Thursday, February 3, 2011

SECOND HONEYMOON


Selepas balik dari KL menghantar Hayyan dan Angah, ditemani Adik untuk membantu Angah yang masih dalam pantang lagi, rumah terasa kosong, dan suasana terasa sangat sunyi . Tiada lagi hiruk pikok adik dan angah bercerita, tiada lagi jerit tangis Hayyan minta susu, atau minta disalin lampin, atau tersangat mengantuk minta ditidurkan. Semuanya tiada lagi kini.

Segalanya terasa amat kosong, segalanya menjadi amat tidak bermaya, sudah hilang serinya. Ini masalah besar, perlu diselesaikan segera supaya tidak memudaratkan. Bermulalah kembali kehidupan kami yang asal buat kali keduanya, seperti pasangan baru berkahwin. Makan berdua, jalan berdua, shopping berdua, balik rumah berdua, pergi surau berdua, pergi mesjid berdua.

Awalnya kami sudah terpaksa menjalani kehidupan berhoneymoon seperti ini. Sedar tidak sedar, semua cahaya mata kami, yang menghiasi kehidupan kami, yang mewarnai kehidupan dan membahagiakan kami, sudah besar, dan sudah mempunyai kehidupan sendiri. Angah sudah berkeluarga, sudah pasti dia akan sibuk dengan keluarga yang baru dibinanya. Tambah lagi dia baru posting kerja yang baru dan hidup berjauhan dari suaminya, sudah pasti, kuranglah masanya, dan tentulah kesuntukan masa.

Along walaupun masih belum kahwin tapi menjadi houseman di hospital amat sibuk dan tidak cukup masa. Tambhan lagi kerja call alternate day di ward bersalin menjadikan dia sangat kesuntukan masa. Alang sedang berjuang untuk exam tahun 4 Medicine, memang tak terkatakan lagi sibuknya. Nanti kalau sudah jadi doktor akan jadi sesibuk along juga. Tambah-tambah lagi kalau mereka berkeluarga, dalam zaman serba mencabar ini memang tak terdaya nak dibayangkan.

Adik memang tiada pilihan, dia terpaksa berkorban untuk menjaga Angah sementara belum habis pantang. Bagusnya adik dia memang selalu berkorban. Kalau tidak, mesti tidak sesunyi ini di rumah yang sebesar ini. Sementara adik masih belum balik terpaksalah aku berhoneymoon dengan papa dulu. Tapi kalau adik balik pun tak lama lagi bila adik dapat keputusan SPM dan dapat melanjutkan pelajaran, honeymoon lagilah kami. Once the cycle starts it will never end. The second honeymoon will go on until the day ends, and we are not around any more

SEKOLAH ELOK ANAK PANDAI 2


Zaman dahulu (sekitar tahun80an) ibu bapa boleh memilih sekolah, sebagai usaha untuk menjadikan anak mereka pandai. Bagi sekolah yang menjadi pilihan ibu bapa, maka ramailah ibu bapa pergi mendaftar. Contohnya di AS SR Convent menjadi rebutan para waris. Maka ramailah waris yang sudah mula beratur sejak petang dan awal malam bagi memastikan anak mereka mendapat tempat di sekolah itu. Bagi ibu bapa yang mampu, mereka mengupah orang beratur sepanjang malam. Esoknya mereka datang awal pagi, untuk mendaftar anak mereka dengan senang hati, kerana sudah berada di barisan hadapan. Siapa cepat dia dapat, kerana tempat amat terhad. Ramai jugalah waris yang kecewa anak mereka tak mendapat tempat di sekolah itu, kerana tiada kekosongan tempat lagi.

Sekarang sudah berbeza, kerana telah ditetapkan penempatan anak sekolah dibuat berdasarkan kawasan tempat tinggal. Jadi anak-anak akan bersekolah di sekolah berhampiran rumah mereka, banyak masalah dapat diselesaikan dan sangat memudahkan semua pihak, terutamanya pelajar. Namun masih ramai waris dengan apa cara pun memilih sekolah untuk anak mereka. Kononnya sekolah elok anak pandai. Ini terjadi kepada waris di pinggir bandar AS, contohnya mereka yang tinggal di Gunung, Tandop, Tajar, Langgar, Kepala Batas dan Anak Bukit. Waris terlibat akan banyak mencari jalan untuk memastikan anak mereka dapat masuk ke Taman Uda dan Taman Rakyat kerana sekolah-sekolah tersebut dikatakan sebagai sekolah ternama yang boleh menjadikan anak mereka mencapai kejayaan mendapat 5A.

