Tuesday, March 25, 2014

BERSAMA ANAK CUCU DI DUBAI 2014


12 Januari  2014 -  Ahad 

Jam 2.30 petang perjalanan kami  bermula dari Alor Setar ke Kuala Lumpur dengan pesawat MAS. Selesai solat jamak asar dan minum petang kami terus ke International Departure Gate, dan  setelah melepasi urusan passport, kami terus naik tren ke Terminal 2 untuk penerbangan ke Dubai, melalui Abu Dhabi. Seperti biasa Terminal 2 sangat sibuk, dan petang ini kelihatan sungguh ramai penumpang dari Indonesia berpakaian batik seragam yang transit di KLIA untuk terus terbang ke Tanah Suci Mekah. Kami terus ke surau untuk solat jamak maghrib isyak, kerana kami mesti cepat berada di balai berlepas untuk penerbangan pada jam 8.20 malam. 

Kami terbang tepat pada masanya, menaiki pesawat Virgin Australia yang barangkali ada kaitan dengan Etihad. Tidak lama  di atas pesawat kami telah disajikan makanan yang telah dipesan 'seafood'. Selepas makan, tidur, makan dan tidur lagi, 8 jam dalam penerbangan tidak terasakan. Alhamdulillah  kami telah mendarat dengan selamatnya di Lapangan Terbang Abu Dhabi.

13 Januari 2014 -  Isnin  

Sampai di Abu Dhabi, sudah tengah malam lebih kurang jam11.50.  Urusan passport, Imegresen dan bagasi sangat cepat. Kami terus mendapatkan maklumat untuk tiba ke bas yang akan kami naiki. Dan kami sangat gembira melihat bas sudah sedia menunggu di luar terminal untuk membawa kami ke Dubai. Kami naik bas dan tepat jam 12.30 malam, bas mula bergerak. Oleh kerana sudah larut malam kami tertidur. Kami dikejutkan oleh pemandu apabila kami sudah sampai di Etihad Travel Mall Dubai, jam 2.30 pagi. 

Belum turun tangga bas kami sudah nampak anakanda Hasrul sudah sedia menunggu bersama  anakanda Alfian. Sekejap saja dalam kereta, kami tiba di rumah Alfian dan Hayati yang indah, Semua yang lain, opah dan anak cucu sedang nyenyak tidur. Selepas bertanya khabar kami pun merebahkan badan untuk melepaskan lelah sehari di perjalanan. Selepas subuh kami tidur lagi berehat, agar lebih segar.

Selepas bangun pagi, terasa suasana yang dingin musim sejuk di Dubai memang menyegarkan. Sambil menikmati sarapan macam-macam cerita menceriakan suasana pagi. Cerita Hayyan suruh mami tutup aircond kerana tidak tahan sejuk, cerita main pasir di padang pasir dan macam- macam lagi. Selepas sarapan, kami sungguh seronok apabila Hayyan dan Hannah bangun. Suasana menjadi lagi ceria dengan keletah mereka yang melucukan. Seperti biasa Hayyan ajak tok wan ambil angin di luar rumah - menikmati suasana kenyamanan pagi, melihat-lihat kolam renang dan pokok-pokok bunga serta sayuran yang umi tanam. 

Kemudian lebih kurang jam 11 pagi kami ke Pasaraya Mirdiff City Centre (MCC) melihat-lihat  sekitar pasaraya, boutique-boutique, dan juga ke Carrfour. Hayyan dan Hannah bukan main sukanya berlari tak henti-henti. Dalam sibuk melayan karenah kedua sikecil tu, sempatlah juga membeli sedikit sebanyak, sambil window shopping. 

Akhirnya dah tiba waktu tengah hari kami makan dulu kerana budak-budak dah lapar. kami lunch di KFC MCC. Seperti biasa Hayyan tak ada masalah makan, tapi Hannah kurang sedap perut, asyik meragam saja, penat maminya. Lepas makan kami balik berehat kerana malam kami akan keluar pula.

Selepas rehat petangnya, Malam kami dibawa untuk dinner di Marahed Restoran. Kami makan nasi mandi, kambing madfood, kambing haniff, dan ayam panggang, dan salad jirjir. Cuaca yang dingin menjadikan kami makan dengan berselera. Anakanda Alfian, Yati dan Opah sembahyang di restoran selepas makan. Sungguh mudah kami nampak ada pelanggan tu terus sembahyang di tempat makan, selepas tempat itu dibersihkan.

