Sunday, March 25, 2012

TIDAK CUKUP MASA?



Ramai orang seringkali merungut tidak cukup masa dalam sehari, kerana terlalu banyak urusan yang perlu diselesaikan. Ramai pekerja tidak senang hati dengan ketua semata-mata beranggapan mereka dibebankan dengan terlalu banyak kerja, sehingga banyak aspek lain dalam kehidupan terabai. Ramai juga berpendapat masa dua puluh empat jam tidak cukup untuk menjalani kehidupan seharian. Malah ada juga inginkan tangan lebih daripada dua jika mungkin, untuk membolehkan semua kerja dapat dilaksanakan. Pendek kata semua kita terbelenggu dengan masa yang menyebabkan kita sering terburu-buru, dan ramai juga yang sering mengeluh lesu.

Barangkali cadangan dari Ken Zeigler boleh membantu kita mengenal pasti cara kita menggunakan masa dan boleh menjadikan kita sentiasa mempunyai masa untuk sebarang kerja.

Ikuti 3 langkah berikut:

1. Pantau penggunaan masa anda (kerja dan peribadi) selama seminggu. Anda mungkin terkejut

meneliti masa yang anda ambil untuk melaksanakan kerja dan aktiviti anda.


2. Kaji dapatan anda, kenalpasti aktiviti yang tidak perlu dan buangkan.


3. Cari dan reka masa yang dapat anda jimatkan untuk tugasan atau aktiviti penting yang

berfaedah. Kadang-kadang aktiviti ini tertangguh kerana perkara yang kurang penting atau

langsung tak perlu.


Mudah-mudahan ini dapat membantu semua orang menguruskan masa dengan berkesan dan memberi manafaat yang maksimum, insya Allah.

Saturday, March 24, 2012

LAMA SUDAH TIDAK MENULIS


Anugerah  Cemerlang PMR 2011
Entah kenapa sudah tidak menulis, di sini buat sekian lama. Barang kali sibuk dengan urusan kenduri kahwin putera sulung ku yang dicintai. Barang kali juga banyak urusan anak cucu dan kenduri kendara yang perlu diuruskan. Atau mungkin juga kerana memang sangat banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Apa pun memang sangat terasa kosong dan tiada serinya, jika tidak diserikan blog ini dengan tulisan.


Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM 2011
 Sebenarnya bulan Mac ini bulan yang penuh dengan debaran. Untuk waris dan ibu bapa sudah pastilah keputusan peperiksaan SPM dan STPM yang menjadi tumpuan perhatian. Begitu juga seluruh warga guru di sekolah memang tidak lekang daripada membincangkan hal tersebut. Ada yang sangat gembira penuh bangga dan bersyukur jika subjek yang diajar mecapai keputusan yang cemerlang. Sebaliknya jika keputusan tidak mencapai tahap yang diharapkan maka diselubungi kesedihanlah pula, sambil itu merenung-renung pulalah tindakan yang bakal dilaksanakan untuk memperbaiki keputusan sedia ada.

Di samping itu jika guru adalah waris, maka hangatlah lagi perbincangan, jika pencapaian anak tidak seperti yang diharapkan. Maka keluarlah pelbagai sumbangan idea yang dicadangkan, untuk diambil tindakan oleh rakan-rakan yang mengajar mata pelajaran yang dianggap kritikal. Barangkali kerana aku sangat sibuk melayan pelbagai karenah waris, guru, pelajar dan masyarakat, maka kerana itu, menjadikan aku tidak melayari laman blog sendiri dalam jangka masa yang agak lama.


Hari Guru 2012, Anugerah STPM Terbaik Negeri 2011
 Apa pun tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya dengan cemerlang - STPM terbaik daerah KS dan terbaik buat kali yang ketiga pada peringkat negeri Kedah, SPM tempat keempat daerah KS dengan 9 orang straight A's. Saya sangat bersyukur dan bangga dengan prlajar SMKSB. Tahniah juga kepada semua guru yang sangat kuat bekerja, anda memang pejuang tulen yang menjadi pencinta bangsa. Tidak lupa, syabas yang setinggi-tingginya kepada waris yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan segala-galanya. Tanpa anda siapalah kami, tanpa anda kami tentunya tidak dapat menumpang kegembiraan ini.


