Sunday, December 16, 2012

BERCUTI


Minggu ini mulalah semula kehidupan di tempat kerja, selepas lima hari bercuti.  Lima hari di rumah memang sangat bermakna. Ini bermakna lima hari dapat lihat halaman yang indah berwarna warni, yang jarang-jarang dapat dinikmati semasa hari bekerja. Juga jarang-jarang dapat duduk santai menikmati suasana rumah yang indah dan harmonis. Juga jarang-jarang dapat melambai suami ke tempat kerja setiap pagi yang dingin dan nyaman. Semuanya sangat mengesankan, dan sungguh indah dan suatu pengalaman hidup yang sangat diidamkan sejak sekian lama.

Anak menantu ......
 Dan yang paling mengasyikkan, dan paling membahagiakan,  kehadiran anak cucu dan anak menantu di rumah ketika itu. Jarang-jarang dapat bersama kembali selepas anak-anak tamat sekolah, bekerja dan berumah tangga. Kini dapat dirasakan semula kehangatan kehadiran anak-anak tercinta dan cucu-cucu nan manja. Dapat dirasakan betapa indah dan manisnya kehidupan anugerah Tuhan.  Insyaa-Allah semoga nanti akan ada masanya lagi kami akan dapat berkumpul semula.

Dan cucu-cucu........

Sunday, December 9, 2012

Kursus lagi


Bersama Penolong Kanan dan guru-guru SMKSB

Sudah lama rasanya tidak hadir kursus. Akhir-akhir ini kerajaan sudah ridak mampu untuk mengendalikan kursus. Barangkali lebih banyak keperluan lain yang lebih perlu. Tapi pagi ini kami di Pullman Hotel. Tajuk kursusnya mengendalikan Middle Years Program International Barcaulaureatte di peringkat sekolah. Kononnya sepuluh buah sekolah terlibat di seluruh Malaysia. Jadi berkampunglah kami di sini seharian untuk mencerna dan menghazam tugas-tugas baru yang   bakal kami pikul, di samping tugas- tugas sedia ada. Barangkali inilah cabaran untuk menyahut seruan ke arah transformasi pendidikan, untuk menyediakan generasi baru yang lebih berdaya saing dan berdaya maju.

Bersama Dr Amin Senin, dan Pengetua-Pengetua  semasa perasmian MYP IB
 Jadi dengan semangat kental, dengan penuh semangat yang berkobar-kobar kami berenam akan melihat apa yang boleh menyumbang ke arah pembangunan pendidikan, insyaa Allah. Mudah-mudahan adalah yang dapat kami sumbangkan supaya transformasi pendidikan menjadi kenyataan. Mudah-mudahan akan lebih seimbanglah anak-anak bangsa yang dilahirkan hasil sistem pendidikan yang kita usaha, supaya semakin hari semakin mesra pelangga dan semakin maju.

Wednesday, December 5, 2012

ATASI RASA RENDAH DIRI


Tazkirah pagi 6 Dis 2012, disampaikan oleh Puan Nor Afiza Salleh.
Berikut dicadangkan cara-cara untuk mengatasi perasaan rendah diri  dalam diri kita untuk dikongsi bersama, yang dipetik daripada majalah Solusi;
  1. Lupakan kekurangan diri kita dan jadikan kekurangan kita sebagai kelebihan, supaya kita tidak merasa tidak selesa dengan segala kekurangan yang ada.
  2. Luaskan pergaulan kita supaya kita dapat belajar berkomunikasi, belajar berhadapan dengan orang yang boleh membantu kita, supaya dapat mengurangkan rasa malu dan rendah diri.
  3. Rajin bertanya, dan ambil inisiatif memulakan perbualan, jangan sekali-kali khuatir orang tidak akan menjawab soalan kita.
  4. Ambil perhatian kepada penampilan diri kita supaya sempurna dan rapi seperti pakaian, aksesori dll.
  5. Sentiasa cuba bersikap tenang, kerana kesalahan utama menyebabkan rasa rendah diri ialah kerana kita kurang dapat mengawal diri.
  6. Singkirkan imaginasi negatif kerana selalunya orang kurang memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang remeh temeh.
  7. Cuba sesuatu yang baru dalam kehidupan, kita pasti boleh melakukan apa saja yang kita fikirkan boleh.
Selamat mencuba, supaya dengan berkurangnya rasa rendah diri, kita akan dapat memajukan lagi diri kita, keluarga kita, organisasi kita dan bangsa serta agama kita. Dengan itu kita akan menjadi orang yang berdaya maju insyaa-Allah.

Tuesday, December 4, 2012

IBADAH AHLI SYURGA


Tazkirah pagi 5 Dis. 2012, oleh Puan Yunizah Muda.

