Friday, June 3, 2011

MANISNYA MENJADI GADIS

17 April 2011, Dewan SMKSB
Berada di majlis yang dianjurkan oleh UBK sekolah, fikiran melayang jauh ke masa silam zaman aku remaja, mengimbaukan kenangan silam sewaktu berusia belasan tahun dahulu. Waktu itu tidak pernah kami dengar UBK. Tidak pernah kami remaja perempuan dikumpulkan untuk mendengar ceramah atau apa-apa aktiviti berkaitan kepentingan menjaga kehormatan diri. Seingat aku cuma sekali dalam jangka masa persekolahan, kami dikumpulkan untuk mendengar ceramah khas dari Syarikat Modess, tentang hal yang berkaitan proses perkembangan diri remaja yang memerlukan penggunaan produk jenama Modess dan bagaimana penggunaan dan apa kepentingannya barangan tersebut kepada remaja.

Hari ini, pada pagi ini, sekolah dengan penuh rasa tanggung jawab merasakan perlu memberi penerangan khusus, tentang cabaran dan dugaan semasa berada dalam usia remaja sebagai gadis. Zaman sudah berubah, remaja terdedah dengan pelbagai pancaroba, kerana perkembangan dunia tanpa sempadan. Remaja sudah banyak yang terkeliru, dengan kemajuan media massa, sehingga nilai murni yang berasaskan agama sudah luntur dan kabur. Tambahan pula ibu bapa tidak sempat membimbing pemupukan nilai murni, semasa berhadapan nilai media massa yang tersasar. Maka berlakulah konflik budaya, kekeliruan tatacara dan pengabaian unsur agama.

Hari ini institusi keluarga, barangkali sudah kurang memainkan peranan ke arah pemupukan norma dan nilai hidup beragama. Masih segar dalam ingatan pesan ibu waktu dulu, diingatkan berulang-ulang kali, dengan tidak pernah jemu dan putus asa sehinggalah tamat pengajian di universiti. Jangan lupa sembayang, baca Quran, jaga kehormatan diri, jaga nama baik keluarga, belajar jangan lupa, kawan mesti jaga-jaga dan macam-macam lagi yang diminta supaya tidak lupa sepanjang masa. Yang cantiknya lagi masyarakat menjadi pemangkin pembentukan nilai murni berbudi bahasa. Di luar rumah, kita dijaga oleh mata masyarakat yang menggantikan mata ibu bapa dan keluarga. Jadilah kita waktu dulu remaja yang sentiasa diawasi, remaja yang tahu harga diri di mana pun jua - di rumah atau di luar rumah.

Kerana dunia sudah berubah, dan masalah sosial bertambah, mendepani cabaran itu, maka pada pagi ini dijemputlah Prof. Madya Saedah Abdul Ghani dari USIM, untuk berbicara tentang topik Manisnya Menjadi Gadis. Diharapkan dengan sedikit usaha sekolah memberikan pendedahan berguna ini, akan dapatlah membantu anak-anak remaja menghadapi cabaran, dan memberi hala tuju dan pertunjuk, untuk membentuk modal insan kelas pertama sebagai persediaan menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.

MENUNTUT ILMU 4

14 April 2011, Hotel Bustani Jitra - sambungan cerita kursus dalaman hari kedua ......

Selepas berehat pada malamnya, pagi yang dingin dimulakan dengan aktiviti kumpulan pula. Anggota kumpulan mestilah terdiri daripada pengurusan, guru senior, guru agak lama, guru muda, guru lelaki dan guru perempuan. Arahan yang diberikan, setiap kumpulan mesti melantik seorang ketua yang akan mengendalikan perbincangan kumpulan, dan semua ahli kumpulan mestilah diberikan peluang bercakap tentang diri masing-masing dalam masa yang ditentukan. Selepas semua ahli sudah bercakap dalam kumpulan, fasilitator meminta beberapa orang wakil setiap kumpulan, untuk memberikan pandangan mereka, selepas mereka telah berpeluang untuk menyampaikan pandangan dan diberi peluang untuk bercerita dalam kumpulan masing-masing.

Alangkah, alangkah, sungguh cantik perbincangan dalam kumpulan kami. Puan Kaunselor yang diberi penghormatan untuk menjadi ketua telah dapat memainkan peranan sangat cemerlang sehingga semua ahli dapat berkongsi banyak perkara, berkongsi berbagai-bagai perasaan, berkongsi suka duka, berkongsi keresahan, berkongsi ketidakpuasan hati, berkongsi semangat dan harapan dan macam-macam lagi yang tak terungkapkan, tapi dapat dirasakan bersama, ibarat seperti sebuah keluarga kecil. Alangkah terharunya aku. Alangkah besarnya ketentuan Tuhan menjadikan kursus kami sebagai satu permulaan yang membuka ruang agar kami dapat memanfaatkan masa yang sedikit tapi sangat berharga.

