Tuesday, June 28, 2011

Day 3 – 16 Mac 2009 – SHOPPING DI HAMAMATSU







Lebih kurang jam 10.30 pagi kami bertolak ke Hamam
atsu – sebuah bandar dalam negeri Shizuoka. Berpandukan google map, kami akan menggunakan jalan bernombor 31 dari rumah, kemudian terus masuk ke jalan nombor 1 untuk sampai ke Shizuoka. Perjalanan sangat mudah kerana berpandukan peta dari internet yang sangat up-to-date, dan dijangka memakan masa lebih kurang 40 minit perjalanan. Dari rumah selepas meninggalkan bandar Toyohashi kami seolah-olah menuju ke kawasan berhampiran bukit yang menghijau. Selepas itu apabila memasuki lebuhraya nombor 1, nampaknya lebuhraya selari dengan laluan keretapi JR Lines, kerana sesekali dapat dilihat keretapi laju shin kas sen itu, meninggalkan kami sekelip mata, dan kadang-kadang keretapi biasa berlumba-lumba dengan kami ke destinasi yang entah ke mana. Kawasan berbukit-bukit berada di sebelah kiri kami, sejauh lebih kurang 4 kilometer. Di kaki bukit kelihatan kawasan perumahan yang berselang-seli dengan ladang tanaman yang menghijau. Sangat jelas kelihatan satu kelompok rumah lebih kurang 10 buah, dengan satu kawasan ladang. Kadang-kadang kelihatan pohon-pohon hutan yang mengindahkan lagi suasana sepanjang perjalanan kami.

Oleh kerana musim sejuk kami tidak membuka alat penghawa dingin sebaliknya menikmati angin dingin dari luar, sepanjang perjalanan. Kereta pun tidak dipandu laju, semua kenderaan kelihatan tidak tergesa-gesa, lebih kurang 90 KM sejam. Rupanya pemikiran rakyat negara maju memang sangat patuh kepada undang-undang. Menurut angah ada satu saja kamera CCTV di lebuhraya itu terpasang di tengah jalan, tapi pemandu tidak pun melanggar undang-undang jalan raya dan lalulintas – sangat selamat berada di jalan raya di Jepun.


Jalan raya yang dilengkapi cctv di tengah jalan

Kalau berlaku sebarang kesalahan di jalan raya lesen memandu akan di gantung, bermakna tidak boleh memadu kereta lagi buat beberapa lama – ini sangat ditakuti. Bukan itu saja, kalau langgar lampu kuning akan di beri amaran keras oleh polis. Belum pun disaman tapi sudah terketar-ketar jika terserempak dengan polis. Polis memang sangat ditakuti kerana menguatkuasakan undang-undang. Nampaknya memang sangat berkesan peranan penguatkuasaan undang-undang dalam membentuk sikap masyarakat. Selepas lebih 20 minit di jalanan, perjalanan kami menjadi semakin mengasyikkan apabila kami mula menyusuri jalan di tepi pantai di sebelah kanan kami. Kadang-kadang kelihatan barisan pohon pine yang ditanam sepanjang jalan tepi pantai, sebagai pemecah angin yang kuat. Kelihatan juga di tepi pantai itu ramai orang bermain water surfing dan ada juga melayang di udara bersama belon besar ditarik perahu laju. Aktiviti pantai ini sangat popular kerana angin yang kencang dan udara yang nyaman tapi disinari matahari terik.


Pameran pelbagai jenis makanan Jepun di restoran

Hampir 11.30 kami tiba di Hamamatsu dan kami berlegar-legar di Big Jusco untuk melihat-lihat dan sedikit shopping. Rata-rata juru jual mengucapkan selamat datang berkali-kali – irashai mase - sambil mengangguk sopan. Kebetulan kami mencari satu barang, dan bertanya kepada seorang juru jual, dia berlari-lari anak menunjukkan tempat yang dihajati. Di manapun apabila kita memerlukan perkhidmatan, pelanggan adalah nombor satu, dan diberikan layanan kelas pertama.


Juru jual yang sangat gembira bekerja mementingkan pelanggan

Letak saja barang di kaunter terus diberikan ucapan terima kasih berkali-kali, kerana sudi membeli di gedung tempat dia bekerja mencari rezeki – arigato huzaimas! Bukan main lagi budak-budak tu shopping. Adik beli kasut sukan, dan sepasang untuk alang. Bukan itu saja adik juga beli beg sendeng dan satu untuk alang, tak lupa disambarnya sehelai jaket yang cantik. Angah minta dibelikan sepasang sut seluar dan kot untuk persediaan temuduga kerja bulan Jun nanti.


Menggayakan suit pilihan

Papa ambil kesempatan beli jaket kerana banyak yang elok-elok. Mama lebih suka beli sayuran dan buah-buahan kerana seronok tengok angah makan dengan enjoynya. Mama juga beli ration untuk dua tiga hari kerana nak masak untuk bekal berjalan ke Nagoya dan lain-lain.

Jam 3.15 petang kami bertolak balik ke Toyohashi – sampai di rumah masih sempat sembahyang jamak zohor dan Asar. Cuaca sangat selesa – angin sepoi-sepoi bahasa – angin musim sejuk yang terakhir dalam menuju musim bunga, kadang-kadang ok, kadang–kadang tak ok – tapi memang nice weather hari ni.

Kami masak dan makan tengah hari agak lewat tapi sangat berselera – sayuran yang segar, dan buah-buahan yang enak. Angah sangat seronok kerana boleh makan masakan mak seperti di rumah dan makan banyak buah-buahan yang tidak mampu dibelinya jika tiada kami. Kasihan itulah cabaran berlajar di luar negara – semua perbelanjaan mesti dihitung betul-betul supaya mencukupi, jadi benda yang mewah seperti buah-buahan kalau boleh dielakkan – beli yang perlu sahaja. Petang kami rehat sambil buat persiapan untuk melawat Nagoya esoknya. Untuk itu malamnya kami buat keputusan makan di luar, makanan Jepun shushi......


