Wednesday, April 22, 2015

MANISNYA IMAN


BUKU SOAL HATI
OLEH PAHROL MOHAMAD JUOI
BAB 3 - MANISNYA IMAN

Dalam kehidupan ada beberapa perkara penting untuk kestabilan emosi dalam menjalani hidup seharian iaitu, kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Tapi realitinya sukar mencapai kestabilan dalam semua perkara tersebut. Jadi di sinilah peranan iman. Manisnya iman itu kerana ia akan menampung segala kekurangan dalam kehidupan dengan sifat sabar, redha, lapang dada dan tawakkal. Sebaliknya ia akan seimbangkan segala kelebihan dengan rasa bersyukur dan tidak lupa diri.

Manisnya iman itu ialah apabila hati dapat memandang, mentafsir dan bertindak secara positif, kerana dapat merasai cukup akan segala macam bentuk keperluan, pemikiran, perasaan dan kejiwaan, serta rasa nikmat melakukan ketaatan dan bahagia  meninggalkan kejahatan. Kemanisan iman boleh dipupuk dengan perasaan cinta hanya kepada Allah dan Rasul. Dengan itu dapatlah melakukan amalan baik dengan sungguh-sungguh sehingga merasai nikmatnya. Itulah kemanisan iman, marilah sama-sama kita usahakan, insyaa Allah.  

Tuesday, April 21, 2015

KAYA HATI KAYA SEJATI



BUKU SOAL HATI
OLEH PAHROL MOHAMAD JUOI
BAB 2 - KAYA HATI KAYA SEJATI

Kaya hati bermaksud, orang yang sentiasa merasa puas, cukup, tenang, lapang dan tenteram dengan apa yang dimiliki, dihadapi dan dialami. Jika ia beroleh nikmat dan kebaikan ia bersyukur, sebaliknya jika beroleh azab dan keburukan ia bersabar. Semunya kerana ia amat yakin akan rahmat  Allah seperti yang termaktub dalam alQuran   dan sunnah Rasul. Orang yang kaya hati mendapat ketenangan dan kebahagiaan dan ia boleh diraih oleh si miskin mahupun si kaya.

Kaya hati boleh dilihat melalui tujuh perkara iaitu, kaya dalaman, kaya kesihatan, kaya perhubungan, kaya legasi, kaya kerjaya, kaya pengalaman dan kaya ekonomi.  Orang yang benar-benar kaya ialah yang mindanya positif, yang  mempunyai kesihatan yang baik, yang perhubungannya baik dengan orang, yang berjasa dan memberikan manfaat walaupun selepas matinya, yang melaksanakan tugas dengan sebaiknya, yang berpengalaman luas dan yang dapat menguruskan kewangan untuk kebaikan dunia dan akhirat.   

Jadi kaya hati ialah hati yang selalu berasa puas, selalu merasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada, sehingga hati jadi tenang tenteram kerana redha dengan segala pemberian Allah yang maha esa. Marilah kita berdoa supayaAllah dorongkan kita agar menjadi  orang yang kaya hati. Amin.

Monday, April 20, 2015

HATI EMAS


BUKU SOAL HATI
TULISAN PAHROL MOHAMAD JUOI
BAB 1 - HATI EMAS

Hati manusia sesungguhnya, bersifat bolak balik kerana ditarik antara ilham malaikat dengan tiupan syaitan laknatullah. Namun hati yang baik, atau hati yang sejahtera atau hati emas iaitu qalbu salim, boleh dicapai melalui perjuangan jihad menentang diri sendiri. Sebenarnya qalbu salim iaitu hati yang tenang, akan sentiasa bahagia menerima ujian Allah dalam bentuk nikmat atau azab; jika ditakdirkan azab mereka bersabar dan redha, jika dilimpahkan nikmat mereka bersyukur setinggi syukur.

Sebenarnya perang dalam diri manusia, ialah melawan godaan syaitan yang memperalatkan dunia dengan pelbagai kebimbangan dan ketakutan seperti kemiskinan, kesakitan, kesusahan dan kerugian, dan meninggalkan sesuatu yang disukai hawa nafsu. Sabda Nabi saw. "Neraka dipagari oleh keseronokan, manakala syurga dipagari dengan kesusahan".

