01 OGOS 2024 (KHAMIS)
DAY 2
AIYEWENG SKYWALK (BETONG)
I
Seawal jam 5.30 kami sudah naik bas tapi oleh kerana menunggu rakan -rakan lain yang bangun lewat, jam 5.40 pagi baru kami dapat bertolah ke Skywalk Aiyeweng. Perjalanan sejauh 82 kilo itu menyaksikan matahari terbit, Suasana nyaman dengan cuaca yang semakin cerah menceriakan perjalanan kami. Tapi kami sudah tahu awan nano yang kami idamkan barangkali sudah berkurangan apabila panas matahari semakin terasa.
Jam 7.00 kami sudah sampai ke kaki bukit Aiyeweng. Dari situ kami naik lori pickup untuk sampai ke puncak setinggi 2000 meter daripada paras laut. Perjalanan sejauh 10 kilo itu sungguh mencabar, kami naik 8 orang satu kereta. Jalannya bengkang-bengkok, namun pemandu pickup selamba memandu dengan laju tapi cermat. Kecut perut juga bila belok di selekoh tajam, bagai nak terbalik rasanya, namun alhamdulillah kami semua berharap Allah akan menyelamatkan kami daripada sebarang mara bahaya. Sesekali kelihatan ramai juga pickup dah mula turun, kerana mereka datang ke situ sebelum subuh. Namun kami tidak putus asa, itu yang Allah takdirkan kami redha. Kalau ada rezeki dapatlah kami menikmati awan nano yang digembar-gemburkan keindahannya.
Alhamdulillah kami selamat sampai di atas, orang masih ramai dan cuaca masih sejuk terasa dan berkabus. Awan nano yang diimpikan masih menunggu kami, syukur sangat-sangat. Untuk naik keatas kami dikenakan tiket TB 20 seorang. Kami diberikan sarung kasut, perempuan berwarna merah jambu terang dan lelaki berwarna hijau. Kami diminta pakai sebelum naik untuk elak kaca daripada kotor dan calar. Dilihat sorang-sorang kami yang dah lanajut usia ni terasa lucu pula, namun begitulah kehendakNya Allah, kami diizinkanNya menikmati pengalaman bersama rakan-rakan yang seusia, bagi menikmati nikmat Tuhan yang masih memberikan kami kesihatan. Subhanallah maha suci Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, alhamdulillah Allah masih memberikan peluang lagi untuk kami, alhamdulillah. Semoga Engkau kuatkan kami dan sihatkan kami, untuk terus beribadat kepadaMu ya Allah, sebelum Engkau menjemput kami kembali ke negeri abadi. Dulu masa muda kami sibuk menjaga anak, dan berkhidmat untuk keluarga, hanya bila dah tua dapat bersantai-santai menikmati masa senggang. Alhmdulillah syukur ya Allah yang memberikan kesihatan dan kelapangan masa di akhir-akhir usia yang masih bersisa.
Lama juga kami di atas skywalk itu, menikmati kesejukan dan nyamannya udara pagi. Merakamkan gambar-gambar, semuanya keindahan yang Allah sediakan untuk kami nikmati dan bersyukur dengan segala nikmatNya. Alam yang cantik dapat kami rasai dengan adanya pancaindera dan kesihatan tubuh badan yang masih Allah pinjamkan kepada kami. Kecantikan apa pun memang Allah kurniakan, ini baru di dunia, semoga kami mendapat nikmat yang lebih baik di syurga nanti, semuanya yang Allah janjikan tiada apa yang boleh menandingi kenikmatan atas kebesaran Allah yang maha Esa.
