Thursday, September 21, 2017

OYSTER FARM SUNGAI MERBOK


Sudah lama kami ingin menelusuri Sungai Mebok yang bersejarah bersama anak cucu jika mereka pulang bercuti.  Kebetulan pada hari Raya Aidil Adha yang ketiga, kami tidak ada agenda khusus, jadi kami buat keputusan untuk mencuba nasib. Jadi kami bertolak awal ke Sungai Petani, menuju ke Jeti Semeling, dengan harapan pengusaha bot beroperasi, jadi bolehlah kami menikmati perjalanan di Sungai Merbok yang sudah lama kami hajati. Hayyan dan Hannah dengan terujanya mahu mengikuti kereta tok wan dan tok. Jadi terpaksalah Aunti Ya dan Julia mengikut kereta Dedi dan Maminya bersama Hadeja dan Hawa. 

Walaupun masih awal, tapi ketibaan kami disambut kecerahan matahari  pagi yang ceria. Alangkah hampanya kami bila mendapat tahu pengusaha bot cuti raya lagi. Mereka orang kerajaan jadi masih bercuti lagi sehingga hari Isnin esoknya. Untuk menghilangkan kehampaan di hati, kami meninjau-ninjau sekita jeti itu. Pejabat Perbandaran SP kelihatan sangat unik dibangunkan di atas air dengan lanskap yang unik dan cantik. Galeri Pameran Kedah Tua juga masih ditutup. Cuma pengawal keselamatan saja yang setia menunggu di hadapan pintu galeri itu. Sambil merakamkan beberapa keping gambar kenangan kami pun membuat keputusan untuk terus pergi ke Tanjung Dawai ikut jalan darat. Hawa telah dibawa maminya naik ke kereta, sementara Hayyan masih lagi teruja mengambil gambar sana sini dengan kamera tok wannya.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi injin bot menghampiri ke jeti. Aku terus meluru menuju ke bot yang sudah menurunkan penumpang, beberapa orang pelancong luar. Dengan pantas aku mendapat maklumat, mereka adalah pengusaha ladang oyster atau tiram berhampiran di situ. Rupanya kamu boleh menaiki bot ke situ dengan harga Rm 5.00 seorang pergi balik. Di sana kami boleh melawat perusahaan tiram dan melihat-lihat kawasan pokok-pokok bakau dengan harga RM 20 seorang dan  boleh menjamu selera  makan  tiram  segar dari ladang, berharga RM  20 satu set (3 ekor tiram dan set salad sayuran secukupnya)

Alangkah kreatifnya perusahaan mereka. Sungguh green, tapi dapat dirasakan bahawa  usaha besar itu telah memakan belanja yang agak besar. Yang menariknya mereka membuka peluang kepada sukarelawan untuk memberi perkhidmatan dalam pelbagai bentuk seperti menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk terus membangunkan kawasan mereka.  Ada yang datang memberi perkhidmatan bertukang, seperti membuat pengubahsuaian rumah, membuat kerusi meja dan balai-balai serba guna. Ada yang datang membantu menjaga tiram, dan ada yang datang membantu menanam semula pokok-pokok bakau sebagai usaha menjaga alam sekitar. 

Satu yang menarik, mereka ada MOU dengan USM dalam usaha menternak tiram. Mereka dibantu dalam penyelidikan menambah biak, dan proses pemeliharaan tiram mengikut peringkat usia - penetasan, pembesaran, dan menuai. Bantuan lain  juga dalam pengendalian peralatan dan penyediaan tempat penternakan tiram. Tiram yang sudah cukup usia akan disajikan di Restoran bagi pengunjung-pengunjung dan juga penggemar tiram yang membuat tempahan khusus. Kami juga dapat melihat sukarelawan  membantu penyediaan tiram sebagai menu kepada pelanggan.

Sementara menunggu sajian tiram segar, kami dimaklumkan mereka juga sedang menyediakan perkhidmatan tuisyen kepada pelajar setempat. Mereka mengajar Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar, di situ, dengan bantuan sukarelawan juga.  Seterusnya mereka dalam proses untuk menyediakan ruang dewan untuk seminar atau mesyuarat. Mereka perlu membuat jaring atau sangkar supaya tetamu tidak diganggu oleh monyet liar yang hidup bebas di situ. 