Hati emas ialah hati yang mengenal Allah dengan belajar ilmu agama,  melaksanakan amalan dan suruhanNya sehingga merasai Allah itu ada, maha  mendengar dan maha melihat. Dengan melihat kebesaran Allah akan terhakis sifat mazmumah, dan tertanam sifat mahmudah. Oleh itu mintalah perlindungan daripada Allah untuk mendapatkan hati emas. 

Monday, April 13, 2015

JUJUR VS TIDAK


Mengunjungi ke bank pada hari itu betul-betul menimbulkan satu keinsafan dan membentuk satu kepercayaan baru. Selalu juga dibuat kenyataan bahawa masyarakat Malaysia didapati jarang-jarang mempunyai 'civic-minded', dan kurang jujur berbanding masyarakat Jepun misalnya, bila menghadapi suasana keciciran barangan peribadi di tempat awam. Tetapi pengalaman pada hari itu, menunjukkan pandangan itu ada kebenarannya dan terkadang boleh juga disangkalkan. Semasa berurusan memasukkan wang ke mesin 'auto-teller', tanpa disedari wang kertas seratus ringgit tercicir jatuh ke lantai. Dengan terpinga-pinga dan rasa kebingungan yang amat sangat, teruslah diminta penjelasan kepada pegawai petugas, yang cuma satu-satunya di bank itu.

Dengan pantas pegawai itu menjawab, "Oh duit kakkah yang cicir? Nasib baik tanya. Saya tak tahu duit sapa, kakak ni terjumpa di lantai tadi, terus bagi kat saya." Alhamdulillah masih ada rezeki duit yang seratus ringgit itu, tidak hilang diambil orang. Memang jujur betullah orang itu. Kalau tidak dia boleh saja terus megambilnya kerana tiada siapa pun yang sedar duit itu cicir. Tuan punya pun tidak sedar mana perginya duit itu, dan orang sekeliling pun tidak nampak. Sungguhlah amat bersyukur dan teramatlah bangga kerana ada juga rakyat Malaysia yang sejujur itu, jarang-jarang sekali dijumpai.

Selesai urusan di mesin 'auto-teller', teruslah diucapkan tahniah kepada seorang wanita separuh umur yang mengembalikan wang itu, dan juga kepada petugas di kaunter bank. Petugas itu menambah cerita, "Kakak syukurlah dapat balik duit, ada mak cik tadi tertinggal telefon bimbit di atas mesin tu semasa masuk duit, bila teringat, datang balik dah tak ada di situ. Kesian dia, baru sekejap ja dah lesap. Ni mesti orang selepas dia, nanti nak pastikan dengan cctv."

Masya Allah itulah sikap kebanyakan orang Malaysia yang selalu disebut-sebut, tidak bertanggung jawab langsung terhadap barangan yang terlupa atau tercicir. Kalau terjumpa sesuatu barang, terus dengan rasa tidak bersalah mengambil barangan yang tercicir atau hilang itu. Semua orang amat kesal dengan sikap buruk itu. Semua orang melahirkan rasa tak puas hati dengan perkara seperti itu. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan  rasa tanggung jawab di kalangan rakyat kita? 

Sepatutnya kita rakyat Malaysia beragama Islam, kalau kita praktikkan betul-betul kepercayaan kepada Tuhan, iaitu Allah yang maha melihat dan maha mengetahui tentang sesuatu dan semua perbuatan kita, mesti kita lebih baik daripada orang Jepun. Di manakah silapnya? Marilah kita belajar dari mereka, kalau kita kurang dapat menghayati amalan baik dalam agama Islam kita yang mulia.




Saturday, April 11, 2015

MARI BERJIHAD


Untuk anak-anak yang dikasihi, kutuliskan cacatan  ini untuk renungan, supaya menjadi amalan hidup buat mencapai kesejahteraan di dunia terutamanya di akhirat sana. Rasanya sudah banyak nasihat yang diberikan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia. Tak lupa juga nasihat untuk berjaya di akhirat. Tapi barangkali sekarang ini, setelah mencapai kejayaan dalam hidup, dan telah berjaya menjalani kehidupan berkeluarga, maka dirasakan elok juga diperingatkan lagi, nasihat ini buat diguna pakai untuk kesejahteraan keluarga yang baru dibina.