Alangkah bersyukurnya aku dapat berada dalam kumpulan yang telah ditentukan Tuhan. Aku sungguh bersyukur, banyak yang aku pelajari, dan banyak yang aku terokai dari dalam jiwa rakan-rakan yang sebelum ini tidak pernah aku ketahui. Maha suci Allah yang membuka ruang kepada kami, kami amat bersyukur. Semoga persefahaman yang indah ini akan menyemarakkan semangat kekeluargaan di Bahiyah untuk meneruskan tugas dan tanggung jawab sebagai Centre of Excellence.

Setinggi-tinggi rasa syukur kepada Mu ya Allah, yang telah memberikan kami peluang yang sungguh bermakna ini, untuk kami meningkatkan amalan kami demi kemajuan bangsa dan agama kami. Tidak dilupai dan dengan rasa rendah hati, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dikalungkan kepada jawatan kuasa dan semua yang terlibat untuk menjadikan kursus dalaman pada kali ini suatu realiti yang sangat berharga. Kami sungguh terhutang budi. Hanya Allah sajalah yang mampu membalasnya........








MENUNTUT ILMU 3

13 April 2011, Bustani Hotel Jitra - sambungan cerita kursus dalaman......

Aktiviti lain yang dibuat ialah menulis surat. Surat yang pertama ditulis kepada seorang guru yang namanya telah dipilih melalui cabutan undi. Penerima surat tidak tahu, siapa penulis surat yang diberikan. Masing-masing pun tekunlah menulis surat yang hendak disampaikan kepada guru yang terpilih. Isi surat ini, bebas, dan boleh tulis apa saja yang ingin disampaikan secara khusus dan tidak akan dikongsikan bersama peserta kursus lain, kerana ia khusus untuk seseorang itu saja. Surat yang kedua pula, perlu dituliskan harapan, permintaan atau apa saja yang diharapkan, kepada orang yang sama.

Barang kali ini bertujuan untuk seseorang meluahkan perasaannya kepada seseorang yang sebelum ini, tidak pernah diberi peluang untuk berbuat demikian. Barangkali melalui cara ini akan terlerailah sedikit bebanan perasaan yang tidak pernah terungkapkan. Barangkali ini memberi peluang untuk seseorang meluahkan perasaannya dengan tidak perlu berselindung atau menjaga hati sesiapa lagi. Bukan mudah untuk memberitahu sesuatu yang tidak elok, atau sesuatu yang tidak kita sukai kepada seseorang, tapi melalui tulisan di dalam sepucuk surat, perkara ini tidak sukar untuk dilakukan. Barangkali juga dengan cara ini akan terlerai segala kekusutan yang selama ini membebani fikiran seseorang.

Mudah-mudahan aktiviti ini juga boleh membantu menenangkan perasaan orang yang sudah lama tertekan, terkilan dan memendam rasa. Kalaulah peluang ini dapat digunakan sepenuhnya, sudah tentulah semua orang akan berasa lebih lega......




MENUNTUT ILMU 2



13 April 2011, Bustani Hotel Jitra - sambungan cerita kursus dalaman....

Aktiviti pertama sebagai ice-breaking memang sangat berjaya dan berkesan. Ternyata dalam kesibukan bekerja, tidak sempat kami mengenali dengan dekat antara satu sama lain. Warga SMKSB memang sangat komited, jadi dalam keghairahan mementingkan kecemerlangan pelajar, maka masing-masing tidak sempat memberi perhatian kepada perkara lain, waima hal-hal kawan-kawan sekalipun. Jadi elok sangatlah kursus ini, memberikan kami banyak ruang untuk mengenali satu sama lain dengan lebih dekat.

Aktiviti kedua, selepas bertukar tempat duduk entah kali ke berapa, kami diminta menceritakan kepada kawan di sebelah, tentang orang yang paling disayangi dalam hidup. Maka duduklah kami bercerita tentang perkara itu. Walaupun sekejap dapatlah kami mengetahui serba sedikit tentang rakan yang sebelum ini tidak pernah pun kami berpeluang mengetahuinya. Selesai menemuramah rakan masing-masing, kami berkongsi cerita itu pula, apabila beberapa orang telah diminta oleh penceramah ke depan untuk menyampaikan cerita tentang kawan kita itu.

