Friday, February 17, 2012

GEOGRAFI OH GEOGRAFI ........


Selepas taklimat Pengetua, aku pun mendapat jadual mengajar, mengajar Geografi Tingkatan 5. Aduh penat rasanya mengenangkan terpaksa berhempas pulas membuat persediaan diri untuk mengajar dan pada masa yang sama terpaksa membimbing pelajar untuk belajar bagi menghadapi peperiksaan SPM. Kasihan betul budak-budak di pedalaman. Guru tak cukup, terpaksalah guru yang ada membantu seadanya untuk mereka bersedia menduduki peperiksaan.

Dengan semangat kental yang berkobar-kobar, aku bersama pelajar-pelajar mengajar dan belajar Geografi. Masih segar dalam ingatan teknik yang pernah diajarkan kepada ku dan rakan-rakan semasa di tingkatan 5 dulu. Teknik yang sama aku gunakan - pengajaran dan pembelajaran berfokuskan pelajar. Dapat kurasakan pelajar boleh menerima aku dan cara aku mengajar. Dapat dilihat dari cahaya mata mereka, mereka faham. Keputusan mereka juga menunjukkan dan mengukuhkan perkara itu.

GURU BARU



Bersama rakan-rakan setugas
Minggu pertama di sekolah dapat kurasakan betapa besarnya tugas dan tanggung jawab sebagai guru. Pengetua dalam taklimatnya di hari pertama mengingatkan, awak orang muda, mengajar anak-anak muda, kalau betul caranya, banyak yang akan berjaya, banyak yang akan teruja dengan kehadiran awak yang masih belia, sebab guru di sini semuanya veteren belaka. Dalam diam aku mengaku kebenaran katanya itu. Ditinjau sekeliling aku, di samping Pengetua, Penolong Kanan, Penolong Kanan HEM dan Setiausaha Sekolah, cuma aku saja guru penolong siswazah. Berbanding dengan sekolah di bandar yang pernah aku bertugas dulu, semasa praktikal, ramainya guru siswazah. Memang betul pelajar di sini memerlukan satu paradigma baru sebagai pencetus kejayaan, sebagai pembuka kepada jalan menuju kejayaan. Mereka memang perlu ditolong dan dibantu.

Bersama pelajar-pelajar yang sangat diingati .......
 Kebetulan aku menggantikan seorang guru Geografi, maka terpaksalah aku mengajar subjek yang bukan opsyen sendiri. Tapi subjek ini memang subjek kegemaran aku semasa di Tingkatan 5 dulu. Guru yang mengajarnya juga guru kegemaran aku, jadi aku memang suka belajar dan dapat pula gred cemerlang mata pelajaran Geografi masa SPM dulu. Jadi aku memang tidak keberatan untuk mengajar sujek itu kepada murid aku yang baru. Mudaha-mudahan aku berharap aku juga menjadi guru yang disukai dan disayangi seperti aku menyayangi guru Geografi aku dulu. Mudah-mudahan dengan sayangnya mereka kepada aku, mereka akan mendapat keputusan yang baik pula seperti aku dulu.

Sunday, January 29, 2012

AMALAN BAIK


Bersama dengan pelajar mencerap seorang ustaz mengajar, bukan saja dapat berkongsi kaedah dan teknik dia mengajar tapi juga berkongsi ilmu yang diajar. Ada banyak amalan yang boleh kita laksanakan sepanjang hari pada setiap masa. Tapi jika kita mahu amalan yang sedikit tapi berat timbangannya, maka Rasulullah pernah menyebut, Jika kita timbang dunia ini dan seluruh isi dunia ini, tapi pahala bagi dua ayat ini lebih berat lagi, ayat itu ialah,

'Subhanallahil azim, subhanallah hiwabihamdih'

Jadi marilah kita memperbanyakkan membaca kedua-dua ayat itu agar mendapat ganjaran yang dijanjikan kepada kita, dan mendapat keberkatan insya Allah.

