Tuesday, January 10, 2012

TIP PERIBADI CEMERLANG

Banyak teori untuk menjadi individu cemerlang, atau pemimpin cemerlang, mari kita kongsikan bagaimana menjadi cemerlang dengan menjiwai SPARKLE

S - Self dicipline - satu pegangan / semangat untuk menuju kejayaan
P - Prioriti - dahulukan yang utama - first thing first
A - Accomplishment - ambil tindakan untuk berjaya/ mencari jalan/ berusaha melaksaknakan
sebarang tindakan untuk berjaya
R - Responsibility - bertanggung jawab kepada diri sendiri untuk memastikan kejayaan
K - Knowledge - pastikan berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu
L - Leader - setiap orang adalah pemimpin kepada dirinya / kerajaannya sendiri. jika berjaya
memimpin dirinya dan kerajaannya dia tidak akan ditawan oleh kekalahan
E - Example - contohi orang berjaya atau menjadi contoh supaya orang lain berjaya

Mudah-mudahan dapat memberi manfaat kepada semua ke arah menjadi individu cemerlang di dunia dan akhirat. Sebaliknya untuk meningkatkan kecemerlangan jauhilah AIDS

A - arrogance/sombong
I - ignorance /tidak tahu, tidak ambil tahu
D - decardence /rendah moral, buruk peribadi
S - stupid

Semoga dengan mengamalkan yang terbaik akan membolehkan kita mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Monday, January 9, 2012

UNTUK RENUNGAN....

"Aku menjenguk ke syurga, aku dapati kebanyakan penghuninya orang-orang fakir dan aku menjenguk ke neraka, aku dapati penghuninya kaum wanita" Hadith Riwayat Ahmad

"Barangsiapa mempunyai dua orang anak perempuan dan diasuh dengan baik, maka mereka akan menyebabkannya masuk syurga" HadithRiwayat Al-Bukhari

"Kemengangan akan dicapai dengan kekuatan, kekuatan hanya diperolehi dengan persatuan, persatuan hanya akan diperolehi dengan kesepakatan" Hukamah

"Setelah mendaki gunung yang tinggi, dan apabila berada di puncak, kita akan sedar sebenarnya masih banyak lagi gunung yang tinggi yang perlu didaki bersama-sama."

"Salah satu cara mencapai bahagia di dunia dan bahagia di akhirat ialah dengan memiliki kesihatan jiwa dan juga kesihatan badan. Kalau jiwa sihat dengan sendirinya memancarkan bayangan kesihatan itu kepada mata. Dari sana memancarlah cahaya yang gemilang timbul dari sukma yang tidak sakit. Demikian juga kesihatan badan membukakan fikiran, mencerdaskan akal, menyebabkan juga kebersihan jiwa. Kalau jiwa sakit pintu kemajuan dan perubahan tiada pada hati, dan tiada siapa yang berupaya membukanya melainkan diri sendiri jua" Hamka

4 langkah menjaga kesihatan minda

1. Takut melakukan kesalahan dan menjauhi perkara keji
2. Pandai menjaga kehormatan bathin -taat kepada Allah , menggunakan akal dan sabar
3. Tahu rahsia pengalaman kehidupan - bijaksana
4. Adil

Thursday, December 29, 2011

SIAPA PUN TAK MAHU

'Tolonglah saya cik gu, saya harap sangat cik gu dapat tolong saya.'
Susah juga memikirkan masalah ni. Kalau tak di tolong susah, kalau nak tolong pun susah
'Cik gu, saya bukan tak mahu jaga dia, cuma saya berniaga, sehari suntuk di luar rumah. Semua anak saya lelaki pula tu, tak elok bila saya tak ada di rumah.'

'Tak adakah emak saudara, atau bapa saudara lain yang boleh bantu beri dia tempat tinggal sementara, bantu dia beri tempat perlindungan, sementara dia boleh berdikari.'
'Susah cik gu, adik saya yang lawyer tu tinggal di Pulau Pingang, tak ada orang gaji, lagi pun isteri dia macam tak senang, selalu mengelak bila berbincang tentang budak ni.'

'Tulah, saya rasa nak menolong tapi, nak masukkan dia di asrama susah juga, kalau dia kononnya sukar ditegur. Tambah lagi kalau dia juga dikatakan agak degil, dan kurang mendengar cakap. Kalau di asrama pelajar yang degil susah dibentuk seab kita ada ramai pelajar yang mesti dijaga dan diberi perhatian.'
'Saya rayu cikgu tolonglah saya, kalau tidak tak tahu mana saya nak letakkan dia, kerana memang saya tak mampu jaga dia di rumah saya. Ini saja yang saya rasa saya mampu buat. Letakkan dia di asrama dan hujung minggu dia boleh alik rumah saya, kerana saya ada di rumah'

Aku memang bingung nak beri pertolongan, sudah nampak budak ini memang bermasalah, takut nanti jadi virus kepada pelajar lain pula. Tapi sayu juga mengenangkan nasib seorang anak yang tidak diingini oleh siapa-siapa - bapa di penjara, ibu entah di mana, kaum keluarga merasa terbeban pula dengannya. Alangkah malangnya menjadi insan yang siapa pun tidak mahu. Alangkah sedihnya menjadi manusia yang menyusahkan semua orang. Alangkah kejamnya dunia ini. Belum lagi boleh berdikari, terpaksa menanggunng bebab perasaan setinggi ini.