Selepas makan itu kami terus dibawa pergi melawat ke Dubai Global village. Banyak gerai disediakan ikut negara- negara di seluruh dunia. Ramai orang mengunjungi tempat ini, yang ibarat 'funfair' di Malaysia. Setiap tahun bila tiba musim sejuk Global Village akan dibuka untuk menarik pelancong dari dalam dan luar Dubai. Dan berkunjung ke sini lazimnya menjadi aktiviti keluarga juga. Semakin larut malam semakin ramai pengunjung, semakin berpusu-pusu memenuhi ruang-ruang gerai yang disediakan.

Dalam masa yang singkat, kami sempat melawat beberapa gerai. Kami mulakan dengan melawat ke gerai Indai, melihat  jubah-jubah yang cantik berwarna warni, shawl dan kain ela cotton yang berbagai. Banyak juga barangan sulam seperti alas meja dan sejadah yang memang sangat cantik. 

Kemudian kami melawat pula ke gerai Arab saudi, kami cuma melihat-lihat sahaja menjamu mata barangan yang biasa dilihat semasa berkunjung ke Mekah. Oleh sebab itu kami tidak lama di situ. Gerai seterusnya Yang kelihatan sangat menarik ialah gerai negara Yemen.  Opah, anakanda Hasrul dan Alfian memang membeli madu yemen yang dikatakan sangat terkenal. Puas kami makan madu yang disuruh cuba oleh setiap gerai yang kami lalui. Barangan lain yang banyak ialah rempah ratus yang bermacam-macam rupa. Hayyan pula sangat teruja menonton persembahan tarian dari Yemen, sehingga tidak mahu bergerak dari pentas persembahan. Barangkali Hayyan tidak pernah melihat orang lelaki pakai kain menari, sebab itulah dia tunggu sehingga habis. Lagi pula oleh kerana dia  berkali-kali minta nak tengok 'fun-fare', jadi kami ajak dia duduk tengok 'fun-fare' yang dia minta. Kami semua ketawa kerana kami yakin dia tidak tahu apa yang dimintanya itu. 

Akhir sekali  kami ke gerai negera Mesir. Banyak gerai di sini menjual jubah yang cantik-cantik. Angah dan Umi memang borong sakan jubah berwarna warni dari Mesir. Oleh kerana cuaca agak sejuk, dan budak-budak semakin mengantuk,letih dan meragam, kami terpaksa buat keputusan untuk balik walaupun tidak sempat melawat  gerai-gerai lain yang pasti menjanjikan panorama yang berbeza. Naik saja ke kereta kedua- dua mereka terus lelap dalam kesejukan malam.


SAMBUT MENANTU


Majlis perkahwinan mama di Tunjang sangat simple, sederhana, lancar dan meriah. Waktu itu mama dan papa menyewa sepasang baju pengantin untuk bersanding - sepasanng baju kebaya, dan baju melayu songkit siap dengan tengkoloknya, berwarna cream sangat indah dan cantik bila dipadankan. Mama juga sewa perhiasan di kepala, dan aksesori rantai untuk digabungkan dengan baju kebaya dan baju melayu songket. 

Masa itu, bila kenduri kahwin kalau bersanding, kaum keluarga akan buat pelamin sendiri. Jadi akan sibuklah semua keluarga terdekat bertongkos lomos menyiapkan pelamin mengikut kreativiti masing-masing. Selalunya pelamin akan disiapkan sebelum semua orang tidur, jadi lambatlah orang yang buat pelamin tidur. Hal ini memang sengaja dibuat begitu, untuk mengelakkan pelamin dikacau oleh budak-budak yang memang sukakan sesuatu yang baru, yang jarang dilihat pada hari biasa. Mama rasa sungguh bersyukur kerana ramai keluarga yang sepupu memang kreatif dapat menyediakan pelamin yang sungguh indah pada masa itu.

Seperti biasa dalam upacara akad nikah akan ada bekas hantaran mengiringi wang hantaran dan mas kahwin. Jadi papa membawa tujuh dulang  bekas hantaran, dan mama membalas sembilan dulang bekas hantaran pula, yang semuanya di bawa balik ke Langkawi keesokannya.

Pagi-pagi 4 Disember 1982, rombongan papa untuk menjemput mama dibawa ke Langkawi tiba. Selepas sarapan kedua pengantin bersalaman dengan kaum keluarga dan diperkenalkan kepada sanak saudara terdekat. Selalunya kaum keluarga yang lebih tua akan menghadiahkan sedikit wang kepada pengantin. Selesai bersalaman papa minta izin tok wan untuk membawa balik mama  ke Langkawi. Suasana jadi teharu seketika mengenangkan mama sudah berpindah milik, akan dijaga oleh suami pula adanya. Tapi itulah hakikat kehidupan, dan ketentuan Allah yang maha esa yang telah ditakdirkanNya.

