Thursday, July 1, 2010

MARILAH SEMBAHYANG


Nabi Mohammad pernah bersabda pukullah anak jika pada umur 10 tahun dia engkar untuk sembahyang. Sembahyang itu tiang agama. Semua orang Islam tahu. Tapi yang peliknya bukan semua orang buat macam tu. Kadang-kadang sangat pelik melihat orang Islam, yang pada dasarnya percaya Tuhan itu maha mengetahui, maha melihat, maha mendengar, tapi tidak sembahyang; cuma seorang dua kes terpencil, dan jarang-jarang sekali tapi ada. Bukan kerana terlupa atau terlalai, tapi sengaja-sengaja tidak sembahyang.

Yang lagi pelik bila diingatkan dan disuruh sembahyang, tak mahu, diajak sembahyang pun tak mahu. Sungguh pelik, diajak sembahyang, mengelat, lari tunggang langgang., Allahlah yang maha melihat seorang dua murid seperti ini. Bila ditanya macam-macam alasan. Pelik bin hairan. Rasa macam depa tu tak rasa dan tak percaya adanya Tuhan, Allah yang maha esa. Rasa macam tak ada bezanya depa tu dengan yang bukan Islam. Orang Cina dan India pun tahu manusia kena sembahyang, tahu orang Islam kena sembahyang dan tahu mudahnya orang Islam sembahyang, tanpa perlu berbelanja seperti mereka. Inilah yang pelik, orang yang dilahirkan Islam, mak bapa Islam, masyarakat sekeliling Islam, tapi bila diajak sembahyang lari tungging langgang, Apa nak jadi? Dunia sudah akhir zaman agaknya.....

Tapi kami tetap tidak mengalah, susah mana pun sembahyang jemaah mesti dilaksanakan juga, ini suatu tuntutan, ini suatu amanah dan tanggung jawab, kami tidak akan menyerah. Kami tetap akan bersatu. Memang sukar menegakkan kebenaran, memang sukar menyeru kepada kebaikan dan kebajikan. Tapi amanah tetap akan dilaksanakan.

ALAHAI ANAK


Sedih betul dengar cerita tentang seorang kawan yang kononnya sangat susah. Dia anak yang sangat baik. Masa tingkatan 1 dia selalu kelihatan sangat comot - baju lusuh sangat, kasut pun kotor memanjang - hari Ahad lagi kasut dah kotor. Rasa hairan betul, jarang budak cina nampak macam tu. Kebanyakan budak cina selalunya nampak hebat, kawan yang ini sangat berbeza. Pakaian memang sah-sah tidak seperti budak cina yang lain. Yang paling terharu sikap pun sangat berbeza, macam langit dengan bumi. Dia sopan, humble, low profile dan sangat baik. Kalau budak cina lain kelihatan nampak jelas superiority complex, yang kadang-kadang kelihatan sangat sombong dan egois. Yang ini baik dengan semua orang, disenangi oleh semua orang.

Rupa-rupanya ada cerita di sebalik semua itu. Rupa-rupanya dia memang sangat susah, duduk nun sangat jauh dari sekolah. Datang sekolah naik basikal, jalan tanah merah, becak, mengotorkan kasutnya yang putih pada setiap hari - tambah-tambah lagi hari hujan. Tapi semua tu tidak menjadi halangan untuk dia sama-sama serasi, dengan rakan lain, dan sangat harmonis pula menjadi rakan sedarjah.

Dan pada satu pagi, dia ditegur oleh guru kelas kerana masih tidak membayar yuran yang sangat tinggi baginya. Bukan saja yuran tahun ini, tapi yuran tahun lepas pun masih belum langsai lagi. Alangkah, alangkah sedihnya cerita ini. Jarang-jarang ditemui anak cina tak mampu bayar yuran. Jarang ditemui anak cina hidup sesusah ini. Mudah-mudahan dia dapat dibantu. Anak sebaik itu, anak secemerlang itu, patutnya dia dibantu......

Thursday, June 17, 2010

SUSAHNYA TIADA TUKANG KEBUN

Bila cuci kawasan diswastakan, tukang kebun mendapat memo ke sekolah lain. Susahnya menyelenggara orang yang tiada komitmen bekerja. Suka-suka datang kerja, tak suka tak datang. Buat kerja sambil lewa, lambat-lambat dan ikut suka masa sendiri. Mandor sesekali nampak muka, pekerja tidak cukup, pekerja tua-tua, dan kalau yang muda terlalu muda. Yang paling sakit bekerja tidak seberapa. Susahlah macam ni, kawasan 21 ekar dengan pokok bunga yang berkembang di sana sini, janganlah sampai terbiar tak terbela, janganlah kering dek tak bersiram, janganlah tenggelam dek rumput bermaharaja lela.