Kesimpulannya dalam masa yang singkat kami dapat mengenali ramai daripada kawan-kawan yang sebelum ini, tidak pernah pun kami berpeluang mendengar cerita itu. Menghayati cerita-cerita rakan, menjadikan kami lebih sedar tentang banyak perkara - pemikiran, pembawaan, sifat, tingkah laku, kepercayaan, peribadi dan macam-macam lagi yang berkaitan dengan diri rakan yang ditemu ramah. Mendengar cerita-cerita itu menjadikan kami lebih faham tentang peribadi seseorang itu, dan lebih kenal diri seseorang itu. Sebelumnya rasa seperti sudah kenal, tapi sekarang lebih terang dan nyata, dan lebih jelas kenapa seseorang itu bersifat seperti yang dilihat, dalam pergaulan semasa menjalankan tugas. Kefahaman itu amat membantu dalam melaksanakan tugas seharian supaya lebih mudah dan berkesan. Ini disebut juga sebagai jurang komunikasi - jika dalam melaksanakan tugas kurang jurang ini, maka lebih mudahlah melaksanakan tugas walaupun seberat mana, walaupun sesukar mana............

Thursday, June 2, 2011

MENUNTUT ILMU


13 April 2011 - Menghadiri kursus dalaman di Hotel Bustani Jitra, pada hari ini, terasa sangat santai dan ringan. Terasa sangat bermakna dan mengesankan. Malangnya cuma 52 orang guru saja yang dapat di bawa, berbanding jumlah guru seramai 85 orang semuanya. Tidak lain bukan pilih kasih , tetapi kemampuan kewangan yang agak terhad, juga arahan berbelanja berhemah dari JPN, dalam era kemelesetan ekonomi sekarang ini. Aku sangat yakin semua yang dibawa akan mendapat manafaat untuk diri sendiri dan juga untuk disebarkan kepada rakan taulan yang tidak dibawa bersama. Mudah-mudahan juga tidak disalahtafsirkan oleh mana-mana guru yang menjadi warga SMKSB, jika tidak sukarlah untuk meneraju kecemerlangan, dan juga untuk meneruskan kecemerlangan, yang sudah lama dibina dengan susah payah oleh semua guru yang sangat cemerlang.

Fasilitator yang dijemput khas ialah En Sudin bin Sarmin, seorang Pensyarah Kaunseling dari Maktab Perguruan Perlis. Berlainan daripada kursus yang pernah dihadiri, kami tidak dibenarkan menulis apa-apa pun. Kami cuma diminta mendengar dan melibatkan diri dalam aktiviti yang diaturkan untuk kami.

Aktiviti pertama ialah mengubah meja ke belakang, dan duduk dalam bulatan besar tanpa meja. Kemudian kami diarahkana bertukar tempat duduk ikut warna baju, sangat mudah dan pantas pula. Selepas bersalaman dengan rakan sebelah kiri dan kanan, kemudian kami diarahkan pula, untuk bertukar tempat duduk kami mengikut umur, bermula dari yang paling tua hinggalah kepada guru yang paling muda. Ini lambat sedikit, kerana kami terpaksa mengenal pasti tahun kelahiran dan tarikhnya juga. Tapi setelah berjaya dilaksanakan, macam-macam perasaan yang dapat dirasakan, dan kami menjadi lebih tahu siapa yang sebenarnya yang lebih tua atau lebih muda dengan sangat pasti. Kepastian itu menjadikan kami lebih kenal, lebih tahu dan lebih realistik. Ada yang ketawa tak kering gusi kerana tersedar, telah sekian lama membuat kesilapan, kesilapan kerana tidak pernah tahu dan tidak pernah sempat mengambil tahu. Oleh kerana itu ada yang tua memanggil kakak kepada yang lebih muda, kerana beranggapan atau tersilap membuat persepsi sehingga yang tua terasa dia lebih muda, dan yang muda pula mengakui ketuaannya.

Semuanya kerana salah tafsiran, dan salah tanggapan, sehingga yang salah dirasakan benar. Dan oleh kerana tidak usul periksa maka berlarutanlah perkara yang salah itu sebagai benar. Cuba bayangkan jika sebaliknya, yang betul dikatakan salah, dan yang salah itu menjadi kefahaman yang diterima pakai, sebagai betul, apa akan jadi? Sudah tentu akan menimbulkan konflik yang parah, dan akan menimbulkan perpecahan, seterusnya akan boleh menimbulkan porak poranda dalam organisasi. Jika ini berlaku di sekolah maka sudah tentulah, sukar untuk warga sekolah iaitu guru-guru, untuk bergabung tenaga memajukan kurikulum, memantapkan sahsiah pelajar, dan meningkatkan pencapaian cemerlang kokurikulum sekolah.

Kesimpulannya walaupun aktiviti pertama kursus ini sangat santai dan mudah, tapi yang tersiratnya, sangat besar, yang perlu difahami oleh guru sangat mendalam ertinya, dan impaknya memerlukan pemikiran tinggi guru dan tafsiran guru yang betul. Jika sebaliknya jika ada guru yang berkata, bahawa kursus yang mahal ini tidak berbaloi, atau kursus ini membazir, dan tidak bagus, maka itu semata-mata kerana kedangkalan dan kecetekan pemikiran guru itu, sehingga tidak berupaya mentafsir suatu yang tersirat dengan tepat dan betul. Sama-samalah kita fikir-fikirkan .......