Nasihat ini dipetik daripada bacaan dalam usaha pengeditan sebuah buku. Amat terpanggil untuk memetik hal ini kerana dirasakan amat sesuai untuk anak-anak yang baru memulakan alam berkeluarga dalam usaha membentuk anak-anak menjadi soleh.  Doa aanak-anak memberi manafaat di dunia dan di alam akhirat sana, kerana harta yang paling bernilai untuk kehidupan di akhirat nanti tidak lain ialah anak-anak yang soleh yang sentiasa beramal baik dan mendoakan kedua ibu bapa.

Mama yakin semua anak mama sudah dapat menjadi insan yang baik dengan bimbingan dan ajaran yang mama berikan sejak kecil hingga dewasa. Di bawah ini mama kongsikan lagi sedikit bimbingan yang dipetik dari jawapan  seorang sufi  kepada gurunya, setelah sekian lama berguru menuntut ilmu agama. Jawapan kepada gurunya itu boleh dikatakan sebagai pesanan kepada kita yang sedang dalam perjalanan menuju kehidupan akhirat, iaitu persediaan menuju kehidupan yang kekal abadi. Berikut disampaikan jawapan Hatim kepada gurunya,

Pesanan Hatim al A'sham :
  •    Pilihlah amalan yang baik, kerana hanya amalan yang baik akan  menemani kita semasa di alam kubur
  •   Jadilah hamba yang bermujahadah menahan hawa nafsu, melaluinya kita akan mendapat anugerah syurga oleh Allah
  •   Selalu infaq atau belanjakan harta ke jalan Allah untuk bekalan akhirat, kerana himpunan  harta di dunia tidak kekal
  •   Berusahalah untuk menjadi insan bertaqwa. Allah Ta'ala hanya memandang hamba yang bertaqwa bukan pada kekayaan harta, bilangan anak dan keluarga  serta gelaran pangkat
  •   Berusah menjauhi sifat hasad dengki dan tamak, sebab aku yakin Allah Taala telah menetap segala sesuatu mengikut qadha dan qadarnya.
  • Aku  telah menetapkan musuh utamaku adalah syaitan 
  • Selalu taat kepada perintah dan kehendak Allah Taala kerana Dia yang memberi rezeki 
  • Aku serahkan segala urusan kehidupanku kepada Allah Taala
  • Ibarat kata pepatah 'dunia ini adalah penjara bagi orang beriman kepada Allah Taala'
 
Mudah-mudahan dengan apa yang dikatakan Hatim itu, memberikan kita sedikit kesedaran dalam mengharungi kehidupan yang tidak ubah, seperti sedang melalui suatu perjalanan di lebuh raya dunia, yang entah bila akan sampai ke destinasinya, iaitu kehidupan akirat yang kekal abadi. Insyaa Allah diharapkan memberi manfaat kepada semua.

Tuesday, April 7, 2015

SAYA UZUR


 Suatu hari mengunjungi mesjid untuk solat zohor, menjadikan aku bingung, terharu, kesal, tak puas hati dan sedih. Barangkali banyak lagi perasaan lain yang tak terungkapkan berkaitan insiden yang terjadi hari itu. Sebaik tiba di ruang solat sudah ada empat remaja perempuan muda belia dan cantik-cantik belaka. Seorang sedang baring, tiga orang lagi, sedang kelihatan berehat, walaupun azan zohor sedang dilaungkan. Tiada kelihatan tanda-tanda ada persediaan untuk bersolat. Selepas solat sunat, dengan senyum aku mengajak mereka solat zohor berjemaah. Dengan senyum juga mereka menjawab uzur tak boleh sembahyang. Allahu robbi ....Aku terkedu mendengar jawapan orang muda yang  terpelajar dan berjawatan baik pula. Lantas dengan senyum juga aku memberitahu mereka, orang uzur haram masuk ke mesjid, berdosa. Kemudian aku terus menunaikan tanggung jawabku.


