge
 
Elton sedang memberi penerangan di hadapan Jambatan
Dataran di hadapan jambatan bersama pelukis jalanan

Membelakangi "House of Thousand Windows"
Berhampirannya pula adalah mesjid tempat mereka beribadat iaitu "Red Mosque". Kami juga dibawa menikmati pemandangan indah di "Pasha Bridge" tinggalan zaman Uthmaniah, yang menghiasai "Osumi River". Melihat kepada binaannya memang terserlah kegemilangan zaman Uthmaniah di situ kerana seni binanya masih kekal unggul hingga ke hari ini. Biarlah ia menjadi bukti sejarah bahawa suatu masa dahulu Albania pernah berada di bawah naungan kegemilangan Islam.

Kemudian kami menaiki bas untuk melawat ke Kota Berat atau "Berat Castle". Sepanjang perjalanan dalam bas itu kami ditunjukkan kawasan perkuburan di Albania memang unik. Kawasan kubur Orang Islam letaknya bersebelahan jirat orang Kristian. Elton beritahu kami itu adalah antara ciri-ciri toleransi agama orang-orang di Albania. Bas terpaksa berhenti di kaki bukit dan semua kami berjalan naik ke Berat Castle yang diangkat sebagai Onufri's Museum. 
Bergambar kenangan di atas Berat Castle
Peta kawasan penempatan di dalam kota
Restoran dalam kota
Di puncak kota
Melihat binaan kota itu dapat dirasakan kehebatan dan keagungan zamannya. Sungguh mengkagumkan. Seni binanya kelihatan teguh dan kekar dan masih unggul sehingga ke hari ini. Di dalam kawasan kota itu masih terdapat rumah-rumah yang masih didiami hingga sekarang. Boleh dikatakan semua kemudahan ada di dalam kawasan kota, seperti kedai runcit, dan restoran. Tapi kini penempatan di situ kurang digemari kerana di tempat yang agak tinggi, agak sukar dan tidak boleh dinaiki kereta ke rumah mereka. Jadi banyak jugalah kelihatan rumah-rumah yang ditinggal kosong tidak berpenghuni lagi.

Berjualan di atas kota
Salah sebuah rumah tinggal
Dalam perjalanan turun dari puncak
Melalui lorong kawasan penempatan
Semasa lawatan, kami terserempak dengan sepasang pengantin baru yang membuat pergambaran outdoor di puncak kota.  Apa lagi kami pun turut serta bergambar kenangan dengan penganti baru itu. Dari puncak kami dapat lihat bandar Berat yang indah, penuh sesak dengan rumah-rumah yang padat. Dapat juga dilihat kawasan pertanian yang luas. Masha Allah pemandangan yang sungguh cantik ciptaanAllah yang maha esa untuk dinikmati oleh makhlukNya 

Membelakangi Bandar Berat dari atas kota

Akhirnya selepas lewat petang kami dibawa ke hotel Grand White City untuk berehat bagi mengumpulkan tenaga untuk meneruskan perjalanan keesokan harinya.






Sunday, May 6, 2018

DAY 2: (2) TIRANA - BERAT (ALBANIA)


13 APRIL - JUMAAT
ISTANBUL  - TIRANA - BERAT ALBANIA

SCANDERBAG SQUARE:
Bangunan Parlimen

Selepas setengah jam di Thereza Square kami bergerak ke Scanderbag Square pula. Dalam perjalanan kami ditunjukkan dengan bangunan House of Parliment, Congress Palace dan Bangunan Perdana Menteri (Prime Minister Building). Kami juga melalui sebuah bangunan berbentuk piramid yang dipanggil Pyramida, iaitu sebuah dewan besar. 