Terdapat suatu kisah sahabat yang boleh memberikan panduan dan pengajaran kepada kita, supaya  menjadi amalan untuk bekalan kita yang dapat dibawa pulang mengadap Allah azzawajalla nanti. Anas radhiallahuanhu, pernah bercerita bahawa Nabi saw. pernah bersabda, 
" Sebentar lagi akan muncul seorang lelaki penghuni syurga."
Anas mendengar Nabi mengulang sabda Baginda selama tiga hari berturut-turut. Jadi dia telah mencari helah untuk dapat bersama dengan lelaki tersebut di rumahnya. Setelah tiga hari Anas dapati lelaki itu beribadat seperti biasa dan tiada pun  ibadat yang sangat istimewa dan amalan yang berbeza daripada yang dikerjakan oleh sahabat yang lain, sehingga Nabi menjanjikan syurga kepadanya.

Setelah didapati tiada sebarang keistimewaan, Anas memberitahu perkara sebenarnya, bahawa dia menumpang di rumah lelaki itu untuk melihat apa ibadatnya yang istimewa, sehingga Nabi menjanjikan syurga kepadanya.  Lelaki itu memberitahu Anas,
"Demi Allah, sebenarnya amalku tidaklah sehebat mana, tapi apa yang aku pasti, aku tidak pernah simpan niat buruk terhadap sesama Islam. Dan aku tidak pernah simpan rasa dengki, dan rasa syak wasangka terhadap kebaikan yang diberikan oleh mereka."

Jadi kesimpulannya marilah kita turut sama menjaga ibadat kita dan menjaga hati kita supaya bersih daripada perasaan buruk dan perasaan hasad dengki, yang boleh menghakis pahala ibadat yang kita kerjakan setiap hati. Dengan itu  mudah-mudahan Allah akan memberikan pahala   untuk keberkatan hidup di dunia dan kehidupan di akhirat sana, insyaa-Allah.

Monday, December 3, 2012

INSYAA-ALLAH....


Tazkirah pagi 4 Dis 2012, dipetik daripada Muqaddimah TV 9

Kita selalu menyebut perkataan insyaa-Allah dalam kehidupan  seharian. Ungkapan ini membawa maksud 'jika Allah berkehendak' atau jika Allah izin atau dengan izin Allah. Ulamak-ulamak berpendapat, ungkapan inilah yang membezakan seorang mukmin atau pun tidak. Sebagai seorang mukmin kita sentiasa faham, bahawa apa yang kita fikir, apa yang kita mahu, apa yang kita berkehendak, apa yang kita rangcang, dan apa saja yang kita akan lakukan, tidak akan dapat dilaksanakan, kalau tidak dengan izin dari Allah. Segalanya kita sandarkan kepada Allah semata-mata, kerana kita yakin Allah maha mengetahui segala sesuatu, sama ada yang zahir ataupun yang tersembunyi.

Di zaman silam banyak kisah Nabi-nabi seperti Nabi Sulaiman, Nabi Ismail, Nabi Musa dan Nabi Mohamad saw. yang telah menunjukkan kepada kita, tentang kepentingan menyebut ungkapan insyaa-Allah ini. Sebagai salah satu contoh, Nabi Mohamad saw. pernah suatu ketika tidak menyebut ungkapan ini. Baginda pernah berjanji kepada seorang Yahudi, akan menerangkan tentang  kisah pemuda ashabulkahfi, tanpa menyebut insyaa-Allah. Keesokanya Allah tidak turunkan wahyu sehingga beberapa ketika tentang perkara itu. Selepas itu Allah menegur Nabi Mohamad saw. dalam wahyuNya, supaya Nabi menyebut insyaa-Allah dalam sebarang pecakapan Baginda. Begitulah pentingnya ungkapan insyaa-Allah dalam kehidupan kita. 

Tetapi dalam kehidupan masyarakat kita hari ini kadang-kadang ungkapan ini disalahgunakan. Kadang-kadang kita menyebut insya-Allah untuk tidak tepati janji, atau untuk mengelak daripada melakukan sesuatu. Jika kita sudah pasti sesuatu perkara itu tidak dapat kita lakukan, atau tidak dapat kita penuhi, janganlah kita menyebut insyaa-Allah, kerana Allah tidak suka, kalau berjanji kita tidak tepati. Itu bermakna kita tidak menyandarkan percakapan kita kepada Allah, dan bukanlah dengan izin Allah namanya, perbuatan sebegitu.

Jadi kesimpulannya, Nabi mengajar kita  sentiasa menyebut insyaa-Allah, maka marilah kita sebagai bapa, sebagai ibu, sebagai anak dan sebagai siapa saja, sentiasa membasahkan lidah kita dengan ungkapan insyaa-Allah. Marilah kita berazam untuk menyandarkan segala apa yang kita lakukan seharian kepada Allah, dengan sentiasa menyebut  insyaa-Allah. Semoga dengan ini kita dapat amalkan akhlak Rasullullah dalam kehidupan kita. Semoga dengan ini juga, kita akan sentiasa sedar, dan sentiasa yakin, bahawa segala sesuatu dalam kehidupan kita sebenarnya dalam kehendak dan izin Allah.




Sunday, December 2, 2012

MATI SEBELUM AJAL


Tazkirah pagi 3 Dis 2012, disampaikan oleh Yunizah Muda, dipetik daripada majalah Anis.