Persoalannya di sini, kita amat bangga dan patut mengucapkan setinggi tahniah, kepada pihak jawatan kuasa mesjid yang telah menaik taraf mesjid menjadikannya selesa, untuk jemaah menunaikan tanggung jawab kepada Alllah. Mesjid bukan saja luas tapi siap dengan alat penghawa dingin lagi. Malangnya ada yang tidak bertanggung jawab menjadikan mesjid yang dingin selesa itu, tempat persinggahan rehat waktu tengah hari, tanpa mengira halal haramnya lagi.  Analoginya, tidakkah mereka berasa berdosa berada di rumah Allah, memasuki rumah Allah dengan keadaan diri mereka uzur? Kalau dengan Allah yang maha mengetahui, mereka sanggup melakukan kekufuran di rumahNya, sudah tentu  tidak ada sebarang rasa takut untuk berbuat dosa di mana saja. Itulah fenomena zaman sekarang, manusia sudah tidak takut berbuat dosa, terang dan nyata, kufur dengan perintah Allah. Masya Allah...
Persoalannya lagi adakah memang betul-betul mereka itu uzur tidak boleh solat? Adakah mereka betul-betul sanggup berada di rumh Allah dalam keadaan mereka tidak suci? Kalau betul-betul, pun mereka memang berdosa melanggar hukum Allah swt. Bagaimana pula kalau tidak betul?  Barangkali mereka tidak uzur, tapi mereka tidak tahu solat atau tidak mahu solat. Oleh itu untuk mengelak disuruh solat mereka mengatakan mereka uzur. Ini kerana mereka cuba menyelamatkan diri daripada disuruh bersolat. Kemungkinan ini boleh terjadi, kerana sesudah selesai solat aku dapati mereka sudah meninggalkan ruang mesjid.

Persolan seterusnya, jika tiada siapa jemaah wanita bersolat, dan tiada siapa mengegur perbuatan mereka itu, bagaimanakah dapat kita membendung aktiviti tidak sihat ini daripada berlaku?. Bagaimana boleh kita mengelakkannya daripada terus menjadi fenomena yang tidak sihat? Sama-samalah kita fikirkan. Sama-samalah kita memantau anak-anak kita dan orang-orang sekeliling kita.


Sunday, April 5, 2015

HADIAH UNTUK YANG DIKASIHI



Semua anak cucu anugerah Allah yang mewarnai kehudupan
Sudah lama tidak menulis jadi terpanggil untuk mencurah idea lagi. Ingin sekali menyampaikan sesuatu yang telah diberikan oleh seseorang untuk amalan. Ini dirasakan amat perlu untuk bukan saja rakan taulan, dan sanak sausara, tapi yang paling penting untuk diamalkan, anak-anak dan semua yang disayangi. Apa yang ingin dikongsikan sebagai hadiah ialah kepentingan amalan zikir untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat.

Nabi pernah bersabda dalam suatu hadis Qudsi, Allah Taala berfirman:
"Wahai anak-anak Adam, (sebutkan) zikirkan Aku selepas solat subuh dan selepas solat asar barang sekejap, maka aku cukupkan engkau apa yang ada di antara dua waktu tersebut, maka apabila naik matahari solatlah dhuha sebanyak lapan rakaat."

Hayyan Naoki dan Hannah Naome yang lincah
Sesungguhnya memang banyak kebaikan amalan zikir yang dijanjikan Allah yang maha pengasih kepada kita. Tapi ramai kita yang tidak faham, mengambil mudah tentang zikir yang merupakan sebahagian amalan sunat memuliakan Allah. Zikir antaranya boleh menenangkan hati, menjadikan hati sentiasa terbuka, mendapat rahmat Allah, dikasihi Allah dan memelihara daripada api neraka.

Jadi marilah kita setiap hari mengamalkan zikir  seperti yang di bawah:
1. Istighfar 100 kali
2. Salawat Nabi 100 kali
3. Lailaa haillallaah 100 kali
4. Subha nallah wabihamdihii, subha nallah hal aziim 100 kali
5. Laa haulawala quwwa tailla billa hil'aliyil 'aziim 100 kali
6. Subha nallah, walham dulillah, walaaila haillallah
Hadeeja Naema yang montel
    Allahu akbar 100 x
7. Hasbiallaahu waniaqmal wakil laailahaillaahu 
    'alaihi tawakkaltu wahuwa robbul 'arsyil 'aziim 100 x

Ali AlFarinn yang ceria
Mudah-mudahan dengan sedikit hadiah ini akan memberi manfaat kepada anak-anak yang amat kucintai. Jika nanti aku tiada lagi, buat anak-anak yang kusayangi, diharapkan akan menjadi kenang-kenangan, diharapkan akan menjadi amalan bekalan hidup yang mewarnai kehidupan sebagai insan beriman di samping amalan wajib yang lain. Jika sekarang ini masih amat sibuk sekalipun diharap akan  adalah masa untuk diluangkan setiap hari, bagi membasahkan bibir dengan zikirullah. Insya Allah, sesungguhnya Allah maha pengasih  lagi maha penyayang, menyediakan manfaatNya kepada kita.