Dulu masa baru aku bertugas masalah juga. Masing-masing tak satu kepala, ada yang besar kepala, ada yang tak ketahuan hala. Ada yang bekerja sangat rajin dan peka, ada yang bekerja sambil lewa ikut suka. Buat kursus teambuilding tak tentu masa, asal ada masa panggil ustaz bercakap soal hati – bekerja dengan ikhlas, sungguh-sungguh, tekun dan rajin. Bekerja untuk cari rezeki yang halal, jangan curi tulang, supaya berkat dan bermanafaat. Bekerja jangan berpuak-puak, tidak akan menjadi kerja tanpa muafakat. Lama-lama sempadan semakin menipis dan sudah semangat bekerjasama semakin tebal. Semua kerja dibuat bersama. Sebagai ganjaran dibawa lawatan penanda aras, semuanya dibiaya. Nampaknya hati sudah bertaut, tiada lagi syak wasangka.

Sekian lama mereka sudah faham tugas mereka dan kehendak ketua. Kawasan mesti kemas, bersh dan lawa. Bekerja di kawasan masing-masing pada setiap masa – mesti kelihatan di mata Pengetua, mesti boleh dihubungi dengan serta merta. Keluar untuk kerja peribadi kalau boleh dielakkan masa kerja. Apatah lagi keluar tak bagi tau Pengetua, jangan bagi ada. Buat kerja jangan curi tulang sebab nak bagi makan anak isteri, nak bagi diberkati, supaya senang hati. Seboleh-bolehnya jangan ada iri hati, kerja seikhlas hati, sama-sama turut berbakti mencari rezeki. Kerjalah satu pasukan dengan muafakat, tolong menolong kepada kebaikan. Yang buruk kalau ada jangan diikut, abaikan saja kalau nasihat pun tak masuk di hati, minta doa semoga diberikan pertunjuk, semoga mudah bekerja sepasukan, semoga terpancar kebenaran.

Jadilah sekolah bersih, cantik dan mengasyikkan. Semua rasa sangat penting dan berperanan. Semua rasa sayangkan kawasan, pokok-pokok dibelai, dijaga dan diuruskan. Semua yang datang berkunjung, turut merasakan keindahan hasil titik peluh yang ditaburkan. Sekian lama sudah selesa dengan tukang kebun yang sayang kawasan, tukang kebun yang menjadi kebanggaan dan tukang kebun yang memahami tugasan, tiba-tiba mereka di tarik ke sekolah lain kerana cuci kawasan di swastakan.

Tibalah saat getir semula. Pekerja swasta tidak tahu kerja, tidak bermotivasi, kerja sambil lewa, suka datang, tak suka tak datang. Mandor ada enam sekolah untuk dipantau, ketua pekerja tak tau kerusi. Tujuan swasta untuk memudahkan sekolah boleh tumpu kerja lain kerana ramai tukang kebun menjadi masalah besar kepada Pengetua untuk mengurus. Ini sudah terbalik bila swasta, kita pula jadi mandur kalau tidak rumput tak terbela, pokok tak terjaga, kawasan tak tau nak kata, penuh dengan sampah sarapnya. Aduh susahnya tiada tukang kebun. Sangat luar biasa. Orang lain akan kata, seronoknya tiada tukang kebun, biarlah swata, lagi senang kira. Aku pun sedang berkira-kira supaya swasta jadi senang segala.

RINDU

Suka sungguh hari Khamis - balik 3.30 bolehlah ada sedikit life. So aku melawat orang tua di kampung. Bawa pulut kuah durian, mee rebus dan mee goreng. Abah nampak sungguh gembira - makan pulut durian habis sepinggan. Cakap pun banyak, dan semangat, langsung tidak tidur, walaupun masih ada sedikit penatnya. Emak habiskan sepinggan mee goreng sorang-sorang. Senang hati melihat gembiranya mereka, bila anak balik ziarah. Yang sunyi jadi ramai, yang letih jadi lebih bermaya, yang rindu terubat juga. Aduhai nasib baiklah Tuhan letakkan aku dekat dengan mereka, jika tidak jenuhlah mereka menanggung rindu sepanjang masa, menghitung waktu setiap ketika, menunggu anak tak kun jung tiba. Aduhai bertuahlah mereka ada juga yang datang menjenguk pada setiap ketika, dipanggil bila-bila masa kan tiba. Syukurlah aku dapat berbakti pada mereka.mudah-mudahan sisa hidup mereka yang ada, mereka rasa bahagia. Aku juga turut rasa gembira. Syukur ya Allah.