Sedang asyik mendengar taklimat, tak lama selepas itu kami dihidangkan air oren sejuk. Oh alangkah nikmatnya dapat minum dalam keadaan kami sedang kehausan. Dalam sekelip mata selesai air oren itu. Kemudian datanglah hidangan yang dinantikan tiram segar dari ladang bersama salad segar. Sekelip mata selesai juga. Jadi terpaksalah ditambah satu set lagi. Sungguh istimewa dan rasanya pun sedap. Kami rasa sungguh berbaloi-baloi lawatan dan aktiviti pada hari itu. Bagi sesiapa yang gemarkan nature bolehlah berkunjung ke Oyster Farm ini untuk merasakan satu pengalaman yang unik dan adventures.


Friday, August 18, 2017

PEMBELAJARAN DI SEKOLAH


Pagi 7 Ogos 2017, bermulalah lembaran baru dalam dunia persekolah Guilia. Rutin pagi: 6.30 pg sarapan, 7.00 pg bertolak ke sekolah, 2.30 ptg balik rumah, dan 3.00 ptg makan tengah hari. Hari selasa dia ada kelas tambahan Kimia dan Hari Rabu ada aktiviti ko-kurikulum. 

Cerita-cerita di sekolah:
  1. Guru Fizik ajar teori tapi tak terang bagaimana sesuatu formula itu terbina, nasib baik dia telah belajar tentang pembentukan atau pembinaan formula.
  2. Mata pelajaran Kimia lebih maju dari di Itali, pembelajaran mencakupi teori, penerangan konsep dan uji kaji. Di sana mereka belajar konsep dan teori saja, ujikaji belum dibuat. 
  3. Mata pelajaran Matematik tiada masalah sebab melalui buku teks dapat dikuti apa yang diajarkan.
  4. Bahasa Melayu dia tidak dapat mengikuti dengan baik kerana suatu subjek baru, dan dirasakan sukar mengkap apa yang diajarkan.
  5. Kawan-kawan tolong sediakan jadual waktu yang cantik dan kemas.  Mereka memberikan juga menu-menu popular di Kedah yang patut dicuba. Pelajar lain di sekolah selalu menegur sapa dengan ramah. Ada yang senyum-senyum seolah-olah nak tanya sesuatu, selepas ditanya mereka terus mengajukan berbagai-bagai soalan.
  6. Pendidikan Moral, cik gu dah selesai ajar semua topik, jadi cik gu temu ramah tentang kehidupannya dengan keluarga angkat terutamanya makanan Melayu.
  7. Hari-hari dia jadi "blacksheep" sebab menjadi "the only white sheep" yang menarik perhatian semua pelajar.
 
Semoga dalam tempoh setahun akan dipermudahkan segala urusan belajar di sini. Ya Allah berilah hidayah dan redhaMu untuk segala yang telah Engkau aturkan untukku dan keluargaku.  Amin.

MAKAN BERSAMA KAMI


Sejak hari pertama Giulia dan rakan-rakannya menjejak kaki  ke negeri Kedah Jelapang padi,  mereka diraikan dengan jamuan makan nasi tengah hari - nasi tomato, ayam masak merah dan dalca ayam. Kelihatan Emily dan Steffany sudah mula makan nasi dengan tangan, tapi Giulia pilih untuk makan dengan sudu dan garpu. Malamnya dia dijamu nasi lagi dengan lauk kari ikan, sayur dan ikan goreng. Sangat kekok dia mula belajar makan  nasi dengan tangan. Dia makan lauk duhulu, akhir sekali barulah makan nasi putih. Sudah tentulah nasi putih itu tidak berselera dimakan kerana rasanya yang tawar dan hambar. Habis juga nasi sepinggan yang diberikan kepadanya, walaupun kelihatan dicuba  dengan susah payah. 

Esok paginya kami belikan nasi lemak bilis telur sebagai sarapan, habis sebungkus dimakan. Dia rasa macam tak mampu nak habiskan, dia pun terkejut dia boleh makan sehinga selesai sebungkus pagi itu. Menurutnya di Itali mereka makan nasi berperisa seperti keju, tomato dan daging  dengan pasta, sebagai makan malam. Tengah hari dan pagi tidak pernah mereka makan nasi macam di Malaysia. Dalam berjenaka kami bagi tu dia sepanjang setahun nanti dia tak akan berhenti makan nasi berlauk dengan kami.