Mengenangkan nasib seburuk itu, aku masukkan juga dia ke asrama. Aku berharap dia akan menghargai peluang yang diberikan kepadanya, agar dia dapat terus bersekolah di samping ada tempat untuk berteduh.

Monday, November 14, 2011

LAPOR DIRI


Tamat pengajian Diploma Pendidikan di UM, seperti rakan-rakan lain aku mendapat penepatan pertama di negeri Perak, bukan negeri kelahiranku. Berbanding rakan lain, ada yang kurasakan mereka amat bertuah, kerana mereka dapat kembali bekerja di kampung halaman masing-masing. Ditempatkan di sekolah SMKDS di pekan L, pelbagai perasaan timbul dalam hati kecikku. Aku memang tidak pernah mendengar nama pekan yang akan menjadi tempat aku bertugas. Dengan segala susah payah mencari maklumat dan panduan arah, dapatlah aku mendaftar pada hari yang ditetapkan, 20 Januari 1981.

Bersama rakan serumah sewa
Pertama kali menjejakkan kaki ke pejabat Pengetua di SMKDS, soalan pertama ialah untuk mendapatkan rumah sewa buat aku berteduh untuk berkhidmat di tempat yang baru dan asing tanpa seorang sanak saudara pun. Nasib aku memang baik kerana memang terdapat sebuah rumah yang boleh aku tumpang, kongsi menyewa bersama dua orang lagi teman. Alangkah sangat terharunya, kedua orang tuaku, meninggalkan aku di rumah sewa yang sangat dhaif pada fikiran mereka. Rumah papan satu bilik yang serba sederhana menjadi tempat aku berteduh di perantauan. Alangkah terasa sangat gerun mengenangkan keselamatan aku, di tempat baru dengan segala kekurangan. Apa kan dayaku, memang tiada rumah yang lebih baik untuk aku sewa. Di pekan L memang cuma ada satu saja kawasan perumahan, semuanya milik persendirian, semunya milik orang yang tinggal menetap di situ sahaja. Jadi memang amat bersyukurlah aku dapat menyewa walaupun cuma rumah kayu tinggalan seorang opah yang tidak seberapa. Lagi pun rumah itu tidak jauh, lebih kurang dua kilometer saja jaraknya dari sekolah tempat aku mengajar.

Di sinilah baktiku tercurah ........
Aku rasa amat bertuah kerana walaupun tiada pengankutan, aku menumpang kereta cik gu K untuk ke sekolah setiap hari, pergi dan balik. Kebetulan rumah sewaanku hanya bersebelahan rumahnya saja. Maka bermulalah kehidupanku di situ, sebagai guru. Bermulalah kehidupanku di sebuah pekan kecil jauh dari ayah ibu.




Friday, October 14, 2011

LEARNING IS FUN BUT ITS NOT EASY 1


Terbaca blog angah tentang mengajar anak-anak membaca, teringat masa muda-muda. Mula-mula mengajar anak kenal huruf, mengajar anak kenal nombor, dan mengajar anak mengaji. Kelihatan sangat mudah tapi ternyata sangat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Mengajar anak kenal huruf, bermula sejak anak boleh bercakap. Semuanya dibuat dalam bentuk santai, main-main dan menyanyi, berulan-ulang dan berterusan. Sehinggalah mereka kenal huruf apabila melihat huruf di mana-mana.

Langkah kedua, apabila sudah kenal huruf, barulah diajar membaca huruf mengikut urutan. Ini pun berlaku secara main-main dan seolah-olah tidak dipaksakan, kerana menyanyi berulang-ulang kali, memang disukai kanak-kanak. Masa yang diambil untuk membolehkan anak membaca ABC, tidaklah lama sangat, tetapi untuk memahamkan anak mengeja, agak memakan masa dan perlu lebih banyak sabar. Mula-mula mereka diajak bermain dengan huruf vokal a,e,i,o,u, terlebih dahulu, sehinggalah mereka ingat bunyi setiap huruf vokal. Kemudian mereka diasuh dan dilatih menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal, ini pun secara bermain dan santai, selalunya semasa di dalam kereta. Akhir sekali barulah mereka belajar membaca, ini pun secara bermain, apabila kami membaca surat khabar atau kami memang bermain untuk memahirkan mereka mebaca.