Friday, January 27, 2012

MENIMANG CUCU





















Majlis potong jambul Hayyan Naoki

Rasanya baru semalam aku menikmati hidup dengan anak-anak yang lincah, sihat dan mengasyikkan. Amat jelas kegembiraan hidup yang dirasakan, bersama anak-anak yang pelbagai ragam, pintar, dan cerdas. Alangkah bahagianya, dan alangkah bersyukurnya aku mendapat nikmat hidup berkeluarga kurniaan Yang Maha Esa.



















Sudah boleh dibawa berlalan

Masih segar dalam ingatan, saat-saat membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang dan tinggi harapan pula. Semasa alam pembesaran awal dan alam persekolahan awal, kelihatan sangat memberangsangkan, kerana dalam memupuk beberapa tabiat positif, gaya hidup ibu bapa amat penting dan berkesan dalam jiwa anak-anak. Kehidupan sebagai guru, dan profession sebagai doktor yang banyak terlibat dengan mengulangkaji, merujuk buku, dan membaca sebagai hobi, menjadikan anak-anak dalam usia awal sudah amat terdedah dengan budaya dan tabiat membaca buku, tanpa dipaksakan, tapi amat berkesan.

Hannah Naomi yang comel

Tambahan pula dalam proses bekerja sebagai guru bahasa, memeriksa latihan pelajar memang amat banyak memakan masa, dan kita kelihatan di mata anak-anak seperti sangat banyak masa berdampingan dengan buku. Tapi kerja berat ini, bila dibuat sambil memantau anak belajar, memang menjadi pemangkin ke arah budaya membaca, dan budaya membuat sesuatu dengan fokus, yang sekaligus pula membentuk tabiat dan budaya membaca yang dikehendaki untuk seorang anak menjadi cerdik dan pandai dalam pelajaran.

Sekarang di saat ini, semua anak sudah berjaya dalam pelajaran, dan sudah pula berumahtangga dan menimang cahaya mata. Bermakna aku pula sudahpun menimang cucu yang kedua. Alangkah nikmatnya hidup mendapat anugerah ini. Alangkah bahagianya menimang cucu pada saat ini. Alangkah... alangkah....... Merenung jauh ke hadapan terasa alangkah sukarnya menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak zaman generasi moden ini. Tapi alangkah besarnya cabaran ke arah mendidik anak menajdi insan kamil dan mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
















Tuesday, January 10, 2012

TIP PERIBADI CEMERLANG

Banyak teori untuk menjadi individu cemerlang, atau pemimpin cemerlang, mari kita kongsikan bagaimana menjadi cemerlang dengan menjiwai SPARKLE

S - Self dicipline - satu pegangan / semangat untuk menuju kejayaan
P - Prioriti - dahulukan yang utama - first thing first
A - Accomplishment - ambil tindakan untuk berjaya/ mencari jalan/ berusaha melaksaknakan
sebarang tindakan untuk berjaya
R - Responsibility - bertanggung jawab kepada diri sendiri untuk memastikan kejayaan
K - Knowledge - pastikan berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu
L - Leader - setiap orang adalah pemimpin kepada dirinya / kerajaannya sendiri. jika berjaya
memimpin dirinya dan kerajaannya dia tidak akan ditawan oleh kekalahan
E - Example - contohi orang berjaya atau menjadi contoh supaya orang lain berjaya

Mudah-mudahan dapat memberi manfaat kepada semua ke arah menjadi individu cemerlang di dunia dan akhirat. Sebaliknya untuk meningkatkan kecemerlangan jauhilah AIDS

A - arrogance/sombong
I - ignorance /tidak tahu, tidak ambil tahu
D - decardence /rendah moral, buruk peribadi
S - stupid

Semoga dengan mengamalkan yang terbaik akan membolehkan kita mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Monday, January 9, 2012

UNTUK RENUNGAN....