Saturday, May 7, 2011

MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG

Adik mengulangi sejarah keluarga

Hari ini, buat kali yang ketiga, aku membawa anak ke majlis anugerah pelajar cemerlang negeri Kedah. Pernah dulu dua kali, membawa along ke majlis yang sama, di Wisma Darulaman, menerima anugerah dari kerajaan negeri Kedah, (di bawah pimpinan UMNO) untuk pelajar cemerlang PMR dan pelajar cemerlang SPM. Kali ini di bawah pimpinan PAS maka UMNO membawa majlis itu ke Dewan Zubaidah Naza Kia di Gurun. Seramai 495 orang pelajar pelbagai bangsa (dikatakan 1 Malaysia) yang berjaya mencapai straight A (8A hingga 12A), di beri ganjaran RM 200 seorang oleh UMNO. Majlis semuanya pada hari ini jika dicongak bernilai sejumlah RM150,000.00 semuanya. Banyaknya wang yang diperuntukkan untuk kecemerlangan pendidikan rakyat. Tapi yang dikatakan manusia segala pemberian tidak pernah dihargai. Segalanya diterima dengan hati yang kering dan kosong. Yang menabur janji kosong juga yang disukai. Yang tidak pernah terbukti membawa kesejahteraan juga yang disokong kerana teruja dengan segala janji manis yang ditaburkan. Entahlah tak faham aku ......

Monday, May 2, 2011

PILIHAN UNTUK BERJAYA


Surah Al-Israa' ayat 97 bermaksud:

Dan sesiapa yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah maka dialah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong yang lain daripadaNya.

Huraian,

Hanya Allah yang memberi pertunjuk. Sebaliknya orang yang sesat, dengan sebab ia sendiri memilih jalan yang salah, maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi pertunjuk atau melindunginya dari azab Allah.

Marilah kita lihat di sekeliling kita, pelajar dididik dan diasuh setiap hari dengan nilai-nilai murni yang dikhabarkan, dan yang ditunjukkan, di sekolah. Uruskan masa, jalan pantas, baca buku, buat homework, diam dalam perhimpunan rasmi, datang awal, baca Quran atau tafsir, tidak berjalan sana sini, belajar last minit dan tidak ponteng. Tapi berapa peratus daripada pelajar yang ikut dengan sungguh-sungguh, kerana sedar akan kebaikannya kepada diri mereka dendiri. Berapa banyak pelajar yang menghayati sifat -sifat baik itu, sehingga menjadi amalan setiap hari di sekolah yang akan nanti menjadi amalan hidup bila dewasa.

Bila berjalan di kawasan sekolah, masih banyak pelajar yang tidak duduk membaca dengan khusyuk semasa tiada guru. Sangat ramai yang berbual dengan suara yang kuat, ketawa dengan penuh perasaan tanpa menghiraukan suara mereka mengganggu rakan di kelas sebelah. Banyak juga yang berjalan ke sana sini kelihatan seperti tiada tujuan, dan tidak ketahuan. Sampai bilakah pelajar akan sedar diri bahawa yang diajarkan tidak lain untuk kebaikan mereka juga. Sampai bilakah pelajar akan makan diajar perkara yang sangat kecil, tapi sangat besar peranannya dalam hidup mereka. Sampai bila pelajar memilih jalan yang salah walaupun sudah ditunjuk jalan yang benar. Sampai bila Bahiyah akan jadi hebat dengan budaya yang hebat, kerana masih ramai pelajar Bahiyah memilih untuk tidak mencapai kejayaan. Sampai bila?

Selagi pelajar memilih untuk tidak berjaya, walaupun sekuat mana guru-guru bekerja, kejayaan sebenar tidak akan dicapai oleh Bahiyah. Kalau guru-guru sudah penat, maka Bahiyah akan ditelan dek zaman, jadilah Bahiyah seperti sekolah-sekolah lain, yang terkapai-kapai menuju tepian. Bahiyah akan mundur ke belakang, masa itu semua orang akan menangisi nasib yang menimpa kerana bukan mudah untuk berjaya. Bukan mudah untuk menempa nama sehingga semua orang memberi pengiktirafan bahawa Bahiyah sudah mencapai kecemerlangan. Orang tidak pernah tanya betapa penatnya guru berperang dengan pelajar-pelajar yang tidak sedar diri - malas, ponteng, main-main, degil, tak sedar diri, rendah diri, dan entah apa-apa lagi. Jika ini masih banyak lagi, bermakna pelajar telah memilih jalan seperti yang Tuhan telah janjikan, tidak ada sesiapapun yang dapat memberi pertunjuk, melainkan diri sendiri. Sama-samalah kita fikirkan....