Mereka sanggup meminjam alamat rakan, atau alamat orang yang tinggal sekitar sekolah itu, untuk memenuhi hasrat murni mereka. Ada waris yang dimakbul permintaan mereka, anak mereka memang berjaya. Tapi ada waris yang sebaliknya, anak tidak dapat menyesuaikan diri dengan rakan yang berbeza sosiobudaya dan sosioekonomi. Anak-anak sekitar Taman Uda, rata-rata sudah pandai membaca apabila masuk ke darjah satu, selalu berhadapan dengan buku dan sudah ada budaya membaca dalam rumah mereka. Jadi perkembangan dan proses pembelajaran mereka tidak menghadapi sebarang masalah.

Berbeza dengan rakan yang datang dari pinggir bandar yang baru belajar bertatih membaca, tiada budaya membaca di rumah, dan ibu bapa mengharapkan seratus peratus proses pembelajaran di sekolah tanpa bantuan, maka anak-anak yang berlainan sosiobudaya ini mula merasakan sosial konflik. Hal ini kemudiannya menjadi lebih teruk apabila anak-anak ini mula merasa tidak mampu mengikut rakan mereka yang lebih dikatakan laju dan pandai. Maka mereka semakin ketinggalan dan terhakis harga diri. Mereka meletakkan mereka sebagai orang tidak pandai, ketinggalan, dan akhirnya mereka kecundang, menjadi pelajar yang tidak bermaya untuk belajar dan cuba mencari perhatian melalui cara lain, dengan melakukan sesuatu yang menarik perhatian, contohnya tidak membuat kerja sekolah dan lain-lain yang menyebabkan orang marah dan terpaksa memberi perhatian kepada mereka bagi menyelesaikan masalah. Semua itu berlaku kerana mereka terpaksa mencari alabi terhadap kekurangan mereka dan kelemahan mereka, berbanding rakan mereka yang lebih laju, supaya mereka tidk disalahkan.

Inilah fenomenon yang kurang difahami oleh ibu bapa. Sekiranya mereka ditempatkan di kalangan rakan mereka yang sama sosiobudaya, maka mereka akan dapat bersaing dan bergerak seiring, sama-sama dengan rakan yang pencapaian mereka lebih kurang sama saja. Guru mereka pun dapat memberikan tumpuan kerana pencapaian mereka setara dan tidak jauh berbeza. Malang sungguh mereka, menjadi mangsa kerana cita-cita besar ibu bapa. Mereka tidak ditempatkan di tempat yang sesuai dengan pencapaian mereka. Ibarat anak ikan kecil dimasukkan ke dalam akuarium yang terdapat ikan haruan, sudah pastilah anak ikan kecil dengan mudah dimakan haruan yang tangkas. Kasihan siikan kecil. Kalaulah semua waris dapat menyedari hakikat ini, maka generasi akan datang akan lebih baik jati diri dan harga diri - akan kuranglah masalah di kalangan pelajar yang sebenarnya memerlukan kefahaman dan simpati kita yang bergelar ibu bapa. Janganlah kita memilih sekolah tapi pilihlah anak kita, untuk kita berikan persekitaran yang dapat memupuk harga diri yang sewajarnya, barulah kejayaan dan kecemerlangan dapat dinikmati tanpa rasa tertekan di kalangan anak-anak yang tidak berdosa dan memerlukan kasih sayang kita.

SEKOLAH ELOK ANAK PANDAI 1


Semasa mula menjadi Pengetua di sebuah sekolah tidak ternama di AS, ada kawan bertanya sanggupkah aku bertugas di sekolah itu? Aku jadi bingung terus bertanya kenapa. Tanpa segan silu dia menjawab - tak la sekolah tu kan budak-budaknya jahat, cik gu pun teruk. Aku terdiam, kerana sebagai penjawat awam aku tiada pilihan, selain berpegang kepada slogan saya yang menurut perintah.

Masa berlalu sangat pantas, selepas setahun dua sekolah itu mendapat persepsi baru. Seorang teman memberi pandangan, dah ok dah sekolah tu no, ada budak dia dapat straight A's. Semua orang tumpang gembira, cik gu pun semua turut bangga, tak sangka ada juga budak boleh dapat 8A dalam PMR, walau pun mereka masuk tingkatan 1 dengan 2A saja paling baik.