Maka ramailah ahli rombongan pengantin, keluarga sebelah papa yang datang menjemput dan keluarga sebelah mama yang mengiring menaiki bot dari Kuala Perlis ke Langkawi. Semua penumpang bot (Pulau Singa) tercari-cari pengantin yang menjadi raja sehari. Mereka hanya dapat melihat sembilan bekas dulang hantaran, tapi tak nampak pengantinnya pula. Mama memang sengaja tidak memakai baju pengantin untuk mengelak perhatian orang ramai di atas bot. Jadi memakai baju biasa menyelamatkan mama dan papa daripada menjadi tumpuan ramai di atas bot.

Selepas satu setengah jam dalam perjalanan dari Kuala Perlis, rombongan pengantin tiba di Kuah waktu tengah hari. Di jeti kelihatan ramai sanak saudara dan orang kampung berkumpul menunggu pengantin perempuan yang disambut. Mereka tercari-cari kerana tidak kelihatan yang memakai baju pengantin. Akhirnya bila pengantin diusung keluar dari bot kerana air surut, semua yang menunggu serentak mengatakan 'tu dia pengantin inai kat kaki'.

Dari jeti, kereta yang membawa kedua pengantin diiringi oleh penunggang motorsikal yang sangat ramai entah berapa jumlahnya barangkali lebih dua puluh orang. Kemudian tiba di rumah di  Kg Bayas pengantin dibawa berjumpa dan bersalaman dengan sanak saudara. Selepas itu mama dan papa disuruh 'bersanding',  didudukkan di kerusi untuk dapat dilihat oleh semua jemputan dan sanak saudara. Akhir sekali jamuan dihidangkan untuk semua jemputan dan juga rombongan pengantin yang datang dari jauh di seberang lautan. Demikianlah simplenya majlis sambut menantu di Langkawi zaman dulu sekitar tahun 80an, alhamdulillah.....



Friday, February 21, 2014

SEBELUM KAHWIN


Mengenang saat-saat sebelum mendirikan rumah tangga, banyak ciri unggul yang menjadikan Papa sebagai insan yang sungguh istimewa. Insan yang diharapkan  boleh menjadi ketua keluarga, insan yang akan bertanggung jawab untuk menjana keluarga bahagia yang sejati, bahagia di dunia dan bahagia di akhirat sana. Jika direnung secara halus memang sangat banyak keunggulannya, tapi untuk kali ini cukup sekadar menyenaraikan beberapa ciri unggul dan amat disyukuri adanya, sebelum mamasuki gerbang perkahwinan.  

Beragama
Suatu yang  pasti, Papa bukannya dari latar belakang sekolah beraliran ugama, tetapi papa tinggal di kampung, rumahnya betul-betul di hadapan mesjid Kampung Bayas Langkawi. Biasanya kalau rumah depan mesjid sudah tentulah papa biasa ke mesjid, boleh sekurang-kurangnya melihat atau kalau tidak pun, boleh hadir majlis-majlis yang dibuat di mesjid. Sudah tentulah saban hari, lima kali sehari papa akan mendengar azan berkumandang dengan jelasnya. Tak kanlah tidak terpanggil hatinya untuk berjemaah di mesjid? Atau sekurang-kurangnya belajar sembahyang beramai-ramai sebagai mengimarahkan mesjid? Dan bila abah dan emak membalas kunjungan rombongan meminang ke Langkawi, ternyata telahan mama itu betul. Tok wan beritahu papa sangat mahir pelajaran tajwid, dan pandai pula baca al-Quran, dan paling membanggakan keluarganya, dia pernah menjadi johan Qari sekolah rendah di Langkawi. Jadi mama sangat rasa bersyukur. Mama dapat bayangkan, nanti anak-anak penyeri hidup mama, sudah pastinya insyAllah, akan mewarisi kepandaian dari papa itu. Mama mendoakan sebuah keluarga yang akan dibina berlandaskan agama untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat sana.

