Thursday, May 6, 2010

KAMU MACAM MELAYU

'Cik gu ingat tak saya? Dulu cik gu selalu suruh saya tolong cik gu, lepas tu cik gu belanja kami minum di kantin'
Merenung muka, dan susuk tubuh yang masih segar dalam ingatan, manalah boleh aku lupakan budak nakal yang tak mau masuk kelas, tak boleh baca, suka melewar, suka kacau cik gu, dan entah apa-apa lagi karenah yang tidak disukai oleh guru.

'Dulu cik gu selalu kata saya macam melayu. Cik gu suruh saya masuk Islam. Cik gu kata mai jadi anak cik gu kat saya'
Masya Allah! Takkanlah aku boleh lupa. Memang masih segar dalam ingatan, walaupun sudah beberapa tahun yang lalu.

Mengimbau masa yang telah berlalu memang terasa sangat pantas. Memanglah, macam mana budak ni tidak dijaga, dia memang tidak suka duduk dalam kelas. Dalam kelas dia bising, cikgu akan marah. Paling lama dia boleh tahan, sampai jam 9.00 pagi saja. Lepas tu, dia mula kacau kawan dan kacau guru.Last sekali mulalah nak gaduh, lagi teruk, suka gaduh Cina Melayu.

Jadi nak selamat keadaan lepas rehat hantar pada guru disiplin. Dia canggkul tanah, dia kutip sampah, dia trim pokok atau tanam pokok bunga, dengan cik gu disiplin. Lepas buat kerja siapalah tergamak melihat mereka keletihan, dan haus? Sebab tulah dijamu untuk minum sebagai penghilang dahaga. Mereka pun bangga, cik gu belanja. Keadaan sekolah pun terjaga, tak ada yang melilau tak tentu hala, masa cik gu mengajar.Masa tu suraulah jadi tempat operasi. Surau dinaik taraf, surau dihiasi pokok tanaman. Sangat sesuailah. Siapa tak mau belajar bawa ke surau untuk bantu.

Setiap kali muka yang sama juga dibawa guru disiplin untuk tolong di surau. Mendengar telor dan gaya pertuturan, dia bukan orang Melayu.
'Kamu India ka Cina?'
'Cina cik gu, tapi emak saya India.'
'Patutlah kamu macam Melayu.'
'Kalau tengok muka, orang mesti kata kamu Melayu.'

‘Kamu jadi anak cik gulah. Mai masuk Melayu.’
Sangat jelas kata-kata itu dalam ingatanku.
’Cik gu ingat saya tak?’
Tersedar aku dari lamunan mengenang kisah silam.
’Eh mestilah saya ingat. Mari masuk.’
’Saya dah masuk Islam cik gu, tulah saya datang jumpa cik gu.’

Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana telah memberikan hidayah, membuka pintu hatinya melihat kebenaran. Tidak pernah terduga bahawa gurauan dengan budak-budak menimbuklan kesan mendalam dalam jiwa seorang anak. Tidak pernah terduga air minum yang disedekahkan menjadi penawar yang mengalirkan iman dalam diri seorang anak muda. Tidak pernah terduga suasana surau yang didedahkan, juga menjadi suatu ilham menuju keimanan jiwa seorang remaja. Besarnya peranan guru dalam jiwa seorang remaja. Masya Allah semoga iman yang baru berputik akan menjadikan dia seorang kamil yang terus mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Amin.

Tuesday, May 4, 2010

DATANG LEWAT

Selalu sangat mendengar rungutan guru bertugas tentang pelajar datang lewat dalam mesyuarat. PK HEM selalu membangkitkan isu yang sama. Yang paling tidak disukainya ialah muka-muka yang sama saja yang masih datang lewat, walaupun sudah diberi amaran berkali-kali. Satu hari semasa meninjau-ninjau kedatangan pelajar waktu pagi, memang ada juga beberapa orang, masih datang selepas loceng berbunyi, ada yang bas rosak, bapa sakit, emak baru balik kerja malam dan lain-lain yang masih boleh diberi pertimbangan dan diberi teguran, nasihat dan amaran.