Rumah Perdana Menteri
Pyramida
Kami berjalan ke Scandrbag Square kerana bas tidak dibenarkan ke kawasan itu. Ia suatu kawasan lapang yang sangat luas, di kiri bahagian hadapan ialah muzeum Albania yang tersergam, yang  telah dilukiskan mural besar di bahagian atas hadapannya. Lukisan itu  mempamerkan sejarah Albania dari zaman silam hinggalah ke zaman moden sekarang. Di sebelah kiri bahagian depan pula ialah  Opera House yang besar tapi malangnya masyarakat di situ tidak lagi berminat dengan pertunjukan-pertunjukan, ia kononnya menjadi gajah putih sahaja. Selepas itu Kami pergi ke Ethem Bay Mosque, terletak di sisi Opera House, tapi malangnya ia masih dalam proses penambahbaikan dan pembesaran, maka kami tidak berpeluang masuk ke dalamnya. Sekadar memandang dari luar pagar dapat dirasakan, mesjid itu suatu masa dahulu, sudah pastilah ramai umat Islam yang mengimarahkannya, terutamanya di zaman Khalifah Uthmaniah. Kini ia tinggal sepi, namun kekal sebagai lambang sejarah yang mempamerkan kegemilangan empayar Islam yang kini tersimpan dalam lipatan sejarah cuma.

Di hadapan Museum Tirana
Patung 'hero' Albania

Mesjid dari luar pagar
Di hadapan mesjid itu, di tengah Kawasan lapang,  tersergam patung seorang yang dikatakan wira Albania. Ia dahulunya dibesarkan oleh salah seorang pegawai tentera Khalifah, dan merupakan orang kepercayaan tentera itu tapi ia telah belot dan menentang tentera Uthmani dan kononnya membebaskan Albania dari pengaruh Islam. Kononnya dialah wira Albania, tapi sebenarnya dia adalah pembelot kepada orang yang berjasa kepadanya. Sungguh malang, moralnya musuh dalam lipatan sungguh berbahya dan boleh membawa kepada kemusnahan, dan itulah yang berlaku kepada kerajaan Uthmaniah. Selesai lawatan di situ dengan perasaan yang terharu, kami dibawa menjamu selera di Restoren Pizza Ena - menunya sup dengan roti, salad dan nasi.

Selesai menjamu selera
Selepas makan jam 1.20 tengah hari kami meneruskan perjalanan ke Berat. Kami berniat untuk sembahyang jamak takhir di Berat. Di sepanjang jalan kelihatan banyak ditanam pokok bawang putih, yang luas terbentanag seperti permaidani hijau. Di samping itu banyak juga kelihatan pokok-pokok anggur baru bertunas, dan pokok-pokok zaiton juga ditanam dengan banyak di halaman rumah dan di lereng-lereng bukit di sepanjang jalan itu. 
Memasuki bandar Berat
Kami tiba di Berat lebih kurang jam 3.30 petang, disambut oleh Mr Elton Pemandu Pelancong di Berat. Menurut Elton Berat adalah sebuah pekan yang mempunyai banyak mesjid dan gereja.

Saturday, May 5, 2018

DAY I - DAY 2 (1) 12-13 APRIL: KUALA LUMPUR - ISTANBUL - TIRANA (ALBANIA)


12 APRIL 2018 -  KHAMIS
KUALA LUMPUR - ISTANBUL - TIRANA  ALBANIA

Lama sudah terlintas di hati ingin menjejaki negeri-negeri di Balkan. Akhir-akhir ini ramai orang suka berkunjung ke sana. Kadang-kadang tertanya-tertanya juga kenapa? Banyak sebabnya negeri Balkan ini  menjadi destinasi yang semakin popular kini. Pertama  di situ cuaca dan orangnya mempunyai banyak persamaan dengan negara-negara lain di Eropah. Untuk melancong ke Eropah kosnya lebih mahal, jadi untuk merasai suasana percutian seperti di Eropah, negeri-negeri Balkan adalah pilihan yang  amat menarik. 

Di situ dapat kita alami suasana empat musim, terutamuanya musim sejuk dengan saljinya dan musim bunga yang menjadi kegilaan pelancong. Kedua rupa paras penduduknya  menyerupai orang Eropah, berkulit putih, dan  bermata biru atau choklat. Selain itu tempat-tempat pelancongannya cantik-cantik, bersih dan berlainan daripada tempat-tempat menarik di negara-negara rantau ini. Akhir sekali sudah tentulah budaya dan sejarah di sana juga menjadi suatu tarikan kepada kita di Malaysia ini kerana, terdapatnya tinggalan-tinggalan sejarah keagungan Islam  yang pernah bertapak di sana. 