Bertanggung jawab
Sebagai orang biasa, sudah tentulah bila seorang anak mula bekerja ibu ayah akan merasa sungguh bersyukur dan bahagia. Jadi apabila papa menjadi doktor, sangat jelas perlakuan dan tindak tanduknya mempamerkan dia seorang anak yang bertanggung jawab dan menghargai kedua orang tuanya. Mama selalu mendengar cerita, papa membantu wan membaiki rumahnya, di kampung. Boleh dikatan bila ada masa terluang papa akan menjenguk wan di kampung. Balik kampung menjenguk orang tua memang suatu yang amat bermakna bagi orang tua yang dilawati, dan bagi anak ia adalah suatu tanggung jawab yang wajib dilaksanakan. Apatah lagi bila dapat membantu ibu bapa membesarkan rumah mereka, sudah pasti ini suatu pengorbanan yang sukar dilakukan. Tapi papa buat ini dengan penuh rasa gembira, dan mama sungguh bangga dengan sikapnya itu kerana dia tentunya akan menjadi suami yang akan bertanggung jawab menjaga rumah tangga sepenuh hatinya.

Pemurah
Mama selalu mendengar cerita papa tentang sanak saudaranya di Langkawi. Setiap kali balik kampung tidak pernah lupa papa belikan buah tangan untuk adik-adik dan anak-anak penakannya, buah-buah yang jarang ada dan payah didapati  di Langkawi - seperti  buah epal, limau dan lai yang sangat mahal harganya juga. Bila balik beraya pula, papa akan belikan baju raya kepada semua kakaknya termasuklah kakak iparnya juga. Tidak lupa juga, yang paling manis sudah tentulan membelikan baju raya kepda anak-anak penakannya yang ramai dan masih kecil pula. Mendengar cerita itu,  sudah pastilah amat terasa akan kemurahan hati seorang yang akan menjadi peneraju rumah tangga yang bakal dibina nanti. Dalam diam mama amat bersyukur kerana Tuhan telah menemukan seseorang yang pemurah, selalunya orang pemurah juga adalah seorang yang penyayang sikapnya.
Sabar
Tuhan telah tetapkan mama bertunang agak lama, hampir dua tahun. Sepanjang masa itu papa sangat sabar menantikan masa yang sesuai untuk majlis perkahwinan. Kesabaran papa juga kelihatan dengan jelas dalam sebarang tindak tanduknya. Dari tutur kata, perbincangan, membuat keputusan, dan dalam serba serbi aspek kehidupan, tidak pernah kelihatan ada unsur kurang sabarnya walaupun sedikit. Jadi mama sangat senang dengan tingkah laku yang amat disenangi itu. Selalu dibayangkan dengan kesabaran yang dimiliki sudah pasti kehidupan berumah tangga akan menjadi aman dan bahagia nantinya.






Saturday, December 28, 2013

MAJLIS PERSARAAN WARGA PENDIDIKAN DAERAH KOTA SETAR



Setelah hampir dua bulan bersara, terasa sungguh gembira dan syukur tidak terhingga menerima jemputan majlis meraikan pegawai pendidikan yang telah tamat tempoh bekerja. Terima kasih kepada PPD Kota Setar yang meraikan kami, tak tau pula bila JPN Kedah akan buat majlis yang serupa. Mengikut surat jemputan kami dijemput melaporkan kehadiran, jam 10 pagi, di Hotel Star City, Alor Setar. Tepat jam 10.00 pagi, setibanya di lobi hotel, kelihatan Puan Ariyati sudah mengambil tempat di sofa dan bingkas bangun menyambut kami (Pn Ku Zamsiah dan Pn Faridah yang kebetulan sama-sama tiba). Kami semua bekas warga Bahiyah tertawa besar, apabila melihat atur cara majlis terpampang di lobi, menunjukkan majlis bermula jam 11 pagi. Semua kami tertawa pada diri sendiri, biar sudah lama tidak bertugas, tapi budaya menepati masa tetap sebati mendarah daging, walau di mana dan pada setiap waktu dan ketika.