Syukurlah .... menulis hari ini dapat juga menyatakan rasa syukur kami yang tidak terhingga atas nikmat kurniaan Allah yang tidak ternilai kepada hambanya. Kejayaan bermakna ini dikecapi dan menjadi realiti atas muafakat seluruh warga SMKSB yang tidak berbelah bagi. ......

Monday, February 27, 2012

TERKEJUT.......


Sudah lama juga aku tidak berkesempatan balik ke Langkawi. Mendapat berita seorang anak saudara dimasukkan ke hospital, aku pun ambil peluang pulang melawatnya. Cantik sungguh hospital Langkawi, dengan lanskapnya yang bersih dan kemas, ditambah pula pokok-pokok yang menghijau dan sejuk mata memandang memagari bahagian belakang bangunan-bangunannya, sudah tentu pesakitnya terasa amat lega berehat di situ. Selesai melawat orang sakit, melawat kakak yang sudah lama tidak dilawati, kami pun bersiap pulang petang itu juga.

Seperti biasa kalau ke Langkawi tidak lengkap jika tidak membeli choklat kegemaran anak-anak. Selepas sembahyang asar di Jeti Kuah Langkawi, aku bergegas menuju laluan kastam untuk menaiki bot ke Kuala Kedah. Oleh kerana cuma sedikit saja choklat yang dibeli, maka aku melalui pihak kastam tanpa menghiraukan mereka dan tidak pula berhenti. Seperti biasa aku selalu lupa, berjalan dengan pantas walaupun bersama suami dan anank-anak. Tiba-tiba aku dikejutkan apabila terdengar nama aku dipanggil. Tak kanlah choklat sebanyak itu pun mesti ditunjukkan, naik pelik aku bila dipanggil kembali. Berpatah balik, semuanya senyum belaka, termasuk seorang kastam muda, berjalan menuju ke arah aku.

'Cik gu, saya tengok cik gu jalan dari jauh, saya dah cam. Dia terus salam dan cium tangan aku. Oh rupanya aku dipanggil oleh bekas anak murid aku. Masya Allah, bangganya aku, gembiranya aku. Rupanya anak murid, bukannya nak chek choklat. Rugi betul aku terkejut, memang tak patut aku tersirap darah, aku memang sangat terkejut .......... tapi, jauh di sudut hati, aku sungguh bersyukur, kerana masih ada orang yang ingat....

Friday, February 17, 2012

GEOGRAFI OH GEOGRAFI ........


Selepas taklimat Pengetua, aku pun mendapat jadual mengajar, mengajar Geografi Tingkatan 5. Aduh penat rasanya mengenangkan terpaksa berhempas pulas membuat persediaan diri untuk mengajar dan pada masa yang sama terpaksa membimbing pelajar untuk belajar bagi menghadapi peperiksaan SPM. Kasihan betul budak-budak di pedalaman. Guru tak cukup, terpaksalah guru yang ada membantu seadanya untuk mereka bersedia menduduki peperiksaan.

Dengan semangat kental yang berkobar-kobar, aku bersama pelajar-pelajar mengajar dan belajar Geografi. Masih segar dalam ingatan teknik yang pernah diajarkan kepada ku dan rakan-rakan semasa di tingkatan 5 dulu. Teknik yang sama aku gunakan - pengajaran dan pembelajaran berfokuskan pelajar. Dapat kurasakan pelajar boleh menerima aku dan cara aku mengajar. Dapat dilihat dari cahaya mata mereka, mereka faham. Keputusan mereka juga menunjukkan dan mengukuhkan perkara itu.

GURU BARU



Bersama rakan-rakan setugas
Minggu pertama di sekolah dapat kurasakan betapa besarnya tugas dan tanggung jawab sebagai guru. Pengetua dalam taklimatnya di hari pertama mengingatkan, awak orang muda, mengajar anak-anak muda, kalau betul caranya, banyak yang akan berjaya, banyak yang akan teruja dengan kehadiran awak yang masih belia, sebab guru di sini semuanya veteren belaka. Dalam diam aku mengaku kebenaran katanya itu. Ditinjau sekeliling aku, di samping Pengetua, Penolong Kanan, Penolong Kanan HEM dan Setiausaha Sekolah, cuma aku saja guru penolong siswazah. Berbanding dengan sekolah di bandar yang pernah aku bertugas dulu, semasa praktikal, ramainya guru siswazah. Memang betul pelajar di sini memerlukan satu paradigma baru sebagai pencetus kejayaan, sebagai pembuka kepada jalan menuju kejayaan. Mereka memang perlu ditolong dan dibantu.