Proses membaca ini, sangat mencabar, kerana anak-anak perlu duduk dan melihat apa-apa bahan bacaan. Ini perlukan teknik memujuk ibu bapa yang berkesan, dan memerlukan kesabaran ibu bapa yang tinggi. Ini berkaitan dengan pemupukan sikap dan tabiat, dan pemupukan minat dan kebiasaan. Ramai ibu bapa selalunya gagal di peringkat ini, dan selalunya mengalah dengan mengatakan anak mereka tidak minat, sedangkan sebenarnya mereka yang tidak sabar. Tambahan lagi mereka, iaitu ibu bapa, tidak ada budaya membaca, tidak ada suasana membaca dan tiada environmen membaca di rumah, jadi anak-anak tidak boleh melakukan sesuatu yang diarahkan, tapi tidak biasa dilakukan dalam kehidupan seharian mereka. Kadangkala pada waktu ini, semasa anak-anak baru menguasai huruf, mereka sangat agresif meminta kita melayan mereka membaca, sehingga ibu bapa rasa sangat terganggu dengan kerja-kerja harian. Membaca surat khabar pun terganggu, membaca buku pun tak menentu, kerana mereka minta diberi perhatian untuk mereka dapat membaca satu dua perkataan yang baru, atau membimbing mereka membaca perkataan baru untuk menambah keterujaan mereka membaca perkataan baru. Kita akan gagal jika kita minta mereka baca sendiri, kerana kita nak buat kerja kita. Kita akan gagal jika apabila mereka jemu, mereka akan memberontak dan membuat kacau, seperti menangis, dan bergaduh, dan akhirnya kita marahkan kerana mereka buat kacau. Sedangkan mereka memberontak kerana mereka mahu terus dibantu untuk mereka boleh terus membaca perkataan baru. Kalau zone kritikal ini dapat diatasi dengan sabar dan bijaksana, mereka akan melepasi saat kritikal ini dan dapat menguasai atau sekurang-kurangnya memulakan tabiat membaca pada peringkat awal.

Jadi untuk anak-anak mula membaca ibu bapa mesti membaca di hadapan mereka, membaca bersama mereka dan sabar mengajak mereka membaca bersama kita. Di samping itu aktiviti membaca mesti menjadi aktiviti keluarga sepanjang masa, barulah anak akan boleh membaca, rajin membaca dan terus suka membaca, sehingga mereka berjaya.

Saturday, October 8, 2011

HI-TEA PENGAWAS 2011

HOLIDAY VILLA, ALOR SETAR 3.30 PETANG

Alangkah bangganya, pada tahun ini buat kali keduanya, pengawas sekolah berjaya menganjurkan Jamuan Tahunan. Jemputan telah dihantar awal-awal lagi. Ketibaan kami disambut gadis-gadis cantik di pintu utama, dan menu sungguh nampak menyelerakan. Credit should go to PK HEM kerana perancangan yang rapi. Memang sangat rapi perancangan, dan sangat jelas pemupukan kepimpinan yang kelihatan. Sungguh membanggakan.

Untuk bakal pemimpin yang cemerlang, diingatkan bahawa antara ciri penting untuk menjadi pemimpin yang cemerlang, perlu kebijaksanaan dalam sebarang tindakan. Ada orang dilantik menjadi pemimpin, ada orang minta dijadikan pemimpin, ada pula orang yang memang berbakat menjadi pemimpin, walau pun tidak diangkat atau diiktiraf oleh sesiapa pun. Jadi bagaimana pun cara kita menjadi pemimpin, yang penting bagaimana tindakan kita dalam proses memimpin.

Dengan kebijaksanaan, banyak perkara boleh selesai. Dengan kebijaksanaan yang kusut akan dapat lerai. Dengan kebijaksanaan masalah menjadi mudah. Jadi terlanjur menjadi pemimpin cubalah belajar menjadi bijaksana, cubalah amalkan bijaksana, cubalah bertindak dengan bijaksana dan dan meminpinlah secara bijaksana. Semuanya dapat diamalkan sejak di sekolah lagi. Belajarlah seni memimpin dengan bijaksana, mudah-mudahan bila nanti menjadi pemimpin, kita dapat diterima oleh masyarakat kerana kebijksanaan kita. Pemimpin yang bijaksana akan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu marilah menjadi pemimpin yang mengamalkan sifat bijaksana.....

Friday, October 7, 2011

SUKANEKA ASRAMA DI TAMAN TASIK

7 OKTOBER 2011 - 8.00 PAGI - 1.00 TENGAH HARI
Minggu ini pelajar asrama tingkatan 1, tingkatan 2, dan tingkatan 4, dibawa outing, bersukan, beriadhah dan bersantai di Taman Tasik Darulaman Jitra. Program ini ilaksanakan dengan kerjasama siswa siswi dari Kolej Petronas, UUM, sebagai salah satu program jalinan antara SMKSB dan UUM. Semoga program ini memberi pendedahan minda dan pengalaman baru dalam pemupukan kecemerlangan pelajar. Terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jawatan Kuasa terlibat yang telah berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya. Tahniah kepada semua puteri asrama kerana memberi kerjasama yang sungguh hebat. Anda memang cemerlang.

ATUR CARA MAJLIs

8.00 PAGI Pendaftaran peserta
Senamrobik, jogging
Ucapan Perasmian
Acara Sukaneka
Lari Dalam Guni
Menghadapi Halangan
Bowling buah kelapa
Bahagi Kacang
Lari Tempurung
Musang berjanggut (Pilih Bijirin)
Penyampaian Hadiah
Makan tengah hari
1.00 TH Bersurai

Semoga berjumpa lagi di tahun hadapan.