Menurut Imam Ghazali, “Jika didapati  hati yang hilang, apabila ia hilang, maka carilah hati itu di tiga tempat; iaitu apabila bangun pagi bacalah quran, atau apabila bangun pagi kerjakan solat, jika tidak, cari hati dengan duduk tafakur dan mengingat mati. Jika tidak ditemui juga, berdoalah kepada Allah minta hati yang baru, minta dihidupkan hati kita semula,  kerana hati kita telah pun mati.”

Marilah kita semak semula adakah  hati kita hidup, dengan merenung tujuh tanda hati yang hidup?
  1. Lapang hati menerima ilmu atau berada di majlis ilmu. Nabi saw. bersabda, “Apabila cahaya masuk ke dalam hati seseorang itu, maka ia rasa lapang hatinya, orang-orang itu ialah mereka yang beramal untuk kembali ke akhirat, jauh daripada fitnah dunia dan bersedia untuk mati.”
  2. Hati sentiasa berzikir dan mengingat Allah. Nabi saw. pernah bersabda kepada puteri baginda Fatimah, “Mahukah engkau aku berikan pembantu, pada setiap masa, yang boleh membantu melapangkan kamu? Jika mahu bacalah ’subhanallah, walhamdulillah, walaailaa, haillallah, allahuakbar’ pada setiap masa. Kamu pasti akan merasa sangat lapang.”
  3. Hati khusyuk yang sentiasa mengingat Tuhan, dan hati yang sentiasa suka untuk berbuat kebaikan.
  4. Hati yang merasa kemanisan iman, iaitu apa yang dibuat  demi kerana Allah terasa amat manis, hati yang redha kepada Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Nabi saw. Sebagai Rasulnya. Hati ini akan sentiasa terdorong untuk melakukan ibadat kepada Allah semata-mata.
  5. Hati yang sentiasa menerima nasihat dengan rendah hati dan lapang  dada.
  6. Hati yang berasa sangat dekat dengan Tuhan – buat apa saja, susah atau senang akan sentiasa mengingat Allah. Kalau ditakdirkan senang maka bersyukur kepada Allah, dan jika ditakdirkan susah maka bersabarlah dengan ujian yang ditakdirkan kepada kita.
  7. Hati sentiasa kembali kepada Allah, berserah kepada Allah dalam apa saja keadaan, lapang, sempit, disanjung, dihina dan apa saja yang terjadi kepada kita dan diberikan kepada kita, kita tidak pernah lupa bahawa semuanya datang dari Allah jua, dan dengan izinNya jua.

Semoga dengan mengetahui tentang tanda-tanda hati yang hidup, kita akan dapat memujuk, membelai dan menjadikan hati kita sentiasa hidup, untuk memperbaiki kehidupan kita, sebelum kita dijemput mengadapNya nanti.

Saturday, December 1, 2012

MARI MENGHAYATI KE MANA KITA ....


Tazkirah pagi,  2 Dis 2012. (Surah Attakaathur)

Surah ini bermaksud memperbanyak yakni berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh. Allah telah menegur manusia yang telah dilalaikan dengan nikmat kehidupan yang tersebut di atas, sehingga kurang mengerjakan amal bakti, sepanjang meniti kehidupan di dunia yang sementarai ini. Allah telah menegaskan, supaya manusia jangan sekali-kali bersikap demikain, kerana nanti kamu akan mengetahui kelak akibat yang buruk semasa hendak mati dan selepas kita dimatikan. 

Kita diingatkan lagi, demi sesungguhnya kalau kita mengetahui apa yang akan kita hadapi nanti, tentulah kita akan mengerjakan perkara- perkara yang baik-baik belaka, yang dituntut oleh Allah dan Rasul, dan yang memberi kebaikan sesama manusia; sudah tentulah kita akan mengerjakan perkara-perkara yang akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti.

Allah menegaskan lagi, orang mukmin akan ditanya tentang nikmat-nikmat di dunia, kerana Allah akan memberikan kemuliaan kepada mereka, disebabkan mereka telah bersyukur, dengan menggunakan segala nikmat yang dikurniakan untuk perkara-perkara yang diredhai Allah.

Sebaliknya orang-orang kafir juga tidak terlepas akan ditanya tentang nikmat-nikmat itu, kerana Allah akan memberikan balasan untuk segala kejahatan dan kehinaan yang dilakukan, kerana mereka telah menyalahgunakan nikmat pemberian Allah kepada perkar-perkara yang dimurkai, kerana menidakkan suruhan Allah.

Mudah-mudahan kita akan mengambil iktibar untuk memperbanyakkan amalan dalam kehidupan kita. Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang diberikan kepada kita semasa hidup. Marilah kita sama-sama menggunakan semua nikmat itu ke jalan Allah, dalam apa saja yang kita lakukan, walau siapa pun kita dan di mana kita berada. Mudah-mudahan ia akan menjadikan kita memperoleh keberkatan di dunia, lebib-lebih lagi di akhirat sana.