Jam 9.00 padi kami semua dalam 3 pickup, bergerak turun meninggalkan Aiyeweng Skywalk. Sampai di kaki bukit kami sarapan pagi di sebuah Restoren Kampung 36. Banyak menu yang disediakan, roti canai pelbagai rasa, nasi lemak ayam, moi sup dan sebagainya. Aku makan nasi ayam goreng, roti canai dan nescafe dengan harga TB105 untuk 5 orang. Lebih kurang jam 10.30 pagi selepas meneruskan perjalanan, PakHaji Zaki bagi pantun pagi sebagai hiburan pagi untuk mengisi masa semasa kami naik bas untuk ke deatinasi seterusnya:
Ayam golek itik golek,
Isap rokok minum kopi
Abang molek adik molek
Tarik tengkok cium pipi
Semua kami tergelak kuat kerana tak sangka dengan lawak Pak Haji Zaki itu. Bas terus meluncur membelah suasana pagi yang masih dingin dan cerah. Kami semua ambil peluang untuk melelapkan mata sekejap kerana agak mengantuk bangun awal pagi tadi.
II
Lebih kurang pukul 10.30 tengah hari, kami singgah di Tan To atau Charok Besar, iaitu sebuah penjara lama yang dipelihara utuk buang air. Kemudian terus kami menuju ke Kampung Banna Seta. Bas menurunkan kami di tep jalan, dalam lebih kurang jam11.30 pagi. Dari situ kami dibawa menaiki lori pickup untuk ke dusun Tuan Haji Ahmad Iman masjid Banna Seta. Jalan ke dusun tidak boleh dilalui bas atau kenderaaan berat. Dalam 10 minit kami semua yang menaiki 5 pickup tiba di dusun durian Tuan Imam. MasyaAllah keadaan dusun yang penuh dengan pohon durian pelbagai spesis mahal, terasa tenang, nyaman dan sejuk mata memandang. Ini bukan dudun tapi ladang durian yang luas dan cantik pula.
Sambutan anak kariah dan orang kampung sangat meriah dan penuh mesra. Kami beramah mesra dan diraikan dalam upacara sambutan ringkas tapi sungguh meriah dan bermakna. Tok Imam menyampaikan ucapan aluan mengucapkan selamat datang kepada rombongan kami. Terharu dengar ucapan Tok Imam masih boleh bertutur dalam bahasa melayu. Selepas bacaan doa diikuti dengan pertukaran cenderamata, dan penyampaian sumbangn kepada pondok Tok Imam dan Madrasahnya.
Nampaknya di kampung itu masih ramai yang boleh berbahasa Melayu, tapi semuanya golongan yang lanjut usia. Yang muda dah kurang selesa dengan bahasa Melayu kerana sudah terbiasa bertutur dalam bahasa Siam. Begitulah sejarah menunjukkan kalau tiada kuasa hilanglah identiti bangsa, kita terpaksa melihat dengan redha. Ini ketentuan yang telah tersurat dalam kudrat dan iradata Allah. Lahawla wala quwwata illah billah...
Alhamdulillah banyaknya durian disajikan, ada musang king, duri hitam, montong, dan banyak lagi yang semuanya sedap-sedap belaka. Kami rasa durian dulu, lepas tu diedarkan pulut lemak pula. Nampak satu besen besar pulut lemak kukus. Pulut lemat diedarkan, masing-masing melayan pulut durian, alhamdulillah nikmat mana lagi yang kamu dustakan? Pulut lemak, durian dan kuah santan manis memang menggugat selera kami tengah hari itu. Masing-masing menikmatinya dengan penuh nikmat, alhamdulillah memang rezeki Allah itu luas dan tidak pernah disangka-sangka. Alhamdulillah.
Selesai menikmati jamuan pulut durian, kami mula beransur meninggalkan dusun ke destinasi seterusnya. Meninggalkan ladang durian Tok Imam sungguh terasa kemesraan saudara seagama walau berlainan negara. Allah sajalah yang dapat membalas segala budi baik Tok Imam dan anak buahnya yang ramai meraikan kami makan durian. Anak Tok Imam seorang guru ambil cuti, semata-mata menunggu rombongan kami. Malah semua anak cucunya sama-sama menyambut kami yang belum pernah pun mereka berjumpa, namun terasa seperti sudah kenal lama. Isteri Tok Imam sibuk menghidangkan pulut lemak yang dimasak bersama anak-anak buah pondok mereka. Lelaki perempuan semuanya tidak terkecuali, kelihatan bersungguh-sungguh mengatur segalanya agar kami semua dapat menikmati jamuan istimewa yang mereka sediakan. Semoga Allah sajalah yang layak membalas segalanya.