Dalam seminggu dua ini nampaknya Giulia semakin serasi menjamu selera dengan nasi. Balik sekolah terus buka tudung cari nasi. Malam turut sama-sama menghidangkan nasi dan lauk pauknya. Antara menu yang kami makan bersama ialah kari ikan dengan rebung. Dia kurang suka kerana terkena rebung yang keras. Kami berikan peribahasa: melentur buluh biar masa rebungnya. Dia kelihatan truja dengan peribahasa itu. Di samping itu kami masak kari ayam, sup ekor, kurma, ayam masak merah, sambal udang dan sateh serta pelbagai jenis sayuran seperti terung, labu, sawi, kacang bendi dan salad segar. Nampaknya dia suka semua jenis lauk yang dihidangkan. Dia bagi tahu kami di Itali dia tidak suka makan bawang, tapi bawang di sini manis dan sedap rasanya. Dalam ketawa dia bagi tau bapanya mesti suka nanti, kerana dia sudah boleh makan bawang.

Suatu pagi kami sarapan pulut durian kegemaran kami. Kami bagikan Giulia sedikit pulut bersama santan dan seulas buah durian. Dia tidak begitu suka durian kerana baunya yang keras yang dirasakan kurang disenanginya. Dia makan pulut dan menjamah sedikit saja isi durian. Giulia tidak tahu durian yang kami beli salah satu species yang baik dan mahal. Kami bagi tau Giulia bukan semua orang mampu makan durian, terutamanya yang mahal seperti kami belikan untuk dirasainya. Dia patut bersyukur dibelikan durian yang istimewa, dan dia patut rasa diberi layanan VIP kerana dibelikan raja buah itu sebagai menu pilihan. 

Oleh kerana dia kurang suka durian, jadi ketika kami membelikan  buah cempedak yang ditempah khas, kami suruh dia jamah sedikit saja isinya yang tebal dan manis. Jika dia tidak suka jangan dibuang dan membazir seperti dia membuang buah durian yang disajikan kepadanya tempoh hari. Aku rasa dia tidak wajar, jadi awal-awal lagi dia telah diberikan pilihan. Tapi berbeza pula dengan buah cempedak, katanya dia suka buah ini, kerana rasanya seperti puding triffle. Esoknya aku buat cucur cempedak, Giulia makan sungguh, dia kata dia suka cempedak, alhamdulillah. Baru dia tahu penangan buah tempatan, buah cempedak. Kemudian aku buat cucur cempedak. Katanya dia suka sungguh-sungguh. Dia akan merinduinya bila dia balik Itali nanti. Aku ajarkan serangkap pantun tentang buah cempedak, dia senyum saja, kemudian mencatatnya dalam buku nota;

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar, 
Kalau salah tolong tunjukkan

Pada hari itu juga telah dibelikan goreng pisang, sebagai menu minum petang. Dia juga suka cucuk pisang yang kami beli itu.  Hari-hari lain menu minum petang, kami sediakan goreng sukun, cucuk kodok, cucuk udang, bihun soto, mee goreng, dan kuehteow goreng. Sebagai tambahan kami beri dia rasa air kelapa muda,  dia memang suka, kerana di Itali tiada pokok kelapa dan dia tidak pernah lihat kepala muda yang hijau kulitnya. Alhamdulillah minggu kedua berjalan lancar, nampak Giulia semakin rasa selesa dan semakin biasa dengan kami. Ya beri hidayah kepadanya. Semoga apa yang kami buat akan memberi kebaikan kepada agamaMu Ya Allah yang maha mengetahui.

Tuesday, August 15, 2017

HARI PERTAMA KE SEKOLAH


Seperti yang dijadualkan Giulia dibawa ke sekolah pada 6 Ogos 2017. Kami disambut Guru Kaunselor Puan Zawiyah dengan senyuman penuh mesra. Di bilik Gerakan semua pengurusan sekolah telah sedia menunggu. Terasa sungguh dihargai dan majlis dimulakan dengan bacaan doa. Kemudiannya, kami diberikan penerangan sepintas lalu tentang sekolah oleh Puan Pengetua Puan Hajah Zaini Kamaruddin. Diikuti pula selepas itu, taklimat guru kelas Puan Wan Farahuna tentang mata pelajaran, kelas tambahan, dan aktiviti ko-kurikulum. Giulia ditempatkan di kelas 4 Sains 1, manakala Steffany di 4 Sains 2.