Bergambar kenangan selepas disambut Pemandu Pelancong
Oleh itu kami membuat keputusan mengukuti agensi pelancongan FLYWORLD  bersama 33 orang peserta lain, diketuai oleh Puan Zaharah (KK), untuk meninjau-ninjau negeri Balkan pada 12-04-18 hingga 23-04-18, sebagai destinasi pilihan kami. 

Perjalanan kami bermula dengan lancar menaiki penerbangan Turkish Airlines. Kami selamat tiba di Istanbul 8 jam selepas itu, kemudian bertukar kapal terbang ke Albania melalui Gate 321, jam 7.30 pagi waktu Istanbul, dan akhirnya selamat sampai di Tirana Airport  sejam kemudiannya pada jam 7.30 pagi waktu Albania (lewat sejam dari Istanbul). Lebih kurang jam 9.30 pagi semua urusan bagasi dan Imegresen selesai dan kami disambut oleh Pemandu Pelancong (PP) Mr Lierti Zackary, (barangkali namanya berasal perkataan Arab Lil Ardhi Zakaria). Dan pemandu bas kami Mr Berto, yang akan membawa kami memulakan pengembaraan menaiki bas selama 10 hari sepanjang lawatan di negara Balkan ini. 

Bersedia memulakan pengembaraan selama 10 hari dengan bas
PP Mr Lierti mengedarkan minuman
Seterusnya perjalanan ke bandar Tirana ibu negeri Albania cuma dalam masa lebih kurang sejam sahaja. Dalam masa singkat itu diberitakan bahawa penduduk Albania berjumlah lebih kurang 3 juta orang sahaja dan 1 juta orang tinggal di bandar Tirana. Dapat dilihat lambang dua kepala helang merupakan simbol Albania. Pendudduknya rencam pegangan agama, 60% Islam, 30% Catholic dan 10% Syiah. Mata wangnya  pula 1 Euro = 130 Leke. Di kiri kanan jalan dapat dilihat banyak kawasan pertanian yang sedang dibajak dan ada kawasan yang telah ditaman dengan pokok-pokok bawang yang menghijau luas terbentang kerana Albania adalh negara pertanian. Memasuki bandar Tirana didapati ramai orang menghabiskan masa minum-minum kopi, tak kira tua atau muda. Menurut Lier orang Albania malas bekerja sebab itu kedai kopi penuh sesak. Ramai juga orang yang berjalan-jalan dan bersembang-sembang menikmati dingin pagi di awal musim bunga itu. Di Albania kadar penganggurannya tinggi iaitu 22%.


Tanah baru dibajak untuk bercucuk tanam
Penduduk Tirana bersantai menikmati udara nyaman di pagi hari
Melihat keadaan bandar Tirana, kelihatannya mereka baru mula berkembang menapak memulakan kemajuan selepas membentuk kerajaan sendiri dalam tahun 1990an apabila bebas daripada pegangan komunis. Kami melalui pusat bandar, ditunjukkan kepada kami Sports Pallace, House of Leave (Parliment), Pasaraya terbesar The Ring, Rogner Hotel iaitu satu-satunya hotel milik peribadi atau orang perseorangan selepas bebas komunis.
Bergambar kenangan di depan Thereza Square

Kami turun melawat  di Theressa Square. Di situ terdapat Opera House, yang besar tapi malangnya orang Alnania kurang meminati pertunjukan. Di situ ada University of Beautiful Arts, yang menawarkan kursus mata pelajaran Ballet, Drama dan Music. Selain itu terdapat University of Mathermatics dan University of Epoka iaitu sebuah universiti Cawangan Negara Turki. 

Kelihatan di belakang jalan masuk ke Theresaa Square
Kemudian kami ke Scanderbag Square, suatu kawasan yang luas di tengah-tengah bandar Tirana, yang kononnya dibina sebagai mengabadikan jasa "wira" orang keturunan Albania yang telah membebaskan Albania dari Tentera Othmanaiah.