Tapi lepas sebulan naik tingkatan 4, datanglah sibapa mengisi surat tukar ke sekolah yang dikatakan elit, kerana terasa anaknya sudah pandai dan tak layak lagi duduk di sekolah tidak ternama. Puas dipujuk, bapa dan anak bagi tau, sekolah elit dah bagi lampu hijau untuk dia berpindah ke sana. Aku termenung seketika..... mudahnya manusia lupa, masa UPSR dia cuma dapat 2A saja, dia telah dibimbing, diasuh, dan diajar di sekolah yang tidak elit inilah, sehingga dia berjaya capai 8A dalam PMR. Kalau ikut logik dia tidak bolehlah dapat 8A kerana sekolah ni dikatakan teruk. Fikir-fikirkanlah.


BINTANG CEMERLANG KEDAH (BCK)


Dengan izin Allah, tanpa pernah diduga, tanpa pernah terlintas dalam fikiran, waima dalam mimpi sekalipun, aku telah - dianugerahkan BCK - Bintang Cemerlang Kedah, oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah, sempena Hari Keputeraan Baginda, pada 2 Feb 2011. Berada dalam majlis penganugerahan yang cukup sempurna itu, aku amat terharu, dan amat bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah kepadaku, kepada keluargaku, dan juga kepada pekerjaanku. Aku amat sedar ya Allah, terlalu banyak rahmat yang Engkau telah curahkan kepadaku Ya Allah - nikmat iman dan pertunjuk jalan yang benar, nikmat sihat dan afiat, dan lingkungan keluarga yang sihat walafiat. Ya Allah, engkau juga kurniakan aku anak-anak yang pintar dan berjaya, anak-anak yang sentiasa menyenangkan hati pada setiap ketika. Engkau juga kurniakan rezeki yang melimpah ruah dan dipermudahkan segala urusan berkaitanya. Ya Allah, Engkau berikan aku kedudukan yang tidak pernah aku duga, Engkau berikan aku keupayaan menjalankan tugasku dengan tidak pernah mengenal jemu walau sesaat pun jua ya Allah. Engkau juga kurniakan aku ya Allah, sebuah kehidupan yang sangat sempurna, kehidupan yang bahagia, hati yang tenteram dan rumah tangga yang aman, yang sangat diingini oleh semua yang bergelar manusia. Ya Allah aku amat terhutang budi, aku amat bersyukur ya Allah.

Ya Allah, sesungguhnya amat banyak anugerah dan nikmatMu kepadaku yang kerdil dan hina ini. Aku sangat takut ya Allah, kerana aku amat sedar, segala nikmat yang engkau berikan kepadaku, juga kepada insan lain, bukan sekadar nikmat biasa. Aku sedar ya Allah semua ini adalah cubaan besar bagiku. Ya Allah aku sangat hina ya Allah, tapi engkau muliakan aku dengan segala kemuliaanMu. Aku amat takut ya Allah, janganlah kerana bintang sebutir, menjadikan aku leka, janganlah kerana kemuliaan yang sedikit menjadikan aku lupa diri. Bantulah aku untuk terus mengingatMu ya Allah, bantulah aku untuk terus bersyukur dan redha kepadamu ya Allah. Hanya itulah jalan menujuMu........ dan jalan mendapat keredhaanMu ya Allah.... bantulah aku ya Allah. Sesungguhnya hidupku dan matiku hanya keranaMu ya Allah.

Friday, January 21, 2011

BILA ANAK LEPAS SEKOLAH

Adik sudah nampak hampir sebaya dengan alang
Alangkah bahagia dan bangganya bila anak-anak sudah besar. Hidup jadi sungguh bermakna. Tiada lagi ajar mengajar tulis baca, memupuk tabiat rajin membaca dan rajin buat kerja sekolah. Tiada lagi didik mendidik sifat anak soleh dan solehah , bentuk sikap positif dan berperibadi mulia, dengan serius, tekun dan sabar; penuh dengan doa dan harapan. Tiada lagi asuh mengasuh cara sembahyang, amal sembahyang berjemaah, amal baca quran. Tiada lagi ajar mengajar cekal puasa di bulan Ramadhan. Tiada lagi jadual harian yang padat dengan tuisyen segala. Tiada lagi hantar menghantar sana sini untuk aktiviti yang pelbagai - lukisan, renang, piano, birthday party kawan, persembahan sekolah, beli peralatan sekolah, dan entah apa-apa lagi yang tak tersenaraikan.