Selepas acara penyerahan Giulia dan Steffany kepada sekolah, keluarga angkat menikmati jamuan ringan. Manakala Giulia dan rakannya dibawa melawat ke kelas masing-masing. Mereka diperkenalkan kepada rakan sekelas yang sangat teruja menanti ketibaan sahabat baru. Selepas selesai berkenalan dengan guru-guru kelas,  kami dibenarkan pulang.   

Turun dari pejabat, tanpa disangkakan ramai pelajar menunggu di Anjung. Mereka mengalu-alukan kedua pelajar baru sekolah mereka, dengan sorakan dan lambaian mesra.  Tidak ketinggalan juga ada yang ambil kesempatan bergambar. Sudah tentulah pengalaman pertama itu menyeronokkan Giulia dan Steffany. Kami pulang dengan penuh rasa syukur kerana telah ditakdirkan, dapat memberikan pengalaman indah buat hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah yang jauh beribu batu dari kampung halaman dan tanah air mereka Italy dan USA. Ya Allah semoga dipermudahkan segala urusan mereka di sini dengan taufik dan hidayahMu, aamiin.
 

Friday, August 11, 2017

GIULIA DAN SEKOLAH


KRONOLOGI:
  • 1  OGOS 2017 (SELASA)  
         TAKLIMAT AFS KEPADA SEKOLAH DAN WARIS DI JPN
         MAJLIS SUAI KENAL PELAJAR
         PENYERAHAN PELAJAR
         MINUM PETANG
  • 6  OGOS 2017 (AHAD) 
         TAKLIMAT KEPADA WARIS DAN PELAJAR DI SMKSB
         TAKLIMAT GURU KELAS
          LAWATAN KE KELAS 
          MINUM PAGI

AFS telah menguruskan Giulia masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah atas permintaan kami. Seorang lagi rakannya dari USA Steffany juga ditempatkan di sekolah yang sama atas permintaan bapa angkatnya. Sebelum mereka pergi ke sekolah, pihak AFS Kedah Chapter telah menjemput wakil pihak sekolah untuk mendapat gambaran pengurusan pelajar, agar mereka dapat menjalani hari-hari persekolahan dengan seronok, selesa dan selamat, di samping  dapat mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Sebelum bersurai, keluarga angkat membuat penyerahan pelajar kepada pihak sekolah pula. Diharapkan dengan taklimat itu, pihak sekolah dapat membuat persediaan bagi membantu pelajar dalam menjalani alam persekolah selama setahun di sini. 

Selepas taklimat semua 5 orang pelajar diminta memperkenalkan diri masing-masing. Semua mereka termasuk Giulia  menggunakan Bahasa Melayu sebagai perkenalan. Kelihatan mereka sangat berusaha untuk bertutur Bahasa Melayu.



BALIK LANGKAWI


Tanggal 3 Ogos, kami terpaksa balik Langkawi untuk urusan penting memantau Belukar Lodges, bilik sewaan kami. Giulia mesti dibawa bersama sebab kami bermalam di sana. Kebetulan cuaca hari ini mendung dan hujan jadi suhu agak dingin. Dia kelihatan suka dan senang sekali, alhamdulillah. Kami singgah sebentar di Dataran Lang bersebelahan Jeti Kuah. Nampaknya dia suka laut sebab Erbusco jauh dari laut iaitu di Venice. Kelihatan banyak juga gambar yang dirakamnya di situ. 

Selepas itu,  kami membasahkan tekak di Restoran 1 Malaysia dengan air tembikai. Kemudian kami singgah sebentar di kedai membeli ikan bilis. Menurut Giulia dia tidak pernah lihat kedai ikan kering di Itali. Ini suatu pengalaman baru baginya. Dia nampak teruja bila diberitahu dia sudah makan ikan bilis dalam nasi lemak yang telah dimakannya. Sedap katanya. Kemudian kami ambil kesempatan membawa dia melawat pantai Tanjung Rhu yang cantik, tapi hujan membataskan pergerakan dia  menikmati keindahan pantai yang putih bersih itu. Selepas melihat-lihat sekejap dalam hujan renyai kami meninggalkan pantai itu. Kemudian sampai di Belukar Lodges, dia berjalan-jalan melihat dusun dan kebun di kawasan dekat dengan rumah kami petang itu. Pokok di sini tak sama dengan pokok di Itali.