Tuesday, March 13, 2018

ANUGERAH YANG PALING INDAH




Hari raya aidilfitri 2017


Di saat ini usiaku sudah menjagkau lebih 60 tahun. Aku sudah bersara. Semuaanak-anak kesayangku sudah tamat belajar. Aku amat bersyukur setinggi syukur padaMu ya Allah ya Arhamarraahimiin. Syukur yang teramat sangat, maha suci Allah yang menentukan segalanya, yang melakarkan takdir dengan sesempurnanya, dan menjadikan kita manusia terus mengembara di bumi Allah yang tercinta ini, dalam perjalanan menuju kehidupan sebenarnya nanti. Bagaimana mungkin aku tidak memanjatkan kesyukuran setinggi kesyukuran. Jika direnung perjalanan hidup ini, Allah telah mengaturkan dengan penuh rahmatNya, dengan penuh belas  dan  kasihanNya, juga dengan rahimNya. Merenung kehidupan yang telah kulalui, bermula sejak dari awal permulaan berumah tangga, kemudian dikurniai anak, seterusnya membesarkan mereka, menyekolahkan pula, dan seterusnya mengahwinkan mereka, sehingga mereka telah memiliki keluarga mereka sendiri pula.


Allahurobbi..... Alangkah jauh kurasakan perjalanan hidup yang amat indah kurniaanMu kepadaku. Walaupun begitu amat pantas kurasakan masa berlalu. Sedar-sedar semua anak-anak yang kukasihi sudah tamat belajar. Mereka sudah berjaya dalam pelajaran mereka, alhamdulillah. Mereka telah berjaya menjawat jawatan tinggi, alhamdulillah. Dan mereka telah menikmati bahagia berumah tangga, alhamdulillah. Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahiim, Engkau berilah mereka kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Engkau jadikan mereka anak-anak yang soleh, anak-anak yang dapat memberi manfaat kepada hidupku dan matiku. Begitulah juga ya Allah, jadikanlah anak cucu zuriat keturunanKu juga orang-orang yang soleh. Jadikan mereka orang-orang yang rajin sembahyang, sangat patuh dan mencintai agamaMu,  serta mencintai ilmu, dan terdiri daripada orang-orang yang boleh memberi ilmu yang bermanfaat sebagai jihad ke jalanMu. 


Ya Allah aku mohon kepadaMu ya Allah, semoga anak-anakku semuanya dipermudahkan segala usrusan mereka, ditingkatkan darjat mereka setinggi darjat, dan ditingkatkan iman mereka setinggi-tinggi iman. Semoga mereka menjadi sentiasa kasih dan sayang kepada kami ya Allah, sewaktu hidup kami dan lebih-lebih lagi sewaktu mati kami ya Allah. Ya Allah aku serahkan anak-anakku yang amat kukasihi ini kepadaMU Ya Allah kerana Engkaulah saja sebaik-baik penjaga, dan sebaik-baik pemberi rahmat. Tiada tempat lain dapat ku serahkan mereka, melainkan hanya kepadaMu ya Allah, Ya Arhamarrahimiin.





Sunday, March 11, 2018

AKU DI AMBANG SENJA



Tahun ini 2018, usiaku sudah pun genap 60 tahun. Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur kepadaMu Ya Allah ya Rahim ya Rzzak, aku dan suami masih sihat, masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa adanya. Kami masih boleh bereadhah setiap pagi berjalan kaki, menikmati nyamannya alam ciptaanMu ya Allah ya Ilahi. Hari-hari yang kami tidak bersenam, kami diizinkan yang maha kuasa untuk hadir ke kelas tafsir, kelas hadith, kelas  fekah dan talaqi al-Quran.  

Tahun ini,  sudah masuk tahun ke-6 menikmati hidup selepas pencen bersara wajib. Ada kawan-kawanku yang tidak sempat pencen sudah dijemput pulang bertemu Allah. Ada yang baru pencen sudah sampai ajalnya. Ada yang pencen terus diserang penyakit. Ada yang kematian isteri dan ada juga yang kematian suami atau ada yang menjaga suami atau isteri yang mengidap pelbagai penyakit. Ada pula yang anak cucu tak sihat atau anak menantu tak sihat. Pendek kata macam-macamlah suratan takdir yang telah dilakarkan untuk dilalui masing-masing, sementara menunggu dijemput pulang ke sana. Alhamdulillah syukur kepadaMu Ya Allah Engkau takdirkan aku masih dapat menjalanai kehidupan bersama lagi. Kami masih boleh ke sana sini berdua,dan masih boleh ada teman bergurau senda. Ada masanya kami boleh masih membuat kerja-kerja ringan bersama - berkebun, menanam pokok-pokok bunga, atau mengubah-ngubah perabut, bila suka.