Makan malam di kedai shushi , sedang memilih sushi untuk dipesan

Sushi yang dipesan sudah sampai, dihantar shin kan sen

Malam sampailah hajat angah untuk bawa kami ke kedai sushi. Restoran sushi sangat moden – order pun pakai touch screen komputer, terus dihantar oleh shin kan sen mini kepada kami dalam beberapa minit. Malangnya mama dan papa hanya makan tiga keping sushi dengan tempura udang. Angah makan berpinggan-pinggan sushi, adik cuba nak ikut makan banyak, tapi tak jalan makan ikan mentah dengan sushi. Last sekali balik rumah makan nasi dengan telur dadar dan sup sayur – jauh lebih sedap dan puas rasanya.

Friday, June 24, 2011

Day 2 - 15Mac 09 – BERKELAH DI TAKESHIMA CHO, GAMAGOUR I (2)





Dalam perjalanan kelihatan suasana musim luruh


Tiba di Takeshima Park



Kelihatan pondok rehat terbuka di belakang sebelah kiri

Puas menghirup udara pantai di Yamaha Marina, kami beredar ke Takeshima Cho. Sepanjang jalan jelas kelihatan suasana musim luruh yang terasa masih sangat sejuk – pohon-pohon sakura sepanjang jalan, kelihatan batang dan rantingnya sahaja. Sesekali terjumpa dengan pokok sakura yang sudah mula berbunga. Pokok ume sudah berbunga lebat dan pokok bunga renek sudah berbunga ramah di sepanjang jalan cantik dan sungguh berwarna warni. Sesekali ternampak sekumpulan budak-budak sekolah berpakaian seragam sekolah walaupun hari cuti Ahad dalam perjalanan pulang ke rumah. Kanak-kanak sekolah di Jepun memang suka pakai baju sekolah kerana baju sekolah mereka cantik dan sangat kemas. Mereka sangat bangga kerana baju sekolah melambangkan sekolah masing-masing. Jadi walaupun hari cuti mereka berpakaian seragam sekolah.


Padang rumput yang luas dan cantik

Asyik mendengar berbagai cerita sepanjang jalan tanpa kami sedari, jam sudah 2.00 petang, seronoknya kami sudah tiba di Takeshima Park. Kelihatan dengan cantiknya, padang rumput yang luas terbentang berwarna keperangan menghadap laut yang membiru, tambahan pula suasana kelihatan lebih indah apabila memandang ke hadapan, Pulau Takeshima yang dihubungkan dengan jambatan sepanjang lebih kurang 200 meter nampak sangat anggun dan nyaman. Di tepi laut ramai pengunjung memberi burung merpati dan burung layang-layang makan roti atau kacang. Sangat banyaklah burung berterbangan menyambar makanan. Kanak-kanaklah yang sangat seronok dan bangga kerana terasa sangat hebat dapat memberikan makanan yang di baling dengan tepat kepada burung-burung yang sedang terbang.


Menikmati pemandangan Pulau Takeshima

Menikmati suasana keceriaan bermain dengan burung merpati di tepi pantai

Angin sudah mula kencang semasa kami mula berjalan melalui jambatan ke Takeshima Island. Dengan jelas dapat kedengaran bunyi siulan angin, membelah tiang-tiang lampu di sepanjang jambatan yang panjang itu, sejuknya sampai ke tulang hitam, walaupun memakai jaket tebal. Kelihatan sangat ramainya orang di atas jambatan mengunjungi pulau itu, pada hari hujung minggu untuk berehat bersama keluarga. Namun kelihatan juga, ramai yang tidak menggunakan jambatan, tapi berjalan di pasir kerana air laut surut hingga ke pulau. Sangat jelas kelihatan kebanyakan pengunjung terdiri daripada pasangan baru berkahwin, atau pasangan kekasih atau keluarga yang mahu sembahyang memohon restu untuk kesejahteraan hidup, kerana di pulau itu didirikan kuil tempat mereka bersembahyang. Sesekali kelihatan pelancong seperti kami, tapi tidak ramai.


Jambatan menuju ke Pulau

Pengunjung yang ramai menghirup udara segar menuju ke Pulau

Tempat peranginan di Jepun memang tidak bergantung kepada pelancong luar, kerana penduduknya yang ramai, dan rasa cinta dan bangga yang mendalam kepada negeri sendiri. Sampai di pulau kami mengambil tempat di atas batu-batu di tepi pantai untuk makan tengah hari kerana suasana sejuk menjadikan kami lebih cepat lapar. Sambil itu kami dapat lihat anak-anak dibawa ke tepi pantai untuk ditunjukkan spesis kepah yang dilindungi di situ. Dengan jelas ditulis di papan tanda ’Dilarang mengutip kepah kerana spesis itu dilindungi supaya tidak pupus’.


Mencari tempat untuk menikmati jamuan tengah hari

Setelah selesai makan tengah hari, oleh kerana sudah lampau waktu asar kami sembahyang jamak zohor dan asar di park itu. Kebetulan di sebelah tandas ada sebuah balai rehat yang luas, lapang dan bersih. Dengan berlapikkan mafla kami sembahyang di balai itu – lebih sempurna daripada sesetengah surau di Malaysia yang kurang tahap kebersihannya. Sebelum balik kami menghirup udara nyaman di taman yang luas itu, bersama ratusan pengunjung yang lain, kerana kebetulan hari itu, cuti hari Ahad. Adik bukan main lagi syoknya berguling-guling di rumput kering yang kelihatan sangat luas dan bersih. Nampak jelas papan tanda memainkan peranan penting membentuk sikap masyarakat Jepun ke arah menjaga kebersihan.