Papa kata depa tu sakit pun ada, tapi yang lebihnya rindu kat kita. Eloklah boleh balik tengok bila ada masa, depa sangat suka.

Aku rasa depa lagi suka kalau cucu-cucu nampak ambil berat juga. Rasa bahagia lagilah terasa. Mudah-mudahan cucu-cucu tak lupa pengorbanan mereka.

Tuesday, June 15, 2010

LAPOR DIRI

Susah betul tak ada orang nak despatch. Despatch yang lama minta tukar ikut isteri. Ganti dengan tukang kebun buat sementara, dapat memo tukar pula sebab cuci kawasan sudah diswastakan. Akhirnya selepas lama tunggu dan merayu, datanglah seorang PAR baru. Bertukar dari JPN, memang pelik. Kalau kerja bagus mesti JPN tak lepaskan ke sekolah. Ini mesti ada yang tak kena.

Seperti biasa, first day lapor diri, mesti baca aku janji dulu. Explain kehenhdak aku janji, biar jelas the dos and the donts, supaya dia betul-betul faham apa yang sepatutnya dilakukan di tempat kerja baru. Juga diberitahu perkara-perkara yang tidak disukai oleh seorang ketua di mana-mana pun.

Dah lama berbincang, sudah selesai aku janji dijelaskan, dia minta untuk masuk pejabat pukul 2.30 petang selepas waktu rehat. Dengan tegas aku beritahu tidak boleh kerana tidak betul dari segi peraturan penjawat awam. aku cuma benarkan untuk sehari dua saja, kerana nak uruskan anaknya balik sekolah. selepas tu dia mesti masuk kerja tepat jam 8,00 pagi dan 2.00 petang. Dia kurang senang. Dia maklumkan dulu dia boleh masuk lewat untuk ambil anak sekolah. Kasihan dia, kerana tidak boleh fikir bahawa tidak ada bos yang suka stafnya langgar peraturan. Walaupun dia diam dan tidak pernah tegur, tapi dia tetap tidak senang stafnya langgar peraturan. Sebab tulah bos you tukarkan you. Dia dah tak tertanggung, dia dah tak larat nak bersubahat dengan you.

Sebab tulah you sudah lama kerja, tapi masih belum naik gred, masih belum naik pangkat. Sedangkan di sekolah saya, tidak ada staf bekerja lama masih di gred yang sama. Bos you tak tegur tapi dia tukarkan you keluar. Bagi saya masa 2 tahun, you kerja sungguh-sungguh, you ikut peraturan, you tidak curi tulang, saya akan cadang you ke gred yang lebih baik.

Sekarang dah 5 bulan bekerja, nampaknya dia pekerja yang memperlihatkan peningkatan dan menunjukkan komitmen. Pergi despatch pun cepat balik. Mudah-mudahan dia akan menjadi antara staf yang bekerja dengan cemerlang.

Thursday, May 6, 2010

KAMU MACAM MELAYU

'Cik gu ingat tak saya? Dulu cik gu selalu suruh saya tolong cik gu, lepas tu cik gu belanja kami minum di kantin'
Merenung muka, dan susuk tubuh yang masih segar dalam ingatan, manalah boleh aku lupakan budak nakal yang tak mau masuk kelas, tak boleh baca, suka melewar, suka kacau cik gu, dan entah apa-apa lagi karenah yang tidak disukai oleh guru.

'Dulu cik gu selalu kata saya macam melayu. Cik gu suruh saya masuk Islam. Cik gu kata mai jadi anak cik gu kat saya'
Masya Allah! Takkanlah aku boleh lupa. Memang masih segar dalam ingatan, walaupun sudah beberapa tahun yang lalu.

Mengimbau masa yang telah berlalu memang terasa sangat pantas. Memanglah, macam mana budak ni tidak dijaga, dia memang tidak suka duduk dalam kelas. Dalam kelas dia bising, cikgu akan marah. Paling lama dia boleh tahan, sampai jam 9.00 pagi saja. Lepas tu, dia mula kacau kawan dan kacau guru.Last sekali mulalah nak gaduh, lagi teruk, suka gaduh Cina Melayu.

Jadi nak selamat keadaan lepas rehat hantar pada guru disiplin. Dia canggkul tanah, dia kutip sampah, dia trim pokok atau tanam pokok bunga, dengan cik gu disiplin. Lepas buat kerja siapalah tergamak melihat mereka keletihan, dan haus? Sebab tulah dijamu untuk minum sebagai penghilang dahaga. Mereka pun bangga, cik gu belanja. Keadaan sekolah pun terjaga, tak ada yang melilau tak tentu hala, masa cik gu mengajar.Masa tu suraulah jadi tempat operasi. Surau dinaik taraf, surau dihiasi pokok tanaman. Sangat sesuailah. Siapa tak mau belajar bawa ke surau untuk bantu.