Selepas pendaftaran kami bersalaman dengan teman-teman yang semuanya kelihatan ceria adanya. Sementara menunggu majlis bermula kami dihiburkan dengan cerita-cerita meriahnya menjadi orang bersara. Tidak lupa kami bertanya khabar sesama sendiri. Dan kami akhirnya bertumpu di meja mendengar cerita kisah suka duka dari seorang teman, yang juga telah lama bersara sejak awal tahun lagi. Melihat kepada wajahnya yang ceria, dan pada susuk tubuhnya yang kelihatan sihat sejahtera, sesiapapun tidak menyangka juga tidak pernah  terduga bahawa beliau adalah bekas pesakit kanser paru-paru tahap empat. Sambil mendengar ceritanya, masih jelas terbayang wajahnya yang layu tak bermaya sebelum beliau menjalani rawatan kanser sebelum ini. Semasa dia menjalani rawatan dulu, apabila hadir mesyuarat, kami selalu diingatkan agar berdoa akan kesihatan beliau. Walaupun ketika itu beliau sakit tapi masih hadir mesyuarat Pengetua Guru Besar. Masih jelas dalam ingatan, sejak dulu semasa diserang kanser sehingga sekarang, sudah selesai menjalani rawatan, dia masih tetap sama, sentiasa ceria dan sentiasa banyak cerita, walaupun kelihatan tubuhnya sudah sedikit susut.

Dengan selamba beliau berkata, 'saya ni entah berapa kali mati hidup semula.' Semasa saya sakit dulu sel kanser sudah merebak ke otak, jadi terpaksa menjalani rawatan infra red, radioterapi dan kimoterapi, serta bermacam lagi bentuk rawatan yang diaturkan. Beliau pernah tidak berupaya berjalan, dan sebulan di tempat tidur, dibantu semua aspek kehidupan oleh anak isteri dan juga warga hospital. Di samping itu lama juga dia berulang-alik ke Pulau Pinang untuk rawatan bersama follow-up dengan Doktor Pakar. Dan sudah pastinya dia tidak lupa masuk keluar wad di Hospital Sultanah Bahiyah yang entah sekian kali banyaknya. 



Selepas mengikuti beberapa sesi kimoterapi beliau sangat lemah. Pada waktu itu sangat teringin di hatinya untuk menjadi tetamu Allah, menunaikan haji. Tidak ada seorang doktor pun yang sanggup memberikan kebenaran, untuk dia berangakat ke tanah suci pada waktu itu, kerana keuzurannya yang amat sangat. Tetapi dengan izin Allah, oleh kerana kesungguhannya merayu, dan kesediaannya menanggung sebarang risiko, dia telah dibenarkan untuk berangkat ke Mekah, walaupun dia hanya mampu berjalan dengan bertongkat. Risiko yang paling tinggi sudah tentulah kematian. Tapi bagi seorang Islam sudah tetulah mati di tanah sucilah yang paling didambakan. Keyakinannya hanya satu, tidak ada daya kita untuk membuat kebaikan, dan tidak ada daya kita melaksanakan keburukan melainkan hanya dengan izin Allah semata-mata. Seorang teman yang dikenalinya sebagai sahabat semasa sakitnya datang berpesan,
'setiap penyakit tentu ada ubatnya, bersabarlah dan redhalah, mintalah doa hanya kepadaNya, bangunlah tahajjud setiap malam, bertaubatlah, mintalah ampun bagi segala dosa kita, Allah pasti akan mendengar kesusahan kita dan Allah sentiasa bersedia memakbulkan permintaan kita, hambaNya yang lemah, yakinlah.....'

Akhirnya tibalah dia  menjadi tetamu Allah. Semasa di sana entah berapa kali berita tersebar dia telah kembali kerahmatullah. Setiap kali dia ditanya dia minta anaknya buat kenduri di rumah anak yatim, dan minta mereka anak-anak yatim mendoakan kesihatannya. Boleh dikatakan tidak berhenti anak-anak yatim mendoakannya. Juga dia tidak tahu entah berapa banyak doa dipanjatkan ke hadhrat Allah di  hadapan Kaabah adanya. Di samping dia berserah dan redha dengan ketentuan yang ditimpakan kepadanya. Akhirnya dia amat bersyukur dia telah kembali sihat selepas itu sehinggalah kelihatan seperti sekarang adanya. Jadi kalau kita ditimpa musibah jangan putus asa, Allah bersama kita, jangan mengeluh kecewa kerana Allah sangat kasihkan kita. 

Sekarang dia lebih sibuk daripada jawatan Guru Besar dulu. Dia diminta berkongsi pengalaman, perasaan, memberi motivasi dan perbengkelan. Dia amat bersyukur kerana boleh juga membatu rakan yang senasib diserang kanser untuk meneruskan kehidupan. Pada waktu kita ditimpa kesusahan itu kadang-kadang kalau silap jalan kita boleh hilang pedoman.