Melayan adik menikmati keindahan padang rumput


Di sana sini di taman itu penuh dengan papan tanda seperti tempat buang sampah kitar semula dan sebagainya.Tapi yang paling menggelikan hati kami ialah papan tanda berbunyi ’Najis anjing tanggung jawap pemiliknya’. Maksudnya bukan sampah saja yang tidak dibuang di merata-rata, tapi najis anjing juga dipungut oleh tuannya dan dibawa balik ke rumah.

Pukul 5.00 petang kami balik ke rumah, cadang nak menjamu selera di restoran sushi, tetapi oleh kerana terlalu ramai pengunjung, kami makan malam masakan sendiri di rumah – ayam masak merah, togeh goreng tauchu dan sup sayur segar. Malam itu dengan perut kenyang, cuaca sejuk dan keletihan yang amat sangat kami tidur mati sampai ke pagi.

Day 2 - 15 Mac 09 – BERKELAH DI TAKESHIMA CHO, GAMAGOURI (1)





Di hadapan Erume Hall sedia untuk berpariwisata


Subuh hari pertama di Erume Hall masuk pukul 4.45 pagi. Matahari terbit jam 6.00 pagi di negara matahari terbit itu. Suasana pagi yang sejuk dan nyaman (12 degrees Celcius) menjadikan kami sangat lapar. Jadi lemang masakan angah dan rendang yang dibuatnya memang sangat sedap. Memang ada art of cooking anak dara ni, mungkin warisan neneknya yang memang selalu menjadi tekong masak di kampungnya sejak sekian lama. Tambahan lagi, bau aroma nescafe memang sangat menyegarkan pagi, kami menikmati hidangan sarapan selepas 7 bulan tidak sarapan bersama-sama, dengan penuh perasaan gembira.

Selepas sarapan, sementara menunggu angah dan adik siap, kami menghirup udara bersih, menikmati suasana pagi yang sangat dingin di sekitar apartmen. Erume Hall terletak di Sanbongi Cho, sebuah kawasan penempatan seperti kampung, sangat padat tapi sangat moden dan bersih. Rumah banglow yang dibina sehingga habis tanah yang ada, menampakkannya seperti kawasan perumahan link-house di Malaysia. Ada satu kawasan kebun sayur di situ. Pelbagai tanaman sayuran nampak sangat segar. Kelihatan dua tiga orang separuh umur, sedang tekun berkebun – sedang meletakkan baja pokok, mencabut pokok yang sudah tua dan mengutip bunga kobis untuk di bawa pulang bagi sajian hari itu.

Kebun sayur di kawasan perumahan moden

Jam 11.00 pagi, Selepas semua bersedia kami meninggalkan rumah menuju ke Takeshima Cho, Gamagouri. Makanan bekal yang dibawa ialah sanwic dan biskut kerana memang susah untuk mendapatkan makanan halal di Jepun selain sushi dan vegetarian food, dan lagi di Takeshima memang tidak ada tempat untuk makan, kerana ia seperti theme park di tepi pantai. Sepanjang perjalanan ke sana yang makan masa 1 jam setengah, nampak jelas musim suasana musim luruh, di sepanjang jalan pohon-pohon semuanya kelihatan tidak berdaun. Sesekali kelihatan beberapa pokok yang baru berbunga lebat, ini satu pemandangan ke arah permulaan musim bunga yang sudah hampir tiba.


Jalan masuk ke tempat parking Yamaha Marina dan Lagunasia


Hadapan Lagunasia yang indah


Yamaha Marina yang indah

Deretan kapal layar mewah

Sejam perjalanan, kami singgah di kawasan Lagunasia Theme park danbersebelahannya terletak di tepi laut, satu kawasan rehat bermaklumat milik Yamaha. Selepas masuk kawasan parking dengan harga (RM 24), kami bersiar-siar ke tepi laut di Yamaha Marina – tempat simpan perahu layar persendirian antara bangsa yang mewah. Tanah kawasan milik Yamaha ini pernah menjadi tempat perlawanan perahu layar pada tahun 2004 dahulu dan Jepun pernah menduduki tempat keempat dalam pertandingan yang berprestij itu. Inilah hebatnya Jepun semuanya diabadikan dalam bentuk pameran di sini, sehingga saya yang berkunjung ke sini tahun 2009 dapat mengikuti sejarah yang telah berlaku 5 tahun lalu dalam bentuk yang sangat simple, cantik, berinformasi dan everlasting terjaga rapi dengan cantik dan bersihnya. Terdapat juga sedikit maklumat tentang bagaimana strategi Jepun membuat penyelidikan, mencipta bentuk dan membina perahu layar yang hebat untuk memenangi perlawan, sehingga dapat menduduki tempat keempat dunia dalam perlawanan itu.


Maklumat sejarah Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa


Pembinaa Perahu Layar


Sedang kami bersiar lalu seorang lelaki tua baru balik mencari kepah di tepi pantai – dengan bangganya menunjukkan kepah itu kepada kami. Adik sangat teruja melihat kepah yang sama dengan kepah di Malaysia – tapi oleh kerana tidak pernah terjumpa – nampaklah sangat ketara ketidaktahuannya tentang kepah itu.


Memenuhi masa lapang dengan berfaedah


Di satu sudut lain diletakkan maklumat tentang awan, arah angin, dan tekanan udara dengan cara yang sangat mudah boleh menentukan cuaca. Begitu juga dengan jenis awan dapat menentukan cuaca pada hari itu – semua info itu dipamerkan seperti hiasan taman yang cantik, dengan tujuan memberi maklumat kepada pengunjung, kerana di tepi laut memang mudah dapat mengesan arah angin dan sebagainya lagi.