Sedang melayan perasaan tiba-tiba kami sudah sampai ke masjid untuk solat jamak zohor asar. Masjid luas dan cantik tidak jauh dari ladang durian Tok Imam. Alhamdulillah dapat tunaikan tanggung jawab walaupun dalam musafir, lega rasa hati. Selesai solat dapat juga berehat sebentar sementara menunggu semuanya berkumpul untuk naik bas semula.
Berada dalam bas kami dimaklumkan oleh Haji Zaki, kami dijemput ke rumah Wan Mohd Noor Matha Speaker Parliment di Bangkok. Kebetulan rumah kediamannya di Yala, jadi kami disambut oleh adik iparnya yang bersaudara dengan Haji Zaki. Semasa ucapan aluan kamu dijamu kueh untuk minum petang, selepas itu kami dibawa house tour rumahnya yang cantik indah tersergam itu. Selepas selesai bergambar kenangan petang itu, kami ke Pekan Yala
Kemudian kami ke pasar basah Yala, di sini banyak sayur dan ikan tapi dah petang tak ramai peniaga lagi. Tapi kami hanya berhajat untuk membeli petai yang sudah dikupas kulitnya, ramai yang berminat. Harganya rm 25 sekilo, memang sangat murah dan ramai yang membeli untuk bekal di bawa balik buat buah tangan kepadan kawan dan sahabat handai.
Akhir sekali hari sudah semakin senja. Kami niat jamak takkhir kerana kami akan terus singgah di pekan, untuk makan malam. Di pekan kami diturunkan di dan diberi pilihan untuk makan apa yang kami suka. Banyak kedai makan, ada kedai nasi berlauk, kedai masakan Thai, makanan segera seperti kedai piza dan kedai ayam goreng pun ada. Sambil mencari kedai makan kami menjamu mata kedai-kedai baju yang kami lalui, dengan harapan selepas makan nanti bolehlah kami jamu mata pula buat kenang-kenangan dibawa pulang.
Pilih punya pilih kami singgah di kedai piza. Zaki dan Robitoh jiran kami pun ikut kami sebab mungkin terasa ingin bersantai-santai makan dengan selesa di kedai berhawa dingin. Kami pesan piza, spageti dan kentang goreng. Rasa memang sangat sedap, barang kali kerana kami lapar dan keletihan. Lama juga akami di kedai itu sebab masa yang diberikan agak lama, jadi kami rilek-rilek dengan senang hati. Selesai makan kami berjalan ke tempat bas menunggu. Sementara bas dalam perjalanan dapat jugalah kami membeli-belah sehelai dua baju jubah. Ramai juga yaang beli cendermata dan ramai juga yang barang kali kerana keletihan hanya mampu menjamu mata.
Bas datang tepat pada waktunya, kami terus dibawa menuju ke hotel penginapan untuk berehat semalam lagi di negeri gajah putih ini. Malam itu kami keluar lagi naik tut-tut pergi ke pasar malam. Tak banyak yang menarik perhatian kami kerana pasar malam ini specialnya banyak jenis makanan, pelik-pelik pulak tu, tak sesuai selera kita, jadi kami melihat-lihat dan meraikan kelainan ciptaan Allah, buat menambah pengalaman dan keinsafan bahawa Allah maha besar kasihnya menjadikan manusia berbagai-bagai untuk disyukuri nikmatnya.
Subhanallah umat Islam ada di mana-mana. Tingginya nikmat Allah menjadikan orang Yala cinta ilmu dan menegakkan syiar Islam dengan menyebarkan ilmu untuk memantapkan aqidah umat generasi yang akan datang. Alhamdulillah semoga ia menjadi sumber inspirasi kami untuk terus berjuang menegakkan dan meningkatkan keimanan diri dan masyarakat insyAllah. Ya Allah berilah kami pertunjuk dan permudahkan segala urusan kami ke arah menegakkan syiar Islam di kalangan kami. Tidak ada daya upaya kami melainkan hanya dengan keizinanMu jua ya Allah. Amin Ya Robbalaalamiin.