Bersama pelajar-pelajar yang sangat diingati .......
 Kebetulan aku menggantikan seorang guru Geografi, maka terpaksalah aku mengajar subjek yang bukan opsyen sendiri. Tapi subjek ini memang subjek kegemaran aku semasa di Tingkatan 5 dulu. Guru yang mengajarnya juga guru kegemaran aku, jadi aku memang suka belajar dan dapat pula gred cemerlang mata pelajaran Geografi masa SPM dulu. Jadi aku memang tidak keberatan untuk mengajar sujek itu kepada murid aku yang baru. Mudaha-mudahan aku berharap aku juga menjadi guru yang disukai dan disayangi seperti aku menyayangi guru Geografi aku dulu. Mudah-mudahan dengan sayangnya mereka kepada aku, mereka akan mendapat keputusan yang baik pula seperti aku dulu.

Sunday, January 29, 2012

AMALAN BAIK


Bersama dengan pelajar mencerap seorang ustaz mengajar, bukan saja dapat berkongsi kaedah dan teknik dia mengajar tapi juga berkongsi ilmu yang diajar. Ada banyak amalan yang boleh kita laksanakan sepanjang hari pada setiap masa. Tapi jika kita mahu amalan yang sedikit tapi berat timbangannya, maka Rasulullah pernah menyebut, Jika kita timbang dunia ini dan seluruh isi dunia ini, tapi pahala bagi dua ayat ini lebih berat lagi, ayat itu ialah,

'Subhanallahil azim, subhanallah hiwabihamdih'

Jadi marilah kita memperbanyakkan membaca kedua-dua ayat itu agar mendapat ganjaran yang dijanjikan kepada kita, dan mendapat keberkatan insya Allah.

Friday, January 27, 2012

MENIMANG CUCU





















Majlis potong jambul Hayyan Naoki

Rasanya baru semalam aku menikmati hidup dengan anak-anak yang lincah, sihat dan mengasyikkan. Amat jelas kegembiraan hidup yang dirasakan, bersama anak-anak yang pelbagai ragam, pintar, dan cerdas. Alangkah bahagianya, dan alangkah bersyukurnya aku mendapat nikmat hidup berkeluarga kurniaan Yang Maha Esa.



















Sudah boleh dibawa berlalan

Masih segar dalam ingatan, saat-saat membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang dan tinggi harapan pula. Semasa alam pembesaran awal dan alam persekolahan awal, kelihatan sangat memberangsangkan, kerana dalam memupuk beberapa tabiat positif, gaya hidup ibu bapa amat penting dan berkesan dalam jiwa anak-anak. Kehidupan sebagai guru, dan profession sebagai doktor yang banyak terlibat dengan mengulangkaji, merujuk buku, dan membaca sebagai hobi, menjadikan anak-anak dalam usia awal sudah amat terdedah dengan budaya dan tabiat membaca buku, tanpa dipaksakan, tapi amat berkesan.

Hannah Naomi yang comel

Tambahan pula dalam proses bekerja sebagai guru bahasa, memeriksa latihan pelajar memang amat banyak memakan masa, dan kita kelihatan di mata anak-anak seperti sangat banyak masa berdampingan dengan buku. Tapi kerja berat ini, bila dibuat sambil memantau anak belajar, memang menjadi pemangkin ke arah budaya membaca, dan budaya membuat sesuatu dengan fokus, yang sekaligus pula membentuk tabiat dan budaya membaca yang dikehendaki untuk seorang anak menjadi cerdik dan pandai dalam pelajaran.

Sekarang di saat ini, semua anak sudah berjaya dalam pelajaran, dan sudah pula berumahtangga dan menimang cahaya mata. Bermakna aku pula sudahpun menimang cucu yang kedua. Alangkah nikmatnya hidup mendapat anugerah ini. Alangkah bahagianya menimang cucu pada saat ini. Alangkah... alangkah....... Merenung jauh ke hadapan terasa alangkah sukarnya menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak zaman generasi moden ini. Tapi alangkah besarnya cabaran ke arah mendidik anak menajdi insan kamil dan mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.