Keterangan jenis-jenis awan

Semua maklumat disampaikan dengan ringkas, mudah, padat dan menarik serta berkesan memberikan ingatan kepada sesiapa yang berkunjung di tempat itu. Agaknya kemajuan Jepun tidak lain kerana rakyatnya berilmu dan kerajaan berusaha keras dengan bersungguh-sungguh menyebarkan ilmu kepada rakyatnya, walau di mana saja, dalam bentuk yang sangat mudah dan santai serta membentuk sebahagian daripada hiasan taman yang mengasyikkan.

Tuesday, June 21, 2011

MENJENGUK UNIVERSITI TOYOHASHI


Universiti Toyohashi

Lepas makan tengah hari, kami tidur sekejap untuk rehatkan badan. Bangun lepas asar, kami siap untuk pergi seight seeing ke universiti angah – suasana sangat sejuk kerana angin kuat – sampai basikal di tempat letak basikal, semua jatuh dan dapat didengar deruan angin yang sangat kuat.

Dalam tiupan angin kencang, kami berjalan-jalan juga, kerana dijangkakan sudah tidak ada masa lagi untuk datang kembali. Kawasan universiti tersergam indah bangunannya. Di sepanjang jalan kelihatan deretan pokok sakura yang gondol tidak berdaun di musim luruh ini . Yang kelihatan hanya batang dan rantingnya yang kehitaman, tapi sangat unik dan menarik, dan jarang pula kelihatan di Malaysia. Suasana kelihatan lagi menarik dengan Jalan-jalan yang bersih, padang rumput yang kuning kekeringan pun nampak sangat bersih dan dijaga rapi.

Kami menghabiskan masa jalan-jalan sekitar universiti yang besar itu. Tidak ada sepatah perkataan pun yang boleh dibaca, semuanya bertulisan kanji Jepun. Bahasa Inggeris langsung tidak kelihatan seperti kita di Malaysia. Memang mereka maju dalam acuan mereka sendiri, tidak sedikit pun perlu bahasa asing untuk memajukan pemikiran, dan memajukan teknologi, tapi mereka membuktikan mereka boleh lakukan sendiri. Kami dibawa ke Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Toyohashi, tempat angah belajar. Kalau tidak diberitahu, kami yang buta huruf Jepun tidak pun tahu kami di mana. boleh sesat, jika ditinggalkan sendirian di situ. Kelihatan bangunannya sedang dalam proses renovation dan sangat berbau cat sehingga menyucuk hidung. Semua arahan dan papan tanda minta maaf atas kesulitan pun tidak boleh kami baca, diterjemahkan untuk kami memahaminya.Hai Jepun ....

Pokok ume

Di sana sini ditanam pokok ume yang sudah mula berbunga, merah bercampur jingga, yang kelihatan sangat anggun. Sepanjang jalan terbaris pokok–pokok sakura yang hanya kelihatan batang dan ranting, yang berwarna kehitaman tanpa sebarang daun, tapi jelas kelihatan kudup bunga yang menunggu masa untuk kembang tidak lama lagi. Pokok-pokok semuanya tidak berdaun – kerana hujung musim luruh hampir masuk musim bunga, semua daun sudah gugur jadi cuaca tidak menentu, kadang-kadang hujan kadang-kadang panas pula.

Senja datang kami meninggalkan universiti. Cuaca sangat sejuk kerana hujan dan angin yang kuat. Kami menuju ke Jusco selepas mengisi minyak penuh-penuh – harga minyak di Jepun tiada subsidi, ikut harga pasaran dunia. Alangkah baiknya kerajaan Malaysia, kita masih boleh menikmati harga minyak yang agak rendah berbanding negara lain seperti Jepun. Penuh tangki minyak diisi,harganya lebih kurang RM240. Wow.... Tapi dek layanan pekerja di pam minyak sangat mesra pelanggan dan komited, rasa berbaloi - pay for the service also, ha, ha.

Stesen minyak yang mesra pelanggan

Di Jusco, Sayur sangat fresh, buah-buahan juga, tapi harganya sangat mahal jika diconvert kepada ringgit. Kami beli sedikit sayuran dan buah-buahan untuk makan dua tiga hari.

Adik sempat shopping seluar jeans untuk menambah koleksinya. Aku beli sehelai jacket, kerana tidak tahan dengan cuaca yang agak sejuk di akhir musim luruh itu. Semasa menunggu giliran untuk keluar dari parking, aku kagum melihat, dalam hujan dan kedinginan malam, pengawal keselamatan bekerja dengan penuh kesungguhan mengarahkan perjalanan trafik di Jusco itu. Sungguh hebat budaya kerja di negara maju macam Jepun. Pekerja kelihatan sangat suka bekerja, dan enjoy bekerja walaupun hanya sebagai pengawal di pasaraya. Kalau di Malaysia pengawal keselamatan duduk atau berdiri tanpa melakukan apa-apa sepanjang masa bekerja. Alangkah jemunya bekerja seperti itu. Sungguh berbeza pemikiran orang negara maju, sangat rajin dan tekun berbanding negara sedang membangun seperti Malaysia.

Sampai di rumah, walaupun sudah malam kami masak sup sayur dan goreng ikan untuk dinner. Sangat sedap kami makan, sambil borak-borak tentang macam-macam cerita. Tambahan pula dapat memanaskan badan sambil makan-makan, kerana suhu di bawah meja dapat dipanaskan dalam cuaca sejuk. Suasana makan malam bersama anak-anak, sangat bahagia dan mengasyikkan – dapat berkumpul anak beranak sejak sekian lama tidak bertemu.