'Kenapa lewat?'
Dia diam tunduk membisu, kerana dia memang tahu dia sebenarnya salah. Dia tak berdaya untuk berkata walau sepatah kata pun. Dia memang tahu, dia sepatutnya datang lebih awal.Dan dia pun memang tahu dia telah berulangkali melakukan kesalahan itu. Sejak akhir-akhir ini selepas gempur datang lewat, memang sudah tidak ramai pelajar yang datang lewat lagi.

'Awak bangun lewat ya?'
Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya yang masih tunduk.
'Pukul berapa bangun?'
'Pukul lima cik gu.'
'Kalau bangun awal kenapa tak datang awal?'
Dia terus diam kaku. Dapat dilihat bajunya basah dek peluh. Peluh di dahinya juga merenek seperti orang baru lepas berjoging. Tapi dia datang bermotosikal. Pelik betul budak ni.

'Awak buat apa pagi tadi?'
'Cuba cakap betul-betul dengan saya.'
Bahunya yang basah dek peluh dipegang memberi keyakinan. Ditepuk perlahan memberi harapan, supaya dia dapat menyatakan sesuatu. Barang kali dia perlu dibantu. Barangkali dia sudah lama menanggung sesuatu.
'Saya tolong mak tolak kereta sorong, pi goreng mee di pasar borong. Pukul tujuh baru balik rumah, siap datang sekolah'
'Bapa pergi mana?'
'Bapa sudah mati.'
Tersentak aku mendengar jawapannya. Aduhai anak yang malang. Rupanya amat berat penanggungan, besarnya pengorbanan, dan besarnya kesusahan yang ditanggung oleh anak semuda kamu.

'Kamu anak yang baik, kamu tolong mak kamu, dan bantu mak cari duit. Kamu memang sangat baik.'
'Tapi sekarang kamu sekolah. Kamu mesti ikut peraturan. Datang sekolah mesti sebelum 7.30. Boleh tak datang 5 minit lebih awal? Cuba boleh tak?'
'Dan yang lebih penting kamu perlu sekolah rajin-rajin. Kalau kamu berjaya kamu boleh ubah hidup kamu. Kamu boleh bantu mak kamu bila kamu dapat kerja yang baik.'
'Saya cuba cik gu.'

Thursday, April 22, 2010

BELAILAH DIRI ANDA

Hari ini tiba masa untuk belai diri sendiri ke hospital buat fisoterapi. inilah akibatnya kita tidak belai diri sendiri semasa muda. Nabi pernah ingatkan supaya ingat 5 perkara dalam hidup kita: hidup sebelum mati, muda sebelum tua, senang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit,kaya sebelum miskin. Tapi kita tidak amalkan sungguh-sungguh. Selalunya dalam menjalani kehidupan, kita sering lupa diri kita. Kita melayan keluarga, melayan tetamu, melayan kawan rakan dengan sungguh-sungguh. Kita berbelanja, bersedekah, bereadhah, tak kira masa. Tapi kita kadang-kadang lupa pada diri kita sendiri. Kita bekerja bertongkos-lomos, siang dan malam. Kerja mencari pendapatan atau membuat kerja rumah yang tak terkira banyaknya. Kita beli pakaian bila-bila saja.Kita beli barang perhiasan tidak kira harga. Kita beli hadiah untuk siapa saja. Kita beli rumah, hiasan rumah, kereta, acsessori kereta dan entah apa-apa lagi tapi semuanya kurang menyumbang kepada kesihatan tubuh badan kita. Itulah kita dengan kehidupan kita.Tiba-tiba bila kita sedar kita sudah tua dan kita semakin tidak selesa kerana usia tua mengundang segala macam karenah, segala macam masalah dari segi kesihatan, kerana dalam perjalanan hidup kita, kita kurang belai diri kita. Dalam kesibukan dengan keluarga, sanak saudara,kawan rakan, dan kerja, kita lupa, atau lalai dan leka untuk bersenam.Bila dah lanjut usia susah nak mula sebab tak biasa. Kalaulah hidup ini boleh diputarkan semula, mahu rasanya membelai diri dengan bersenam sejak muda di samping semua rutin kehidupan yang biasa. Tapi masih belum terlambat, kini kenalah rajin bersenam untuk meneruskan kehidupan sebelum dipanggil pulang oleh Yang Maha Esa. Semoga sisa-sisa hidup yang ada, akan lebih bermakna dan berwarna hendaknya.