Sunday, November 17, 2013

SHARED VISION



Entah kenapa, tiba-tiba teringat ucapan Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar, Encik Sofaruddin Ismail, semasa majlis meraikan persaraan anjuran MPSM. Katanya beliau sangat mengambil berat tentang keharmonian di sekolah. Tapi akhir-akhir ini beliau rasa terpanggil untuk bercakap tentang keadaan yang ada berlaku di sekolah, yang kalau tidak diberi perhatian, akan mengganggu keharmonian dan menghalang kecemerlangan pendidikan, terutamanya untuk mencapai hasrat Kedah Top 5. Ini disebabkan terdapatnya keadaan ketidakserasian, atau dalam kata lain 'konflik' antara Pengetua dan Penolong-Penolong Kanan.  

Jadi sebagai PPD, beliau amat mamandang serius hal ini. Katanya kadang- kadang Pengetua datang  mengadu, tentang PK, dan kadang-kadang PK pula datang mengadu tentang Pengetua. Sukar untuk diselesaikan kerana PPD berada di luar kotak. Walau bagaimanapun, bila merujuk pakar-pakar berhubung aspek pengurusan, maka dia membuat kesimpulan bahawa masalah yang timbul, pergeseran yang berlaku, barangkali disebabkan oleh satu aspek yang dikira releven - iaitu 'shared vision' atau perkongsian visi atau lebih tepat dikatakan visi bersama.


Oleh itu jika visi sesebuah sekolah yang diterajui seorang Pengetua, difahami dan didokongi oleh semua Penolong Kanan, sudah pasti pergeseran tidak akan berlaku. Bagaimana boleh bergeseran jika apa hasrat Pengetua difahami, dihayati, dan  dicerna, sehingga apa saja tindakan menjurus untuk mencapai visi yang yang telah dipersetujui. Jika kurang dikuasai dan timbul berbagai- bagai masalah, Penolong Kanan akan berbincang dengan Pengetua. Jika terjadi Guru Kanan tidak mempamerkan keterlibatan, begitu juga guru-guru tidak memain peranan, maka jika PK menjadi pendokong utama merealisasikan visi, memahamkan tindakan yang perlu, menjelas dan merongkai mana yang kusut,
maka sesebuah sekolah itu akan mencapai visi yang tentunya menjurus kepada kecemerlangan. Ini kerana perkongsian visi berlaku dari atas ke bawah, dan peranan PK-PKlah yang menjadikan tiada masalah guru kanan dan guru melaksankan visi. Jika sebaliknya akan berlakulah apa yang dikatakan konflik itu. 

Kata PPD lagi, kita tidak menafikan ada Pengetua yang kurang jelas visi yang ingin dituju. Tapi itu sangat sedikit kerana selalunya seorang Pengetua memang bekerja keras untuk mencapai visi organisasinya,  kerana selepas dilantik menjadi Pengetua, maka terpikullah tanggungjawab memajukan organisasi yang diamanahkan melalui kuasa mutlak yang diberi.


Jadi jika berlaku konflik antara Pengetua dan Penolong Kanan maka, perlu dilihat kriteria-kriteria yang menyebabkan fenomenon ini terjadi. Mengikut  kajian ada pelbagai ciri Pengetua  ataupun PK yang menyebabkan berlakunya pergeseran yang menjejaskan keharmonian, yang boleh direnungkan untuk kebaikan sesebuah sekolah, demi kecemerlangan pendidikan.

1.  Kuasai ilmu pengetahuan
Baik Pengetua mahupun PK apabila dilantik untuk jawatan tersebut, mestilah  menguasai ilmu berkaitan bidang  tugas masing-masing. Jika ini tidak berlaku, maka akan menimbulkan ketidaksenangan antara keduanya. Hal ini akan menjadikan persepsi antara kedua pihak tidak sama, yang sekali gus akan menjarakkan dan merenggangkan hubungan, sehingga masing- masing boleh membuat anggapan yang salah terhadap satu sama lain. Akhirnya kedua pihak hilang fokus, maka berlakulah konflik semata-mata kerana kekurangan ilmu dalam melaksanakan tanggung jawab memimpin dan melaksanakan kepimpinan. 