Kerana terlalu letih kami semua tidur awal. Cuaca dingin membungkus kami sehingga lena dengan sangat nyenyaknya. Tambahan pula suasana sangat sunyi – tiada bunyi sebuah kenderaan pun selepas jam 9.00 malam di Sanbongi Cho. Kalau di Malaysia, jam 9 orang masih ramai di luar dan malam baru bermula, suasana di jalan masih ramai dan meriah. Patutlah tiada banyak masalah sosial di Jepun, kerana waktu malam, semua orang berada di rumah bersama keluarga. Malam pertama di Jepun itu, kami dapat rehat sepuasnya, selepas sehari semalam perjalanan dari Alor Setar Ke Singapura, ke Nagoya hingga ke Sanbongi Cho, dengan selamatnya.

DARI NAGOYA KE TOYOHASHI – 14 MAC 09




Nagoya Airport

Sampai di Nagoya pukul 8.00 pagi waktu Jepun, selep
as 6 jam berada di awan biru. Kelihatan dari jendela pesawat Singapore Airlines yang kami naiki, hujan lebat, dan air membasahi landasan. Dari kapal terbang yang bergerak lembut, jelas dapat dilihat, pemandangan sepanjang landasan berada bersebelahan laut yang biru, nampak sangat cantik. Landasan yang basah, laut yang membiru, deretan kapal terbang yang sedia mendarat di terminal, dan kerinduan yang sarat, menjadikan suasana pada pagi yang dingin itu, sungguh indah dan bahagia.

Sungguh amat terharu, sungguh amat bersyukur, dengan izin Allah yang memberikan rezeki, yang menyediakan kelapangan masa, juga yang memberikan kesihatan segala, membolehkan serta mengizinkan kami bertiga, dapat sampai ke negeri matahari terbit ini, dengan selamatnya. Dalam kedinginan pagi, kami berjalan mengikut arahan papan tanda di Nagoya Airport, untuk mengecop passport. Kami beratur menunggu giliran, dalam barisan yang tidak begitu panjang kerana amat sedikit pelancong asing yang masuk ke Jepun pada waktu itu. Jika dihitung-hitung kelihatan lima orang sahaja orang Melayu berkulit sawo matang termasuk kami, yang lainya ada sebilangan kecil orang China, tapi mereka tak jauh beza dengan orang Jepun – berkulit putih dan bermata sedikit sepet. Tidak lama beratur menunggu giliran, kami dipanggil ke kaunter untuk diberi kebenaran masuk, dengan menyemak passport.


Urusan imigresen agak lama dan makan masa dengan pelbagai soalan – nampak sangat ketat untuk orang luar masuk ke Jepun, tambahan pula pelawat dari negara dunia ketiga. Sudahlah untuk mendapatkan visa pelancong juga amat cerewet, untuk masuk di kaunter imigresen pun juga susah. Antara soalan, kalau mahu melawat anak, berapa tarikh lahir anak yang akan dilawati. Suami saya yang terkadang lupa birthday anaknya, menjawab nakal. Sudah diberitahu dalam permohonan visa dulu, kenapa ditanya lagi. Si pegawai tadi menjawab selamba, memang sengaja ditanya untuk kepastian. Akhirnya dia mengucapkan selamat datang dan selamat melancong ke Jepun. Semoga bergembira dan selamat bertemu anak yang dikunjungi. Lega rasanya selepas passport kami dikembalikan dengan tunduk sopan serta senyuman.


Selesai urusan imigresen, keluar saja dari arrival hall, kami sudah nampak angah tersenyum lebar menunggu di ruang legar. Lega rasa hati dan sangat gembira, kerana perasaan kami sangat sarat dengan rasa rindu, lantaran sudah setahun tidak berjumpa. Kami minum kopi di Starbuck airport dan makan bihun yang angah masak – sedap juga, sebab semasa dalam flight, muslim food yang disajikan langsung tidak menyelerakan dan kami tidak berselera nak jamah pun – bihun goreng kuah kacang yang sangat pelik rasanya.


Naik keretapi ke Takashi

Menunggu tren ke Toyohashi


Lepas minum kami beredar naik train, kemudian tiba di Takashi, lebih kurang setengah perjalanan, dalam masa 45 minit, kami menukar keretapi ke Toyohashi pula. Sampai di Toyohashi hujan agak lebat dan angin sangat kuat. Tak terdaya untuk kami keluar dari stesen. Angin yang mencuri-curi masuk ke dalam stesen, terasa sangat sejuk hingga ke tulang, walaupun kami sudah berbaju tebal. Akhirnya kami meredah hujan dan angin yang kuat itu, menuju ke kereta. Nasib baik dalam kereta dipasangkan heater, kuranglah sedikit kesejukan yang dialami.


Stesen Toyohashi

Kesejukan menunggu kereta

Tiba di Erumi Hall


Kami naik kereta lebih kurang 10 minit, kemudian sampailah ke rumah angah – Erume Hall, Daerah Sanbongi Cho, Bandar Toyohashi, dalam negeri Aichi. Ada dua bangunan di situ, masing-masing terdiri daripada 8 unit apartmen yang semuanya disewa. Ia siap dilengkapi parking lot untuk semua penghuni bagi setiap unit. Rumah angah, salah sebuah apartmen di bangunan dua tingkat. Apartmen angah terletak di tingkat bawah, ada tiga bilik yang dikongsi bertiga dengan rakan-rakannya. Kebetulan mereka berdua balik bercuti, maka kami anak beranak rasa seperti berada di rumah sendiri pula. Meninjau di luar rumah bahagian belakang kelihatan kebun kobes, dan sayuran lain, ditanam berbaris-baris, kelihatan sungguh segar. Ada juga pokok limau sunkis yang lebat buahnya menghiasi halaman apartment jiran terdekat. Menurut angah setiap satu kawasan perumahan akan disediakan satu tapak kebun untuk bercucuk tanam. Dan sayuran yang ditanam pula dapat dijual di kedai selain untuk dimakan sendiri.