Setiap kali muka yang sama juga dibawa guru disiplin untuk tolong di surau. Mendengar telor dan gaya pertuturan, dia bukan orang Melayu.
'Kamu India ka Cina?'
'Cina cik gu, tapi emak saya India.'
'Patutlah kamu macam Melayu.'
'Kalau tengok muka, orang mesti kata kamu Melayu.'

‘Kamu jadi anak cik gulah. Mai masuk Melayu.’
Sangat jelas kata-kata itu dalam ingatanku.
’Cik gu ingat saya tak?’
Tersedar aku dari lamunan mengenang kisah silam.
’Eh mestilah saya ingat. Mari masuk.’
’Saya dah masuk Islam cik gu, tulah saya datang jumpa cik gu.’

Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana telah memberikan hidayah, membuka pintu hatinya melihat kebenaran. Tidak pernah terduga bahawa gurauan dengan budak-budak menimbuklan kesan mendalam dalam jiwa seorang anak. Tidak pernah terduga air minum yang disedekahkan menjadi penawar yang mengalirkan iman dalam diri seorang anak muda. Tidak pernah terduga suasana surau yang didedahkan, juga menjadi suatu ilham menuju keimanan jiwa seorang remaja. Besarnya peranan guru dalam jiwa seorang remaja. Masya Allah semoga iman yang baru berputik akan menjadikan dia seorang kamil yang terus mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Amin.

Tuesday, May 4, 2010

DATANG LEWAT

Selalu sangat mendengar rungutan guru bertugas tentang pelajar datang lewat dalam mesyuarat. PK HEM selalu membangkitkan isu yang sama. Yang paling tidak disukainya ialah muka-muka yang sama saja yang masih datang lewat, walaupun sudah diberi amaran berkali-kali. Satu hari semasa meninjau-ninjau kedatangan pelajar waktu pagi, memang ada juga beberapa orang, masih datang selepas loceng berbunyi, ada yang bas rosak, bapa sakit, emak baru balik kerja malam dan lain-lain yang masih boleh diberi pertimbangan dan diberi teguran, nasihat dan amaran.

'Kenapa lewat?'
Dia diam tunduk membisu, kerana dia memang tahu dia sebenarnya salah. Dia tak berdaya untuk berkata walau sepatah kata pun. Dia memang tahu, dia sepatutnya datang lebih awal.Dan dia pun memang tahu dia telah berulangkali melakukan kesalahan itu. Sejak akhir-akhir ini selepas gempur datang lewat, memang sudah tidak ramai pelajar yang datang lewat lagi.

'Awak bangun lewat ya?'
Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya yang masih tunduk.
'Pukul berapa bangun?'
'Pukul lima cik gu.'
'Kalau bangun awal kenapa tak datang awal?'
Dia terus diam kaku. Dapat dilihat bajunya basah dek peluh. Peluh di dahinya juga merenek seperti orang baru lepas berjoging. Tapi dia datang bermotosikal. Pelik betul budak ni.

'Awak buat apa pagi tadi?'
'Cuba cakap betul-betul dengan saya.'
Bahunya yang basah dek peluh dipegang memberi keyakinan. Ditepuk perlahan memberi harapan, supaya dia dapat menyatakan sesuatu. Barang kali dia perlu dibantu. Barangkali dia sudah lama menanggung sesuatu.
'Saya tolong mak tolak kereta sorong, pi goreng mee di pasar borong. Pukul tujuh baru balik rumah, siap datang sekolah'
'Bapa pergi mana?'
'Bapa sudah mati.'
Tersentak aku mendengar jawapannya. Aduhai anak yang malang. Rupanya amat berat penanggungan, besarnya pengorbanan, dan besarnya kesusahan yang ditanggung oleh anak semuda kamu.

'Kamu anak yang baik, kamu tolong mak kamu, dan bantu mak cari duit. Kamu memang sangat baik.'
'Tapi sekarang kamu sekolah. Kamu mesti ikut peraturan. Datang sekolah mesti sebelum 7.30. Boleh tak datang 5 minit lebih awal? Cuba boleh tak?'
'Dan yang lebih penting kamu perlu sekolah rajin-rajin. Kalau kamu berjaya kamu boleh ubah hidup kamu. Kamu boleh bantu mak kamu bila kamu dapat kerja yang baik.'
'Saya cuba cik gu.'