Mengikuti rombongan Kajiselidik PSMCK ke Bangkok
Ya Allah, memang tidak dapat lagi disangkal firmanMu ya Allah, "Mana satu di antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?" Apa lagi yang diingini manusia selain apa yang direzekikan  Allah kepada aku sekarang ini? Suami sihat dan baik, badan pun sihat dan ada sedikit rezeki untuk kegunaan, dan masa pun ada sedikit kelapangan. Dan yang paling amat kami syukuri, dalam usia senja ini kami masih boleh berkhidmat. Setiap hari papa masih boleh ke klinik memberi khidmatnya. Dan aku masih boleh membantunya mana yang perlu, mana yang dipinta.  Kami masih boleh berbincang-bincang hal-hal yang perlukan buah fikiran dan pandangan, terutamanya dalam kerja-kerja yang papa perlu menghasilkan tulisannya.

Bersama Setiausaha PSMCK di Airport Hatyai
Ya Allah semoga Engkau akhiri hidup kami dengan husnul khotimah ya Allah,
Semoga Engkau jauhi akhir hidup kami daripada suul khotimah,
Bantulah kami supaya kami mati dalam mengingatMu dan dapat bertaubat kepadaMu ya Rahiim,
Mudahkanlah akhir hayat kami supaya kami tidak meminta-minta selain dariMu Ya Allah ya Robbal aalamin,
Takdirkan kami supaya mati di hari yang baik, mati kan kami di hari Jumaat ya Allah, supaya kami dijauhi dari siksa kubur, supaya mati kami itu, menjadi tempat rehat yang aman dan dapat mecium bau syurgaMu ya Allah.  Aamiin ya Robbal aa lamiin

Tuesday, February 27, 2018

WAHAI ANAK


Aku minta adik balik untuk urusan tanah arwah abah yang perlu diselesaikan di mahkamah. Sejak beberapa bulan lalu dia tidak pernah balik menjenguk emak yang terlantar sakit di rumahku. Bukan saja tidak balik malah tidak pernah juga dia bertanyakan khabar emak, walau sepatah pun. Dalam zaman moden ini kalau pun tidak balik, telefon pun boleh untuk bertanya khabar. Tapi tidak juga, aku pun tak tau nak kata apa. 

Balik ke rumah aku, adik pi bersalam dengan emak, tanya apa kbabar, kemudian keluar meninggalkan emak begitu saja di katilnya sendirian. Dah la lama tak balik, dah balik bersembang-sembang pun tidak. Aku rasa sungguh kecewa semoga Allah mengampunkan adikku ini. Barangkali dia rasa berdosa kot lama tak balik. Atau barabgkali dia rasa berdosa dengan emak, dia telah  mengambil semua barangan rumah emak tanpa sepatah pun minta izin dari emak. Dia angkut periuk belanga emak yang besar-besar tiga empat biji, kawah-kawah emak tiga empat biji, periuk nasi besar, dapur gas, peti ais, freezer, katil-katil dan tilam, semua permaidani dan tikar-tikar, semua kipas dinding, semua aircond, semua almari kabinet dan lemari baju, dan kusyen baru yang emak sayang. Dia juga angkut semua pinggan mangkuk, gelas-gelas dan cawan  yang banyak sebiji pun tak tinggal. Barangkali dia takut emak tanya, dia tahu dia buat benda yang tidak patut. Isterinya pun sama. Masa barang-barang dalam rumah emak tak diambil lagi datang menjenguk emak tak berhenti. Lepas semua diangkut balik muka hidung dah bertahun-tahun tak nampak.  Barangkali dia juga tidak sanggup berhadapan dengan emak kerana dia telah jual tanah hasil usaha keringat emak di depan rumah kami. Barangkali dia juga tidak sanggup berdepan dengan emak kerana dia buat bendang emak tapi sewa tak bayar sekali pun kepada tuan tanah. Barangkali kerana rasa bersalah itu dia tidak sanggup berhadapan dengan emak takut emak tanya semua itu kepadanya. Dia boleh bohong semua orang tapi dia tak boleh bohong diari sendiri. Dia tahu apa salahnya kepada emak sebab itu dia lari tak berani berdepan dengan emak.