Monday, June 20, 2011

MELANCONG KE JEPUN 13 MAC 09






Sebelum terbang ke Nagoya melalui Singapura



Check in


Sejak Angah ke Jepun tahun 2006, kami sudah merancang untuk menjenguknya di negeri matahari terbit itu. Dua tahun dia di Maizuru Technical College, yang terletak di sebuah kawasan agak pedalaman, dan kemudian dia berpindah pula ke Universiti Toyohashi. Mulanya kami bercadang untuk bersamanya meraikan Majlis Konvokesyen. Tapi majlis konvo di Jepun, tidak seperti yang selalu kita raikan di Malaysia, jadi kami buat keputusan melawat angah, semasa cuti panjang sebelum dia tamat belajar. Amat sukar proses mendapatkan visa bagi ke Jepun. Bermula dengan membeli tiket penerbangan pergi dan balik, mendapat jemputan dari Jepun, dan mengisi borang-borang yang penuh dengan birokrasi. Bukan itu saja, kami terpaksa menunggu sehingga sebulan pula. Akhirnya pada petang sehari sebelum penerbangan barulah kami mendapat visa untuk melancong ke Negara matahari terbit itu. Kalaulah tidak kerana melawat anak, rasanya tidak sanggup kami berurusan untuk ke sana. Ingin dikongsikan bersama Tour Itternary yang disediakan bagi mendapatkan visa melancong ke Jepun, dan inilah rangka lawatan sepanjang kami berada di Jepun bersama angah.


Selamat sampai Nagoya Airport

Nagoya Airport waktu pagi

TOUR ITTERNARY – JAPAN VISIT – 13 MAC TO 23 MAC 2009

13 MAC 2009

FLIGHT FROM ALOR SETAR TO KL - 8.30 AM. TO SINGAPORE - 5.30PM TO NAGOYA 1.00 AM

DAY 1 - 14 MAC 2009

ARRIVE IN NAGOYA – TRAIN TRIP TO TAKASHI – CHANGE TRAIN TO TOYOHASHI – VISIT TOYOHASHI UNIVERSITY

DAY 2 - 15 MAC 2009

VISIT TO GAMAGOURI THEME PARK – BEACH AND GARDEN

DAY 3 - 16 MAC 2009

TRIP TO HAMAMATSU – SHIZUOKA - TOWN TRIP – SEIGHTSEEING, AT JUSCO

DAY 4 - 17 MAC 2009

TRIP TO NAGOYA BY SHIN KAN SEN - FROM TOYOHASHI CENTRAL TO NAGOYA CENTRAL – BUS TRIP TO NAGOYA CASTLE, TOKOGAWAEN, TELEKOM TOWER, NORITAKE GARDEN

DAY 5 - 18 MAC 2009

TOUR AROUND AICI PREFECTURE – SEIGHTSEEING AT VEGETABLE GARDENS ALONG THE WAY TO TOYOHASHI UNIVERSITY

DAY 6 - 19 MAC 2009

TOUR TRIP TO TOKYO - BY SHIN KAN SEN FROM TOYOHASHI CENTRAL - CITY TOUR BY TRAIN – TOKYO TOWER, HARAJUKU STREET, SHINJUKU, UENO GARDEN, UENO STREET SHOPPING

DAY 7 - 20 MAC 2009

REST DAY – GROSSARY AT COOKMART, TOYOHASHI TOWN TRIP – NIGHT - FAREWELL DINNER AT TOYOHASHI UNIVERSITY

DAY 8 - 21 MAC 2009

VISIT TOYOHASHI NATURE CENTRE – ENJOY CHERRY BLOSSOM IN THE GARDEN

DAY 9 - 22 MAC 2009

LAST DAY IN JAPAN JUSCO TOYOHASHI TOWN – PACKING DAY

DAY 10 - 23 MAC 2009

DEPART FROM NAGOYA TO MALAYSIA VIA SINGAPORE

24 MAC 2009

FLY BACK TO ALOR SETAR AFTER A NIGHT STAY IN KL PAN PACIFIC – REST DAY

Tuesday, June 7, 2011

Pembinaan Modal Insan

Saya ingin berkongsi tulisan dan pengalaman seseorang yang telah lama ditulis dan disiarkan dalam Utusan Malaysia untuk renungan bersama.