2.  Coaching & mentoring
Dalam memastikan perjalanan sekolah berjalan lancar, maka Pengetua boleh memastikan pencapaian visi dengan melakukan proses coaching & mentoring kepada PK dan juga GK, supaya mereka dapat memahami peranan masing-masing, dan menjadi pemangkin kepada usaha mencapai sebarang matlamat. Hal ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara, melalui mesyuarat, dialog professional, tunjuk cara dsb. Di sinilah boleh menyebabkan berlakunya konflik jika tidak kena caranya. Jika seorang PK dapat mengikut rentak Pengetua dari segi ilmu pengetahuan, dari segi kapasiti dan kelajuan kerja, dari segi kehendak, dan rencana masa depan, maka tidak sedikitpun masalah akan timbul. Tetapi jika PK kurang berkemampuan, kurang  kefahaman dan kepekaan, maka mulalah suasana kerja menjadi panas. Bermulalah PK menjadi kurang senang dengan Pengetua kerana sering ditegur, kerja tidak siap, ramalan masa depan tidak tepat, kerja kurang teliti dan bermacam lagi. Apa yang lebih teruk ialah  PK tidak langsung menguasai apa yang sepatutnya dikuasai walaupun telah diberi tunjuk cara. Jika berlaku begini PK akan menjauhkan diri daripada Pengetua sedangkan tempatnya adalah sentiasa berada di sisi Pengetua, mesti seiring sejalan bertongkos lomos memajukan sekolah. Keadaan ini sering berlaku kerana perbezaan kefahaman dan kekurangan kemahiran melaksakan tugas untuk mencapai visi yang digariskan.



Kesimpulannya shared vision ini kalau boleh dianalogikan, dan kalau boleh dihayati, barang kali seperti sembahyang berjemaah. Dalam melaksanakan sembahyang berjemaah ini, tiada apa yang tidak serupa, semuanya sama. Bemula dengan kiblat yang satu, imam  yang sama, niat yang serupa, maka terlaksanalah sembahyang berjemaah itu dengan sempurna. Jadi dalam organisasi seperti sekolah, maka perlu dilihat, perlu diwujudkan kesamaan ini, tidak boleh ada yang berbeza. Jika di sekolah wujud perbezaan dalam mencapai matlamat - persoalannya siapakah yang buat bagi  berbeza? Pengetuakah, PK-PKkah, GK-GKkah, guru-gurukah, atau stafkah. Perbezaan inilah yang harus ditangani untuk melihat tercapainya kecemerlangan dalam apa jua yang dicita-citakan. Jika dalam berjemaah, ada perbuatan yang berlainan daripada imam, maka tidak sahlah sembahyang seseorang yang melakukan perbuatan yang sumbang itu. Jadi, jika terdapat   berbezaan dalam melaksanakan tugas ke arah pencapaian visi, maka tidak tercapailah visi yang dipersetujui. Sama-samalah direnungkan nasihat tuan PPD Kota setar ini......

Thursday, November 14, 2013

PANTUN PERPISAHAN


Ingin dikongsikan pantun yang dicipta khusus untuk persaraan yang indah lagi amat bermakna. Terima kasih untuk semua yang terlibat. Sampai bila pun kenangan bersama tetap abadi di dalam hati. Sampai bila pun pengalaman bersama akan bersemadi di jiwa. Selamat tinggal semua, selamat maju jaya hendaknya, semoga terus cemerlang adanya.

Berhembus bayu angin menghilir
Sejuknya sampai ke hujung pohon
Sambutlah salam pesan terakhir
Kusampaikan lewat untaian pantun.

Hendak menebang nibung berduri
Dibuat pagar tepi perigi
Pantun dikarang melepas diri
Entahkan bila berjumpa lagi

Orang kampung mengail tenggiri
Tenggiri dijual dalam pekan
Kami yang di sini memohon diri
Silap dan salah mohon diampunkan

Tanjung sauh di Pulau Bentan
Tempat berlabuh orang  Penyengat
Berpisah jauh bercerai badan
Puan Rahinun tetap kami ingat

Raut wajah damai dan tenang
Tiada terkalam kasih dijunjung
Jasa baktimu tetap dikenang
Budi baikmu tetap disanjung

Bunga kemboja putih berseri
Putihnya melor di hujung dahan
Atas kerjasama dan bantuan yang diberi
Puji syukur dan terima kasih kami ucapkan

Kalau menjemur papan panjang
Baik disusun tegak berdiri
Kalaulah ada umur  panjang
Insy Allah kita akan berjumpa lagi



Wednesday, November 13, 2013

CERITERA ORANG TAK BERNAMA


Berada di rumah buat sekian lama, hampir selesailah tugas-tugas yang dirasakan perlu. Teringin pula keluar bersama bonda yang sudah sekian lama menunggukan saat dibawa bersiar-siar, menikmati dunia. Kami ingin makan tengah hari bersama. Kami pilih sebuah restoran yang menyajikan ikan bakar dan lain-lain masakan kampung tidak jauh dari rumah. Memang banyak sungguh pilihan ikan bakar, ayam bakar dan daging bakar. Sungguh berselera dan memberikan pelbagai pilihan yang tidak dapat disangkal lagi. Kami memilih lauk pauk yang memecahkan selera, dengan minuman air epal hijau daun belalai gajah. Makanlah kami anak beranak dengan sungguh berseleranya.