Friday, April 16, 2010

EXCELLENT TEACHERS

'You claim you are excellent, how many excellent teachers have you produce?'
Soalan cepu emas betul, tak terjawab dibuatnya.
'Setakat ni memang tak ada lagi dato' sebab setiap kali saya bagi borang, tak ada yang datang balik, tapi ke depan hari saya akan pastikan ada pencalonan guru ccemerlang yang saya hantar.'
'Ya itulah yang sepatutnya, you should do that in future.'
Dengan cabaran itu, aku mengatur rancangan. Dua orang guru cemerlang dipanggil berbincang untuk membantu guru, supaya layak memohon guru cemerlang. Salah satu program yang dicadangkan ialah penulisan modul. Langkah pertama ialah membuat Latihan Dalam Perkhidmatan memberi pendedahan tentang penulisan modul. Kemudian diadakan bengkel penulisan modul untuk setiap jabatan. Selepas pembentangan kumpulan, maka modul bagi setiap jabatan yang telah dibetulkan, dijadikan contoh untuk penulisan yang seterusnya. Fasa kedua pula ialah penghasilan modul untuk setiap mata pelajaran bagi setiap tingkatan. Dan akhir sekali setiap orang guru mesti menghasilkan satu modul untuk setiap mata pelajaran yang diajar. Selepas itu 9 orang guru dicalonkan untuk jawatan guru cemerlang, alhamdulillah mereka berjaya. Maka sekarang sudah ada sembilan guru cemerlang semuanya yang telah berjaya dilahirkan di SMKSB. Mudah-mudahan banyak lagi jumlah mereka akan dihasilkan. Bunyinya sangat mudah tapi bukanlah suatu yang sangat senang dicapai. Semuanya perlu perancangan yang rapi dan komitmen yang tinggi.

Tuesday, April 13, 2010

LEPAS KENDURI


Belum kenduri semua sibuk buat itu ini supaya tiba time kenduri semua sudah sedia dan perfect. Lepas kenduri rumah jadi sunyi. Bilik pengantin usang tiada penghuni. Pelamin, bunganya semua layu tak diambil yang empunya. Khemah, masih tersergam tidak diangkut pulang. Rumah penuh bersepah - kain baju, pinggan mangkok, kuih muih dan entah apa-apa lagi. Emak pun dalam kedhaifannya tolong kemaskan mana yang dapat.Kak cik pun bantu mana yang terdaya. Aku sudah terpaksa hadir kerja kerana sudah lama cuti. walau masih sangat penat tapi pergi juga, buat apa yang terdaya. Rindu angah tidak terkira, tambah lagi alang pun tiada, dan adik sudah mula sibuk bekerja. Tak pa nanti bila cuti kami semua akan dapat bersama lagi, insya Allah...