Kini yang sulung dan kedua sudah selamat bekerja, alhamdulillah, yang ketiga tinggal setahun lagi akan turut berkerja juga bila tamat belajar nanti. Yang bongsu sudah tamat sekolah, sedang menunggu SPM. Bila duduk rumah sudah pandai menyimpan rumah tangga, kemas dan bersih. Setiap hari basuh baju dan lipat baju, basuh pinggan dan simpan dapur dengan bersih dan kemasnya. Dan yang paling membanggakan basuh bilik air dengan cantik dan berkilatnya. Boleh tolong jaga baby lagi. Aduh sungguh membanggakan, sungguh bahagia. Alangkah baiknya jika semua anak remaja dapat jadi anak mithali. .......

Wednesday, January 19, 2011

CUCU SULUNG


Menimang cahaya mata memang sungguh indah, apa tah lagi menimang cucu, cucu sulung pula tu. Dalam usia menjangkau melebihi separuh abad, syukurlah aku sempat menimang seorang cucu lelaki. Sungguh membahagiakan kami, bertambahlah lagi seorang lelaki dalam keluarga, yang dulu cuma seorang saja. Masih segar dalam ingatan semasa aku menimang cahaya mata pertama dulu - abah emak jua mertua, semua sangat bangga. Masa tu emak yang jaga - baby, aku yang masih lemah, kain baju dan makan minum - semuanya dijaga.

Lain pula aku yang menimang cucu, rasa gembira dan bahagia masih tetap sama. Tapi urusan menguruskan anak yang melahirkan, baby yang masih kecil, kain baju baby, mengurut dan bertungku semuanya sudah diswastakan. Kalau tidak urusan orang sakit dan orang baru, sudah tentulah tidak terurus, sudah tentulah ibu muda seperti anakku tidak dapat belajar mengurus bayinya kerana aku tiada di rumah. Nasib baiklah ada perkhidmatan confinement lady yang menggantikan tugas tok zaman dahulu. Syukurlah dapat cucu, dibantu confinement lady, jadi tok pergi kerja pun dengan hati yang lapang dan senang. Dunia sudah berubah walaupun baru cuma 26 tahun berlalu.

Confinement lady - Mak Njang: Mengurut RM 60 per service (3x seminggu = 9 x 60= RM360 ), (bertungku RM 40, mandi baby, dan basuh baju baby RM 20, including cukur rambut = RM 60 perday). Total for 20 days RM1200.00 + RM 360 = RM1560 cash - down payment RM RM500, last day full payment. Terima kasih mak njang yang bersusah payah menjaga cucu sulung saya yang comel tu.

Saturday, January 1, 2011

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI


Tanggal 24 Disember 2010 sehari sebelum hari krismas kami mendapat ahli keluarga baru. Nabila sudah selamat diijabkabulkan dengan Baysamuddin @ Syam selepas asar. Angah yang sedang sarat menunggu hari untuk bersalin, jadi mak andamnya. Semua kami berdoa agar angah sempat makan kenduri keesokan harinya. Tapi ketentuan Tuhan tiada siapa yang tahu. Pagi-pagi 25 Disember 2010, sebaik bangun dari tidur, dia terasa contraction yang berterusan. Kami terus membawanya ke KMC, dan terus masuk labour room. Setelah semua urusan seleseai , dan papa confirm angah tidak akan melahirkan dalam masa yang terdekat, barulah kami balik kampung untuk kenduri kahwin Nabila.

Semua orang seronok mendengar berita angah akan bersalin. Semua mendoakan angah akan selamat mendapat cahaya mata pertama, anak lelaki. Semua orang,  semua adik beradik dan tetamu turut seronok, mendengar berita gembira itu . Aku juga sangat exited, akan mendapat cucu sulung. Badan di majlis kenduri tapi hati di labour room, sambil mendoakan supaya angah selamat bersama bayi yang akan dilahirkan. Kami agak rasa lapang juga kerana Hasrul sudah berada di sisinya, menantikan kelahiran bayi sulung itu. Tepat jam 2.50 petang ketika kami masih dalam perjalanan, angah sudah selamat melahirkan cucu sulung kami itu - Hayyan Naoki. Alhamdulillah ....syukur pada Allah, angah bersalin normal, walaupun baby seberat 3.5 kg... syukur pada Allah. Syukurlah segala penantian sudah berakhir.

Syukurlah.......Hari semua orang bercuti umum kami telah dikurniakan dua ahli keluarga baru serentak. Dua-duanya lelaki. Terubat jugalah kesedihan kami kehilangan abah yang masih baru, yang masih segar dalam ingatan. Tuhan maha pengasih... yang patah tumbuh, yang hilang berganti, tapi sesungguhnya yang hilang tak kan sama dengan yang berganti.......