Sambil makan kami bercerita. Macam-macam topik, lepas satu, satu. Antara yang ingin dikongsikan... rasa syukur yang tak terhingga dengan nikmat Tuhan yang ditakdirkan. Suatu hari aku keluar ke kedai membeli barang keperluan dapur. Sambil melayan aku memilih barangan yang dimintakan, pekedai tiba-tiba beritahu, anaknya cerita majlis persaraan di sekolah. Kononnya sangat meriah. Aku senyum sambil bertanya yakah... Dia sambung lagi, risau juga siapa ganti nanti... Dengan selamba aku bagi tau dia, ada tu nanti.. Selesai membayar, aku mengambil semua barangan dengan hati-hati. Tapi sebelum beredar dia memberikan aku satu bungkusan. Ini untuk cikgu, saya kenduri. Anak saya dah berjaya keluar dari sekolah cik gu, tinggal yang sorang saja lagi. Banyak jasa cik gu pada kami....

Aduhai, aku terkedu, selepas mengucapkan terima kasih aku berlalu dengan perasaan syukur dan terharu. Bukan pemberiannya yang mengusik hati, tapi ingatan yang tulus itu yang menjadikan hati tersentuh. Sebagai guru kami tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Kami hanya bahagia bila semua murid berjaya. Kami mendidik nilai yang baik, rupanya nilai itu menjadi amalan anak-anak juga keluarga murid yang pernah bersama kami. Itulah kebanggaan kami. Terasa terubat juga hati yang kadang-kadang bagai dihiris-hiris. Ada waris yang maki hamun, ugut, hantar surat layang dan pelbagai laku perlakuan yang mempamerkan rasa tidak puas hati kepada guru. Cukuplah walau pun seorang terasa amat dihargai.

Kemudian aku terus ke kedai lain untuk belikan makanan petang. Sambil menunggu makanan yang dipesan siap, seorang wanita separuh abad dengan senyum menghampiri. Cik gu dah pencen ya... Anak saya sedih, risau pun ada juga,  sebab dia belum habis SPM lagi. Tak apa guru lain kan ada, mereka semua akan bantu anak puan. Kalau saya ada pun mereka yang buat kerja, jangan risau, insyaa Allah anak puan akan berjaya........  Makanan yang dipesan siap, aku ke kaunter untuk buat bayaran. Dengan senyum wanita tadi beritahu, hari ini saya  kenduri  kat cik gu......

Masya Allah...... Apa yang dapat dikatakan lagi, jika ditolak nanti dikatakan tidak sudi, dan tidak berbesar hati atas kenduri yang dihajati. Dengan ucapan terima kasih aku melangkah pulang dengan rasa terharu, dan syukur atas nikmat yang diberi. Hari ini mencurah-curah rezeki dari Ilahi. Demikianlah cerita-cerita sepanjang makan tengah hari yang sungguh enak dan santai.

Sedang makan tiba-tiba seorang lelaki separuh umur yang agak familiar rupanya, memberi salam. 'Cik gu dah pencen, muda dah berhenti, nak buat apa nanti.....?' Aku senyum mendengar soalan biasa ditanyakan, sejak belum pencen lagi. 'Anak saya Najwa dah sem akhir di UIA, sekarang sedang cuti kat rumah.' ' Ooo tahniahlah anak encik berjaya, kirim salam dekat dia, Insyaa Allah dia terus berjaya nanti. '

Kami terus menjamu selera, selepas lelaki itu beredar. Bila siap makan, kami bangun untuk ke kaunter. Belum sempat bergerak kami diberitahu, makanan kami sudah dibayar. Dibayar oleh waris pelajar yang menyapa kami tadi. Alhamdulillah ...........  mencurah-curah rezeki orang pencen rupanya. Inilah yang dikatakan takdir. Barangkali inilah nikmat yang diberikan Allah dengan tidak disangka- sangka. Siapalah yang dapat menduga rezeki dan nikmat Allah ini? Mudah-mudah Allah memberikan balasan yang setimpal untuk orang yang dengan murah hati membuat kenduri kepadaku insan kerdil tak bernama ini insyaa Allah.......