Ya Allah aku pun tak faham. Ya Allah berilah pertunjuk jalan yang benar. Ya Allah jika ini ujianMu semoga emak sabar. Ya Allah jika ini ujian kepadaku semoga aku redha. Jika ini ujian kepada adikku berilah dia hidayah. Sesungguhnya tiada yang kekal di dunia ini. Semoga kami diberi keampunan, amin ya Allah.

ENTAH KENAPA?


Tak tau di mana nak ku mulakan. Dalam mengadun emak yang sakit, hati ku sentiasa saja merasa sayu, sering terasa sedih, dan mudah sangat tersentuh mengenangkan perjalanan hidup emak, yang sukar namun berjaya membesarkan kami hingga kami berjaya dan menjadi manusia. Banyak juga yang dapat kupelajari tentang perjalanan hidup ini. Banyak yang boleh menjadi panduan dalam aku mengharungi kehidupanku yang masih berbaki.

Sebagai seorang anak yang pernah menjadi ibu, aku sering terbanyangkan saat-saat gembira semasa emak membesarkan kami dulu-dulu. Sudah pasti emak  dan arwah abah sangat bahagia dengan dua orang anak:  seorang perempuan  dan seorang lelaki. Pastinya mereka menjaga kami dengan penuh kasih sayang yang tak terhinggakan. Waktu itu sudah tentu cuma bahagia dengan anak. Semuanya pada waktu itu tentulah terasa amat indah, anak  menangis pun suka, anak sakit pun tak mengapa. Segalanya tertumpu kepada perkembangan dan pembesaran anak hari demi hari. Sebab itu mereka bekerja keras mencari rezeki siang dan malam, pagi dan petang, panas atau hujan, tidak dirasakan terbeban sedikitpun. Semuanya tidak lain kerana kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Kerja mereka rencam: abah berniaga macam-macam - jual buah-buahan, jual manek koran, dan jual apom balik. Ada masa abah ambil upah buat bendang: mengala tanah, mukoi padi dan ayak padi untuk mendapatkan bekalan beras. Ada masa hari  cuti abah ikut Bomba Sukarela pula. Dan bila aku sudah besar abah jadi driver bas sekolah. Pendek kata macam-macamlah abah buat untuk mencari pendapatan dengan sungguh-sungguh  dan tekun untuk menjaga kami. Emak pula motong getah, tanam padi, tanam sayur tepi rumah, ambil upah jahit baju, ambil upah buat kueh, belajar masak dan tolong orang masak kenduri. Masa free emak ayak sekam untuk makan ayam itik yang dibelanya. Semuanya dikerjakan dengan tekun dan istiqamah. Semuanya terlaksana melalui kegigihan yang amat tinggi. Semuanya kerana kasih dan sayang mereka, demi anak-anak yang tercinta, sehingga tidak pernah mereka risaukan susah payah dan pahit  maung yang dirasai. 

Kini terlantar di katil, sudah pasti emak teringatkan anaknya yang seorang lagi. Dia sudah pasti rindukan anaknya yang dahulunya dibelai sejak kecil hingga dewasa. Dia mesti terlintas dalam hatinya untuk mendengar khabar anaknya itu. Aku pun tidak faham tidak ingatkah langsung untuk menjenguk emak yang terlantar sakit ini? Aku pun tidak faham. Kalau anaknya tidak ingat, tidak adakah sedikit ingatan seorang isteri kepada ibu kepada suaminya? Aku pun tidak faham. Besarnya ujian untuk seorang ibu. Besarnya juga ujian untuk seorang anak. Ya Allah aku pohon pertunjukMu. Tunjukkan kami jalan yang  benar. Semoga kami mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ya Allah ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami. Tempatkan kedua ibu bapa kami setinggi-tinggi darjat di SisiMu ya Allah ya Rahman ya Rahiim ya Robbal Aalamin.