Malam di Belukar Lodges, dia dengar azan dengan lantang kerana berdepan dengan masjid. Katanya, dia mula dengar azan di Kuala Lumpur, dan kemudian di rumah kami di Alor Setar. Mudah-mudahan azan itu memberi ketenangan kepadanya. Dia diberitahu azan itu memanggil orang sembahyang 5 kali sehari. Dia bagi tau kami, dulu-dulu orang kristian di tempatnya, sembahyang pagi, tapi sekarang tidak lagi.  Barangkali dia terfikir kami masih lagi sembahyang. Semoga dia jadi senang melihat kami sembahyang dan mudah-mudahan terbuka hatinya ke arah kebaikan in sya Allah.

Selepas sembahyang Isyak, malamnya Giulia makan nasi lauk kari kepala ikan, ikan goreng, sambal belacan, dan sateh. Adik beradik di Langkawi yang belanja kami makan, suka tengok dia makan nasi dengan tangan, dan boleh menyebut dua tiga patah perkataan Melayu.  

Esoknya kami balik awal ke Alor Setar, Giulia kata perjalanan kami yang singkat agak memenatkan. Kami bagitau dia, ini baru permulaan, dia akan selalu ke Langkawi ikut kami balik, jadi banyak lagi aktiviti yang boleh dirasai nanti in syaa Allah.

JALAN-JALAN DI PEKAN ALOR STAR


Masa lapang di rumah dipenuhi perbualan untuk mengenali satu sama lain. Terutamanya waktu makan pagi dan makan malam, kerana itu saja waktu terluang yang kami ada. Dia bercerita tentang No 1 Via Victoria, Erbusco, Itali dan kami cerita tentang Alor Setar. Pagi itu Giulia dijamu pulut durian, makanan kegemaran keluarga kami. Dia kurang gemar kerana baunya yang keras, tapi dia cuba sedikit, seulas pun tidak habis dimakan. Dia hanya tersenyum melihat kami makan dengan berselera dan sempat pula bertanya "why do you like this fruit?" Kami beritahu dia buah ini sedap, bila selalu makan akan jadi suka  dan buah ini istimewa, bermusim setahun sekali dan mahal harganya mengikut jenis-jenis yang pelbagai. Lagi pun Tidak semua orang mampu menjamu orang dengan menu ini. Dia dijamu kerana menjadi tetamu istimewa kami.

Oleh kerana Giulia perlu beli baju sekolah jadi kami ke Kamdar, belikan baju sekolah untuknya, sepasang baju kurung dan kain. Kesempatan itu digunakan untuk memperkenalkan Bandaraya Alor Setar. Semua yang penting-penting ditunjukkan kepadanya; Muzeum Negeri, Masjid Zahir, dan Menara Alor Setar. Oleh kerana dia masih baru, jadi semua itu tidak begitu memberi kesan kepadanya. Tapi bila diberitahu tentang KM 0,  kelihatan dia agak tertarik kerana ada kaitan dengan alamat rumah kami iaitu KM 4, yang ukurannya bermula dari KM 0. Kemudian kami ke City Plaza sekadar melihat-liahat, dan kebetualan ada baju kurung yang sesuai, dihadiahkan sepasang baju kurung lagi untuknya.

Esoknya Giulia dibawa ke Giant untuk membeli barangan dapur, dan juga untuk membiasakan dia dengan keadaan sekitar rumah kami. Dia nampak ceria melihat sayur-sayuran. Melihat labu dia dia beritahu dia suka sup labu. Bapanya suka masak kerana sedap dimakan dengan roti dan pasta.  Dia juga suka terung. Mereka bakar dengan keju untuk dimakan dengan roti. Nampaknya nanti bolehlah aku  bertukar resipi yang menjadi kegemaran dia.

Oleh kerana sudah lewat kami makan di Mary Brown, dia pun ikut makan nasi juga. Barangkali untuk membiasakan diri dengan hidangan nasi sewaktu tengah hari. Alhamdulillah dia telah mula biasa makan nasi. Dia pun hairan, pagi dia sudah makan nasi lemak, tengah hari dia boleh lagi makan nasi. Aku senyum melihat dia semakin dapat menyesuaikan diri menjadi orang Kedah, makan nasi pagi, makan nasi tengah hari dan makan nasi malam. Alhamdulillah senanglah bila dia sudah biasa, kita jadi tidak risau nak jamu dia makan.