Sunday, April 11, 2010

PERSEDIAAN KAHWIN ANGAH

Entah yang mana dulu yang telah dibuat, sudah tidak pasti. Tapi yang pasti banyak sangat tugas yang mesti diatur, diurus dan diselesaikan dua bulan sebelum tarikh yang telah ditetapkan. Urusan kad kahwin papa yang selesaikan; designing, wording, and proof reading. Senarai panggilan masing-masing sedia - mama, papa, cak, wan, alang, adik, Langkawi dan cantumkan panggilan untuk synchrinise jumlah. Mengedarkan kad memang sangat mengambil masa yang lama - petang-petang baru boleh memanggil. Tok wan dan cak juga bantu banyak - mana yang adik beradik dan sahabat handai yang dekat, mereka yang jemput. Malah mesyuarat di kampung depa juga yang uruskan. Bulan mac semua kad telah mula diedarkan - tapi sayang kad tidak cukup, terpaksa fotostat dan cetak lain. Seribu kad selesai tapi ramai lagi yang tidak dipanggil. Keputusan - tunggu kenduri bang long pulalah sebab kalau terlampau ramai, kenduri jadi tak terurus pula. Dulu kalau jemput makan kenduri tak payah pakai kad segala - cukup dengan bertandang ke rumah saudara, dijemput dengan rasminya, itu sudah amat bermakna. Itu sudah dikira amat sempurna dan amat berbesar hati untuk berkunjung makan kenduri.

Satu lagi tugas berat, memilih pakej pengantin yang sesuai dengan cita rasa - suatu yang tidak ada, masa kami kahwin dulu-dulu. Lepas satu, satu, boutique yang ditinjau-tinjau; harga, pilihan baju, pelamin dan lain-lain yang seumpamanya. Susah rupanya membuat pilihan untuk orang lain nak kahwin. Kami dulu sewa baju dan acsessori saja. Yang lain seperti pelamin semua adik beradik yang reka buat - sampai jam tiga pagi baru selesai pasang pelamin - kalau buat awal-awal takut hilang seri. Main capai apa ada, letak bunga sana sini, sikit-sikit, sudah jadi pelamin - pelamin cantik - harga tak seberapa. Alangkah mudahnya hidup zaman kami muda dulu - semua pakai gotong royong adik beradik, semua pakai tenaga berderau. Adik beradik pun rapat , belanja pun jimat.Macam tu juga hantaran - tak payah swasta kat mana-mana. Semua adik beradik yang bagi sorang satu bekas. Cakap berapa dulang yang perlu - pakat-pakat bawa sampai lebih pula. Sekarang semua kena booking kepada yang pakar. Zaman civilised semua benda pun mesti specialised - semua perlu rujuk kepada yang pakar.

Lepas tu, yang paling penting booking lauk kenduri - cater untuk jumlah jemputan yang dipanggil. Pilih menu, tetapkan harga, tetapkan setting outlet buffet dan lain-lain yang berkaitan, supaya jemputan dapat menjamu selera. Dek kerana sibuk dan tak ada kaki tangan, cater makanan start hari 9 April lagi, kerana adik beradik dah berhimpun untuk majlis pernikahan. Kalau zaman dulu seminggu sebelum kahwin adik beradik sudah mula berkampung - bawa beras, lauk dan ulaman - pakat-pakat masak, tuan rumah tak payah pening kepala. Tapi itu tiga puluh tahun yang lalu - zaman sudah berubah.

SAMBUT MENANTU

Syukur kami selamat sampai ke Taiping dengan selamatnya. Majlis sambutan berjalan lancar meriah dan syahdu - dengan kompang segala. Jamuan pengantin dengan pelbagai lauk pauknya. Bersanding dengan merenjisnya. Bergambar dengan semua keluarga. Jamuan petang dengan kuih muih segala. Tiba saat pulang, angah bergenang air mata, adik menangis hiba, kak cik tak tertahan juga. Mama dan papa menenangkan suasana - Kuala Lumpur tak jauh mana - nanti kita boleh jumpa bila-bila masa, bukannya jauh mana. Hasrul pun setuju juga dengan mama dan cuba tersenyum paksa. Hati terasa hiba jua. Begitulah indahnya suasana memasuki alam perkahwinan, tapi pun hati tersentuh entah kenapa. Syukur mama dan papa dapat seorang lagi anak lelaki. Bertambahlah ahli keluarga lagi. Mudah-mudahan semakin bertambah bahagia dan bermakna lagi. Hari tua akan diindahkan lagi dengan seri anak menantu dan riuh rendah anak cucu.