9/9/07
Daerah Maizuru seperti di kawasan-kawasan ‘kampung’ lain juga di Jepun. Dalam suasana pagi yang dingin, kawasan luar bandar seperti ini kerap berkabus, tetapi tenang dan harmonis. Maizuru hanyalah sebuah pekan kecil di pinggir laut sebelah utara Pulau Honshu. Ia jauh dari hiruk pikuk kehidupan kota yang bising dan sibuk segalanya. Bandar besar terdekat dengannya ialah Osaka, kira-kira 2 jam perjalanan bas, atau Kobe, kira-kira sejauh ke Osaka juga.Dalam musim dingin, pada jam 6.00 pagi sudah kelihatan matahari di ufuk timur. Pada jam 8 pagi, matahari sudah tinggi di negeri matahari terbit ini. Inilah masanya, kelihatan suasana agak sibuk. Ketika ini berduyun-duyun di jalan, anak-anak kecil menuju ke destinasi masing-masing, iaitu sekolah. Namun, keadaannya tetap tenang, tidak berserabut dengan hiruk pikuk dan deruan kereta di jalan-jalan. Anak-anak kecil dan murid-murid sekolah rendah boleh dikatakan hampir kesemuanya berjalan kaki ke tadika atau sekolah mereka.BERJALAN KAKI? YA! BERJALAN KAKI. Inilah kelainannya. Sejak dari umur Tadika mereka berjalan kaki ke tempat belajar. Agak jauh. Malah ada yang berjalan hingga kira-kira setengah kilometer dari rumah masing-masing. Dengan itu, tidak berlaku kesibukan kenderaan di hadapan pintu sekolah mereka. Tidak ada deruman enjin motosikal di dalam kawasan sekolah. Keadaan sangat tenang dan harmonis.Semasa pulang, keadaannya juga demikian. Murid-murid kecil ini pulang bersendirian, tanpa dijemput oleh ibu-bapa mereka. Bagi yang berjauhan biasanya mereka kelihatan berjalan berkelompok.Mengapakah orang Jepun membiarkan anak mereka berjalan sendirian pergi-balik ke sekolah? Sikap ini mungkin sukar untuk kita padankan dengan keadaan kita di Malaysia. Jika difikirkan tentang kemampuan tiap keluarga, mereka jauh lebih mampu, kalau setakat hendak menghantar anak ke sekolah dengan kereta masing-masing.Ini adalah suatu cara mendidik anak mereka, mungkin, supaya mulai belajar berdikari. Bagi kita mungkin tidak terlalu mudah melaksanakannya, memandangkan keadaan keselamatan yang masih menghantui kita. Baik keselamatan yang bersifat kriminal mahu pun keselamatan jalan raya. Kita boleh memuji mereka kerana telah berjaya menghasilkan situasi yang begitu selamat untuk rakyat mereka.Manakala pelajar peringkat sekolah menengah pula, kebanyakannya menunggang basikal ke sekolah. Mereka tidak menaiki motosikal seperti kita. Atau naik bas. Atau dihantar oleh ibu bapa mereka. Mereka selesa menunggang basikal.Suasana seperti ini sungguh berlainan dari suasana pagi di tempat kita. Cuaca mungkin membantu mereka mempunyai sikap seperti itu. Mengayuh basikal dalam keadaan yang dingin tidak terlalu memenatkan. Keadaan cuaca panas mungkin menjadi suatu penghalang utama kepada kita untuk menyuruh anak-anak mengayuh basikal ke sekolah. Namun, ada banyak sikap positif lain yang boleh kita pelajari.Jepun tidak mengadakan pakaian seragam bagi murid sekolah rendah di seluruh negara. Mereka hanya mempunyai pakaian seragam bagi sekolah menengah masing-masing sahaja. Jadi, pakaian seragam bagi sesuatu sekolah tidak sama dengan sekolah lain. Itu bagi sekolah menengah. Bagi murid sekolah rendah, langsung tidak ada pakaian seragam yang khas. Mereka boleh memakai pakaian apa sahaja yang sopan. Baju, seluar dan kasut tidak perlu seragam.Jadi, bagaimana kita hendak kenali anak-anak sekolah di luar kawasan sekolah? Mereka boleh dikenali kerana membawa BEG SEKOLAH yang sama. Jadi, yang seragam hanyalah beg sekolah mereka. Inilah identiti anak-anak sekolah di Jepun. Mereka hanya boleh dikenali ketika menggalas begnya.Beg seragam ini dijual oleh pihak kerajaan. Kalau di tempat kita, perkara beg ini sudah tentu boleh menjadi isu besar, kerana harganya ialah antara 30,000 hingga 50,000 Yen, iaitu kira-kira sama dengan RM 1000.00 (Seribu ringgit). Namun, bagi mereka perkara ini sudah biasa. Walau pun mahal tetapi berkualiti tinggi. Lagi pula, soal harga bukan perkara besar bagi mereka kerana rata-rata mereka berpendapatan tinggi.Beg ini diperbuat daripada kulit. Dan hanya beg inilah yang akan digalas oleh seseorang murid itu, dalam sepanjang pengajiannya di sekolah rendah, dari darjah satu hingga enam. Ukurannya tidak terlalu besar. Sepadan dengan buku-buku mereka juga tidak terlalu besar, hanya sebesar buku-buku komik 'Doraemon’. Tidak terlalu berat dan memenatkan untuk digalas sejauh setengah kilometer. Corak buku yang tidak terlalu besar ini juga berlaku bagi peringkat sekolah menengah dan kolej-kolej pengajian peringkat lebih tinggi.Setiap murid mempunyai sepasang kasut berwarna putih yang mesti ditinggalkan di sekolah, tidak boleh dibawa pulang ke rumah. Semua murid pergi ke sekolah dengan menggunakan kasut sendiri, kemudian ditukar dengan kasut khas ketika berada di sekolah. Kasut sendiri disimpan dalam rak khas, hinggalah ditukar semula semasa hendak pulang nanti. ’Pengurusan keseragaman’ kasut seperti ini dilakukan di sekolah rendah dan juga menengah.Selain itu mereka juga mempunyai sepasang lagi kasut khas untuk memasuki Dewan Sekolah. Perkara ini diamalkan supaya lantai dewan itu tidak cepat rosak. Kasut khas ini tidak dibenarkan dipakai di luar atau menyentuh tanah kerana dikhuatirkan sebarang pasir yang melekat boleh mencalarkan lantai.Perkara ini sangat penting dan dipatuhi oleh semua murid mereka. Semenjak kecil mereka telah ditanam disiplin seperti ini. Mengajar disiplin adalah kunci utama pengajaran mereka diperingkat awal.Butir-butir pengajaran secara ’detail’ mungkin telah kita remehkan, tetapi tidak bagi orang