"Aku menjenguk ke syurga, aku dapati kebanyakan penghuninya orang-orang fakir dan aku menjenguk ke neraka, aku dapati penghuninya kaum wanita" Hadith Riwayat Ahmad

"Barangsiapa mempunyai dua orang anak perempuan dan diasuh dengan baik, maka mereka akan menyebabkannya masuk syurga" HadithRiwayat Al-Bukhari

"Kemengangan akan dicapai dengan kekuatan, kekuatan hanya diperolehi dengan persatuan, persatuan hanya akan diperolehi dengan kesepakatan" Hukamah

"Setelah mendaki gunung yang tinggi, dan apabila berada di puncak, kita akan sedar sebenarnya masih banyak lagi gunung yang tinggi yang perlu didaki bersama-sama."

"Salah satu cara mencapai bahagia di dunia dan bahagia di akhirat ialah dengan memiliki kesihatan jiwa dan juga kesihatan badan. Kalau jiwa sihat dengan sendirinya memancarkan bayangan kesihatan itu kepada mata. Dari sana memancarlah cahaya yang gemilang timbul dari sukma yang tidak sakit. Demikian juga kesihatan badan membukakan fikiran, mencerdaskan akal, menyebabkan juga kebersihan jiwa. Kalau jiwa sakit pintu kemajuan dan perubahan tiada pada hati, dan tiada siapa yang berupaya membukanya melainkan diri sendiri jua" Hamka

4 langkah menjaga kesihatan minda

1. Takut melakukan kesalahan dan menjauhi perkara keji
2. Pandai menjaga kehormatan bathin -taat kepada Allah , menggunakan akal dan sabar
3. Tahu rahsia pengalaman kehidupan - bijaksana
4. Adil

Thursday, December 29, 2011

SIAPA PUN TAK MAHU

'Tolonglah saya cik gu, saya harap sangat cik gu dapat tolong saya.'
Susah juga memikirkan masalah ni. Kalau tak di tolong susah, kalau nak tolong pun susah
'Cik gu, saya bukan tak mahu jaga dia, cuma saya berniaga, sehari suntuk di luar rumah. Semua anak saya lelaki pula tu, tak elok bila saya tak ada di rumah.'

'Tak adakah emak saudara, atau bapa saudara lain yang boleh bantu beri dia tempat tinggal sementara, bantu dia beri tempat perlindungan, sementara dia boleh berdikari.'
'Susah cik gu, adik saya yang lawyer tu tinggal di Pulau Pingang, tak ada orang gaji, lagi pun isteri dia macam tak senang, selalu mengelak bila berbincang tentang budak ni.'

'Tulah, saya rasa nak menolong tapi, nak masukkan dia di asrama susah juga, kalau dia kononnya sukar ditegur. Tambah lagi kalau dia juga dikatakan agak degil, dan kurang mendengar cakap. Kalau di asrama pelajar yang degil susah dibentuk seab kita ada ramai pelajar yang mesti dijaga dan diberi perhatian.'
'Saya rayu cikgu tolonglah saya, kalau tidak tak tahu mana saya nak letakkan dia, kerana memang saya tak mampu jaga dia di rumah saya. Ini saja yang saya rasa saya mampu buat. Letakkan dia di asrama dan hujung minggu dia boleh alik rumah saya, kerana saya ada di rumah'

Aku memang bingung nak beri pertolongan, sudah nampak budak ini memang bermasalah, takut nanti jadi virus kepada pelajar lain pula. Tapi sayu juga mengenangkan nasib seorang anak yang tidak diingini oleh siapa-siapa - bapa di penjara, ibu entah di mana, kaum keluarga merasa terbeban pula dengannya. Alangkah malangnya menjadi insan yang siapa pun tidak mahu. Alangkah sedihnya menjadi manusia yang menyusahkan semua orang. Alangkah kejamnya dunia ini. Belum lagi boleh berdikari, terpaksa menanggunng bebab perasaan setinggi ini.

Mengenangkan nasib seburuk itu, aku masukkan juga dia ke asrama. Aku berharap dia akan menghargai peluang yang diberikan kepadanya, agar dia dapat terus bersekolah di samping ada tempat untuk berteduh.