Jepun. Misalnya, tentang disiplin ketika makan sangat ditekankan di sekolah. Di sekolah rendah, makanan tengah hari disediakan dan murid-murid bergotong-royong SESAMA SENDIRI untuk mengedarkan makanan.Di Malaysia mungkin perkara ini boleh menjadi isu besar juga dan boleh disalah tafsir sebagai ’penderaan’ murid, terutamanya yang masih berumur sangat muda. Murid diwajibkan membasuh pinggan makanan sendiri setiap hari, dalam sepanjang pengajian mereka. Mereka juga terpaksa mengangkat dan mengagihkan sendiri makanan yang disediakan oleh pihak sekolah. Semuanya mereka belajar urus sendiri dengan bantuan guru. Dan mereka melakukannya dengan penuh kegembiraan.Setiap hari murid bertugas yang dilantik akan mengangkat periuk makanan yang dimasak oleh tukang masak sekolah dari bilik masakan ke bilik darjah dan membahagikan makanan ke dalam bekas makanan yang dibawa sendiri oleh murid-murid. Tetapi yang menjadi perhatian saya adalah terlampau telitinya mereka: murid yang bertugas dan guru juga, tidak pernah lupa memakai pakaian ala chef yang lengkap dengan apron, penutup kepala serta 'mask’. Perkara pakaian khas seperti ini menjadi kewajipan semenjak kecil lagi, hingga tertanam dalam sanubari mereka. Keadaan inilah yang tidak ada di negara kita dan mungkin boleh dipelajari dalam pembinaan jiwa. Murid-murid akan membawa bekas makanan masing-masing ke tempat pengedaran makanan dan beratur dengan tertib untuk menunggu giliran masing-masing. Setelah makanan diedarkan kepada semua murid, mereka akan duduk di tempat masing-masing menunggu untuk memulakan juadah dengan serentak, iaitu apabila dibenarkan oleh gurunya.Makanan yang disediakan itu pula memang memenuhi keperluan untuk tumbesaran, tetapi tidak berlebihan. Contohnya ubi kentang sebagai karbohiderat, ikan sebagai protein, beserta sayur-sayuran dan susu. Mereka juga akan menjamah makanan sehingga habis. Ini suatu kemestian. Kalau tidak habis semua orang akan tunggu sehinggalah murid itu habiskan makanan sendiri.Setelah selesai makan, semua orang basuh pinggan sendiri. Murid yang bertugas pula menghantar semula periuk-periuk ke tempat penyediaan makanan. Mereka juga diajar supaya patuh kepada sistem kitar semula (recycle) bahan sisa. Sebagai contoh, kotak susu akan diletakkan di dalam plastik khas dan tidak boleh dibuang sesuka hati. Sisa-sisa makanan dibuang ke dalam plastik yang disediakan.Perkara remeh seperti cara-cara membasuh tangan juga diajar dan diamalkan setiap hari sebagai latih-tubi. Perkara ini mula diajar semasa umur pra-sekolah (tadika). Sebelum makan, selepas makan, selepas main, selepas kerja dan sebagainya, tangan mesti dibasuh. Perkara ini sudah menjadi 'habit’. Membasuh tangan pula mesti pakai sabun khas untuk tangan (hand soap). Banyak iklan ditonjolkan dalam media seperti televisyen yang menyarankan kanak-kanak supaya membasuh tangan. Kadang-kadang penekanan seperti ini nampak remeh bagi kita, tetapi sangat penting bagi mereka.Di setiap sekolah rendah diadakan padang, ’playground’ dan kolam renang, di seluruh negeri Jepun. Oleh itu mereka dapat melaksanakan kehendak supaya semua rakyat Jepun tahu berenang. Perkara ini mungkin masih sukar untuk kita capai kerana pengurusan yang memerlukan belanja besar.Namun, mereka mempunyai cara untuk membantu mengurang perbelanjaan pengurusan ini. Nampaknya, mereka kurang gemar kepada acara sambutan atau event secara besar-besaran. Contohnya, seperti hari penyampain hadiah atau sambutan hari guru, hanya dilakukan ala kadar. Sikap seperti ini diteruskan sampai ke peringkat universiti. Memanglah kelihatan tidak ’grand’ langsung.! Tetapi ini mungkin cara mereka untuk berjimat.Rakyat Jepun mempunyai jiwa yang penuh disiplin dan ’sivik’. Biar di mana saja mereka berada. Di tempat kerja atau di jalan raya. Mereka adalah bangsa yang tekun bekerja dan memiliki jiwa hendak berlumba-lumba. Ini adalah hasil dari 'latih-tubi’ disiplin yang diterapkan sejak zaman kanak-kanak.Walau bagaimana pun, bukanlah semua perkara yang dimiliki oleh rakyat Jepun ini baik belaka. Misalnya, akibat pemodenan melampau, anak-anak muda kurang minat untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi seperti universiti. Ini adalah akibat daripada kemudahan mereka untuk mendapat kerja. Setelah tamat diploma di ’kosen’ (politeknik), mereka boleh terus bekerja dengan gaji yang lumayan. Oleh itu, mereka tidak berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti hanya dengan alasan bagi mendapat kerja yang bagus. Ini berbeza dengan sikap kita di Malaysia. Di Jepun, pelajar yang telah memiliki diploma kolej yang berminat ke universiti hanyalah untuk pengembangan akademik individu sahaja. Tiada kaitan dengan peluang kerja.Kebanyakan tempat kerja cuma menitikberatkan merit dan kerajinan kerja untuk kenaikan pangkat. Tiada kaitan dengan sijil yang dimiliki. Dalam hal ini pemegang diploma dengan pemegang ijazah universiti tidak banyak berbeza ketika bekerja. Hanya prestasi kerja masing-masing yang diperlukan untuk kenaikan pangkat dan sudah tentunya kenaikan gaji. Selain itu, masalah buli semakin menjadi-jadi, baik ditempat kerja mahu pun di sekolah. Sungguh kerap kita baca kejadian bunuh diri angkara buli yang keterlaluan.Demikianlah. Di sebalik ketenangan pagi yang berkabus dalam musim dingin ini, ada pula keresahan jiwa dalam segelintir rakyat Jepun. Tiap seorang mengejar cita-cita untuk menjadi yang terbaik dalam bidang yang diminatinya. Kadang-kadang ada juga yang terbabas dalam perlumbaan menjadi manusia terbaik itu.
Posted by dartdadada at 10:19 PM
Labels: ,